#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

09 June 2011

Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa 2011


Menyedari hakikat bahawa permasalahan penyalahgunaan dadah merupakan masalah global dan boleh  melangkaui sempadan sesebuah negara, United Nation on Drug and Crime (UNODC)  telah mengambil inisiatif mengisytiharkan tarikh 26 Jun sebagai Hari Antidadah Antarabangsa bersempena Persidangan Antarabangsa di Vienna, Austria pada 17 hingga 26 Jun 1987.  Sehubungan dengan itu, setiap negara yang menganggotai  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Malaysia adalah digalakkan untuk menyambutnya setiap tahun bagi memperbaharui azam dan tekad merealisasikan aspirasi Masyarakat Antarabangsa Bebas Dadah akan tercapai.


Bermula pada tahun 2010, UNODC  telah menetapkan tema “Think Health, not Drugs” sebagai  tema  sambutan Hari Antidadah Antarabangsa. Tema ini akan terus digunakan pada tahun ini dan ia telah diterjemahkan sebagai Hidup Sejahtera Tanpa Dadah. Tema ini bertujuan untuk mempromosikan isu kesihatan dan kesejahteraan kepada  masyarakat  terutama sekali kepada golongan belia yang  dianggap berisiko tinggi untuk terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


THINK HEALTH,
Not Drugs

Tema “Think Health, not Drugs” merangkumi pelbagai maklumat berkaitan kesan-kesan  penyalahgunaan dadah yang boleh  memudaratkan kesihatan. Dadah yang dimaksudkan termasuk semua jenis dadah dan ubat-ubatan dibawah kawalan badan antarabangsa seperti United Nation on Drug and Crime (UNODC) dan World Health Organization (WHO).  Jenis-jenis dadah dikawal badan tersebut termasuklah amphetamine-type stimulants (ATS), kannabis, kokain, hallucinogens, opiate dan hypnotic sedatives yang akan menyebabkan perubahan psikologikal dengan cepat kepada penggunanya. 


Pengambilan dan penggunaan dadah secara berterusan   dalam  tempoh masa yang panjang akan menjejaskan kesihatan diri penggunanya. Antara kesan fizikal adalah seperti penurunan berat badan dan menghidapi penyakit berjangkit seperti HIV dan hepatitis. Kesan psikologi pula adalah seperti kemurungan, halusinasi dan paranoia. Manakala penagihan dadah akan menjurus kepada kerosakan institusi kekeluargaan dan antara faktor yang boleh meningkatkan gejala sosial di dalam masyarakat. 


Selamat menyambut Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa pada 26 Jun 2011!!




   
  


06 June 2011

Rakan Antidadah







Agensi Antidadah Kebangsaan telah mewujudkan pasukan sukarelawan Rakan Antidadah atau lebih dikenali sebagai RADA. Program ini bertujuan untuk memberi peluang  kepada golongan belia supaya terlibat dalam program antidadah di seluruh Negara. Keahlian RADA telah dibuka sejak tahun 2009 dan sehingga kini sejumlah 128,540 orang telah menjadi ahli RADA. Sehingga Disember 2011, ahli RADA dianggarkan akan meningkat sehingga 220,000 orang.






Objektif penubuhan RADA adalah untuk menggembleng seluruh tenaga ahli di semua peringkat dalam usaha menangani masalah dadah yang berlaku di peringkat akar umbi. Ia berfungsi sebagai satu pasukan sukarelawan yang akan membantu AADK dalam komuniti dan membentuk sahsiah pembangunan belia sebagai pelapis pemimpin masa depan yang mempunyai pengetahuan, kesedaran, disiplin, jati diri dan nilai murni yang tinggi bagi menolak gejala dadah. Ia juga bertujuan mewujudkan pasukan sukarelawan antidadah yang sentiasa peka dan komited terhadap kerja-kerja pencegahan dadah. Di samping itu juga, ahli RADA merupakan agen pengumpul dan penyebar maklumat bagi membantu AADK menyalurkan maklumat tentang bahaya dadah kepada komuniti. Mereka bertindak sebagai MATA DAN TELINGA kepada AADK dalam hal-hal yang berkaitan dengan masalah dadah di kawasan masing-masing.









Kesemua ini penting dalam usaha mencapai matlamat utama RADA iaitu membentuk satu pasukan sukarela yang bersifat Community Oriented Policing dan Smart Partnership yang dianggotai oleh belia. Justeru dengan penubuhan RADA ini, kesedaran masyarakat mengenai penyalahgunaan dadah dapat ditingkatkan dan aktiviti antidadah dalam kalangan belia di daerah dan negeri dapat diperluaskan.







Kad Keahlian RADA


Bagi mereka yang berminat dalam aktiviti-aktiviti pencegahan dadah, anda bolehlah mendaftarkan diri di pejabat AADK daerah berdekatan. Maklumat lanjut mengenai RADA boleh didapati dari laman web AADK (http://adk.gov.my) dan Facebook Rakan Antidadah (RADA). 





03 June 2011

TEKS UCAPAN Y.B. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA PERUTUSAN TAHUN BARU 2011 MENTERI DALAM NEGERI

TARIKH :  7 JANUARI 2011
MASA :   9.15 PAGI 
TEMPAT : AUDITORIUM BLOK D8, KOMPLEKS D, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Terima kasih diucapkan kepada Pengacara Majlis.
Yang Berhormat Datuk Wira Abu Seman bin Hj. Yusop Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Yang Berhormat Datuk Lee Chee Leong Timbalan Menteri Dalam Negeri
Yang Berbahagia Dato Sri Mahmood bin Adam Ketua Setiausaha Kementerian
Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha
Yang Dihormati Tan Sri Ismail Omar Ketua Polis Negara
Ketua-ketua Jabatan dan Agensi.
Setiausaha-setiausaha Bahagian, pegawai-pegawai kanan, hadirin dan hadirat yang dihormati sekalian. 1. Alhamdulillah, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan berkat izin, limpah kurnia dan makbulNya, umur kita sekali lagi dipanjangkan untuk melangkah ke tahun yang baru – tahun 2011. Saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mana sahaja tuan-tuan dan puan-puan berada. Semoga semua azam tahun lalu sudah tercapai dan kita dapat memulakan tahun 2011 ini dengan azam dan semangat yang baru. Dengan bermulanya bulan Januari 2011, marilah kita bersama-sama membawa permulaan yang baru bagi KDN; satu permulaan yang lebih segar; permulaan yang lebih bebas dari kesilapan yang boleh menyebabkan nama baik dan integriti KDN dipersoalkan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

2. Tahun 2010 merupakan tahun yang begitu sukar dan amat mencabar bagi kita semua. Belum pernah rasanya seumur hidup saya, saya terpaksa bekerja begitu keras untuk memastikan setiap tugas yang diamanahkan dilaksanakan mengikut sasaran yang ditetapkan. Tahun 2010 juga tidak pernah sunyi; ada sahaja perkara baru yang timbul dan ada sahaja isu besar yang perlu ditangani. Walaupun tahun 2010 amat mencabar, namun, Alhamdulillah, dengan kerjasama yang erat seluruh warga KDN kita telah membuktikan bahawa kita mampu memikul tanggungjawab dan melaksanakan tugas yang telah diletakkan di atas bahu kita semua.

3. Dalam aspek Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Dalam Negeriu misalnya, Alhamdulillah kita bersama telah membuktikan bahawa berkat perancangan, kesungguhan dan semangat berpasukan, cabaran dan sasaran yang telah ditetapkan ini telah dapat dicapai dengan amat cemerlang sekali. Pada tahun 2009, kita telah mensasarkan untuk menyelesaikan permohonan-permohonan tertunggak berhubung taraf dan dokumen pengenalan diri. Kita telah menepati sasaran dalam tempoh yang ditetapkan seperti berikut:- (a) Untuk permohonan kewarganegaraan yang tertunggak, sebanyak 32,927 permohonan dari tahun 1997 hingga tahun 2006 telah diselesaikan; (b) Untuk permohonan dan rayuan permit masuk yang tertunggak, kesemua 16,812 permohonan dan rayuan bagi tempoh tahun 2001 hingga 2008 telah diselesaikan; dan (c) Untuk permohonan daftar lewat kelahiran yang tertunggak, kesemua 93,360 permohonan yang dikemukakan antara tahun 2005 hingga Jun 2009 juga telah diselesaikan. Sehingga bulan Disember 2009, sebanyak 15,684 lagi permohonan tambahan daftar lewat kelahiran telah diterima dan telah dapat diselesaikan menjadikannya jumlah keseluruhannya sebanyak 109,044.

4. Selanjutnya pada tahun 2010, kita telah bermula dengan lebih yakin bersandarkan kepada satu tanda aras yang tinggi. KDN telah menggerakkan usaha untuk meneruskan dan menambah nilai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang telah ditetapkan pada tahun 2009. Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini adalah bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan agenda kerajaan melalui Program Tansformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

5. Usaha meneruskan KPI 2009 dalam tahun 2010 melibatkan gerak kerja menyelesaikan permohonan tertunggak bagi tempoh masa yang berikutnya iaitu bagi tahun 2007 sehingga permohonan baru bagi tahun semasa 2010. Saya cukup gembira dan dengan penuh sukacita ingin mengumumkan bahawa sekali lagi kita menepati sasaran dan berjaya memenuhi sepenuhnya TIGA KPI bagi tahun 2010. (a) Untuk permohonan kewarganegaraan yang tertunggak bagi tahun berikutnya iaitu 2007 hingga 2009, sebanyak 29,677 telah diselesaikan. Ini bermaksud jumlah keseluruhan sejak usaha mencapai KPI digerakkan sebanyak 62,604 permohonan selesai diproses; (b) Untuk permohonan dan rayuan permit masuk, sebanyak 1,350 lagi permohonan dan rayuan bagi tempoh tahun 2009 hingga 2010 telah diselesaikan menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 18,162; dan (c) Untuk permohonan daftar lewat kelahiran, sebanyak 29,675 permohonan baru telah diterima pada tahun 2010 dan kesemuanya telah berjaya diproses dan siap pada tahun semasa. Ini menjadikan jumlah keseluruhan permohonan daftar lewat kelahiran yang telah selesai diproses adalah sebanyak 138,719.

6. Sama ada di sedari ataupun tidak, sekiranya digabungkan ketiga-tiga jenis permohonan dan dihitung setiap satunya, jumlah keseluruhan permohonan yang terlibat adalah sebanyak 219,485. Satu jumlah yang sesungguhnya amat besar dan tidak dapat dijangkakan sebelum ini. Jelas, tidak ada sesuatu yang mustahil; yang tidak dapat dicapai sekiranya kita mempunyai keazaman, semangat berpasukan dan kesungguhan yang tinggi. Semua ini dapat kita selesaikan.

7. Saya sering mengulangi jumlah-jumlah ini kerana bukan sahaja ia akan mengingatkan kita betapa besarnya pencapaian kita, tetapi lebih daripada itu ia dapat menggambarkan betapa ramainya insan dan individu di luar sana yang secara langsung merasai nilai dan makna usaha kita. Jumlah ini akan bertambah besar berkali ganda jika dihitung ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai mereka yang turut sama berkongsi kehidupan. Berjaya atau sebaliknya bukanlah satu-satunya persoalan pokok, namun apa yang penting tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dengan memproses sesuatu permohonan dengan teliti, cepat dan tepat berpandukan kepada gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

8. Hakikatnya, dalam masa yang begitu singkat, begitu banyak yang telah tuan-tuan dan puan-puan laksanakan untuk masyarakat dan negara. Kita wajar meraikan pencapaian ini dan menghargai setiap sumbangan yang telah diberikan. Jangan sampai termakan kata-kata pihak yang cenderung untuk melupakan segala yang telah kita laksanakan untuk mereka. Jangan sampai semangat kita terjejas akibat perbuatan segelintir pihak yang sengaja memilih untuk tidak mengiktiraf peranan kita dan lebih buruk lagi memperlekeh kerajaan, KDN dan agensi-agensi kita.

9. Pada tahun 2010 juga, saya berasa gembira kerana Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) telah berjaya ditanda araskan di peringkat antarabangsa melalui keanggotaan tetap JPAM dalam Pertubuhan Pertahanan Awam Antarabangsa atau International Civil Defence Organisation (ICDO) dan kerjasama dengan Asian Network for Major Cities 21 atau ANMC21 yang berpusat di Tokyo, Jepun dan Asian Disaster Preparedness Center (ADPC) yang berpusat di Bangkok, Thailand.

10. Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) – jika ketika saya masuk dulu, hanya mempunyai keanggotaan seramai 556,000 orang, sehingga 31 Oktober 2010, telah mempunyai seramai 2.04 juta orang anggota. Proses penjenamaan semula RELA telah dimulakan, Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman telah dilancarkan bagi menyokong NKRA Mengurangkan Jenayah dan Briged RELA Orang Asli telah ditubuhkan bagi mengiktiraf peranan dan minat Orang Asli di dalam RELA.

11. Saya juga berbangga dengan Jabatan Penjara yang telah melaksanakan pelbagai transformasi terutamanya dari segi pendekatan sebagai Institusi Koreksional yang bukan sahaja menjadi tempat penghuni menjalani hukuman tetapi juga melalui proses pemulihan sebagai persiapan untuk mereka dikembalikan kepada masyarakat. Keyakinan Jabatan Penjara dalam melaksanakan transformasi ini jelas apabila mereka tidak membuat sebarang permohonan untuk pertambahan penjara dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

12. Dari aspek jenayah merentasi sempadan dan kerjasama antarabangsa, persefahaman telah ditandatangani dengan Netherlands bagi perkara-perkara berhubung Imigresen. Pada tahun 2010, kita juga telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional bagi menangani isu pemerdagangan orang dan berjaya meminda Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 (AKTA 670). Hasil kepekaan dan kecekapan tindak balas kita terhadap jenayah pemerdagangan manusia, kita telah berjaya memperbaiki penarafan negara dari TIER 3 Watchlist pada tahun 2009 kepada TIER 2 Watchlist pada tahun 2010.

13. Tahniah kepada KSU, Datuk Sri Mahmood Adam, kerana tahun 2010 juga merupakan tahun yang membanggakan untuk KDN dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) terutamanya dalam aspek menurunkan kadar jenayah di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Tahun 2009 merupakan tahun perancangan di mana untuk pertama kali, pendekatan baru digunakan untuk menghimpunkan semua pemegang peranan dan pihak berkepentingan di dalam „makmal bagi menghasilkan penyelesaian dan inisiatif di luar `kotak bagi mencapai sasaran yang diberikan.

14. Berikutan pelancaran rasmi GTP pada bulan Januari 2010, kesemua 55 inisiatif yang dikenal pasti di dalam makmal telah mula kita perluaskan (roll-out) dalam erti kata sebenar. Setiap dua minggu mesyuarat penyelesaian masalah diadakan di PEMANDU. Setiap dua minggu juga Menteri diberi maklumat terkini pelaksanaannya. Bahagian NKRA di KDN dan sekretariat NKRA di PDRM khusus bagi peranan ini telah ditubuhkan dan mesyuarat dengan Perdana Menteri diadakan setiap tiga minggu. Semua ini dan sokongan berterusan dari PEMANDU membolehkan lebih daripada 30 agensi dan kementerian bekerjasama rapat dan tidak lagi bekerja secara terpisah-pisah dalam silo masing-masing bagi mencapai sasaran yang ditetapkan.

15. Selain itu, idea-idea baru di luar pemikiran konservatif diketengahkan dalam mesyuarat National Strategy Execution Summit (NSES) yang dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri bagi mencari jalan untuk mempertingkatkan lagi impak 55 inisiatif yang dilaksanakan. Program Pengawaman (re-deployment) Polis misalnya, merupakan hasil daripada mesyuarat ini yang membebaskan 7,402 orang anggota polis beruniform dari tugas pentadbiran untuk melaksanakan tugas-tugas kepolisian dan digantikan dengan 4,279 orang awam tanpa melibatkan pertambahan kos; di mana YAB Perdana Menteri sendiri menyatakan ini sebagai suatu detik bersejarah kerana tidak pernah dilakukan dalam tawarikh negara. Kalau ia diperluaskan kepada kementerian dan agensi lain, kita boleh merasa bangga kerana segalanya bermula di KDN. Ketika kita pertama kali bercakap tentang omnipresence PDRM, ramai yang merasakan ia suatu yang mustahil kerana kali terakhir pengambilan yang paling besar dalam sejarah PDRM adalah pada tahun 1969. Kita telah buktikan bahawa mereka silap melalui pendekatan-pendekatan kreatif.

16. Jumlah 7,402 orang ini adalah tambahan kepada 14,222 orang pegawai polis, 1,724 orang anggota PGA, 1,215 polis bantuan dan purata seramai 2,090 orang sehari Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dari kalangan 3,663 anggota RELA dan 1,292 anggota JPAM yang ditugaskan di kawasan hot spots. Pada waktu yang sama pelaksanaan Kepolisian Berprofil Tinggi (High Profile Policing) dengan purata lawatan sebanyak 8,000 ke 9,000 lawatan seminggu, penempatan 90 unit Balai Polis Bergerak di seluruh negara dan 812 buah motorsikal tambahan untuk rondaan anggota polis di kawasan hot spots meningkatkan lagi kehadiran anggota polis di jalanan dan menyebabkan kehadiran mereka dirasai.

17. Kehadiran anggota polis, dibantu pula dengan pemasangan 496 CCTV tambahan, penglibatan 4,708 Rukun Tetangga dan 2,030 Skim Rondaan Sukarelawan serta penglibatan seramai 394,260 ahli Rakan COP di seluruh negara telah memberi impak yang besar terhadap NKRA Mengurangkan Jenayah, seterusnya menyumbang kepada penurunan kadar jenayah indeks secara keseluruhan dan jenayah jalanan jauh lebih baik dari sasaran asal. Direkodkan pada tahun 2010 Jenayah Indeks keseluruhan telah berkurang sebanyak lima belas peratus, berbanding sasaran asal, lima peratus. Jenayah Jalanan pula berkurang sebanyak 35 peratus, jauh lebih baik berbanding sasaran asal sebanyak 20 peratus.

18. Selain itu, tiga lagi KPI yang ditetapkan dalam NKRA juga menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Kajian persepsi oleh TNS International dalam tahun 2009 dan 2010 menunjukkan bahawa perasaan takut menjadi mangsa jenayah di kalangan rakyat menurun sebanyak 5.7 peratus dari 58.5 peratus pada Disember 2009 kepada 52.8 peratus pada September 2010, manakala tahap kepuasan rakyat terhadap perkhidmatan polis meningkat sebanyak 20 peratus dari 35.8 peratus. Pada waktu yang sama jumlah kes pesalah jenayah kekerasan dibawa ke muka pengadilan pada tahun 2010 juga meningkat jauh lebih banyak daripada sasaran, iaitu 3,903 kes berbanding hanya 2,000 kes. Semua ini membuktikan bahawa jika kita sanggup membuat perubahan, sanggup bekerja keras dan bekerja dalam satu pasukan, tidak ada perkara yang mustahil dan tidak ada perkara yang tidak dapat kita lakukan.

19. Saya memahami bahawa bukan mudah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, lebih-lebih lagi apabila ramai warga kerja kita terpaksa mengharungi pelbagai rintangan dan kesukaran, berpanas dan berhujan, meninggalkan keluarga kerana ditempatkan ke bahagian atau kawasan tertentu, mengawal emosi dan bersungguh-sungguh menunjukkan kemesraan di kaunter-kaunter perkhidmatan, turun sehingga ke pedalaman untuk menyampaikan kad pengenalan kepada rakyat, namun tuan-tuan dan puan-puan sanggup melakukannya dengan penuh kesabaran dan bertanggungjawab. Segala ini membuatkan saya merasa terharu dan pada waktu yang sama merasa bangga di atas segala pengorbanan yang dilakukan oleh tuan-tuan dan puan-puan. Ikhlaskan niat tuan-tuan dan puan-puan, tunaikan amanah untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat jelata. Semoga pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan, anak isteri dan keluarga masing-masing ini akan diberkati dan semoga Allah SWT memberikan ganjaran yang setimpal serta memudahkan perjalanan hidup tuan-tuan dan puan-puan sekeluarga.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, 

20. Sempena perhimpunan pertama pada tahun baru ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan selamat bertugas kepada kepimpinan tertinggi yang baru di Jabatan-jabatan di dalam KDN.

21. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Sri Ismail Omar di atas pelantikan beliau sebagai Ketua Polis Negara yang baru. Saya mempunyai harapan yang tinggi kepada Tan Sri, bukan sahaja kerana PDRM memainkan peranan paling utama di dalam NKRA, tetapi untuk membawa perubahan yang menyeluruh kepada imej pasukan polis dan memberi semangat baru kepada semua anggotanya. Saya gembira apabila Tan Sri menyambut harapan saya ini dengan komitmen 4P, iaitu Protective (Pelindung Rakyat), Performance and Outcome Oriented (Berorientasi Prestasi dan Hasil), Proactive (Proaktif), People Oriented (Berorientasikan Rakyat) dan keutamaan untuk mengukuhkan aspek komunikasi dan perhubungan awam PDRM. Dengan sokongan Timbalan Ketua Polis Negara, muka baru di bahagian dan negeri, iltizam untuk melaksanakan 4P, strategi yang betul dan komunikasi yang berkesan, saya percaya Tan Sri boleh melakukan transformasi ini. Saya berharap semua yang dilantik dapat melaksanakan tugas sejujur-jujurnya dan menjadikan PDRM telus dan berwibawa seperti yang diharapkan oleh rakyat; dan dapat diletakkan sebaris dengan pasukan polis terbaik di dunia.

22. Tahniah juga diucapkan kepada Dato Alias bin Haji Ahmad yang diberikan kepercayaan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang baru. Seperti yang kita sedia maklum, imej Jabatan Imigresen sedikit terjejas akibat sikap segelintir individu. Namun saya yakin Dato amat memahami cabaran yang bakal dihadapi dan cukup bersedia untuk memikul tugas bagi memulihkan imej Jabatan Imigresen melalui pelan transformasi yang akan dibentangkan kepada saya tidak lama lagi. Lakukan yang terbaik. Saya akan sentiasa bersama Dato dan semua warga Jabatan Imigresen, di setiap langkah dan di sepanjang proses transformasi ini. Laksanakan agenda transformasi ini sebaik-baiknya, tetapkan tanda aras setanding dengan yang terbaik dan letakkan JIM di kalangan yang terbilang di dalam dunia.

23. Yang Berbahagia Tan Sri dan Dato, sentiasalah mengingatkan diri bahawa sesungguhnya jawatan yang disandang ini bukan pangkat atau darjat kebesaran yang harus dibangga-banggakan, sebaliknya terimalah jawatan ini sebagai suatu beban amanah yang berat; amanah daripada rakyat, amanah daripada pemimpin negara (ulil-amri) dan amanah daripada Allah yang Maha Esa.

24. Saya yakin dengan daya kepimpinan, pengalaman, pengetahuan dan keikhlasan tuan-tuan semua, tuan-tuan akan dapat membawa lebih banyak pembaharuan ke dalam jabatan dan agensi masing-masing, seterusnya ini akan membantu agenda transformasi yang telah dimulakan oleh Perdana Menteri yang kita kasihi, YAB Datuk Seri Najib Tun Razak. Amat penting untuk tuan-tuan dan puan-puan semua menjayakan agenda transfomasi ini kerana lanskap politik, kehendak rakyat dan persekitaran global sudah berubah serta tidak mengizinkan lagi kita bekerja menggunakan pemikiran usang dan pendekatan lapuk. Business cannot be as usual!

25. Kita semua mempunyai amanah yang amat besar untuk dilaksanakan. Gagasan besar ilham Perdana Menteri, iaitu gagasan 1Malaysia – Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan datang bersama Pelan Tranformasi Kerajaan (GTP), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) dan Pelan Transformasi Politik (PTP). Tujuan pelan transformasi ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menggerakkan perubahan besar-besaran dalam pentadbiran kerajaan, bidang ekonomi dan politik bagi memastikan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi dapat dicapai menjelang tahun 2020 tanpa mengenepikan asas-asas kenegaraan yang telah dibina selama ini melalui Perlembagaan Persekutuan, pelbagai polisi dan undang-undang, prinsip-prinsip Rukun Negara, Wawasan 2020 dan Misi Nasional. Semuanya ini untuk rakyat dan anak-anak kita agar mereka mempunyai masa depan yang lebih terjamin.

26. Walau bagaimanapun semua pelan transformasi ini tidak mungkin tercapai jika kita tidak dapat mewujudkan persekitaran politik yang stabil dan keamanan di dalam negara. Tidak
mungkin rakyat dapat tidur lena dan tenang bekerja jika keselamatan diri, keluarga dan harta benda mereka diancam. Tidak mungkin pelabur dan masyarakat antarabangsa akan yakin dengan potensi ekonomi negara sekiranya negara sentiasa kacau bilau akibat kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang dan peraturan di dalam negara, apatah lagi jika negara menjadi sarang membiaknya kegiatan keganasan atau lebih buruk lagi dijadikan sasaran serangan kumpulan pengganas.

27. Tugas kita semakin berat kerana hari ini isu keselamatan sudah menjadi semakin kompleks. Jika dulu ancaman terhadap negara dapat dilihat melalui serangan tentera musuh yang ramai lengkap dengan peralatan perang, tetapi hari ini sejumlah individu yang mempunyai rangkaian dengan pelbagai pihak di dalam dan luar negara, mempunyai kepakaran menggunakan teknologi dan berkeupayaan mempengaruhi persepsi awam melalui penipuan, fitnah, hasutan dan manipulasi, mampu menyebabkan kerosakan, kekacauan dan kerugian besar di dalam negara.

28. Kita perlu segera melaksanakan transformasi dan perlu berubah. Tidak seperti bidang lain, Keselamatan Nasional adalah bersifat `zero sum. Tidak ada senario menang-menang. Jika kita kalah, manusia yang tidak bersalah akan mati atau ditimpa kecelakaan. Justeru, kita tidak boleh kalah. Kita tidak boleh sekali-kali membenarkan kejahatan mengatasi kebaikan, anarki mengatasi keamanan, kemusnahan menggantikan kemakmuran.
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

29. Atas keinsafan ini, sepanjang tahun 2011, saya ingin menggariskan tujuh komitmen utama KDN yang perlu diberi perhatian dan dilaksanakan oleh tuan-tuan dan puan-puan dalam semangat 1KDN. Komitmen-komitmen ini adalah; i. Memantapkan pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah ii. Memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian iii. Meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing iv. Menangani ancaman jenayah merentasi sempadan v. Memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah vi. Mempertingkatkan keberkesanan pemulihan, dan vii. Menggerakkan gelombang kesukarelaan
i. Memantapkan pelaksanaan NKRA Mengurangkan Jenayah

30. KDN akan memantapkan lagi komitmen untuk mengurangkan kadar jenayah seperti yang sasarkan di dalam NKRA menerusi 55 inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Jenayah. Pendekatan bersepadu dari segi fungsi setiap jabatan dan agensi dalam KDN akan diteruskan dan dipertingkatkan.

31. Bagi merealisasikan matlamat ini, pada tahun 2011, PDRM telah merangka strategi membanteras jenayah secara menyeluruh melalui program Pengukuhan Modal Insan, meningkatkan kemahiran setiap warga PDRM dan meningkatkan omnipresence PDRM. Bermula dengan gelombang pertama, gelombang demi gelombang penempatan anggota polis di jalanan akan diumumkan sepanjang tahun ini bagi memastikan kehadiran seramai mungkin anggota keselamatan yang terdiri daripada anggota polis, RELA dan JPAM di kawasan hot-spots yang mungkin berubah dari semasa ke semasa.

32. Kerjasama strategik dengan pihak Kementerian Pertahanan juga telah dirangka bagi membolehkan lebih ramai anggota keselamatan berada di kawasan hot spots dan untuk melatih lebih ramai anggota polis. Sebagai contoh dan sesuatu yang belum pernah diumumkan sebelum ini, kita telah mula menempatkan semula seramai 8,140 anggota PGA di sempadan Semenanjung Malaysia ke empat negeri hot spots mengikut giliran. Bagi memantapkan lagi inisiatif ini, dua kem tentera akan digunakan bagi melatih rekrut polis melalui kerjasama strategik ini kita akan dapat menggandakan jumlah anggota polis dalam masa terdekat. Ini merupakan satu lagi peristiwa bersejarah kerana tidak pernah sebelum ini kita melihat PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bekerjasama begitu rapat dan erat sekali.

33. Kita menyedari bahawa kebanyakan mangsa jenayah adalah wanita. Atas kesedaran ini, salah satu inisiatif yang akan saya bentangkan pada tahun ini adalah usaha untuk melindungi golongan wanita dari terus menjadi mangsa penjenayah. Saya berpandangan mungkin elok diwujudkan satu sub-NKRA yang dapat mengenal pasti punca dan penyelesaian terhadap masalah ini. KDN akan berbincang dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan NGO-NGO yang berkaitan untuk mencari jalan bagaimana golongan wanita yang menjadi mangsa boleh digalakkan untuk membuat laporan tentang perbuatan jenayah ke atas diri mereka dan mencari langkah pencegahan jenayah yang boleh mengelakkan wanita terus-menerus dijadikan mangsa.
ii. Memberi nilai tambah kepada KPI Kementerian
34. Langkah meneruskan dan menambah nilai KPI 2009 ini adalah bagi memastikan rakyat berbilang kaum di Malaysia mendapat akses yang terbaik melalui perkhidmatan yang disediakan oleh KDN. Usaha ini sejajar dengan hasrat yang digariskan dalam agenda kerajaan melalui Program Tansformasi Kerajaan (GTP) serta Model Ekonomi Baru (MEB).

35. Pada tahun 2011 kita akan menggerakkan usaha untuk menambah nilai KPI 2009 dengan perancangan untuk menggerakkan agenda-agenda berikut; i. Menginstitusikan sistem pengurusan dan penyampaian yang efektif berhubung permohonan kewarganegaraan, permit masuk dan daftar lewat kelahiran; ii. Meningkatkan fungsi dan ciri-ciri keselamatan dokumen-dokumen berkaitan pengenalan diri dan imigresen; dan iii. Membantu mempermudahkan kemasukan ke dalam negara golongan berpendapatan tinggi (high net worth) dan pekerja berpengetahuan tinggi (knowledge workers).

36. Mengambil kira KPI yang telah digariskan telahpun berjaya dicapai sepenuhnya, maka sudah tiba masanya untuk kita memberikan fokus kepada perkara-perkara yang digariskan dalam Tambah Nilai KPI. Sehubungan itu, bagi tahun ini, sukacita saya ingin mengumumkan bahawa usaha dan gerak kerja kita akan ditumpukan untuk melaksanakan tiga agenda Tambah Nilai yang telah dirancang pada tahun 2010. Tahun 2011 adalah masa untuk kita melihat pelaksanaan setiap satu agenda tersebut sekali gus memastikan inisiatif-inisiatif yang digerakkan dapat dilihat dan dirasai oleh rakyat dan golongan sasar.
iii. Meningkatkan kecekapan pengurusan isu warga asing

37. Suatu ketika dahulu isu warga asing yang kompleks ini dilihat amat sukar untuk ditangani. Bukan sahaja kita berhadapan dengan beberapa masalah seperti isu pemantauan dan penguatkuasaan, penglibatan pelbagai kementerian dan agensi yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai kategori warga asing menyukarkan tindakan yang komprehensif digerakkan secara berkesan.

38. Susulan daripada cadangan KDN, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menubuhkan Makmal Pengurusan Warga Asing untuk mengenal pasti strategi dan pendekatan terbaik dalam memantapkan pengurusan dan pemantauan warga asing di negara ini. Makmal ini telah disertai oleh wakil daripada 14 kementerian dan 11 jabatan serta agensi. Selain para pegawai yang akan menjadi ahli tetap, makmal ini akan turut disertai wakil daripada lebih 30 organisasi dan pertubuhan yang berkepentingan dalam isu warga asing.

39. Sebanyak 29 syor yang telah dikemukakan oleh Makmal telah dipersetujui oleh JKKPA-PATI untuk dilaksanakan yang melibatkan 4 inisiatif berkaitan permintaan dan bekalan, 17 inisiatif berkaitan perundangan dan penguatkuasaan, dan 8 inisiatif berkaitan sistem dan proses. Manakala selebihnya 19 inisiatif lagi memerlukan kajian lanjut.

40. 29 inisiatif yang telah dipersetujui akan dilaksanakan dalam 3 fasa iaitu Fasa I (Julai 2010-Disember 2010), Fasa II (Januari 2011-Jun 2011) dan Fasa III (Julai 2011-Disember 2011). Sebanyak 10 inisiatif akan dilaksanakan dalam Fasa I. Bagi Fasa II pula, sebanyak 11 inisiatif akan digerakkan dan selebihnya 6 inisiatif lagi akan dilaksanakan dalam Fasa III. Fokus pada tahun 2011 adalah untuk memantau pelaksanaan kesemua syor yang telah dipersetujui melalui Sekretariat Tetap yang berpusat di Bahagian Hal Ehwal Imigresen, KDN.

41. Pengurusan warga asing juga akan melibatkan aspek pengurusan depot-depot tahanan pendatang asing tanpa izin. Berikutan beberapa kes tahanan yang melarikan diri pada tahun 2010, KDN telah memberi lebih perhatian kepada pengurusan depot tahanan ini. Sejumlah langkah baru telah diperkenalkan bagi meningkat kecekapan pengurusan depot ini, antaranya; i. Mewujudkan Jabatan Depot khusus bagi mengendalikan tahanan PATI ii. Mempertingkatkan kecekapan pengurusan pendatang tanpa izin di depot menggunakan konsep 1KDN, di mana kepakaran Jabatan Penjara, Jabatan Imigresen, RELA, JPAM dan PDRM. iii. Memperkukuhkan keadaan fizikal di depot-depot tahanan dengan menaik taraf empat depot tahanan iaitu depot Semenyih, Lenggeng, Machap Umboo dan Pekan Nenas yang dijangka akan siap pada awal tahun 2011. iv. Memperkemaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan di depot-depot tahanan yang memberi panduan yang teperinci dalam aspek kawalan keselamatan, penyediaan dokumentasi sehingga pengusiran tahanan. v. Meningkatkan tahap profesional anggota di depot-depot tahanan melalui latihan dalam aspek kawalan keselamatan dan disiplin kepada pegawai imigresen yang bertugas di depot tahanan. vi. Menetapkan penanda aras pengurusan depot berdasarkan pengalaman pengurusan depot tahanan lima buah negara negara yang telah dikenal pasti, iaitu Australia, Belanda, Hong Kong, Dubai dan Thailand. vii. Meningkatkan kerjasama dengan pihak Kedutaan Asing melalui Kementerian Luar Negeri Untuk mempercepatkan urusan pengusiran tahanan. Setakat ini sebanyak 740 orang tahanan yang berada di depot yang melebihi 3 bulan telah disenaraikan mengikut warganegara dan telah dikemukakan kepada Kementerian Luar Negeri untuk dirujuk kepada pihak Kedutaan Asing bagi tujuan mempercepatkan urusan pengusiran.
iv. Menangani ancaman jenayah merentasi sempadan

42. Globalisasi bukan sahaja mempermudahkan aliran maklumat dan modal merentasi sempadan negara, tetapi apa saja dan di mana saja – termasuk buruh, barangan, perkhidmatan, ideologi, seni budaya dan kepakaran. Walaupun mempunyai kebaikan, globalisasi telah membuka ruang dan peluang yang luas untuk kegiatan jenayah sedia ada beroperasi selain menjadi pemangkin kepada kewujudan jenayah baru, termasuk keganasan. Pada tahun 2010 sahaja, kita telah menahan sejumlah 22 orang yang dikategorikan sebagai pengganas. 13 daripada mereka adalah dari kumpulan Al-Qaeda, lima dari Jemaah Asharut Tauhid dan empat dari Jemaah Islamiah. Kumpulan-kumpulan lain juga dipantau sepanjang masa, 24 jam setiap hari, setiap minggu, tidak kira masa dan ketika. Keganasan ini sama seperti jenayah, jika ia berlaku, ia tidak memilih sesiapa kerana ia tidak terbatas kepada hanya satu kaum atau satu agama semata-mata.

43. Kemajuan dalam teknologi siber juga menjadi ancaman yang nyata kepada keselamatan negara. Penjenayah siber menggodam sistem kerajaan dan bank, mencuri maklumat penting, termasuk identiti individu, maklumat kad kredit dan juga wang dalam akaun. Dalam tahun 2010 sahaja, pihak polis menyiasat sebanyak 3,279 kes jenayah melibatkan kerugian sebanyak RM 26.7 juta dan membawa kepada tangkapan seramai 4,276 orang penjenayah siber. Serangan terhadap kerajaan melalui berita palsu, hasutan, fitnah, dakyah dan manipulasi melalui ruang siber juga mampu menyebabkan kacau bilau dan gugatan keselamatan di dalam negara. Penggodam juga boleh menguasai sumber-sumber yang boleh mengancam keselamatan negara, selain memperolokkan sistem kita dengan potensi kemusnahan yang tidak terbayangkan.
44. Semua ini menunjukkan jenayah rentas sempadan adalah merupakan ancaman utama global pada masa kini. Lebih buruk lagi, sindiket jenayah yang beroperasi melangkaui sempadan negara sering mempunyai perkaitan dengan aktiviti-aktiviti seperti keganasan, penyeludupan dadah, pemerdagangan orang, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta jenayah siber. Ancaman-ancaman jenayah melangkaui sempadan ini boleh berlaku dalam pelbagai kaedah, bentuk dan samaran, menyebabkan kerajaan sukar mencegah dan membanteras jenayah-jenayah tersebut.

45. Perkaitan rapat di antara jenayah-jenayah ini menuntut Kerajaan menanganinya secara holistik, sistematik dan terancang. Saya berpandangan masanya sudah tiba untuk menubuhkan sebuah institusi di Langkawi bagi menangani jenayah melangkaui sempadan ini. Institusi yang dicadangkan ini akan menggunakan tapak sedia ada di Langkawi International Shooting Range (LISRAM) dan merupakan platform terbaik bagi menggabungkan kerjasama semua pihak di pelbagai peringkat bagi merangka dan merencana dasar, operasi, risikan dan kajian serta meruntuhkan sindrom “working in isolation” di kalangan agensi keselamatan dan penguatkuasaan. Enam bidang yang akan menjadi fokus institusi ini adalah Keganasan,
Pemerdagangan Manusia, Penyeludupan Dadah, Jenayah Siber, Penggubahan Wang Haram dan Pengurusan Krisis dan Risiko. Melalui pengetahuan dan set kemahiran baru dalam bidang-bidang ini, negara dapat dipersiapkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan berkaitan jenayah rentas sempadan sesuai dengan misi yang dicadangkan bagi institusi tersebut iaitu Prepare, Prevent and Response (Bersedia, Cegah dan Bertindakbalas).

46. Institut yang akan ditubuhkan ini bukan sahaja akan meningkatkan keupayaan kita memerangi jenayah rentas sempadan dengan lebih berkesan, malah bakal membuka ruang dan peluang yang luas untuk menjalin hubungan kerjasama di peringkat antarabangsa. Kesudian kerajaan United Kingdom untuk menandatangani MOU dengan Malaysia pada bulan Januari ini; Arab Saudi dan Vitenam pada bulan Mac; Belanda pada bulan Mei 2010; dan Australia yang sentiasa bertemu kita dari semasa ke semasa membuktikan keyakinan mereka terhadap kita.

v. Memerangi pengedaran dan penyalahgunaan dadah

47. Dadah merupakan musuh nombor satu negara. Kerajaan sedar usaha membanteras jenayah tidak mungkin dapat dilaksanakan secara berkesan tanpa usaha memerangi pengedaran dan penyalah gunaan dadah. Malaysia adalah sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan dadah dan mempunyai peruntukan undang-undang yang ketat untuk memerangi dadah. Ketegasan Malaysia dibuktikan melalui lima akta yang digubal bagi tujuan mencegah pengedaran dan penagihan dadah, iaitu Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998, Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.

48. Walaupun begitu terbukti bahawa mempunyai undang-undang yang ketat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Sama seperti keganasan dan jenayah, dadah juga tidak mengira warna kulit, agama, darjat, kedudukan dan sebagainya. Justeru kita perlu menentukan wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Pendekatan yang lebih segar diperlukan dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu dari aspek; i. Pencegahan ii. Pemulihan iii. Penguatkuat kuasaan undang-undang, dan iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.

49. Pada tahun 2011, KDN akan meneliti semula pernyataan dasar anti dadah negara yang sedia ada. Pernyataan dasar ini telah dirangka pada tahun 1996 dan kali terakhir ia disemak semula adalah pada tahun 2004. Sudah tiba masanya dasar anti dadah negara dan segala langkah memerangi pengedaran dan penyalah gunaan dadah dikaji semula.

50. Selain mencari jalan untuk meningkatkan keberkesanan program pencegahan dan pemulihan, KDN akan menggiatkan lagi penguatkuasaan terhadap pengedar dadah dan operator makmal dadah. Pada tahun 2010, jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar. Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM 658 juta. Pada tahun 2011, KDN akan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan dan tidak akan bertolak ansur sama sekali di dalam perang terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah ini.

51. Dalam tahun 2011, sebagai susulan kepada persefahaman yang dimaterai dengan kerajaan Republik Islam Iran, sebuah jawatankuasa kerja akan ditubuhkan dengan wakil Republik itu untuk bekerjasama membasmi penagihan dan pengedaran dadah di antara kedua-dua buah negara. Negara juga akan menandatangani satu lagi MOU, iaitu persefahaman untuk menubuhkan Pusat Koordinasi Maklumat Asia Pasifik bagi memerangi jenayah dadah di antara Pejabat Pendakwaraya Tertinggi Republik Korea dengan Agensi Anti Narkotik negara-negara anggota ASEAN.
vi. Meningkatkan Keberkesanan Program Pemulihan
52. Sekiranya sistem hukuman, penahanan dan pemulihan berkesan, maka peluang bagi seseorang melakukan jenayah berulang berkurangan, seterusnya ini akan mengurangkan kadar jenayah di dalam negara. Visi Jabatan Penjara adalah untuk menjadi sebuah institusi koreksional bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Sasaran Jabatan Penjara adalah untuk memastikan jumlah residivis, atau banduan yang berulang kali masuk ke penjara, tidak melebihi 17 peratus dari jumlah kemasukan setahun. Alhamdulillah, setakat ini Jabatan Penjara masih dapat mengekalkan kadar residivis di bawah paras 17 peratus (16.8 peratus).

53. Sebagai langkah kepada penyelesaian koreksional yang lebih holistik, beberapa pendekatan baru dan penambah baikan telah diperkenalkan oleh Jabatan Penjara secara pro-aktif. Pertama; dengan menambah baik program pengasingan banduan dan mengasingkan mereka mengikut umur, tahap dan jenis kesalahan. Kedua, melalui pengkategorian semula penjara. Pada tahun 2010, sebanyak 11 buah penjara terlibat dalam usaha ini dan pada tahun 2011, ia akan diperluaskan ke 17 penjara yang lain.

54. Bagi meningkatkan keberkesanan program pemulihan dan mengatasi kesesakan penjara, Jabatan Penjara telah melaksanakan pendekatan-pendekatan seperti Sistem Parol, Rumah Perantaraan (Half Way House) dan Pusat Kehadiran Wajib (Compulsary Attendance Center).

55. Insya-Allah dalam masa terdekat, untuk memantapkan lagi program pemulihan penghuni penjara, dalam tahun 2011, YAB Perdana Menteri akan mengumumkan pula program Pemasyarakatan Banduan melibatkan usaha sama Jabatan Penjara dan Kementerian Pertahanan Malaysia. Program pemasyarakatan yang melibatkan sokongan komuniti dan keluarga penghuni penjara dalam persekitaran di luar penjara dijangka mampu mempersiapkan penghuni penjara untuk diterima kembali ke dalam masyarakat dengan lebih cepat dan lebih berkesan lagi.

56. Seperti Jabatan Penjara, transformasi program rawatan dan pemulihan juga merupakan agenda utama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Kita sedar, selepas 27 tahun trend, metodologi dan teknologi terapi rawatan dan pemulihan penagihan dadah sudah banyak berubah. Melalui AADK, beberapa pendekatan baru yang diperkenalkan dalam tahun 2010 dan akan diperkemaskan lagi dalam tahun 2011. Pendekatan baru AADK ini adalah, pertama, dengan menjadikan program rawatan dan pemulihan lebih terbuka. Melalui Klinik Rawat dan Prihatin (Cure & Care) 1Malaysia, AADK telah membuka ruang kepada masyarakat untuk memilih perkhidmatan program rawatan dan pemulihan secara sukarela tanpa perlu melalui proses tangkapan dan perintah mahkamah. Pendekatan ini juga memberi peluang kepada kakitangan awam dan swasta mendapatkan perkhidmatan rawatan dan pemulihan tanpa perlu berhadapan dengan implikasi perlucutan jawatan atau dibuang kerja. Sepanjang tahun 2010 sebanyak enam buah Klinik Cure & Care 1Malaysia yang telah dibuka iaitu di Kuala Lumpur, Bukit Mertajam, Kota Bharu, Tampoi, Papar dan Kuching. Sehingga Bulan November 2010, seramai 974 orang mendapatkan perkhidmatan di Klinik C&C 1Malaysia. Memandangkan terdapat sambutan yang menggalakkan dari kalangan masayarakat, dalam tahun 2011 jumlah Klinik Cure & Care 1Malaysia akan ditambah di seluruh negara.

57. Kedua, bagi meningkatkan lagi kejayaan program rawatan dan pemulihan, AADK juga telah mengklasifikasikan PUSPEN kepada beberapa kategori iaitu PUSPEN Triage, bagi tujuan penilaian, PUSPEN ONE bagi penghuni yang mempunyai motivasi yang tinggi untuk dipulihkan dan PUSPEN Tegar untuk penghuni yang mempunyai motivasi yang rendah untuk dipulihkan.

58. Ketiga, menjadikan program pemulihan bersifat lebih inklusif dengan melibatkan penyertaan masyarakat melalui perkhidmatan di Pusat Khidmat AADK atau dikenali dengan Cure & Care Service Centre (CCSC) serta menubuhkan Rumah Komuniti. CCSC menyediakan perkhidmatan rawatan & pemulihan kepada kumpulan sasar disamping berfungsi sebagai pusat aktiviti harian, penempatan sementara, pendampingan (outreach), pencelahan (intervention), khidmat nasihat & rujukan. Rumah Komuniti pula akan berfungsi sebagai sebuah fasiliti pemulihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti setempat dan bertindak sebagai Pusat Singgah Masuk atau Pusat Khidmat Harian (drop in centre).

vii. Menggerakkan gelombang kesukarelaan

59. Ketika ini KDN termasuk semua jabatannya mempunyai sekitar 160,000 orang warga kerja. Dari jumlah itu, PDRM sahaja mempunyai kekuatan sekitar 120,000 orang. Kekuatan anggota imigresen pula adalah sekitar 11,000 orang. Untuk memastikan semua komitmen tahun baru 2011 terlaksana, kita memerlukan sebanyak mungkin bantuan di dalam dan di luar kementerian.

60. Jumlah anggota RELA sehingga 31 Oktober 2010 adalah seramai 2.04 juta orang. Jumlah ini adalah peningkatan lebih dari 350 peratus berbanding 556,000 orang anggota pada waktu saya mula-mula menjejakkan kaki ke kementerian ini. Jumlah anggota terlatih JPAM pula adalah sekitar 178,000 orang berbanding 63,670 orang semasa April 2009. Jumlah ini tidak termasuk sejumlah 73,400 orang kadet pertahanan awam dan 217,400 orang awam yang dilatih dengan ilmu pertahanan awam. Jumlah sukarelawan AADK pula adalah seramai 101,000 orang berbanding hanya 11,768 orang pada April 2009. Jika dihitung, jumlah keseluruhan sukarelawan yang boleh digerakkan oleh KDN adalah berjumlah 2.6 juta orang. Jumlah ini adalah satu jumlah yang besar dan boleh menyokong dan membantu tugas 160,000 warga kerja KDN. Menyedari akan kelebihan ini, pada tahun 2011, kita akan berusaha untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan yang lebih besar lagi di seluruh negara. Jumlah yang besar ini sudah pasti boleh digerakkan bukan sahaja untuk memantapkan pelaksanaan NKRA, tetapi juga untuk membantu KDN melaksanakan enam lagi komitmen tahun 2011.

61. Mengambil kira keanggotaan RELA yang sudah meningkat berkali-kali ganda, RELA memerlukan hala tuju baru dan pendekatan yang lebih sesuai dengan tren masa kini. Justeru, tahun 2011 akan menjadi tahun penjenamaan semula pasukan RELA. Dalam proses penjenamaan semula ini, anjakan yang ingin dilaksanakan akan meliputi 7 aspek iaitu; i. Imej Pasukan – iaitu untuk menjadikan RELA sebuah pasukan yang TERLATIH, BERINTEGRITI dan PROFESSIONAL; serta mempunyai wajah 1Malaysia – pelbagai keturunan, agama dan latar belakang ii. Peranan – YANG LEBIH MELUAS dalam aspek 4K (keselamatan, keamanan, keharmonian, kesejahteraan setempat), terutama dalam NKRA Mengurangkan Jenayah iii. Penyertaan – masyarakat BANDAR, GOLONGAN MUDA, GOLONGAN PROFESIONAL, GOLONGAN KORPORAT yang terdiri dari PELBAGAI KAUM dan AGAMA iv. Program – yang berasaskan TREND, MINAT, KEPAKARAN dan KEPERLUAN; serta setaraf dengan pasukan sukarelawan di peringkat antarabangsa. v. Kehadiran fizikal – Physical presence dirasai, temasuk melalui penonjolan ibu pejabat, pusat aktiviti, uniform, logo, bendera dan pelbagai lambang yang sinonim dengan pasukan RELA vi. Kebajikan Ahli – termasuk Insuran dan manfaat perubatan vii. Struktur Organisasi – yang bersesuaian dengan peranan yang perlu dilaksanakan di peringkat Pusat, Negeri dan Daerah dan yang bersesuaian bagi mengendalikan organisasi yang besar dengan lebih daripada 2 juta orang ahli

62. Jumlah keanggotaan RELA yang ramai boleh dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk menyokong pelaksanaan NKRA. Dalam gelombang pertama NKRA Mengurangkan Jenayah, seramai 3,663 anggota RELA terlibat sebagai anggota Sukarelawan Polis (PVR). Dengan jumlah keanggotaan melebihi 2 juta orang yang terdiri pula dari kalangan orang tempatan, pasukan RELA boleh digerakkan bagi meningkatkan lagi keberkesanan inisiatif yang dilaksanakan oleh PDRM seperti rondaan dan kawalan keselamatan setempat, program Rakan COP dan Community Policing; serta program Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional seperti Skim Rondaan Setempat Kawasan Rukun Tetangga (SRSKRT). Atas dasar itu, Program 1Platun, 1Kampung, 1Taman dan Briged Orang Asli dilancarkan secara rasminya pada 11 Disember 2010 dan dirangka untuk memanfaatkan acuan dan pengalaman di kawasan hot spots untuk disesuaikan operasinya di kawasan-kawasan bukan hot spots.

63. JPAM diakui mempunyai peranan yang penting dan utama dalam memberi perlindungan kepada penduduk awam di negara ini khususnya apabila negara dilanda krisis, bencana atau pun peperangan. Hari ini peranan JPAM disokong oleh 178,000 orang anggota sukarela di seluruh negara, termasuk 70 pasukan Civil Defence Emergency Response Team (CDERT) dengan kekuatan 2,015 anggota di kilang-kilang dan syarikat swasta. Tegasnya, hampir 98 peratus perkhidmatan JPAM, baik dalam perkhidmatan MERS999, Pasukan Penyelamat Pantai, operasi bencana dan khidmat kemanusiaan yang dilaksanakan JPAM adalah didukung oleh anggota sukarela. Selain itu, JPAM juga mempunyai lebih 73,400 orang pelatih dan lebih 217,400 orang awam yang didedahkan dengan ilmu pertahanan awam. Boleh dikatakan JPAM merupakan pasukan sukarelawan rakyat yang berada di barisan paling hadapan dalam menangani krisis, kecemasan dan bencana, baik bencana semula jadi mahupun akibat perbuatan manusia di dalam sesuatu lokaliti di negara ini.

64. Cabaran JPAM sekarang adalah untuk memastikan khidmat mereka ini benar-benar dirasai oleh rakyat dan mereka dijadikan penggerak paling utama dalam sebarang operasi menyelamat, kecemasan, krisis dan bencana. Dalam tahun 2011, selain dari membantu mencapai matlamat NKRA, saya ingin melihat JPAM meningkatkan peranan menjadi pasukan sukarelawan rakyat di barisan paling hadapan untuk menangani kecemasan dan bencana, bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga mempunyai peranan yang dihormati di peringkat antarabangsa.

65. AADK pula mempunyai 101,062 orang sukarelawan yang boleh membantu usaha pencegahan dan pemulihan penagih dadah. Pada tahun 2011, usaha perlu dibuat untuk menyusun semula sukarelawan-sukarelawan ini, melatih mereka dengan kemahiran tertentu, seterusnya mendedahkan mereka dengan program-program pencegahan, rawatan dan pemulihan, kaunseling serta pengawasan OKP. Perlu ada hala tuju yang jelas, struktur yang sesuai dan peruntukan yang mencukupi bagi menggerakkan gelombang kesukarelaan ini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

66. Sokongan semua bahagian penting bagi memastikan tujuh komitmen di atas dapat dilaksanakan dan bagi memastikan hal ehwal berkaitan Keselamatan Negara dapat ditangani secara menyeluruh.

67. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) akan membantu usaha untuk mempertingkatkan Keselamatan Negara melalui pemantauan pergerakan pertubuhan yang bergerak di Malaysia dengan menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966. Pemeriksaan secara berkala akan dilaksanakan bagi memastikan pertubuhan benar-benar menjalankan aktiviti selaras dengan tujuan dan objektif penubuhannya. JPPM juga akan menggalakkan setiap komuniti di dalam negara ini menubuhkan pertubuhan supaya melalui pertubuhan ini, maklumat dan hasrat rakyat dapat disalurkan secara tepat, sihat dan melalui saluran yang betul. Usaha juga akan dilakukan bagi menggalakkan pertubuhan-pertubuhan ini terlibat dalam aktiviti yang berunsur pencegahan jenayah bagi membantu pelaksanaan NKRA.

68. Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran (PQ) akan membantu memastikan keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini tidak tergugat akibat penyiaran dan penyebaran berita palsu, bahan berunsur hasutan dan bersifat lucah. Pada tahun 2011, bahagian ini akan mempertingkatkan aspek penguatkuasaan melalui program `1Negeri, 1Sasaran. Melalui program ini, setiap cawangan akan mempertingkatkan aktiviti naziran dan pemantauan di satu kawasan hotspot yang ditetapkan.

69. Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan (KF) pula akan melaksanakan dan menguatkuasakan Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620). Sehingga bulan November 2010, sebanyak 22,673 buah filem, merangkumi wayang gambar, cakera laser, stesen TV dan bahan publisiti filem ditapis. Sejumlah 3,616 operasi bagi membanteras penjualan VCD/DVD lucah telah dilaksanakan sehingga bulan November 2010, iaitu peningkatan sebanyak 13 peratus berbanding tahun 2009. Sebanyak 824 tangkapan dan 902,557 rampasan bernilai RM 7.2 juta dibuat. Sepanjang tahun 2010 juga, bahagian ini telah memperkenalkan program Pendidikan Pencegahan pada 10 Disember 2010 bagi mendidik masyarakat mengenai kesan-kesan buruk membeli, menonton dan mengedar VCD/DVD tidak bertapis.

70. Bagi kesemua bahagian ini, pemantauan amat penting agar kita memperolehi maklumat yang tepat mengenai perkara-perkara yang berpotensi menggugat keamanan negara dan keharmonian masyarakat. Namun begitu, seteliti mana sekalipun pemantauan dan laporan yang dibuat, keduanya tidak mempunyai makna tanpa penguatkuasaan yang tegas, tepat dan betul dari segi prosedur perundangan. Setiap satu tindakan penguatkuasaan perlu dibuat dengan teliti, berdasarkan laporan dan bukti yang kukuh, mengikut prosedur perundangan dan akhirnya perlu diperjelaskan dengan baik melalui pendekatan komunikasi yang betul.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

71. Sehingga akhir 2010, KDN telah berjaya menyiapkan sebanyak 2,367 buah projek pembangunan. Baki sebanyak 115 buah projek telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10). Sebanyak 277 perolehan bernilai RM 169.4 juta juga telah berjaya dilaksanakan melalui proses tender dan sebut harga. Di bawah RMKe-10, fokus utama KDN adalah bagi menyiapkan sebanyak 115 buah projek sambungan bernilai RM 1.2 bilion dan melaksanakan 47 buah projek baru bernilai RM 584 juta seperti yang diluluskan dalam pelan pelaksanaan pertama RMKe-10.

72. Belajar dari pengalaman Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), pelaksanaan dan penyampaian adalah amat penting. Tidak ada toleransi terhadap mereka yang tidak efektif dan effisien, tiada integriti, menyalah guna kuasa dan rasuah dalam melaksanakan RMKe-10. Saya akan meminta penjawat jawatan dan bahagian yang berisiko dipantau, bukan sahaja melalui KPI yang ditetapkan, tetapi juga melalui bantuan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

73. Tahun 2010 sedikit tercalar dengan beberapa insiden berkaitan integriti. Walaupun pepatah menyatakan bahawa dalam setandan pisang bukan semuanya busuk, tetapi nila yang setitik boleh mencemarkan susu sebelanga. Jangan kerana perbuatan segelintir habis semua terpalit lumpurnya. Menyedari hakikat ini, usaha meningkatkan integriti warga KDN dan kesemua jabatan merupakan salah satu agenda penting dalam tahun 2011. Bagi memulakan tahun baru 2011 ini, KDN akan melancarkan slogan anti rasuah iaitu “KHIDMAT TANPA RASUAH”. Sama-samalah kita berusaha meningkatkan integriti dan menggandakan produktiviti; mencari keberkatan, memberi “KHIDMAT TANPA RASUAH”.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

74. KDN merupakan benteng terakhir untuk memastikan survival kita. Kuasa yang ada mungkin menyebabkan ada kalanya kita rasa kesunyian dan bersendirian untuk membuat keputusan yang sukar, namun mahu tidak mahu seseorang mesti melakukannya. Buatlah keputusan itu dengan berani, hati yang bersih, jujur, ikhlas dan sebagai satu pasukan; sebagai satu keluarga. Saya akan sentiasa berada di sini untuk memberikan bimbingan untuk tuan-tuan dan puan-puan semua. Bagaimanapun selepas 20 bulan, sudah tiba masanya untuk setiap jabatan dan agensi dihak upayakan dan berdikari.

75. Ingatlah! Rakyat perlu merasa setiap perubahan yang kita bawa. Rakyat perlu nampak kesungguhan kita di dalam melaksanakan apa yang mereka perlukan tepat mengikut masa, tidak menyalah guna kuasa, tidak rasuah dan mengelakkan pembaziran. Lakukannya bukan untuk saya, tetapi lakukannya untuk rakyat, untuk anak-anak kita dan untuk negara kita. Lakukannya demi menjaga maruah agama dan kepercayaan kita. Lakukannya demi maruah anak-anak, ibu bapa dan keluarga kita.

76. Tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan harapan yang tinggi. Semoga Allah swt memberkati segala usaha kita ini dan mempermudahkan segala urusan kita demi masa depan agama, bangsa dan negara.

Sekian, terima kasih.

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya