#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Lelaki di Bawah Jambatan

TEMPAT KETIGA : KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS SITI NURZULAIKHA BINTI ADAM
ALAMAT NO 26, LORONG 22, TAMAN SERI MAHKOTA,
JALAN GAMBANG, 25150 KUANTAN, PAHANG.
TAJUK CERPEN : LELAKI BAWAH JAMBATAN


Di bawah jambatan simen capuk itu, terbaring sepi seorang
lelaki empat puluhan. Sejak tiga tahun yang lalu, susuk tubuhnya yang
kurus-kering itu sudah tidak asing lagi di sekitar Sungai Klang. Keadaannya
cukup naif, cukup jelek, dan cukup menyayat hati. Bajunya cobak-cabik,
seluarnya seperti kain buruk yang disarungkan pada buah nangka;
turut compang-camping. Rambutnya kusut-masai serta jambangnya tidak
terbela. Kusut dan terbiar. Bau badannya sudah tidak tertanggung oleh
deria hidu manusia. Entah bila kali terakhir dia menyucikan diri. Mungkin
sejak tiga tahun yang lalu. Sejak dia jatuh cinta pada serbuk halus putih
berdebu; yang telah meragut segala kesempurnaan hidup yang dia miliki.
Dia hilang segalanya. Rumah, kereta, isteri, anak-anak
dan kerjaya. Malahan orang tuanya sendiri tidak mengenalinya kini.
Semuanya mulai hilang sedikit demi sedikit. Dan kini, tiada apa lagi yang
dimilikinya, melainkan sehelai baju buruk serta kepingan-kepingan kotak
coklat yang menjadi tilamnya saban malam di bawah jambatan simen
itu. Demi serbuk putih itu, lelaki itu sanggup menggadaikan apa sahaja
yang dia miliki asalkan dia merasa puas. Pernah dia menggadaikan jam
tangan berjenama Rolex semata-mata untuk mendapatkan stok bagi
menghilangkan ketagihannya. Semua perbuatan jahatnya tidak dihidu
oleh isteri dan keluarga, sehinggalah dia tertangkap dalam satu ops cegah
dadah di ibu kota Kuala Lumpur.
Jangan terkejut kalau diceritakan bahawa lelaki itu bukan
calang-calang orang. Bukan pemandu lori, bukan posmen, bukan peladang
dan bukan juga pekerja kilang. Ternyata, dia adalah seorang juruterbang
pesawat atau lebih mudah dipanggil ‘pilot’. Ya, ‘pilot’. Malahan ibu
dan bapanya juga bukan orang sembarangan. Ayahnya imam dan ibunya
ustazah di kampung kelahirannya, Banting. Mana mungkin, seorang
yang terpelajar dan terhormat sebegitu, kini menjadi seperti anjing
kurap, terkais-kais mencari sisa makanan di tong-tong sampah bagi
menampung perut. Namun kerana serbuk putih itu, segalanya mungkin.
Kini tidak ada apa lagi yang tinggal pada bekas pilot itu.
Jika dahulu, dia megah dengan seragam dan topinya, sekarang sabun
mandian dan ubat gigi pun tidak dapat dibezakan olehnya lagi. Semasa
dia ditangkap, dia sedang asyik menghisap dadah. Bayangkan sahaja
bagaimana perasaan isteri, anak-anaknya yang masih kecil serta ibu
bapanya saat dikhabarkan mengenai penangkapannya. Lelaki itu telah
menconteng arang pada muka seluruh insan dalam keluarganya. Maruah
keluarga Sang Imam itu tercalar hebat akibat kedurjanaannya.
Lelaki itu ditahan di salah sebuah pusat serenti. Dengan
izin Allah, perkembangan kesihatannya cukup positif dan pesat. Dalam
tempoh satu tahun sahaja, dia benar-benar telah boleh hidup tanpa
serbuk putih itu. Mungkin kerana dia orang terpelajar dan terhormat,
jadi tahap motivasi dan kesedaran dalam dirinya adalah tinggi. Seisi
keluarganya tidak henti-henti memberi sokongan dan dorongan sejak dia
mula memasuki pusat serenti itu.
Lelaki itu bebas. namun dia telah kehilangan pekerjaan
hebatnya sebagai seorang pilot. Dan dia sendiri malu untuk menetap
di Kuala Lumpur lagi, lalu dia memutuskan untuk bekerja sementara
di salah sebuah kilang elektronik di Banting, sebelum menemukan
pekerjaan yang benar-benar sesuai dengan kelayakan ijazah luar
negaranya. Dia, isteri, serta anak-anaknya tinggal bersama kedua orang
tuanya di kampung tersebut.
Masyarakat setempat mulai berhenti mencerca lelaki
tersebut, malahan banyak program-program antidadah yang dijalankan
dengan menjemput lelaki itu sebagai ahli panel atau penceramah khas.
Keadaan hidup lelaki itu bertambah baik. Hari demi hari, sedikit demi
sedikit. Tiada lagi rasa malu dan kecewa. Lelaki itu mula bekerja keras
untuk mendapatkan wang bagi menyara hidupnya sekeluarga. Sudah tentu
dia tidak ingin menyusahkan kedua ibu bapanya, di samping mendekatkan
diri dengan Tuhan sepanjang masa.
Namun sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan
di tengah hari. Syaitan mana yang telah berjaya menghasutnya untuk
menyentuh serbuk putih itu kembali. Rupanya, di kilang tempat dia
bekerja, dadah dijual seperti gula-gula; ada penggemarnya, ada pelbagai
rasa serta pelbagai harga. Dia kandas dan akhirnya tumpas; lagi buat kali
kedua. Selepas berhempas-pulas jatuh dari langit, kini dia terbenam pula
ke dasar perut bumi yang paling dalam. Malahan kali ini, lebih tragis dan
gila berbanding sebelumnya.

baca kisah selanjutnya di sini : http://wecareweserve.org/cerpenmng/03_HU-Umum-No%2003-R1.pdf


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan..
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.



Cerpen AADK : Suamiku Penagih

NAIB JUARA : KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS NURHADI BIN SAADON
ALAMAT NO. 45, JALAN SI 8, TAMAN SAUJANA INDAH,
75450 BUKIT KATIL, MELAKA
TAJUK CERPEN : SUAMIKU PENAGIH


Ramai yang beranggapan dan memberikan tanggapan yang
sangat negatif apabila suami seorang penagih dadah dan keluar masuk
penjara atau pusat pemulihan, maka hidup isteri dan anak-anak akan
menjadi tidak ketentuan. Masyarakat juga manusia yang biasa seperti kita
juga yang mempunyai pelbagai pendapat serta pandangan peribadi yang
tersendiri.
Pada pandangan sesetengah masyarakat si isteri pasti akan
merana, anak-anak pula menjadi liar, tidak tentu hala tuju hidup dan
menjadi sepertimana yang telah terjadi pada keluarga mereka. Apakah
senario ini saja yang berlaku dalam kehidupan isteri dan anak seorang
penagih? Atau mereka juga boleh berjaya seperti keluarga cemerlang
yang lain? Mereka juga mempunyai keinginan sepertimana yang kita
inginkan untuk menempuh kehidupan dunia yang sementara ini.
Golongan seperti mereka ini pasti akan berjaya sekiranya
mereka menganggap bahawa Allah sentiasa ada di sisi hamba-Nya. Allah
tidak akan menguji hamba-Nya sekiranya kita tidak mampu untuk
mengatasisegala ujian yang diberikan.
Kisah ini memaparkan bagaimana pengorbanan dan luahan
hati saya sebagai seorang isteri penagih yang terpaksa mengharungi hidup
membesarkan anak-anak tanpa suami yang sering keluar masuk penjara
dan pusat pemulihan kerana menagih.
Semoga pengorbanan saya menjadi teladan buat para isteri
yang kemungkinan sedang menghadapi masalah yang sama. Sekiranya
kuat pegangan agama kita, maka kuatlah kita untuk melalui pelbagai ujian
dan dugaan di dunia. Saya percaya kebanyakan agama lain selain Agama
Islam juga ada cara tersendiri untuk membimbing penganut mereka
daripada membuat keburukan

Inilah realiti hidup saya sebagai isteri seorang penagih dadah.
Terlalu perit untuk melalui hidup, apalagi jika kedua-dua pihak keluarga
mengenali suami dengan segala kebaikan. Segala yang buruk tentang
suami tidak terlahir dengan kata-kata kerana tidak mahu rahsia keburukan
suami terbongkar dan diketahui keluarga.
Selama 20 tahun bergelar isteri, kehidupan saya tidaklah
sesusah mana dan tidaklah sesenang mana, tetapi saya amat gembira
dengan kehidupan yang saya lalui, memiliki suami yang penyayang.
Tidak pernah suami menunjukkan penampilan yang dirinya
seorang penagih dadah, dia sentiasa membuat saya ketawa walau
hubungan saya dengan ipar tidak sebaik mana. Mungkin kerana mereka
takut saya ini akan membebankan hidup mereka kerana abang mereka
penagih.
Bagi saya adanya suami di sisi memberi saya kekuatan untuk
saya tempuhi hari mendatang tanpa keluarga di sisi.
Di awal perkahwinan, saya dikejutkan dengan berita sedih.
Seorang pak cik datang ke rumah menyampaikan berita penangkapan
suami saya ketika kandungan sulung saya mencecah usia lapan bulan.
Saban hari air mata adalah teman setia, untuk mengadu dengan keluarga
saya tidak berdaya. Setiap malam saya mengambil wudu’, menunaikan
solat sunat, berdoa saya saya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk
melalui ujian ini. Saya kumpulkan kekuatan untuk pergi ke Balai Polis
berjumpa suami di lokap. Saya minta izin suami untuk pulang ke rumah
ibu bapa saya di Kuala Lumpur kerana saya mahu meminjam wang untuk
menjamin suami.

Kepada mereka saya kuatkan diri untuk mengatakan bahawa
suami saya terlantar sakit di hospital dan memerlukan wang sebanyak ini
untuk menjalani pembedahan.
Syukur Alhamdulillah, ayah memberi wang yang saya mahu
tanpa banyak bertanya soalan. Setelah dua minggu di rumah keluarga,
saya pulang ke rumah dalam keadaan saya sarat mengandung. Saya tidak
terus pulang ke rumah tetapi terus ke balai polis untuk bertemu suami
di lokap dan menjaminnya.
Pasti ramai yang tertanya-tanya sebab apa saya sanggup
bersusah payah menjamin suami, sanggup berbohong dengan keluarga
demi mendapatkan wang jaminan suami. Ini kerana saya mahu melahirkan
anak sulung saya di sisi suami. Saya tidak mahu keseorangan. Bagi saya
sejahat mana pun suami saya, dia tetap suami saya, syurga saya di bawah
tapak kakinya. Selagimana dia tidak menyuruh saya membuat perkara
yang dilarang oleh Allah, selagi itu saya akan taat padanya.
Dari anak sulung hinggalah anak ke lima, suami selalu keluar
masuk penjara. Setiap kali saya dirundung pilu, saya akan memeluk
anak-anak saya, pada mereka saya tumpahkan air mata sedih. Anak-anak
saya adalah sumber kekuatan saya pada saat itu.
Apabila anak-anak tanya kenapa saya menangis, jawab saya
kerana ayah ditangkap polis sebab membawa lori secara berbahaya
(ketika itu suami bekerja sebagai pemandu lori).
Saya tidak pernah membebankan anak-anak dengan masalah
saya dan tidak pernah menceritakan pada anak-anak tabiat buruk ayah
mereka.

Saya mahu anak-anak menghormati ayah mereka, walau
siapa pun ayah mereka, saya tidak mahu memutuskan kasih sayang
anak-anak dengan ayah mereka, apa lagi ayah mereka tidak pernah
mengkasari mereka malah selalu memberi tunjuk ajar yang baik walau dia
sendiri terjebak dengan penagihan dadah.
Terlalu sukar menasihati suami yang selalu leka dengan
dunianya, tetapi saya tidak pernah marah atau bergaduh di hadapan
anak-anak. Saya selalu memberi anak-anak kata-kata perangsang supaya
mereka berjaya dalam pelajaran.
Hari-hari berlalu dalam sekelip mata, kini anak-anak saya
telah dewasa, yang sulung berusia 20 tahun, sedang menjalani pengajian
ijazah pertama dalam jurusan perakaunan di sebuah IPTA terkemuka di
Malaysia. Dari peperiksaan UPSR (5A), PMR (8A) dan SPM (10A1),
kini kedukaan dan keperitan saya terubat dengan setiap gred penilaian
CGPA yang selalu diperolehnya iaitu 3.90-3.96, setiap kali peperiksaan
semester.
Anak kedua saya melanjutkan pengajiannya di kolej IPTS
Shah Alam. Anak saya ini memang tidak pernah berminat dengan bidang
akademik, jadi saya masukkan dia ke bidang kemahiran yang diminatinya.
Anak ketiga saya berada di tingkatan 3 dan akan menghadapi
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dan anak yang
ke empat dan kelima masih bersekolah rendah.

Sekarang baru anak-anak saya tahu kenapa ayah mereka
selalu keluar masuk penjara dan saya memberitahu mereka, bukan saya
membenci ayah mereka atau sengaja mahu merahsiakan perkara yang
sebenarnya, tetapi saya tidak mahu mereka terjebak dengan masalah
saya. Saya tidak mahu mereka merasa tertekan dengan masalah yang
dihadapi kami sekeluarga.
Saya sering mengatakan bahawa saya mahu supaya anak-anak
saya berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga apabila dewasa nanti.
Dengan kejayaan mereka itulah penawar serta ganjaran yang amat besar
untuk saya setelah pelbagai rintangan yang dilalui.
Kini suami saya juga baru setahun keluar dari Pusat Pemulihan
Akhlak dan saya amat berharap biarlah ini penahanannya yang terakhir
kerana dia pun tidak muda lagi, sudah mencecah 50 tahun. Ajal maut pasti
akan tiba tanpa lewat walaupun sesaat, kerana kematian itu pasti.
Walau tiada apa yang dapat saya beri kepada anak sulung saya
atas kejayaannya, tetapi setiap kali peperiksaan penting, nama saya akan
jadi sebutan, suami saya juga memberitahu pada saya pihak penjara amat
kagum dengan kecekalan saya mendidik anak-anak.
Tidak semua penagih dadah yang dapat memberi pelajaran
sempurna untuk anak-anak kerana kebanyakan isteri penagih dadah akan
tertekan dengan masalah suami dan anak-anak akan jadi mangsa.
Bagaimana pihak penjara tahu kejayaan anak saya? Ini kerana
saya selalu menghantar surat dan mengirimkan salinan keputusan
peperiksaan anak saya kepada suami semasa dia dalam tahanan.

Sebelum saya menutup tirai cerita saya ini, ingin saya
nasihatkan kepada para isteri yang senasib dengan saya, pandanglah
wajah anak-anak yang tidak berdosa, jangan kita jadikan mereka tempat
melemparkan kemarahan, tetapi anggaplah mereka sahabat yang sering
membahagiakan kita.
Biarlah kita sengsara, tetapi lawan jiwa rapuh kita dengan
kekuatan dan semangat untuk melihat anak-anak berjaya.
Saya melalui pahit getir kehidupan sebagai isteri penagih
dadah selama bertahun lamanya, bayangkan kesengsaraan yang saya lalui
seorang diri tanpa tempat mengadu melainkan hanya pada Allah yang
Maha Esa.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi kekuatan dan
kesabaran yang luar biasa ini. Saya harap kebahagiaan ini akan berterusan.
Doa saya semoga anak-anak saya akan mendapat perlindungan, hidayah
dan diberkati hidup mereka di dunia dan akhirat.
Kepada suami, harapan dan doa saya yang tidak pernah putus,
bertaubat dan berubahlah demi anak-anak. Ingatlah kepada Allah dan
kembali ke pangkal jalan.
Demikanlah kisah saya yang dapat saya sampaikan.
Diharapkan sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit kekuatan, serta
janganlah kita lupa pada Allah yang menciptakan semua makhluk,
rapatkanlah diri pada-Nya di saat kita susah mahupun senang.
Sekian.
******************************


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan...
AMBIL KISAH> AMBIL TINDAKAN


Cerpen AADK : Di Lorong Gelap itu

JUARA KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS NURLINA BT MOHD ISMAIL
ALAMAT NO. 2 JLN VISTA 2/14, DESA VISTA,
43900 SEPANG, SELANGOR.
TAJUK CERPEN: DI LORONG GELAP ITU


Sewaktu dia di dalam kantung rahimku. Berkongsi nyawa
denganku, acapkali aku terfikir bagaimanakah rupanya bila dewasa kelak.
Apa pekerjaannya. Bagaimana rupa wanita yang bakal disuntingnya
seterusnya menjadi menantu perempuanku. Adakah akhlaknya juga seindah
nama yang bakal kuberi padanya. Aiman. Aku pasti tersenyum sendiri
dengan persoalan yang penuh di benak fikiran.
Subhanallah… aku memuji-Nya. Kagum dengan kebesaran Allah tatkala
doktor meletakkan Aiman di dada ku sejurus selepas Aiman pertama kali
melihat dunia. Hilang terus rasa perit sakit melahirkannya. Ku kucup lembut
ubun kepalanya.
Anakku… kau lahir bersama cinta-Nya. Dewasalah kau dengan iman dan
ilmu. Jangkaukanlah langkahmu mencari kematangan diri. Ibu akan
memimpinmu, sayang. Namun sampai satu ketika, kau harus terbang
sendiri. Jika kau jatuh menyembah bumi. Bangkitlah dengan penuh daya
di hati…
Proses kelahiran Aiman begitu mudah. Sangka ku mendidiknya juga akan
turut mudah jua.
Sejak kelahiran Aiman aku memulakan catatan harian mengenainya.
Ada catatan buat senyumnya yang pertama. Saat dia mula berdiri, mula
menyebut ‘Ibu’, segalanya tidak terlepas dari coretan diariku. Sekali lagi
sangkaku tentu dia akan seronok membacanya bila tua kelak atau
sekurang-kurangnya buat bingkisan memori indah untuk cucu cicitku nanti.
Entah tiba-tiba catatan ini terhenti. Serasa amat sukar untuk kuletakkan
hujung pena di lembaran kertas. Terasa amat payah untuk diluahkan
kata-kata dari jiwa dan perasaan. Tanpa ku ketahui, Allah telah tentukan
takdir anakku ini di luh mahfuz lagi.
* *********************
Aku hanya mampu memandang sekujur tubuh yang telah
kaku diperbaringan. Tengik bau Clorox hanya menambah sesak nafas
dan senduku. Urusan penyelenggaraan jenazah semuanya diuruskan
pihak hospital. Inilah anak kecilku dulu. Selama 27 tahun begitu banyak
kenangan bersamanya. Memang ku akui anakku ini agak nakal berbanding
yang lain tetapi semakin menginjak remaja gelodak jiwanya semakin
sukar kuselami dasarnya.
Dan sewaktu usianya 15 tahun kusedari perubahan ketara
padanya. Aiman semakin agresif. Pantang ditegur cepat benar dia
melenting. Malahan pintu biliknya juga pecah ditendangnya. Anak-anak
yang lain semakin takut padanya. Malahan kesabaran suamiku juga
tergugat hingga tangannya menghinggapi pipi Aiman untuk pertama kali.

Guru di sekolah juga memaklumkan yang Aiman seringkali
gagal menghadirkan diri ke sekolah. Aku cuba menafikan pada diriku
sendiri namun aku tidak dapat menolak hakikatnya ke tepi. Aiman ku ini
kini bergelumang dengan najis dadah. Takut akan pengaruh sahabatnya
di kawasan perumahanku, aku tekad untuk menghantar Aiman tinggal
bersama nenek dan atuknya di kampung. Mungkin inilah yang terbaik buat
Aiman. Rupanya aku telah menghantarnya terus ke pintu neraka!
Semenjak hari itu aku tidak kenal lagi anak ku sendiri.
Dia ada haluan hidupnya. Entah di mana dia berumah? Entah terisikah
perutnya? Berbantalkah ia dalam peraduan? Jantungku berdegup kencang
bila memikirkan kemungkinan dia adalah di antara ’sampah-sampah’ yang
bertaburan di Kuala Lumpur ini. Antara mereka yang terhuyung-hayang
mengatur langkah di lorong kotor itu. Tidak mengerti kegelapan malam
dan sudah tidak kenal kecerahan hari siang. Bagi mereka dadahlah segala.
Walau bahan itu sudah mula memamah setiap urat sendi mereka malahan
merobek kewarasan yang tinggal segenggam cuma, itulah yang masih
mereka dambakan setiap saat dan ketika.
Setiap kali deringan telefon, degupan jantung ku seolah
terhenti. Takut-takut jika itu panggilan dari pihak polis. Tiap kali polis
menelefon ku dan mengatakan anakku ditahan di lokap seakan ada jalur
kelegaan di hatiku. Sekurang-kurangnya dia tidak tidur bergelandangan
di jalanan dan cuba membunuh orang lain mahupun dirinya dengan najis
dadah. Yang hanya menyelamatkan dia dari hukuman berat ketika itu
cuma kerana umurnya belum genap 18 tahun.

Bermacam usaha kulakukan. Berubat sana-sini. Kuhantar jauh
ke Kelantan untuk dia perbaiki diri dan mencari dirinya yang sebenar
malah turut memimpinnya mengucup Hajarul Aswad. Namun segalanya
gagal. Allah Maha Mengetahui. Pulih bukanlah kemahuannya sendiri.
Aku juga sudah mula mendengar bisik-bisik masyarakat sekeliling.
Namun itu mampu lagi kuhadapi tetapi bila saudara sendiri dah mula
berkata-kata ketabahan ku mula direntap. Aku dikalungkan dengan
gelaran ibu yang tidak pandai mendidik anak.
Jika itulah hemat kalian. Berita kan kepada ku, di manakah silapnya aku
dalam mendidiknya?
Kutebalkan jua mukaku turun naik balai polis. Bertemu
kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat. Doa? Tak pernah putus buatnya.
Malam-malamku yang tidak pernah lena diisi dengan solat hajat semoga
anakku ini diberi kekuatan untuk pulih dan aku diberi kecekalan untuk
menghadapi ujian dari-Nya.
Aku semakin risau apabila Aiman menginjak 18 tahun. Kali
ini dia takkkan terlepas berhadapan dengan hukuman pesalah dadah
yang lain. Tidak lama selepas harijadinya yang ke-18 dia dihadapkan atas
tuduhan memiliki dadah. Kali ini tidak hanya dilokap, dia dihantar terus
ke penjara Kajang.

Sekali lagi luluh jiwaku. Terasa sukar untuk aku berdiri dengan
kaki sendiri. Allah mengetahui segala. Dia ada rancangan buatku yang
mana aku sendiri tidak tahu. Aku tidak akan berburuk sangka jauh sekali
untuk memalingkan wajah ku dari-Nya. Tidak sama sekali. Aku tahu
jika diukur dalamnya kasih seorang ibu kepada anaknya, dalam dan tak
terperi lagi kasih Allah kepada hamba-hambanya.
Ya Rahman, Ya Rahim, jika ini kifarah buatku maka aku redha
Ya Allah, namun berilah aku kekuatan untuk menghadapinya.
Setelah dua tahun dibelenggu jerajak besi, Aiman keluar
menebus janji-janjinya pada kami sekeluarga. Di waktu itu akulah ibu
yang paling bahagia. Sangkaku Aiman telah ketemu titik perubahan
dalam hidupnya. Segalanya tak kekal lama. Bila dia sering kali tidur
kesiangan. Bila dia tidak mampu membalas renunganku lagi, aku tahu,
Aiman kembali menagih benda terkutuk itu.
Atas nasihat seorang kaunselor Agensi AntiDadah Kebangsaan,
aku mendaftarkan Aiman dalam program penggunaan Methadone.
Namun gagal. Aiman menginginkan lebih dari itu. Kebergantungan fizikal
dia dengan dadah membuatkan pemulihan baginya amat perit dan
menyakitkan. Kerana itu, dia tersembam, tersungkur untuk sekian kali
di pertengahan jalan.

“Aiman, Aiman kena berubah. Kalau bukan untuk ibu cubalah
untuk diri Aiman sendiri. Takkan Aiman nak terus-terusan begini? Suatu
hari nanti kita semua akan bertemu Allah. Ibu tak mahu Aiman menyesal
di kemudian hari lebih-lebih lagi bila nyawa sudah terputus dari jasad.”
Aku tahu menasihatinya ketika ini umpama mencurah air ke daun keladi.
“Jadi Ibu nak Aiman matilah ye? Biar senang kerja ibu.
Kalau Aiman nak mati sebagai ‘junkie’ pun, biarlah!” Aku terpana dengan
kata-kata Aiman. Umpama halilintar yang menyambar terus ke ulu hati.
Perit. Lain yang ku taburkan, lain pulak pemahamannya. Inilah dia, bila
pemikiran dan jiwa dijajah noda-noda hina dan busuk, kebenaran dan
kejahilan bersatu hingga sukar ditaksir hitam putihnya.
“Buat tak tahu jelah, bu. Buat apa nak risaukan dia kalau dia tak pernah
nak risaukan diri sendiri?” Keras benar kata-kata anak sulungku tentang
adiknya. Namun aku memahami betapa bosan adik-beradiknya yang lain
dengan perangai dan tingkahlakunya. Aku juga bosan malahan terlalu
‘penat’ dengan semua ini. Salahkah aku untuk berperasaan sebegini.
Berdosakah aku berputus harap kepada Aiman? Adakah ini sama seperti
aku berputus-asa kepada cubaan-Nya? Astagfirullah al-azim…
Tuhanku…kau janji syurga buat para sobirin. Maka ku pohon ya Allah
golongkanlah aku dalam mereka yang sabar menerima ujian-Mu.

Kali terakhir aku menemuinya bila dia sendiri yang
menghubungiku. ”Ibu, Aiman tak sihat. Aiman nak balik rumah” Ringkas
saja permintaannya. Ku ambil dia di perhentian bas yang dijanjikan. Sebak
dadaku. Namun ku tahan airmata ini dari berjujuran. Lemah langkahnya.
Dengan berkemeja T lusuh yang entah dari mana dicurinya. Berseluar
pendek dan berselipar getah yag terlalu kecil buatnya, Aiman masuk
ke keretaku. Direndahkan kerusi lalu baring. Ku beri tuala basah yang
dari awal ku bawa dari rumah. Dilekapkan tuala itu ke muka.
Diam. Tiada sepatah kata yang keluar.
Aku terus memandu. Namun aku tidak mampu menumpukan
perhatian. Sekujur mayat yang bernyawa menumpangi kerusi belakang
keretaku benar-benar meragut cekal yang ada. Lagi payah dan perit
menelan hakikat bila mayat itu adalah anak ku. Anak kecil yang dulunya
aku susui. Anak kecil yang ku tatang umpama menatang sebenjana
air di tanah gersang yang tak bersempadan. Aku mencuri pandang dari
cermin hadapan. Nafasku seakan terhenti. Umpama ada sesuatu yang
menghalang rongga trakeaku tiba-tiba.
Sesak. Sempit..
Kini aku tidak mampu menyeka lagi genangan airmata ini.
Deras dan semakin deras. Kedua lengannya penuh bekas suntikan. Kesan
torehan ‘meth bug’ juga kelihatan. Serasa tidak mampu lagi memandu.
Aku memberhentikan kereta di lorong kecemasan. Kutekupkan wajahku
di stering. Masih basah dek genangan penglihatan yang seakan tidak mahu
berhenti. Lemah longlai kaki ku. Benarlah kesakitan batin ini bisa terkesan
hingga ke urat sendi. Dalam hati tidak henti-henti mencari kekuatan.
Maha Suci Engkau, sesunguhnya aku adalah termasuk orang-orang
yang zalim.
Nekad.
Aku perlu menghantarnya ke Rumah Pengasih sebelum dia
menyedari bahawa kami tidak menuju balik ke rumah. “Ibu nak ke mana
ni?” lemah suaranya. “Rumah Pengasih” ringkas namun terkesan dengan
sendu sebak yang masih belum kering. “Aiman kan tak sihat. Aiman nak
balik rumah” Aiman memujuk dengan lemah.
Dia tidak akan mampu menolak dan mendesak dengan
tenaga yang tak seberapa. Ku juga dapat ‘hidu’ kesan dadah yang masih
berbaki dalam aliran darahnya. Biarlah. Kali ini ku nekad. Dia akan
kembali entah untuk ke berapa kali ke Rumah Pengasih dan takkan
keluar lagi. Aiman tidak cukup kuat. Sudah berapa kali dia ‘relapse’.
Aku hilang perkiraan. Keadaan persekitaran dewasa ini semakin kejam
dan tak berperikemanusiaan terhadap Aiman. Aku terpaksa akur, tangan
ku sudah tidak ampuh mendidiknya lagi.

Bukan menyerah amanah Allah ini bulat-bulat kepada Rumah Pengasih.
Tidak sama sekali! Jika diikutkan naluri keibuanku, hendak ku tatang dia di
depan mata namun kudrat ini sudah tak terdaya lagi. Anak-anak yang lain
juga dambakan perhatian. Selama ini aku telalu ‘sibuk’ mengurusi Aiman.
Namun aku tidak akan putus untuk berdoa. Moga-moga berkat doa
seorang ibu yang tak terhijab dek Allah ini akan termakbul jua. Insya-Allah.
*******************
Inna lillah hi wa innailaihi rojiun……
Beberapa bulan di Rumah Pengasih, Aiman dimasukkan ke hospital.
Hepatitisnya dan phnemonia semakin teruk. Mata putihnya sudah jelas
kuning. Aiman di pangkuanku sewaktu sakaratul menjemputnya pulang.
“Ampunkan... dosa... Aiman... bu” Itu kata-kata akhir Aiman.
Kali ini tiada air mata lagi yang tumpah ke bumi Allah yang fana ini.
Lopakan air mata ku sudah kering. Allah mengetahui segala-galanya.
Siapalah kita untuk mengatasi ilmu-Nya. Aku yakin ada hikmah
di sebalik ujian Allah ini. Anakku ini hanya pinjaman dari-Nya.
Ibu ampukan dosamu sayang. Ibu halalkan setiap titis susu yang kau
minum. Maafkan ibu jika ada sela waktu kehidupanmu, ibu alpa dalam
menunaikan tanggungjawab kepadamu. Selamat tinggal anakku…
ibu berdoa kau peroleh keampunan dari yang Esa.
Apa pun yang Allah tetapkan, aku bersyukur Izrail tidak menemukannya
di lorong gelap itu…




hidup ini terlalu indah untuk disiakan...
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.




Cerpen AADK: Dadah dan Batu dan Guling (Drugs and Rock and Roll)

TEMPAT KETIGA KATEGORI KOLEJ/ UNIVERSITI
NAMA PENULIS MOHD FARIS AIMAN BIN SHAHROM
ALAMAT 101, JALAN TAMAN MELATI 6, TAMAN MELATI,
53100 GOMBAK, KUALA LUMPUR.
TAJUK CERPEN : DADAH DAN BATU DAN GULING (DRUGS AND ROCK AND ROLL)

Mata Rafie kian sepet. Deria pendengarannya juga sudah
mula kurang peka terhadap bunyi sekeliling. Dia hanyut dalam dunianya
sendiri. “Bangun Rafie! Kamu ni datang sekolah nak tidur ke nak belajar
hah?” bentak Puan Rafizah sambil menghempas meja tulis Rafie dengan
sebatang pembaris panjang. Secara automatik, pancainderanya terus
menjadi segar dan peka sambil bermonolog sendirian dalam hati.
“Ahh celakanya. Lambat betul masa berlalu bila duduk dalam kelas ni.
Tambah pulak dia ni ajar bukan sedap pun”. Tetapi, monolog hanya tinggal
monolog dek kerana gerun akan gurunya yang sedang dalam amukan.
Selain bentakan Puan Hafizah, terdapat satu lagi perkara yang
mampu membuatkan Rafie segar bugar, iaitu muzik, atau dengan lebih
terperinci, alunan muzik gitar rancak. Selepas tamat waktu persekolahan,
Rafie bersama rakan-rakannya yang turut berkongsi minat yang sama,
iaitu Alep, Apek, John dan Kudut akan berkongsi 5 ringgit seorang dan
menyewa studio “jamming” selama sejam untuk berlatih bermain alat
muzik. Pada masa itu, tiada apa yang lebih menyegarkan berbanding
bunyi bunyian deras ketukan deram dan alunan bunyi gitar yang telah
diganggu (distorted).
Sebagai remaja yang membesar dalam era pertengahan era
90-an, tentunya kugiran Nirvana yang berasal dari Seattle, Amerika
Syarikat menjadi hero muzik mereka, termasuk Rafie. Dianggotai Kurt
Kobain, Krist Novoselik dan Dave Grohl, Nirvana adalah kugiran yang
mengangkat irama “grunge” dalam pembawaan muzik mereka. Rafie
bukanlah seorang remaja yang mendapat pendidikan formal dalam bidang
muzik tetapi dek kerana Nirvana, segala kord dan cara bermain gitar
sanggup dipelajari sendiri dengan tunjuk ajar teman-teman. Setiap sesi
“jamming” Rafie bersama rakan-rakannya juga akan dipenuhi dengan
alunan lagu lagu Nirvana seperti Lithium dan In Bloom. Sebahagian duit
belanja persekolahannya juga akan disimpan untuk membeli kaset-kaset
rakaman kugiran tersebut. Oleh kerana minat yang mendalam, muzik
seolah-olah seperti sejenis dadah buat Rafie dan dia adalah penagih
tegar dadah tersebut.
Akhirnya, muzik menjadi sumber rezeki buat Rafie dan teman
temannya setelah kugiran yang telah mereka tubuhkan daripada zaman
persekolahan, iaitu Switch Autopilot mendapat perhatian syarikat rakaman
alternatif, iaitu Paradox Records. Perjalanan kumpulan mereka sebelum
diintai syarikat rakaman bukanlah sesuatu yang mudah. Bermula dengan
merakam demo lagu-lagu mereka secara sendiri, mereka mula diundang
untuk melakukan persembahan di gig-gig kecil sekitar Kuala Lumpur,
Selangor dan Ipoh. Sejak itu, mereka tidak lagi menoleh ke belakang dan
terus mengembangkan karier seni mereka melalui Paradox Records dan
akhirnya, perjudian mereka berbaloi setelah album mereka berjaya
menembusi aliran perdana dan mendapat jumlah jualan yang
memberangsangkan.
Seiring dengan populariti yang semakin memuncak serta
poket yang semakin tebal, Rafie mempunyai ramai kenalan, dan salah
seorang daripadanya bernama Zaq, iaitu seorang “pusher” dadah yang
sangat dikenali. Pada awal perkenalan, Rafie sering disogokkan dengan
kata-kata “apa barang..tak Kurt Kobain, tak rockstar la tak amik dadah”.
Demi mencontohi heronya dari zaman remaja, iaitu Kurt Kobain, Rafie
mula mencuba kanabis yang dicarik halus dan digaul dengan tembakau
di dalam rokok dan akhirnya, mula menjadi seorang pelanggan tetap
kepada Zaq.
Sudah menjadi resam seorang “pusher” untuk memastikan
seseorang terus menjadi pelanggan tetapnya. Setelah sekian lama
membekalkan ganja kepada Rafie, Zaq mula memperkenalkan jenis dadah
yang lain kepadanya dengan kata penguat “ini baru kick. Main ganja je apa
barang”. Dalam diam, Rafie bersetuju dengan Zaq. Dia mula merasakan
ganja sudah tidak memberi impak kepadanya. Jika sebelum ini dia mampu
berada di awangan setelah menghisap kanabis, kini dadah tersebut terasa
seperti rokok tembakau yang biasa. Dia ingin terus berada di awangan,
dalam dunia sempurna ciptaan fikiran yang sudah dipengaruhi bahan
kimia asing.
Rafie tidak pernah mengakui dirinya sudah terjerat dalam
penagihan dadah sehinggalah kehidupannya diporak-perandakan dek
kerana cinta terlarangnya terhadap barangan larangan tersebut. Wang
dalam akaun simpanannya sudah menghampiri angka negatif, habis
dibelanjakan kerana dadah.
Kugiran Switch Autopilot juga telah dibubarkan kerana
masanya dipenuhi dengan khayalan dadah, sehingga tiada masa untuk
berkarya walhal pada awal penagihannya, Rafie berkeras mengatakan
bahan-bahan tersebut dapat membantu menjana ideanya untuk berkarya.
Rakan-rakan juga lebih selesa menjauhkan diri daripadanya kerana
kekerapannya meminjam wang untuk melampiaskan nafsu berkhayalnya.
Segala yang terjadi akhirnya berjaya merendahkan ego Rafie.
Akhirnya dia sedar dia sudah terjerat, dan perlukan bantuan. Dengan
nasihat dan dorongan rakan-rakan, Rafie mendaftar di sebuah pusat
rawatan dadah.
“My drugs is my music!”.
Rafie melaungkan kata-kata tersebut dengan megah di atas
pentas persembahan kugiran berskala besar di Kuala Lumpur, 2 tahun
kemudian. Rafie akhirnya bebas daripada cengkaman najis dadah dan
kembali berkarya bersama kugiran yang ditubuhkannya. Karyanya juga
sudah kembali berpaksikan cinta kepada muzik, dan bukan lagi dadah
sebagai katalis. Kempen-kempen antidadah anjuran AADK dan PENGASIH
juga aktif disertainya demi mengelakkan dadah memusnahkan hidup
individu lain, seperti yang dialaminya.
Dengan perlahan-lahan, Rafie membina kembali kehidupannya dengan
atmosfera yang lebih positif sambil terus menentang penyalahgunaan
dadah dengan habis-habisan. Heronya masih lagi Kurt Cobain, tetapi dari
sudut pandangan yang lain. Rafie terinspirasi untuk menghasilkan muzik
yang memberi impak yang besar kepada dunia, sama seperti heronya yang
meninggalkan legasi besar kepada dunia, dan bukan cerita-cerita ketagihan
dadahnya.


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan..
Ambil Kisah. Ambil Tindakan..

Cerpen AADK : Menagih Redha Ilahi

NAIB JUARA KATEGORI KOLEJ/ UNIVERSITI
NAMA PENULIS MOHAMED AFIQ AMANI BIN MOHAMED NAHDIRSHA
ALAMAT NO 5, LORONG 2, JALAN BUNGA MAWAR,
09000 KULIM, KEDAH DARUL AMAN
TAJUK CERPEN : MENAGIH REDHA ILAHI


Kicauan sang burung silih berganti. Riang bersahut-sahutan
berpadu irama membuai hati yang lara. Pawana menderu menenangkan
gelora jiwa yang membadai tiada penghujungnya. Dinginnya menusuk
kalbu namun tidak mendinginkan ceruk kamar hati Saiful Najmi. Rindu
pada isterinya bertamu kembali. Baru semalam Laila pergi menghadap
Ilahi angkara barah payudara. Pemergiannya saat Saiful Najmi sudah
kembali ke pangkal jalan. Memori lalu benar-benar mengusik jiwanya.
“Abang… tak cukup barang kemas saya abang gadai, tabung
anak abang ambil. Abang tak kesian ke dekat Marisa. Dia simpan duit ni
dah lama. Bagi saya balik tabung ni.” Laila cuba merebut kembali tabung
yang diambil suaminya namun hampa.
“Ah…aku peduli apa! Aku perlukan duit. Kalau aku tak dapat
benda tu macam mana aku nak hidup! Kau jangan menyusahkan aku.
Berambus.” Saiful Najmi berkeras. Tubuhnya yang cengkung, berjalan
terhuyung-hayang dan berkhayal seolah-olah tidak berada di bumi yang
nyata semakin membimbangkan Laila. Angkara dadah durjana hidup
suaminya semakin hilang arah tuju.
“Abang…cukup-cukuplah menagih dadah. Abang tak kesian
ke pada saya dan anak kita. Kita berubat ye bang. Laila nak abang yang
dulu… yang ada tanggungjawab pada keluarga. Tolong berubah demi
anak-anak.” Laila merapati suaminya. Sendu sekali melihat keadaan Saiful
Najmi yang tidak terurus.
“Nanti-nanti la aku berubah. Sudah la. Aku tak nak dengar kau
membebel. Aku pergi dulu. Nanti jangan lupa masak. Aku lapar!” Serentak
itu Saiful Najmi berlalu pergi. Sekejap saja hilang dari pandangan mata.
Laila terduduk dan jiwanya diruntun rasa pilu.
Awan gemawan indah meredupkan bias cahaya mentari.
Pawana bertingkah menderu meredakan gelora jiwa yang bertandang.
Tenang sekali melihat buih-buih pantai yang menerpa anak kaki tatkala
melintasi kawasan itu. Suara teriakan dan pekikan mematikan lamunan
Laila setelah menjemur ikan kering di persisiran pantai itu.
“Laila… oww Laila! Suami kamu ni mencuri di kedai Pak
Yaakob. Baru je minggu lepas kena tangkap ceroboh rumah Haji Leman, ni
buat hal pulak. Tak serik-serik.” Rakus Pak Mat menutur kata. Laila kaget
dan tertunduk malu.
“Abang… apa lagi abang buat ni. Abang kenapa tak mahu insaf
lagi? Abang tahu tak najis dadah tu dah musnahkan hidup abang. Laila
malu…malu!” Laila tidak tertahan lagi. Rasa marahnya membuak-buak.
Kesabarannya hancur berkecai.
“Laila…aku minta maaf! Aku bukan sengaja. Tapi aku perlukan
duit nak beli benda tu. Kalau tak ada benda tu aku boleh mati.” Saiful
Najmi perlahan-lahan menutur kata. Masih tidak jijak ke tanah barangkali
seolah-olah berada di awang-awangan.
“Sudah! Saya dah muak dengan kata maaf abang. Saya dah
letih dengan semua ni. Seksanya jiwa saya tak pernah abang peduli. Makan
minum dekat rumah tak pernah abang ambil tahu. Pak Mat… buat la apa
yang Pak Mat nak. Saya dah tak peduli. Abang Mi tak pernah dengar
nasihat… langsung tak ada usaha nak berubah. Laila dah tak kisah.” Dalam
mengungkap bicara, entah mengapa berjuraian air mata keluar dari tubir
anak mata Laila. Seakan-akan menyerah kalah dan pasrah dengan
suaminya. Sangkanya, dia mampu mengubah suaminya namun hampa.
Malam yang bertamu kelam sekali. Pawana yang menderu
kencang sekencang keresahan Saiful Najmi. Kilat mulai sabung-menyabung
dan akhirnya bumi dibasahi deraian air mata langit yang tidak tertahan
lagi. Dalam kamar gelap dan terasing itu, Saiful Najmi dilihat semakin
bingung. Berkali-kali meraup tangan ke muka. Duduk bercanggung tanpa
baju dan berseluar pendek lusuh. Tubuhnya mengigil dan mengeletar.
Kadang-kadang dia meraung minta dilepaskan. Apa yang ada hanya
timbunan buku-buku agama.
“Hei orang tua…lepaskan aku. Aku tak nak duduk dekat sini.
Aku tak nak! Lepaskan aku. Aku nak bebas.” Saiful Najmi memekik.
Bergema suaranya.
“Duduk diam-diam dekat situ. Aku cuma nak tolong kau. Aku
kesian tengok Laila. Kalau kau pergi dari sini kau tak akan berubah dan
Laila semakin terseksa.” Ustaz Hamidun bapa mertua Saiful Najmi bersuara
lantang dari luar kamar.
“Aku tak nak! Lepaskan aku. Aku terseksa. Aku tak tahan
duduk dekat sini… lepaskan aku. Tolong la. Aku merayu.” Saiful Najmi
merengek semacam budak-budak. Tangannya tidak lekang-lekang mencuit
hidung penyetnya yang berair.
“Selagi kau tak berubah dan tak mahu kembali ke pangkal
jalan, aku tak akan lepaskan kau. Duduk la kau dekat situ sampai bila-bila.
Sampai sembuh ketagihan kau pada dadah. Nasib baik aku tak serahkan
kau pada polis tahu.” Ustaz Hamidun semakin bengis. Di kawasan terpencil
itulah dia mendirikan beberapa pondok untuk mereka yang mahu
mendalami ilmu agama. Sangat sunyi dan jauh dari dunia luar.
Masa terus saja berlalu. Terlalu cepat. Hari demi hari, Saiful
Najmi di bentuk daya ketahanan yang tinggi dalam melawan nafsunya
pada najis dadah. Setiap kali dia meraung dan kelihatan lemah beberapa
orang lelaki akan menjirusnya dengan air sungai berhampiran supaya dia
sedar kembali. Dia dikawal dengan ketat sekali. Makan minumnya terjaga.


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan....
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya