#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

28 July 2011

PERUTUSAN YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK PERDANA MENTERI MALAYSIA SEMPENA PERINGATAN HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA (HADA) 2011


Assalamualaikum dan salam 1Malaysia

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah kurniaNya, kita semua rakyat Malaysia  dapat hidup dalam sebuah negara yang dirahmati dengan kemakmuran dan keamanan. Sebagaimana di seluruh dunia, Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa disambut di Negara Malaysia saban tahun bagi menyegarkan tekad dan keazaman kita untuk memerangi musuh nombor satu negara ini.

Walaupun sumber  besar telah diperuntukkan untuk menangani gejala ini dalam bentuk pendidikan pencegahan, pemulihan dan penguatkuasaan undang-undang serta hukuman mati mandatori yang  telah ditentukan bagi kesalahan pengedaran namun negara masih lagi berhadapan dengan masalah penyalahgunaan najis dadah yang serius.

Kita masih menyaksikan tunas-tunas negara iaitu golongan remaja dan belia  tumbang satu demi satu akibat gejala ini. Mereka yang sepatutnya mempunyai masa depan yang cerah yang penuh dengan harapan dan potensi menjadi mangsa dengan kesan  bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

Mutakhir ini fenomena penagihan dadah memasuki fasa yang  semakin  merbahaya dengan kewujudan dadah jenis sintetik di samping  dadah tradisional. Jika dahulu, dadah jenis tradisional  seperti ganja dan heroin mengancam keutuhan jatidiri nasional. Namun kini dadah sintetik pula seperti ecstasy serta syabu telah menghadapkan kita dengan cabaran baru. Saya bimbang jika haluan ini tidak dibendung, bangsa dan negara Malaysia akan menjadi rosak suatu hari nanti. Bukan sahaja Wawasan Nasional untuk menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi akan gagal malah kedudukan kita hari ini akan merosot dan menemui kehancuran.

Oleh yang demikian pengembelengan tenaga daripada pelbagai pihak tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik adalah langkah yang paling berkesan untuk mengelakkan terjebaknya rakyat Malaysia dari wabak ini disamping  memulihkan penagih sedia ada dan mengelakkan mereka kembali ke kancah penagihan atau relapse.

Melalui inisiatif crime lab Bidang Keberhasilan Utama Negara atau NKRA Mengurangkan Jenayah, kita  telah membuat anjakan paradigma bagi merintis satu pendekatan yang menekankan aspek pengurusan program pemulihan yang lebih sistematik, di mana perkhidmatan yang disediakan adalah direkabentuk berasaskan keperluan kumpulan sasar.

Kementerian Dalam Negeri melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan atau AADK  telah memperkenalkan satu inisiatif bersifat  konsep terbuka atau open concept yang dikenali sebagai Klinik Cure & Care 1Malaysia. Klinik ini memberi alternatif kepada pendekatan sedia ada dengan  rawatan serta pemulihan penagihan  bersifat sukarela. Kemasukkan dalam program ini tidak mempunyai sebarang prasyarat dan tidak melibatkan sebarang tindakan undang-undang. Sehingga 2 Jun 2011, seramai 5,183 penagih telah mendapatkan perkhidmatan secara sukarela di 7 buah Klinik Cure & Care 1Malaysia iaitu di Bukit Mertajam, Sungai Besi, Kota Bharu, Tampin, Tampoi, Kuching dan Papar di Sabah.

Bagi mengukuhkan inisiatif ini juga berasaskan prinsip sukarela sebanyak 27 buah Cure And Care Service Centre  atau CCSC  telah diwujudkan diseluruh negara bagi memastikan lebih banyak penagih akan  mempunyai peluang untuk keluar dari kitaran ganas pergantungan kepada dadah. Setakat ini lebih 190 000 penagih telah mendapatkan perkhidmatan di CCSC.

Selain itu kewujudan Caring Community House (CCH) atau Rumah Komuniti adalah merupakan inisiatif  bagi melibatkan masyarakat dalam usaha memulihkan penagih dadah. CCH adalah sebuah fasiliti pemulihan yang dikendalikan sepenuhnya oleh komuniti setempat dan bertindak sebagai Pusat Singgah Masuk atau Pusat Khidmat Harian (drop in centre) selain bertindak sebagai pusat penyebaran maklumat anti-dadah.

Alhamdulillah, semenjak inisiatif-inisiatif yang bersifat  Blue Ocean Strategy   ini diwujudkan ia telah menunjukkan kesan positif  dengan menyumbang kepada penurunan kadar jenayah terutama jenayah jalanan. Mengikut rekod, Jenayah Jalanan telah berkurang sebanyak 35 peratus, jauh lebih baik berbanding sasaran asal sebanyak 20 peratus.

Sesungguhnya usaha ini tidak mampu direalisasikan sekiranya ia tidak mendapat sokongan semua pihak. Justeru sempena Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini, saya menyeru kepada seluruh masyarakat Malaysia agar sama-sama berganding bahu memerangi masalah penyalahgunaan najis  dadah dalam negara. Kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab ini di bahu kerajaan semata-mata, ia masalah yang memerlukan iltizam serta peranan jitu semua pihak bagi mencapai penyelesaian.


Sekian, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

18 July 2011

Remaja lebih berisiko terjebak dadah

Kajian oleh NIDA menunjukkan bahawa remaja adalah lebih berisiko untuk terlibat dengan gejala penagihan dadah jika tingkahlaku yang menjurus kepada tabiat penagihan tidak dibendung sejak dari awal. 


Ini adalah kerana pada usia remaja, otak masih melalui tahap perkembangan yang pesat dan bahagian prefrontal cortex (kawasan yang berfungsi untuk membuat pertimbangan, rasional dan membuat keputusan) masih belum berkembang sepenuhnya (ia merupakan kawasan yang terakhir untuk berkembang sempurna). Oleh itu, remaja sangat terdedah untuk melakukan perkara / aktiviti berisiko dan sering bereksperimentasi dengan perkara baru. 
(sumber : Drug Abuse is a Preventable Behaviour, A Research Update from the National Institute on Drug Abuse (NIDA), March 2007)

sumber : http://fikrismartezian.blogspot.com/2011/05/remaja-dan-masa-depan-bangsa.html

Remaja mengalami perubahan yang ketara dari sudut biologi, psikologi dan sosial. Perubahan-perubahan biologi seperti peningkatan hormon boleh mendorong remaja untuk mencuba dan berekperimentasi perkara baru. Oleh itu, pencegahan penagihan dadah harus dimulakan awal iaitu diperingkat remaja.
(sumber: Dr Azlinda Azman, USM. Kursus Orientasi Kerja Sosial Kepada Pegawai Antidadah, 27 Julai 2011, AADK Putrajaya) 


Kajian-kajian membuktikan bahawa terdapat faktor risiko yang menyebabkan seseorang remaja boleh terlibat dengan penagihan dadah, juvenile deliquency dan gejala sosial yang lain.   Kesemua faktor ini berkisar di dalam setting keluarga, rakan sebaya, sekolah dan komuniti serta dalam diri mereka sendiri. Semakin tinggi tinggi faktor risiko wujud dalam setting tersebut, semakin tinggi kemungkinan mereka terlibat dalan masalah dadah dan gejala sosial. 


Faktor risiko individu adalah seperti berikut;
1. sejarah keluarga yang terlibat dengan dadah atau alkohol
2. hubungan dan institusi kekeluargaan yan lemah
3. tingkahlaku antisosial seperti agresif & tidak suka bergaul    
4. kegagalan dalam pelajaran
5. ponteng sekolah
6. tingkahlaku memberontak / tidak mahu mendengar kata
7. bercampur dengan rakan yang mengguna dadah 
8. pernah mengguna dadah pertama kali
9. sikap menyukai dadah atau bahan menghayalkan

zaman remaja sangat indah
sumber: http://www.inexcess.tv/?p=8569&paged=3

Manakala bagi faktor risiko yang disebabkan oleh persekitaran adalah seperti berikut;
1. ketinggalan dari pembangunan dan kemudahan ekonomi serta sosial
2. komuniti yang tiada semangat kejiranan 
3. komuniti yang tidak kisah serta membenarkan budaya penagihan dadah dan bahan menghayalkan
4. bekalan dadah dan bahan mudah didapati
(sumber: Hawkins, Catalano and associates, 1992, Communities That Care- Action for Drug abuse Prevention, Jossey-Bass Publishers, San Francisco, ms 8-9)

Indah di mata, cantik di hati



Baru-baru ini produk PUSPEN telah dipromosikan di Majlis Pelancaran Ibupejabat AADK dan SKUAD 1 Malaysia. Pelbagai produk telah dipamerkan hasil tangan dari klien yang sedang mengikuti rawatan dan pemulihan di PUSPEN di seluruh negara. Sungguh cantik dan berkualiti produk-produk yang telah dihasilkan. Ia membuktikan bahawa klien-klien sangat berbakat dan mempunyai hasil kreativiti yang tinggi serta boleh menjana pendapatan apabila mereka keluar dari PUSPEN kelak.


































Jika anda berminat untuk membuat tempahan, sila hubungi 

03-89112200 Samb ( Cawangan Vokasional)
Bahagian Rawatan, Perubatan dan Pemulihan
Ibupejabat Agensi Antidadah Kebangsaan
Bangi 
up: Zulhisham / Norakmal / Azwan


17 July 2011

UCAPAN YB. DATO’ SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA PERASMIAN IBU PEJABAT AADK DAN PELANCARAN SKUAD 1M

Tarikh: 4 Julai 2011
Masa : 12.00 tgh - 2: ptg
Tempat : AADK Ibupejabat Sungai Merab, Bangi


BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Assalamualaikum W.B.T Dan Salam Sejahtera.


1. Alhamdulillah, marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari yang cukup bermakna ini, kita semua dapat berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk membanteras masalah dadah di Malaysia. Pada hari ini juga, saya merasa amat gembira kerana begitu ramai pihak daripada pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, usia dan bangsa, hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis kita pada tengahari ini sebagai tanda sokongan padu dalam usaha membasmi dadah, musuh nombor satu negara.


Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,


2. 26 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 1987. Selepas 24 tahun, masalah ini masih belum selesai dan masih merupakan suatu ancaman yang membimbangkan masyarakat dunia. United Nation Office on Drug and Crime (UNODC) di dalam laporannya menganggarkan terdapat sekitar 210 juta orang menggunakan dadah terlarang setiap tahun dan dari jumlah itu, 200,000 orang berada di ambang kematian setiap tahun. Hari ini, penyalah gunaan dan penyeludupan dadah bukan hanya ancaman terhadap kesihatan, tetapi telah menjadi ancaman yang besar terhadap kestabilan global dan pembangunan sosio-ekonomi yang merentasi dunia.


3. Di Malaysia, ancaman ini juga amat nyata. Perang terhadap dadah telah dimulakan di negara ini sejak sebelum merdeka lagi. Dunia mengenali Malaysia sebagai sebuah negara yang tidak bertoleransi dengan penagihan dan pengedaran dadah. Kerajaan Malaysia telah menunjukkan kesungguhan politik yang tinggi untuk mengadakan peruntukan undang-undang yag ketat dan hukuman yang amat berat untuk memerangi dadah. Lima akta telah digubal sejak tahun 1952 lagi bagi tujuan mencegah pengedaran, penagihan dadah dan usaha-usaha pemulihan penagih dadah seperti Akta Dadah Berbahaya 1952, Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan) 1998. Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985, Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 dan Akta Racun 1952.


4. Ketegasan dalam menguatkuasakan undang-undang ini dapat dilihat melalui jumlah tangkapan yang dibuat oleh pihak polis. Sepanjang tahun lepas (2010), jumlah tangkapan berkaitan kesalahan dadah adalah seramai 146,942; 137,241 melibatkan penagih dan 9,701 melibatkan pengedar. Sejumlah 31 buah makmal telah ditumpaskan sepanjang tempoh 2009 hingga 2010 melibatkan rampasan dadah bernilai RM226.75 juta. Nilai keseluruhan rampasan dadah yang direkodkan sepanjang tahun 2009 dan 2010 adalah sebanyak RM 658 juta. Ketegasan ini akan diteruskan dan kerajaan tidak akan berkompromi sama sekali dalam perang terhadap penyeludupan dan pengedaran dadah. Komitmen kerajaan jelas, apabila aspek penyeludupan dadah adalah salah satu dari jenayah merentasi sempadan utama yang akan kita perangi menerusi Malaysian Academy on Transnational Organised Crime (MATOC) dan pelbagai kerjasama di peringkat antarabangsa.


5. Hari ini, di Malaysia pendekatan perang terhadap penyalah gunaan dan pengedaran dadah sudah sampai ke suatu persimpangan; persimpangan di antara ketegasan hukuman masa lampau dan transformasi holistik pembasmian permasalahan dadah. Tanpa sebarang keraguan, terbukti bahawa undang-undang yang ketat dan tegas amat membantu negara ini dalam mengatasi penagihan dan pengedaran dadah, namun undang-undang yang ketat dan hukuman yang berat semata-mata masih tidak cukup untuk menakutkan pengedar dadah dan belum dapat menginsafkan masyarakat tentang bahaya dadah. Kita amat memerlukan wawasan, hala tuju, strategi, pendekatan dan iltizam baru dalam memerangi ancaman dadah. Kita memerlukan pendekatan yang segar dalam empat aspek utama usaha memerangi dadah, iaitu;


i. Pencegahan
ii. Pemulihan
iii. Penguatkuat kuasaan undang-undang, dan
iv. Kerjasama di peringkat antarabangsa.


6. Asas kepada transformasi ini telah saya nyatakan di dalam Perutusan Tahun Baru KDN Tahun 2011 dan komitmen KDN dalam hal ini amat jelas. Peranan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam perang ke atas penyalah gunaan dan pengedaran dadah ini terkandung dalam LIMA dari TUJUH komitmen baru 2011 KDN, termasuklah menjadikan ia salah satu dari jenayah merentasi sempadan utama yang perlu diperangi dan melaksanakan pembasmian permasalahan dadah melalui gelombang kesukarelaan di dalam masyarakat.


7. Jelasnya komitmen-komitmen yang telah kita nyatakan ini amat selari dengan kempen dan tema UNODC sempena Hari Anti-Dadah Antarabangsa 2011 iaitu “Global Action for Healthy Communities without Drugs”. Seperti yang disebut oleh Pengarah Eksekutif UNODC, Yury Fedotov, iaitu “prevention starts with a community that cares about the vulnerable and it involves families, teachers, youth leaders and mentors, among other. We must start to think globally and act locally to curb drug abuse and drug trafficking. ” Ini yang telah kita laksanakan di Malaysia sejak tahun lepas lagi.


8. Hasil dari komitmen ini, maka tidak hairan bahawa negara kita telah menerima begitu banyak pengiktirafan dari luar, baik daripada badan dunia seperti UNODC, UNAIDS dan World Health Organisation (WHO) serta pihak ketiga yang lain seperti AlJazeera dan NGO-NGO dari luar Negara yang terlibat dengan pembasmian masalah dadah. WHO misalnya, memberikan penghargaan dan pujian terhadap pendekatan `Pulih dan Prihatin’ Malaysia dalam Laporan ‘Good Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response To Drug & HIV/AIDS” yang dikeluarkan pada wal tahun ini.


9. Pengiktirafan ini memang kena pada tempatnya kerana saya sendiri telah turun untuk meninjau perkhidmatan di Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin (CCSC) di Chow Kit. Walaupun baru dibuka dalam bulan Februari, dilaporkan sehingga 30 Jun yang lepas sahaja, seramai 8,041 orang telah mendapatkan perkhidmatan di CCSC Chow Kit. Manakala melalui program outreach yang dilaksanakan oleh para sukarelawan, pusat ini telah berjaya menarik 794 orang penagih untuk mengikuti program rawatan dan pemulihan secara sukarela di pusat khidmat berkenaan. Pada waktu yang sama, atas semangat prihatin, sukarelawan di pusat ini juga turut berjaya membantu mendapatkan pekerjaan untuk 37 orang daripada mereka.


10. Ia merupakan suatu fenomena yang memberangsangkan dan saya amat gembira apabila melihat semangat sukarelawan yang begitu tinggi di sana. Saya percaya ia memerlukan lebih dari sekadar minat dan pengetahuan untuk menjadi seorang sukarelawan anti dadah. Ia memerlukan minat, semangat, keprihatinan dan kesabaran. Ia memerlukan suatu motivasi yang tidak bersifat material, tetapi kepuasan bahawa setiap yang menjadi mangsa penagihan adalah penting dan ‘we can make a difference’.


Tuan-tuan dan puan yang saya hormati sekalian,


11. Hari ini, di bawah AADK sahaja kita mempunyai lebih daripada 150,000 sukarelawan. 147,034 daripadanya di dalam Rakan Anti Dadah (RADA), 5,837 orang di dalam Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH), 1,639 orang di dalam Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD) dan bakinya di dalam Persatuan Alumni AADK (PENDAMAI), Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) dan Ahli Lembaga Pelawat.


12. Di luar AADK pula terdapat pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran dan kemudahan dalam rawatan dan pemulihan dadah dan NGO-NGO yang sudi menghulurkan tangan biarpun tidak mempunyai kepakaran dan kemudahan rawatan dan pemulihan. Ini tidak termasuk komuniti di kalangan penduduk sesuatu kawasan, pemimpin masyarakat setempat dan individu-individu yang turut membantu di atas sifat kemanusiaan dan keprihatinan. Kita perlu mendampingi setiap mereka ini dan kita perlu membawa mereka untuk bersama-sama menangani dan membasmi permasalahan dadah.


13. Hari ini, sempena majlis pada tengahari ini, marilah kita sama-sama duduk sebagai satu pasukan yang dinamakan sebagai Sukarelawan Anti-Dadah (SKUAD) 1Malaysia. Mudah-mudahan melalui gabungan seperti ini, kita akan dapat bersama-sama bergerak dalam satu barisan sebagai satu pasukan untuk bersama memerangi penyalah gunaan dan pengedaran dadah. Mudah-mudahan juga, kita semua dapat bekerja sebagai satu pasukan untuk memastikan mangsa penagihan dapat dirawat dan dipulihkan secara lebih berkesan seterusnya membantu mereka kembali diterima ke dalam masyarakat. Saya berharap mulai hari ini, melalui gelombang yang dimulakan ini, AADK akan dapat menggerakkan satu gelombang yang lebih besar menjelang akhir tahun nanti; dan gelombang inilah yang akan kita manfaatkan sepenuhnya untuk membawa kebaikan kepada negara dan bangsa; menjadikan negara bebas dari masalah penagihan dadah.


14. Sekalung tahniah sekali lagi kepada YBhg. Puan Sri Dato’ Zuraidah di atas transformasi yang sedang dilaksanakan. Pengiktirafan yang diterima dari pelbagai pihak ini menunjukkan ada sesuatu yang betul sedang dilaksanakan oleh AADK. Tahniah juga kepada semua warga AADK kerana telah mempunyai bangunan ibu pejabat baru di Sungai Merab ini. Dua blok bangunan setinggi lima tingkat (Blok A) dan tiga tingkat (Blok B) menjadi mercu tanda AADK dalam usaha membasmi masalah penagihan dadah dalam negara. Dengan berdiri megahnya bangunan ibu pejabat baru ini, AADK diharapkan akan terus berusaha melaksanakan inovasi dalam rawatan dan pemulihan disamping perlaksanaan program pencegahan dadah yang lebih mantap dan berkesan kepada seluruh rakyat Malaysia.


15. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Ibu Pejabat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan mengumumkan penubuhan gabungan Sukarelawan Antidadah 1Malaysia atau dengan nama singkatannya SKUAD 1MALAYSIA.


Sekian,
Wabillahi Taufi Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T.

13 July 2011

Siapa SKUAD 1Malaysia?

Logo SKUAD 1Malaysia

Gabungan Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia) diwujudkan sejajar dengan saranan YB Menteri Dalam Negeri sempena perutusan beliau pada awal tahun 2011 agar semua agensi dan jabatan di bawah Kementerian dalam negeri menggerakkan gelombang kesukarelaan. 

Matlamat utama penubuhan SKUAD 1 Malaysia adalah supaya semua sukarelawan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya dalam menangani masalah dan ancaman dadah.

Gabungan SKUAD 1Malaysia terdiri daripada Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat, rakan Antidadah (RADA), Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH), persatuan Alumni Agensi Antidadah Kebangsaan (PENDAMAI) dan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). 

Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD)
Majlis Dadah Kebangsaan (MDK) dalam mesyuarat pada 19 September 2000 telah bersetuju dengan cadangan AADK untuk mewujudkan Jawatankuasa Pemulihan Dadah Peringkat Derah (JKPD) yang dianggotai oleh Badan Kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO's). Salah satu objektif utama JKPD ialah bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam membantu penagih/bekas penagih dadah supaya tidak kembali menagih khususnya  dalam mengintegrasikan semula mereka ke dalam masyarakat, merancang, menyelaras dan melaksanakan program/aktiviti untuk bekas-bekas penagih. 


Rakan Antidadah (RADA)
Rakan Antidadah (RADA) diwujudkan bagi memberi peluang bagi golongan belia yang berumur 15 tahun ke atas yang berminat dan secara sukarela ingin membantu AADK di dalam program pendidikan pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan serta penguatkuasaan.Ahli RADA berperanan sebagai mata dan telinga dalam membantu pihak kerajaan membanteras masalah dadah. RADA telah dilancarkan pada 28 November 2008 di Taman Tasik Titiwangsa oleh YB Timbalan Menteri Dalam Negeri,  Dato’Chor Chee Heung.


Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH)
Program MAWADAH merupakan program pencegahan yang disasarkan kepada golongan wanita. Program ini diwujudkan bertujuan  bagi menggalakkan penglibatan wanita secara aktif dalam program pencegahan dadah dan meningkatkan pengetahuan dan kefahaman kepada kaum wanita tentang peranan mereka dalam mendidik keluarga dan masyarakat supaya menentang pengaruh gejala dadah.Pelancaran MAWADAH telah dirasmikan di Terengganu pada Februari 2009 oleh YB Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Syed Hamid Albar.

Persatuan Alumni AADK  (PENDAMAI)
PENDAMAI merupakan persatuan bekas-bekas penagih dadah yang telah ditubuhkan pada bulan September 2002 dan telah dirasmikan pelancarannya oleh YB Dato’ Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri bertempat di Dataran Shah Alam.  PENDAMAI telah ditubuhkan di setiap negeri dan persatuan ini telah diterima sebagai satu badan NGO yang mampu memberi sumbangan dalam menangani masalah dadah di negara ini. Peranan utama PENDAMAI ialah menjadi Rakan Kerja kepada AADK dan agensi-agensi, NGO peringkat negeri dan antarabangsa dan menjadi Rakan Kepulihan kepada semua bekas penagih dan penagih-penagih dadah.


Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS)
PRS ditubuhkan bagi membolehkan bekas-bekas penagih dadah berpersatuan dan merancang serta terlibat secara aktif sebagai pembimbing bagi membantu rakan-rakan yang senasib dengan mereka untuk mengekalkan kepulihan secara total.


Ahli Lembaga Pelawat
Keahlian Lembaga Pelawat adalah mengikut Kaedah-kaedah Pusat Pemulihan Dadah 1983. Peranan utama ahli Lembaga Pelawat ialah menjaga kebajikan penghuni-penghuni PUSPEN. Ahli Lembaga Pelawat boleh membuat syor-syor penambahbaikkan kepada Ketua Pengarah AADK mengenai apa-apa perkara berhubungan dengan pusat. Ahli Lembaga Pelawat juga bertanggungjawab membuat lawatan ke pusat sekurang-kurangnya 2 bulan sekali.



Jika anda berminat untuk menjadi ahli SKUAD 1Malaysia, sila hubungi kami di talian 03-89112200 sambungan 2407 / 2406 untuk maklumat lanjut.

SKUAD 1Malaysia


Majlis Pelancaran SKUAD 1Malaysia telah dilaksanakan pada 4 Julai 2011 yang lalu bertempat di Ibupejabat AADK di Sungai Merab, Bangi. Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato' Seri Hishammuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri.


Majlis ini telah dihadiri oleh lebih 1,000 orang jemputan yang terdiri daripada ahli-ahli SKUAD dari seluruh negara, wakil-wakil jabatan dan NGO yang telah banyak bekerjasama dengan AADK dalam bidang pencegahan, rawatan & pemulihan serta penguatkuasaan dadah. Di samping itu, program ini juga telah mendapat liputan yang meluas dari pihak media cetak dan elektronik. Majlis ini juga telah dilancarkan secara life ke seluruh dunia. 


Sesi sidang media selepas Majlis Pelancaran 

Aktiviti abseiling dari tingkat lima bangunan Ibupejabat AADK merupakan acara kemuncak majlis ini. Segmen yang paling mendebarkan ini menunjukkan 4 orang pegawai AADK   yang membawa logo SKUAD 1Malaysia menuruni bangunan  AADK dan seterusnya menyerahkan logo kepada 6 orang wakil ahli skuad adalah merupakan satu simbol bagi menggerakkan gelombang kesukarelaan ke seluruh negara.

Topi SKUAD 1Malaysia




Gambar-gambar  sesi abseling sewaktu Majlis Pelancaran


bom asap berwarna diletupkan
ahli SKUAD membuat abseiling

JPAM telah bersedia membantu para abseiler


aksi spiderman pun ada.. sungguh mendebarkan

selamat menuruni bangunan

6 orang wakil SKUAD sedang menanti untuk acara gimik

wajah-wajah SKUAD 1Malaysia yang hadir










Jika anda berminat untuk menyertai SKUAD 1Malaysia, sila hubungi 03-89112200 sambungan 2407 / 2406 untuk maklumat lanjut.

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya