#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

28 February 2012

Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012



SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin

Mengapa perlu memperingati Hari Antidadah Kebangsaan?
Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab mereka mengenai ancaman bahaya dadah terhadap keamanan, kesejahteraan dan keselamatan sosio-politik serta ekonomi negara. Hari ini memperingatkan kita mengenai peristiwa bersejarah pengisytiharan dadah sebagai musuh nombor satu negara pada 19 Februari 1983 oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad.

Pengisytiharan tersebut dibuat memandangkan bahawa:
i.    Penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya;
ii.  Sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan; dan
iii.   Penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan mengancam keselamatan negara.

United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) telah menetapkan tema Sambutan Hari Antidadah mulai tahun 2011 iaitu Healthy Communities Without Drugs. Tema ini diperkenalkan sebagai menghargai penglibatan ahli komuniti terutamanya reamaja dan belia dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan di dalam komuniti. Ini adalah sejajar dengan seruan kempen tersebut iaitu ”we all can play a role in promoting health in our communities”.

Program kesukarelaan.
Dalam konteks pencegahan dadah di Malaysia, peranan remaja dan belia dalam membantu kerajaan untuk memerangi masalah dadah tidak boleh dinafikan. Pelbagai program antidadah telah dilaksanakan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran remaja dan belia. Matlamat program-program tersebut diadakan adalah untuk membantu mereka mempunyai jati diri yang tinggi untuk menolak gejala dadah.

Program berbentuk kesukarelaan telah pun dilaksanakan sejak tahun 2008 dengan pembentukan program Rakan Antidadah (RADA). Pada tahun 2011, salah satu komitmen YB Menteri Dalam Negeri adalah menggerakkan Gelombang Kesukarelaan. Komitmen ini turut dilaksanakan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan dengan pengwujudan SKUAD 1Malaysia. SKUAD 1Malaysia merupakan gabungan semua sukarelawan antidadah di bawah satu payung iaitu Jawatankuasa Rawatan dan Pemulihan Dadah (JKPD), Ahli Lembaga Pelawat, rakan Antidadah (RADA), Masyarakat Wanita Antidadah (MAWADAH), Persatuan Alumni Agensi Antidadah Kebangsaan (PENDAMAI) dan Persatuan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS). Matlamat utama penubuhan SKUAD 1Malaysia adalah supaya semua sukarelawan bergerak sebagai satu pasukan yang membantu pihak kerajaan khususnya dalam menangani masalah dan ancaman dadah.

Objektif.
-       Menimbulkan kesedaran kepada semua lapisan masyarakat terutamanya kepada  golongan remaja dan belia mengenai kesan dadah terhadap kesihatan dan kesejahteraan.
-       Menggerakkan SKUAD 1Malaysia dan ahli komuniti dalam memerangi masalah dadah dalam komuniti mereka.
-       Menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan terkini kerajaan dalam bidang rawatan dan pemulihan penagihan dadah.

SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin.
Sesuai dengan perkembangan gelombang kesukarelaan ini, Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012 telah menetapkan tema pada tahun ini sebagai SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin. Langkah ini diambil bagi menghargai sumbangan dan peranan semua sukarelawan antidadah dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan di dalam komuniti. Ini juga adalah selaras dengan konsep Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Secara tidak langsung, perkhidmatan yang diberikan oleh ahli-ahli skuad juga mestilah boleh dirasai oleh rakyat, mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Cabaran Menanti.
Dalam kita menggerakkan SKUAD 1Malaysia, matlamat utama yang hendak dicapai adalah untuk mewujudkan komuniti bebas dadah. Perkara ini tidak mustahil untuk dicapai jika ahli sukarelawan antidadah dan semua lapisan masyarakat bersatu dan bergerak dengan satu langkah dan tujuan iaitu dengan cara membantu klien (pengguna dan penagih dadah) dan ahli keluarga mereka menghadapi masalah dadah, menyampaikan maklumat dan kesedaran mengenai bahaya dadah kepada kesihatan dan memberikan sokongan emosi kepada mereka yang menjadi mangsa bencana alam atau kemalangan. 


Ayuh sertai SKUAD 1Malaysia. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-89112406 / 2415. Atau  emel ke pencegahan@adk.gov.my.

"SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin"



**Artikel ini merupakan hak milik nodrugplease.blogspot.com. Semua bahagian dalam artikel ini tidak boleh diterbitkan semula, disimpan dalam cara yang boleh dipergunakan lagi, ataupun dipindahkan dalam sebarang bentuk atau sebarang cara,kecuali dengan kebenaran bertulis Agensi Antidadah Kebangsaan.

27 February 2012

Teks Ucapan YB Dato' Seri Hishamuddin bin Tun Hussein Sempena Pelancaran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012 di Sembrong, Kluang pada 26 Februari 2012




BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM

Yang Berhormat
Timbalan-Timbalan Menteri Dalam Negeri

Yang Dihormati Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia
Puan Sri Dato’ Zuraidah Hj. Mohamed
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan

Setiausaha-Setiausaha Bahagian
Kementerian Dalam Negeri

Ketua-Ketua Jabatan,

Pemimpin-pemimpin masyarakat kawasan Parlimen Sembrong

Rakan-rakan NGO dan pihak swasta

Para Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia)

Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Assalamualaikum W.B.T dan Salam 1 Malaysia.
  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk menangani masalah dadah di Malaysia.  Saya merasa amat gembira kerana begitu ramai hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira kaum, usia dan bangsa hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis kita pada hari ini.
  
Para hadirin Sekalian,

  1. Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada YBhg. Puan Sri Dato’ Zuraidah, Ketua Pengarah AADK dan seluruh warga AADK yang telah bertungkus lumus melaksanakan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan Tahun 2012 di bumi Sembrong.  Terima kasih dan tahniah juga kepada semua ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Sembrong, rakan-rakan NGO, pihak swasta, wakil-wakil Jabatan Kerajaan, tuan-tuan dan puan-puan yang turut memberikan kerjasama dan bantuan di dalam menjayakan program ini.

  1. Tema Sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan tahun ini adalah SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin. SKUAD 1Malaysia atau Sukarelawan Anti Dadah 1Malaysia merupakan sebuah platform yang menempatkan semua sukarelawan anti dadah, baik yang diseliakan di bawah KDN, mahupun yang berada di luar KDN, di bawah satu bumbung. Melalui platform SKUAD 1Malaysia, semua aktiviti pendidikan dan kesedaran, membasmi penyalah gunaan dan pengedaran najis dadah, serta rawatan dan pemulihan dapat diselaras dan disenergikan bagi memastikan masyarakat di dalam negara kita dapat hidup sejahtera tanpa dadah. Matlamat menggerakkan civil society atau sukarelawan komuniti bagi membentuk sebuah masyarakat yang sejahtera tanpa dadah ini amat bertepatan dengan tema dan pendekatan United Nation on Drugs and Crimes (UNODC) iaitu Healthy Communities Without Drugs. Berpandukan tema ini, UNODC menyarankan agar setiap ahli masyarakat terutamanya golongan belia mengambil peranan dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dalam komuniti.

  1. Saya merasa amat bertuah kerana kawasan Parlimen Sembrong dipilih untuk menjadi tapak untuk menggerakkan SKUAD 1Malaysia yang telah saya lancarkan pada Julai 2011 yang lalu.  Bermula di sini gerakan untuk mempertingkatkan semangat kesukarelaan dan memperkasa peranan SKUAD 1Malaysia Sukarelawan Prihatin akan direalisasikan. 

  1. Suka untuk saya nyatakan di sini bahawa kesukarelaan adalah aktiviti murni yang dijayakan oleh masyarakat di seluruh dunia. Ia melepasi sempadan budaya, agama dan status serta konsepnya adalah kesedaran untuk membantu orang lain supaya kehidupan lebih sejahtera. Semangat kesukarelaan inilah yang perlu diterapkan kepada semua masyarakat sama ada di bandar ataupun di desa bagi mencapai misi negara bebas dadah.

  1. SKUAD 1Malaysia bukan hanya berperanan untuk memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah malah sebagai agen penggerak masyarakat untuk turut sama menangani masalah dadah melalui aktiviti home visit, program bersemuka, temu seru (outreach), khidmat nasihat dan bimbingan selain aktiviti sukan dan rekreasi.


Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

  1. Sempena sambutan peringatan hari Anti Dadah Kebangsaan Tahun 2012 ini, saya suka untuk mengumumkan beberapa perkara. Pertamanya, atas kesedaran bahawa DADAH MERUPAKAN MUSUH NO 1 negara dan di atas kesedaran bahawa musuh ini perlu diperangi sehabis-habisnya oleh semua rakyat Malaysia, maka hari ini saya suka untuk mengumumkan kolaborasi pasukan sukarelawan yang dibawah seliaan KDN untuk turut serta membantu usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan, serta memerangi penyalah gunaan dan pengedaran dadah ini.

  1. Selain RELA, KDN amat bertuah kerana mempunyai beberapa pasukan sukarelawan seperti PVR, JPAM dan Sukarelawan Anti Dadah (Skuad) 1Malaysia yang mempunyai keanggotaan yang besar dan peranan yang signifikan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan negara. Terbaru adalah Sukarelawan Koreksional yang ditubuhkan oleh Jabatan Penjara.

  1. RELA mempunyai 2.87 juta orang sukarelawan. JPAM pula mempunyai 394,000 orang sukarelawan terlatih di seluruh negara, tidak termasuk 44,000 org anggota kadet di peringkat sekolah menengah; dan sejumlah 291,948 orang awam yang dilatih dengan kesedaran dan kemahiran bagi menghadapi kecemasan dan bencana setempat. Manakala AADK, di bawah SKUAD 1Malaysia yang ditubuhkan secara rasmi pada 4 Julai 2011 mempunyai ahli baru seramai hampir 252,000 orang.

  1. Hari ini, pasukan RELA dan JPAM, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan Koreksional Jabatan Penjara akan mempunyai pasukan khas yang akan turut sama membantu usaha dan gerak kerja SKUAD 1Malaysia. Pasukan khas di bawah RELA, JPAM, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan Koreksional Penjara ini akan digerakkan untuk membantu usaha pendidikan dan pencegahan, rawatan dan pemulihan serta penguat kuasaan  AADK atau menjadi sukarelawan anti dadah berdasarkan kepakaran masing-masing.

  1. Kita akan memulakan gerakan kesukarelaan bagi aktiviti pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan penyalah gunaan dadah, terutama dari aspek pengesanan kepada pengguna, penyalahguna dan penagih dadah. Melalui gerakan ini, kita akan dapat mengesan mereka yang ingin menjalani rawatan dan pemulihan secara sukarela melalui program outreaching dan pengesanan kepada mereka yang enggan menjalani program rawatan dan pemulihan secara sukarela dengan mengadakan operasi bersama dengan Sukarelawan Polis, RELA, JPAM, Sukarelawan Koreksional dan NGO-NGO lain di luar sana.

  1. Kedua, saya ingin mengumumkan bahawa Persatuan Rakan Sebaya yang dulunya dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah berjaya didaftarkan sebagai sebuah persatuan. Syabas diucapkan! Semoga perkhidmatan yang diberikan akan lebih efisyen dalam membantu membimbing mereka yang menghadapi masalah dadah ke arah kepulihan.

  1. Ketiga, selepas 16 tahun AADK memperjuangkan isu elaun insentif khas petugas di institusi rawatan dan pemulihan AADK, maka pada hari ini dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan berita baik, bahawa kerajaan telahpun meluluskan Elaun Insentif Khas bagi semua pegawai petugas AADK di institusi rawatan dan pemulihan AADK. Melalui kemurahan hati kerajaan Barisan Nasional ini, saya berharap, pegawai-pegawai anti dadah akan berusaha dengan lebih komited dan lebih bersemangat lagi bagi menangani masalah dadah di dalam negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Atas semangat kolaborasi yang sama, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk membawa seramai mungkin golongan muda untuk bersama-sama menggerakkan gelombang kesukarelaan yang telah saya mulakan dua tahun lepas. Saya percaya semangat kesukarelaan amat perlu dipupuk sejak peringkat usia muda lagi.

  1. Melalui semangat kesukarelaan ini, saya yakin kita akan dapat membentuk keperibadian mulia generasi masa hadapan negara yang prihatin, penyayang, bertanggung jawab, patriotik dan sanggup menyumbang tenaga, masa dan wang ringgit demi kebaikan masyarakat.

  1. Melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan yang dianjurkan, golongan muda ini juga akan mendapat pendedahan dan kemahiran dalam bidang-bidang yang diceburi agar mereka bukan sahaja dapat menjadi sukarelawan yang terlatih dan berkemahiran, malah dapat membimbing mereka menjadi pemimpin yang dapat menganjurkan pelbagai program kesukarelaan bagi membantu seramai mungkin rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik atau yang ditimpa bencana.

  1. Hari ini, jumlah golongan muda berumur 16-25 tahun di dalam Rela adalah seramai 872,000 orang (872,728). Manakala golongan muda berumur 18-29 tahun di dalam JPAM pula adalah seramai 294,000 (294,829 orang). Jika dijumlahkan, jumlah golongan muda di dalam RELA dan JPAM sudah menghampiri 1.1 juta orang. Ini belum termasuk golongan muda di dalam SKUAD 1Malaysia AADK, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan Koreksional.

  1. Jumlah 1.1 juta orang golongan muda ini adalah satu jumlah yang besar dan sudah tentu wajar digerakkan sebagai salah satu elemen penting dalam gelombang kesukarelaan kita. Insyaallah, dalam masa terdekat ini, 1.1 juta sukarelawan muda di bawah KDN ini, baik sukarelawan muda RELA, sukarelawan muda JPAM, sukarelawan muda Skuad 1Malaysia AADK dan Sukarelawan Koreksional Jabatan Penjara akan diberikan peranan baru dan hala tuju yang lebih segar. Mereka juga akan diberikan kemahiran yang sesuai dan didedahkan melalui pelbagai program kesukarelaan di seluruh negara.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga kerja AADK, ahli SKUAD 1Malaysia, rakan NGO, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat terutama PDRM, RELA, JPAM, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan semua pemimpin masyarakat setempat kerana bertungkus lumus menjayakan majlis kita pada hari ini.

  1. Jutaan terima kasih juga kepada hadirin sekalian, Dato’-dato’, tuan-tuan dan puan-puan yang telah sama-sama menjaya dan memeriahkan program sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan bagi tahun 2012.

Sekian,

Wabillahi Taufi Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T

26 February 2012

Pelancaran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaa 2012


Tema sambutan tahun ini adalah SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin




Sambutan warga Sembrong di Majlis Pelancaran Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan hari ini memang sungguh menggalakkan. Pengunjung dari pelbagai lapisan usia telah membanjiri Padang Awam Taman Sri Lambak, Kluang, Johor sejak dari pagi lagi. 

Program telah dimulakan dengan acara senamrobik, pameran-pameran dari jabatan kerajaan dan swasta, pertandingan futsal, gubahan bunga dan barang hantaran, memasak, mewarna dan wall climbing. Seterusnya pengunjung telah disajikan dengan persembahan dari Band C & C, AADK Idol dan Cindy Lim serta Aisyah.

Sambutan luar dugaan terhadap pameran SKUAD 1Malaysia kerana kaunter SKUAD telah dikerumuni pengunjung yang mahu mendaftar menjadi ahli SKUAD. 

Bumi Sembrong bergegar dengan laungan SKUAD 1 Malaysia... YB Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Yang Mulia Datin Seri Tengku Marshilla juga turut meluangkan masa dengan masyarakat di sini, tidak kira yang muda, atau yang tua.. semuanya bersemangat untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan sehingga jadi tsunami.. itu ikrar warga Sembrong pagi ini...

 SKUAD 1Malaysia.. semuanya bermula di bumi Sembrong!!!

SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin...

Tahniah warga Sembrong... dan jumpa lagi.. 






21 February 2012

CCSC Kuala Terengganu

Cure & Care Service Centre Kuala Terengganu telah diwujudkan dengan kerjasama padu dari ahli-ahli SKUAD 1Malaysia.  Pelbagai kemudahan disediakan untuk membantu orang ramai, ahli keluarga dan klien untuk menghadapi masalah ketagihan dadah di sekitar daerah Kuala Terengganu..

tawaran kerja kosong untuk makluman klien...

kata-kata perangsang untuk klien 

hasil kreativiti residen CCSC Kuala Terengganu

Sudut maklumat disediakan..

CCSC Kuala Terengganu menyediakan fasiliti seperti tempat tinggal untuk klien yang mempunyai masalah dadah 

Kemas dan bersih..

sesuai untuk klien yang mempunyai masalah kehidupan terutamanya yang  mengguna dan menagih dadah di Sekitar Kuala Terengganu

Wajah-wajah orang kuat SKUAD 1 Malaysia yang banyak membantu CCSC ini..

En Hafiz, Ketua pegawai daerah Kuala Terengganu yang memang prihatin sedang memberikan taklimat kepada tetamu

Tahniah semua..


We Care, We Serve..
Kami Prihatin, Kami Sedia Membantu

20 February 2012

CCH Gong Baru Bukti Komuniti Perihatin


Lawatan istimewa Yg Bhg Puan Sri Dato' Zuraidah bt Hj Mohamed ke Caring Community House (CCH) Gong Baru baru-baru ini telah meninggalkan kenangan manis kepada seluruh warga jawatankuasa CCH. Tuan Hj  Zakaria Hanafiah atau Pak Su selaku Pengerusi Jawatankuasa CCH telah menyatakan penghargaan di atas kesudian YBhg Puan Sri Dato' di atas lawatan tersebut.

Tidak dinafikan CCH Gong Baru sungguh mendamaikan. Pemandangan yang segar menyambut ketibaan para tetamu. Terdapat sebuah tali air yang bersih di hadapan CCH ini dan seterusnya menjadikan ia tempat yang paling cantik dan sesuai dengan aktiviti memancing atau sukan air.

Acara lawatan telah diserikan dengan sesi lintas langsung dari Terengganu FM bersama DJ Kak Cik. Banyak aktiviti bersama masyarakat telah dijalankan di rumah komuniti ini seperti sukan dan riadah, pencegahan dan perkongsian ilmu. Sesungguhnya CCH Gong Baru merupakan bukti komuniti prihatin.... Tahniah semua yang telah terlibat!!!


bukti CCH yang aktif

carta organisasi dan aktiviti harian..

Antara yang dah berbudi pada CCH ini..

erm..  ungkapan keramat..  kerukunan rahmat terunggul.. 



Ruangan galeri di rumah komuniti 

Ahli jawatankuasa CCH yang aktif merakamkan kenangan indah  bersama  Yb Bhg Pn  SrI Dato' Ketua Pengarah dan  Pengarah AADK Terengganu

Acara melepaskan ikan-ikan ke sungai

Kelebihan di CCH ini.. ada sungai untuk aktiviti memancing oleh komuniti setempat.. dengar khabarnya peserta memancing sampai mencecah 2,000 orang

indahnya... macam-macam ikan ada ..

Bersedia untuk menandatangani plak

Acara menandatngani plak

Kata-kata amanat oleh Yg Bhg Pn Sri Dato' Ketua Pengarah dihayati oleh tetamu yang hadir

We Care, We Serve

15 February 2012

Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012



ORANG RAMAI DIJEMPUT HADIR BAGI MEMERIAHKAN SAMBUTAN PERINGATAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN YANG AKAN DIADAKAN PADA 26 FEBRUARI 2012 (AHAD) BERMULA JAM 7.30 PAGI HINGGA 2.00 PETANG

MAJLIS TERSEBUT AKAN DIRASMIKAN OLEH YB. DATO' SERI HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN, MENTERI DALAM NEGERI DI PADANG AWAM, TAMAN SRI LAMBAK, T6, KLUANG, JOHOR. 

PELBAGAI AKTIVITI MENARIK DIADAKAN SEPERTI PERTANDINGAN FUTSAL, ACARA MEMASAK, SUKAN EXTREME, AUTOSHOWS & PAMERAN. GOODIES MENANTI BAGI 100 ORANG PERTAMA YANG MENDAFTAR SEBAGAI AHLI SKUAD 1MALAYSIA!!!
JUMPA DI SANA!!!!

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya