#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 August 2012

TEKS UCAPAN YBHG. DATO’ ABDUL RAHIM BIN MOHD RADZI KETUA SETIAUSAHA KEMENTERIAN DALAM NEGERI SEMPENA PERASMIAN MAJLIS PERINGATAN HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA (HADA) 2012


BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM

Yang Berbahagia
Puan Sri Dato’ Zuraidah binti Hj. Mohamed
Ketua Pengarah
Agensi Antidadah Kebangsaan

Yang Berusaha Timbalan -Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri

Setiausaha-Setiausaha Bahagian
Kementerian Dalam Negeri

Ketua-Ketua Jabatan
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Dalam Negeri
Pegawai-Pegawai Kanan Agensi Antidadah Kebangsaan

Ahli-ahli SKUAD 1Malaysia,

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian..

Assalamualaikum W.B.T Dan Salam Sejahtera.
1.           Alhamdulillah, marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari yang indah ini, kita semua dapat berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk membanteras masalah dadah di Malaysia.  Pada hari ini juga, saya merasa amat gembira melihatkan sokongan dan penglibatan begitu ramai ahli sukarelawan antidadah SKUAD 1Malaysia terutama dari golongan remaja dan belia yang hadir bagi memeriahkan majlis pada pagi ini.
 
2.          Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Puan Sri Dato’ Zuraidah, Ketua Pengarah AADK kerana sudi menjemput saya ke hari yang signifikan dalam usaha membasmi dadah iaitu sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA) 2012 pada kali ini. Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga kerja AADK dari peringkat atasan sehingga ke peringkat akar umbi kerana bertungkus lumus menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.

3.           3.  Saya juga turut ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada   semua ahli SKUAD 1Malaysia atas penglibatan aktif sempena Sambutan Hari Belia di Putrajaya pada bulan Mei yang lalu dan Perhimpunan SKUAD Muda KDN yang telah diadakan di MAEPS, Serdang pada 10 Jun yang lepas. Jelas sekali SKUAD 1Malaysia yang diterajui oleh AADK merupakan gelombang sukarelawan sejati kerana mereka ikhlas dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang sukarelawan walaupun tanpa mendapat apa-apa bayaran. Saya sangat berbangga dengan penglibatan sukarelawan antidadah (SKUAD 1Malaysia) yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang profesional dan mempunyai kemahiran dalam lapangan masing-masing seperti peguam, kaunselor, pensyarah, ahli agama, pegawai perubatan dan ahli perniagaan yang bersama-sama membantu ke arah matlamat menjadikan negara bebas dadah. Sekali lagi, tahniah diucapkan. SKUAD 1Malaysia, anda sememangnya sukarelawan prihatin!

Para hadirin Sekalian,

4.           Sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini bertemakan “Sukarelawan Prihatin” iaitu merupakan kesinambungan dengan sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan yang telah diadakan pada bulan Februari 2012 lalu di Sembrong. Tema ini juga adalah selari dengan tema yang ditetapkan oleh United Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) iaitu “Global Action for Healthy Communities without Drugs” yang bertujuan untuk menyeru seluruh rakyat bangkit bersama-sama melahirkan komuniti yang sihat melalui gerakan kesukarelaan antidadah. Selain itu, tema Sukarelawan Prihatin ini juga dipilih bagi menghargai usaha dan sumbangan para sukarelawan antidadah yang banyak membantu kerajaan dalam melaksanakan program pencegahan dan rawatan dan pemulihan dadah. Saya berharap dengan lebih ramai ahli yang mendaftar sebagai sukarelawan antidadah, ramai yang akan lebih prihatin dengan klien, ahli keluarga serta ahli masyarakat yang mempunyai permasalahan dadah. Apabila lebih ramai yang prihatin dengan masalah dadah, maka matlamat Negara Bebas Dadah pada tahun 2015 akan dapat dicapai.

5.           Tahniah kepada AADK kerana telah menyahut cabaran menggerakkan gelombang kesukarelaan sebagaimana komitmen ketujuh KDN dalam perutusan tahun baru YB Menteri Dalam Negeri pada 2011. Sehingga kini keahlian SKUAD 1Malaysia adalah seramai 252,128 dan penglibatan tidak terhad kepada kaum Melayu sahaja. Penglibatan kaum lain di dalam keahlian SKUAD 1Malaysia yang berumur 18 hingga 25 tahun adalah sangat menggalakkan. Kaum Cina seramai 7,544 orang (8.7%), kaum India seramai 3,559 orang (4%) dan lain-lain kaum seramai 4,502 orang (4.2%).

Hadirin sekalian,
6.           Kementerian Dalam Negeri merupakan lead ministry dalam aspek kesukarelaan di negara ini. Berdasarkan misi ini,  SKUAD Muda KDN telah diwujudkan dan dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya baru-baru ini. Skuad Muda KDN disertai oleh sukarelawan antidadah (SKUAD 1Malaysia), JPAM, RELA dan SUKSIS (PDRM). Penubuhan Skuad Muda KDN ini adalah sejajar dengan penubuhan 1Malaysia For Youth (1M4U) yang akan dilancarkan sedikit masa lagi.  

7.           Gelombang kesukarelaan dibawah Skuad Muda KDN jelas satu gelombang yang besar, ini dapat dilihat semasa perhimpunan Skuad Muda KDN bersama YB Dato’ Seri Hishamuddin bin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri pada 10 Jun 2012 yang lalu yang telah berjaya mengumpulkan 15,000 sukarelawan Skuad Muda KDN  dari seluruh negara dan yang lebih membanggakan, pencapaian keahlian SKUAD 1Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun sehingga hari ini adalah 86% daripada jumlah keseluruhan KPI yang ditetapkan iaitu 100,000 orang ahli SKUAD 1Malaysia di dalam keahlian SKUAD Muda KDN.

8.           SKUAD 1Malaysia yang merupakan ahli Skuad Muda KDN yang berumur 18 hingga 25 tahun adalah seramai 85,876 orang. Peranan dan penglibatan sukarelawan antidadah dalam kalangan remaja dan belia perlu diberi fokus kerana golongan ini berisiko tinggi untuk terjebak dengan permasalahan penagihan dadah. Oleh itu, saya menyeru SKUAD 1Malaysia yang juga ahli Skuad Muda KDN supaya anda proaktif dalam usaha mencegah penularan penyalahgunaan dadah. Anda sukarelawan prihatin dan anda pasti boleh melakukannya!

Tuan-tuan dan puan-puan,
9.           Seperti yang kita semua sedia maklum, masalah penyalahgunaan dadah merupakan masalah global yang perlu diatasi bersama oleh semua peringkat. Berdasarkan laporan World Drug Report tahun 2011 menganggarkan terdapat sekitar 180 juta  hingga 210 juta orang berusia 15 hingga 64 tahun atau 3.4% hingga 6.4% daripada populasi penduduk di dunia menggunakan dadah terlarang setiap tahun. Dari jumlah berkenaan 200,000 orang berada di ambang kematian setiap tahun. Hari ini, penyalahgunaan dan penyeludupan dadah bukan hanya ancaman terhadap kesihatan, tetapi telah menjadi ancaman yang besar terhadap kestabilan global dan pembangunan sosio-ekonomi yang merentasi dunia.
10.       Ancaman dadah merupakan masalah yang serius dihadapi bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Trend dan pola penyalahgunaan dadah juga semakin kompleks dan telah berubah dari penggunaan dadah jenis tradisi seperti heroin, morphine, candu dan ganja kepada dadah jenis sintetik atau ‘designer drug’ yang dilihat lebih banyak mempengaruhi golongan remaja dan belia.

11.       Berdasarkan statistik Bionadi tahun 2011, jumlah penagih tertinggi adalah pada usia remaja hingga belia iaitu antara umur 18 hingga 39 tahun iaitu seramai 8,760 orang daripada 11,194 orang (78%) daripada keseluruhan penagih yang dikesan pada tahun berkenaan. Jelas sekali golongan yang perlu diberikan tumpuan merupakan golongan remaja dan belia atau lebih mudah golongan muda. Ini menunjukkan kepada kita bahawa golongan yang terlibat dengan dadah adalah dalam kalangan mereka yang berada di usia produktif dan sepatutnya boleh menyumbang kepada pembangunan negara.


Hadirin sekalian,
12.       Jika diperhatikan di media-media massa, hampir setiap hari dipaparkan pelbagai isu membabitkan golongan remaja dan belia antaranya seperti gejala rempit, seks bebas, buang bayi, pergaduhan, lari dari rumah serta pengedaran dan penagihan dadah. Selain itu, kes-kes jenayah seperti ragut, rompak malahan pembunuhan sering dikaitkan dengan remaja atau belia yang terlibat dengan masalah dadah. Golongan belia yang sepatutnya menjadi tunggak negara pada masa hadapan dilihat rebah satu demi satu akibat gejala dadah.

13.       Penghakisan budaya dan norma ketimuran, ditokok pula dengan kesan-kesan sosial lain yang tercetus daripada gelombang globalisasi seperti budaya mengutamakan keseronokan, hubungan seks bebas, pengambilan alkohol, pegangan agama yang longgar dan sebagainya memburukkan lagi situasi sedia ada. Walaupun hanya sekumpulan kecil sahaja yang terlibat dalam isu sosial ini namun pengaruhnya cukup kuat kepada belia kerana aspek-aspek keseronokan akan membuatkan mereka sukar membuat pertimbangan dan penilaian matang. Kesan gelombang globalisasi ini akan membinasakan keharmonian dan keamanan negara kita dalam tempoh satu atau dua generasi jika langkah bijak dan tegas tidak dilakukan untuk memastikan belia Malaysia sentiasa bebas dari dadah.

14.       Analisis Laporan Dadah 2011 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan bahawa Pengaruh Kawan (44.51%) merupakan faktor utama yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan gejala dadah, diikuti faktor Perasaan Ingin Tahu (20.31%) dan faktor Untuk Keseronokan(13.13%). Oleh itu, adalah perlu untuk kita bersama-sama golongan muda pada hari untuk kita bimbing dan pandu mereka ke arah masa hadapan yang lebih baik. Golongan muda perlu dibawa bersama menggerakkan usaha-usaha kerajaan terutama dalam membebaskan negara dari masalah dadah.

15.       Corak penagihan dadah pada masa kini juga telah melalui perubahan yang amat ketara sekali. Jika dahulu, pengguna atau penagih-penagih dadah dijumpai di bawah jambatan, di lorong-lorong jalan, di port-port dan dalam kusut masai, kurus, cengkung dan tidak terurus tetapi pada hari ini penagih terdiri daripada golongan pelajar universiti, professional, pegawai, berpakaian kemas dan kelihatan sihat pada mata kasar. Namun tanpa kita sedari mereka ini merupakan seorang pengguna dadah dan kemungkinan ada diantara mereka ini merupakan salah seorang dari ahli keluarga kita sendiri. Oleh itu, setiap dari kita perlu lebih sensitif dan peka dengan perubahan dan perkembangan ahli keluarga dan rakan sekeliling kita supaya masalah ini dapat dibendung sebelum ianya menjadi lebih parah.

          Para hadirin Sekalian,

16.       Aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh AADK sepanjang berlangsungnya HADA pada hari ini sememangnya bertepatan dan menjurus kepada minat dan kesukaan remaja dan belia masa kini. Pada pandangan saya, ini patut dijadikan platform terbaik untuk kita memulakan usaha menjauhkan remaja dan belia daripada dadah dengan penglibatan aktiviti yang sihat dan positif sesuai dengan minat mereka.

17.       Harapan saya, AADK dapat meneruskan program dan aktiviti yang bersesuaian dengan golongan muda dan para sukarelawan remaja dan belia seperti aktiviti yang disediakan pada hari ini. Dengan kejayaan untuk menarik golongan ini bersama dengan kita, maka dapatlah kita membentuk mereka ke arah kehidupan yang lebih positif dan jauh dari gejala penagihan dan masalah sosial yang lain. Selain program secara fizikal, penggunaan dunia maya menggunakan media baru seperti facebook dan twitter merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan kita dengan golongan remaja dan belia. Mesej menggunakan media baru sangat efektif dalam dalam mempengaruhi minda remaja dan belia selain berkesan dalam menyampaikan maklumat dan berita. KDN sentiasa membuka ruang untuk berkomunikasi dan mendapat maklumbalas melalui facebook dan twitter dengan anda semua.

18.       Sesungguhnya SKUAD 1Malaysia mestilah bersatu padu dan mengekalkan keamanan di dalam negara ini. SKUAD 1Malaysia semestinya menolak semua bentuk keganasan dan demonstrasi jalanan yang boleh merosakkan bangsa dan negara dalam jangka masa panjang. Justeru saya menyeru supaya semua ahli SKUAD 1Malaysia supaya bersatu untuk menjadikan negara kita bebas dari keganasan ancaman dadah. Dengan kerjasama dan penglibatan semua remaja dan belia, matlamat We Want Peace yang dilaungkan oleh anda pasti akan dapat dicapai.

19.       Bagi menghargai jasa anda semua sukarelawan KDN saya dengan sukacitanya ingin mencadangkan agar sukarelawan Skuad Muda KDN termasuk SKUAD 1Malaysia diberi elaun sepertimana elaun yang diperolehi oleh sukarelawan RELA dan JPAM. Kertas cadangan akan disediakan dan dibentangkan di dalam kabinet untuk kelulusan. Adalah diharapkan cadangan ini akan mendapat perhatian dari pihak kerajaan dan seterusnya menjadi pemangkin kepada gerakan sukarelawan terutamanya dalam kalangan sukarelawan SKUAD Muda KDN.

Para hadirin Sekalian,

20.       Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga kerja AADK  kerana bertungkus lumus menjayakan majlis kita pada hari ini. Jutaan terima kasih juga kepada hadirin sekalian tuan/puan para sukarelawan yang selama ini membantu kerajaan khususnya Agensi Antidadah Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri demi merealisasikan hasrat kerajaan dalam membasmi penagihan dadah dalam kalangan rakyat negara ini supaya kita dapat merealisasikan hari esok lebih baik daripada hari ini. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa 2012.

Sekian,
Wabillahi Taufi Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T.









Think Health, not Drugs
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.......

No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya