#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

27 January 2014

PUSPANITA Kebangsaan beri penghargaan

Agensi Antidadah Kebangsaan telah mendapat penghargaan dari PUSPANITA Kebangsaan kerana telah memberikan sumbangan dan kerjasama dalam menjayakan Seminar Remaja Perkasa, Harapan Bangsa pada 18 Disember 2013 yang lalu. 

Di dalam seminar ini, AADK telah memberikan sumbangan dalam bentuk pertunjukkan 'talent' oleh klien Cure and Care Rehabilitation Centre (CCRC) Serendah, iaitu juara Fitness Dance AADK 2013 kategori klien dan Juara AADK Idol 2013.

Kebanyakan hadirin merasa teruja dengan persembahan klien AADK yang diakui mempunyai aura yang tersendiri. Malah, persembahan juara Fitness Dance dari CCRC Serendah telah diminta membuat 3 kali persembahan di majlis tersebut. Para peserta yang hadir hampir tidak mempercayai bahawa para peserta Fitness Dance merupakan bekas penagih dadah yang telah pulih.

Tahniah AADK!





AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.





20 January 2014

1983: Dadah Musuh Nombor 1 Negara

Penyampai:DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk:DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI DADAH PERINGKAT KEBANGSAAN
Lokasi:ODITORIUM BESAR ANGKASAPURI KUALA LUMPUR
Tarikh:19-02-1983


Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.Yang Amat Berhormat Dato Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri; Yang Berhormat Menteri-Menteri; Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua Menteri; Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Kempen Anti Dadah yang terdiri dari wakil semua negeri atas usaha merancang dan menjayakan Kempen Anti Dadah yang bermula pada hari ini.

2. Masalah dadah bukanlah satu perkara baru. Sebagaimana kita maklum, ia telah meresapi masyarakat kita sejak beberapa tahun lalu. Juga masalah ini bukanlah satu masalah yang terhad kepada negara kita sahaja; ia adalah masalah sedunia. Malangnya masalah dadah ini tidak begitu diambilberat sebagai satu perkara yang amat serius oleh masyarakat umum. Tetapi bagi keluarga penagih dadah, tidak ada sesuatu yang lebih menyiksa daripada kesan penagihan kepada penagih dan kepada ibu bapa, sanak-saudara dan keluarga keseluruhannya. Ancaman dan keloh-kesah yang disebabkan oleh penagih terhadap keluarga menghilangkan sama sekali kebahagiaan hidup sehingga ibu dan bapa, anak dan isteri terus merana. Bagi masyarakat dan negara, bukan sahaja beban bertambah, tetapi sebarang urusan dan kerja tergendala. Sebenarnyalah dadah merupakan satu kecelakaan yang amat besar yang boleh menghapuskan kebahagiaan dalam keluarga, dalam masyarakat dan dalam negara. Bagi yang menjadi penagih, mereka sebagai bangkai bernyawa yang tidak berfaedah kepada diri sendiri atau sesiapa. Sekali terjatuh dalam lembah kehinaan ini, tidak mungkin mereka bangun. 

3. Biasanya rakyat menunjukkan reaksi secara spontan apabila berhadapan dengan sesuatu wabak penyakit seperti taun, demam denggi dan sebagainya, dan mereka sanggup menggembeling tenaga, dan bekerjasama untuk mengatasinya kerana mereka sedar akan ancaman terhadap diri mereka dan keluarga mereka sendiri. Begitu juga dengan ancaman komunis terhadap demokrasi, kita mendapat reaksi positif dari rakyat sehingga kita dapat membendungnya. Malangnya ancaman dadah tidak menimbulkan tahap reaksi yang seharusnya. Ada mereka yang masih memikirkan ancaman dadah tidak akan melibatkan diri mereka, dan mereka tidak nampak dengan jelasnya yang penagihan dadah boleh mengancam kesejahteraan diri mereka, bahkan kebahagiaan zuriat mereka.

4. Sejak beberapa tahun lalu Kerajaan dan juga beberapa badan sukarela telah mengambil tindakan untuk membendung dan membenteras ancaman dadah di kalangan masyarakat kita. Sungguhpun Kerajaan dan badan-badan yang berkenaan telah menjalankan tugas masing-masing dengan giat, statistik menunjukkan bahawa bilangan penagih dadah masih bertambah. Pada masa ini bilangan penagih yang berdaftar adalah lebih kurang 79 ribu orang. Jika nisbah bagi setiap orang penagih dadah yang didaftarkan terdapat pula sekurang-kurangnya tujuh lagi yang tidak didaftarkan, bilangan penagih dadah di negara kita adalah tidak kurang dari setengah juta orang, iaitu satu jumlah yang menakutkan. Bukan sahaja golongan ini menjadi beban kepada masyarakat, tetapi pengaruh mereka ke atas masyarakat umum adalah sangat buruk dan meluas. Masyarakat yang dikuasai oleh dadah akan dilanda oleh berbagai jenayah dan tidak akan mempunyai maruah dan peradaban. Sudah tentu masyarakat ini tidak akan berupaya mempertahankan diri atau membangunkan negara, sama ada dalam bidang material atau spiritual. Lambat-laun masyarakat ini akan hancur atau dikuasai oleh orang asing.

5. Menyedari bahawa pengedar dadah adalah penjenayah yang terbesar yang menyebabkan wabak penyalahgunaan dadah ini, Kerajaan telah menguatkuasakan undang-undang yang keras. Pengedar dadah adalah sejenis penjenayah yang amat kejam dan tidak bertimbang rasa. Kerana tamak, mereka sanggup memperdaya dan menjerat kanak-kanak sekolah sehingga terdapat penagih yang berumur 10 tahun. Sekali terperangkap penagih tidak dapat melepaskan diri lagi. Secara tidak langsung kanak-kanak yang terperangkap ini sudah dihukum mati, kerana bukan sahaja hidup mereka tidak mungkin lagi sempurna tetapi umur mereka tetap disingkatkan. Demikianlah kesan dadah dan demikianlah kejam dan zalimnya pengedar dadah. Bagi mereka yang memikir hukuman terhadap pengedar adalah terlalu berat, tidak ada usaha yang lebih baik dari menyebar amaran kepada yang berminat menjadi pengedar bahawa mereka mungkin dihukum mati. Adalah terlalu lewat jika jenayah sudah dilakukan.

6. Peranan undang-undang dalam menghalang merebaknya penyalahgunaan dadah memang tepat, tetapi akhirnya yang betul-betul berkesan ialah kesedaran masyarakat tentang buruknya akibat penagihan dadah. Jika masyarakat sedar dan bertanggungjawab maka awal-awal lagi akan disemai dalam hati dan fikiran kanak-kanak tentang kehinaan dan bahaya menjadi penagih. Jika anak-anak kita membesar dengan kepercayaan bahawa penyalahgunaan dadah adalah satu jenayah yang dahsyat, yang lebih buruk dari mencuri dan menyamun, maka mereka akan mengelakkan diri dari terlibat dengan dadah. Jika ibu bapa mengambil berat bukan sahaja terhadap didikan anak-anak mereka, tetapi juga mengawasi gerak-geri mereka di zaman serba bebas ini, kemungkinan mereka menjadi penagih akan berkurangan.

7. Oleh itu setiap anggota masyarakat, terutama yang dewasa dan mempunyai anak atau adik dalam lingkungan umur yang merbahaya mestilah memikul tanggungjawab ini. Janganlah tunggu sehingga nasi menjadi bubur. Berhati-hatilah tentang gerak-geri mereka yang di bawah jagaan kita supaya bersama-sama dapat kita hapuskan gejala ini.

8. Dari segi rawatan dan pemulihan, banyak wang-ringgit dan tenaga telah disalurkan oleh Kerajaan untuk merawat dan memulihkan mereka yang telah dihinggapi oleh tabiat dadah.Malangnya sebilangan besar daripada penagih yang telah dirawat dan dipulihkan telah balik semula kepada tabiat lama dan menjadi penagih semula. Statistik di kalangan negara-negara maju menunjukkan hampir 90 peratus daripada penagih dadah yang telah dipulihkan berbalik kepada tabiat penagihan mereka dalam jangka masa 4 atau 5 tahun. Bukti-bukti seperti ini adalah sangat mengecewakan. Sungguhpun begitu kita tidak harus berputus asa dan mesti terus berikhtiar mencari jalan untuk menjamin pemulihan yang kekal dan berkesan. Sesungguhnya pemulihan yang kekal memerlukan kerjasama pihak ibubapa, keluarga penagih dadah dan masyarakat amnya.

9. Memandang kepada hakikat ini, peperangan melawan penyalahgunaan dadah perlulah ditumpu kepada "prevention" lebih dari yang biasa dibuat dahulu. Segala badan sukarela dan jabatan Kerajaan yang terlibat mestilah menyusun satu strategi baru yang bertujuan menyekat perkembangan tabiat ini. Selain dari usaha untuk menyekat kemasukan dadah dan pengedarannya, orang ramai mesti dikejutkan berkenaan bahaya dadah dan didorong supaya mengambil bahagian yang aktif dalam kempen pencegahan yang perlu diteruskan sepanjang masa.

10. Berhubung dengan ini, Kerajaan akan melaksanakan satu konsep baru dalam pemulihan penagih dadah melalui apa yang dinamakan 'Pusat Serenti'. Mengikut konsep ini, kakitangan daripada beberapa agensi yang berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di satu tempat.Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian 

11. Selaras dengan kempen yang dilancarkan hari ini, Kerajaan akan juga mengambil beberapa langkah bagi menentang gejala dadah ini. Kerajaan akan meminda peruntukan undang-undang dalam Akta Dadah Merbahaya 1952 bagi mengetatkan lagi undang-undang tersebut. Saya berharap peruntukan undang-undang yang baru ini akan memberi kuasa yang lebih kepada pihak penguatkuasa. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan satu Pasukan Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua kegiatan memerangi dadah di negara kita. Pasukan Petugas ini akan dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan dari berbagai Kementerian dan Jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah. Cawangan-cawangan Pasukan Petugas ini akan juga ditubuhkan di semua negeri.

12. Kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela yang terlibat dengan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, saya berharap semua usaha hendaklah dibuat bagi meningkatkan lagi mutu program pencegahan dadah kerana kepentingan sesuatu kempen ialah kesannya, dan kesannya bergantung kepada prestasi programnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 

13. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Anti Dadah ini dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


sumber: http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=mahathir&id=80 

Bacaan tambahan:

1. Perutusan Ketua Pengarah AADK -Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2013. http://nodrugplease.blogspot.com/2013/02/perutusan-ybhg-ketua-pengarah-aadk.html

2. Ucapan YAB Tun Abdullah Ahmad Badawi - Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 1983.
http://nodrugplease.blogspot.com/2014/01/2003-perangi-dadah-habis-habisan.html




Ambil Kisah. Ambil Tindakan.



2003: Perangi Dadah Habis-habisan


Penyampai:DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk:SAMBUTAN HARI ANTI-DADAH KEBANGSAAN
Lokasi:DEWAN MILLENNIUM, KEPALA BATAS, PULAU PINANG
Tarikh:29-03-2003


1. Terlebih dahulu saya besyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita berkumpul di sebuah majlis yang begitu penting dan bermakna ini. Saya gembira melihat kehadiran begitu ramai orang di sini, yang datang dari jauh dan dekat, untuk bersama-sama memberi bantuan dan sokongan dalam usaha kita memerangi gejala dadah.

2. Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 20 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Sepanjang tahun 2002, seramai 31,893 orang penagih dadah telah dikesan oleh pihak berkuasa. Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) Daripada tahun 1988 hingga 2002 adalah seramai 235,495 orang, termasuk kira-kira 50,000 orang penagih tegar. Badan-badan bukan kerajaan (N.G.O.) pula menganggarkan terdapat kira-kira 350,000 orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di dalam negara. Angka ini dikatakan bertambah sebanyak 1,300 penagih dadah setiap bulan.

3. Gejala dadah membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia - pada tahun lepas, hampir 80 peratus daripada penagih dadah yang dikesan berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. N.G.O.- N.G.O. yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional.

4. Kejadian penyakit h.i.v./aids juga bertambah ketara disebabkan masalah penyalahgunaan dadah. Ini berpunca daripada amalan perkongsian jarum yang berleluasa dikalangan penagih-penagih dadah. Sebanyak 51,256 kes h.i.v./aids telah dilaporkan di dalam negara semenjak tahun 1986. Lebih membimbangkan, kejadian penyakit ini telah bertambah pada kadar yang lebih tinggi dewasa ini. Pada tahun lepas, purata sebanyak 19 kes baru telah dilaporkan setiap hari, berbanding 13 kes baru pada tahun 2001. Di dalam hal ini, sebanyak 77 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit h.i.v./aids merupakan penagih dadah. Justeru, usaha-usaha membendung gejala dadah tidak dapat dipisahkan daripada usaha-usaha untuk menangani penyakit h.i.v./aids.

Saudara dan saudari sekelian

5. Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasi gejala dadah. Kita telah membina infrastruktur yang serba lengkap, termasuk kemudahan hospital dan 28 pusat serenti di seluruh negara. Kita telah menggubal antara undang-undang anti-dadah yang paling berat di dunia. Kita juga telah mendirikan agensi- agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa penuh untuk menangani masalah dadah.

6. Walaupun begitu, usaha-usaha kita belum membuahkan hasil yang memuaskan. Bilangan penagih dadah semakin ramai. Kini kita berhadapan dengan dadah-dadah sintetik baru yang lebih merbahaya, dan kejadian-kejadian lain seperti penyalahgunaan ubat batuk dan aktiviti menghidu glu. Dalam pada itu, usaha-usaha rawatan dan pemulihan penagih dadah tidak berjaya seperti yang diharapkan. Kadar penagih yang telah mula menagih dadah semula (iaitu "relapse rate") selepas melalui rawatan dan pemulihan begitu tinggi (dianggarkan sekitar 70 peratus oleh badan- badan N.G.O.), walaupun kita sudah mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam usaha rawatan seperti ini.

7. Sebenarnya, masa telah berlalu dan cabaran-cabaran kita telah berubah. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula cara kita menangani gejala dadah dan memperbaharui pemikiran kita di dalam hal ini. Antara lain, kita perlu menilai semula kaedah dan tindakan agensi kerajaan, penglibatan pihak-pihak N.G.O. dan bekas-bekas penagih dadah, tanggungjawab ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tugas dan fungsi majikan dan sektor swasta, serta peranan media di dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

8. Walaupun begitu, kerajaan akan tetap bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara berkaitan dadah. Pihak berkuasa negara telahpun mencapai banyak kejayaan dalam gerakan menghapuskan kegiatan pengedaran dadah. Tahun lalu, seramai 25,906 orang telah ditangkap di bawah akta-akta yang berkaitan, termasuk 2,167 orang di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan). Agensi-agensi penguatkuasa juga telah berjaya mengesan dan merampas kuantiti dadah yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada agensi-agensi tersebut. Usaha ini perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

9. Dari segi penagihan dadah pula, kita perlu berganjak daripada fokus yang menekankan aspek jenayah/punitif bagi penagih dadah, kepada pendekatan memerangi `penyakit' penagihan dadah yang boleh dipulihkan melalui rawatan. Kita bersimpati dan berasa sedih kerana begitu ramai anak- anak muda yang telah sesat dan terjebak ke arah penyalahgunaan dadah. Penyakit ini perlu dirawat dan dihapuskan, agar generasi akan datang berupaya menjauhkan diri daripada gejala ini. Justeru, pusat-pusat rawatan dadah perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menjalankan kaunseling dan memulihkan penagih-penagih dadah dengan lebih berkesan.

10. Masyarakat juga perlu merubah pemikiran mereka tentang dadah. Masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah bersama, dan bukan masalah pihak berkuasa semata- mata. Sesungguhnya, masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan kebudayaan. Ini bermakna perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total. Oleh itu, semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab dan kumpulan yang akan berusaha membasmi dadah perlu diperbesarkan. Antara lain, kita harus lebih melibatkan N.G.O.- N.G.O. dalam usaha ini, dan mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama antara pihak berkuasa dan pelbagai N.G.O. yang terbabit.

11. Saya juga berharap pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan para guru, akan turut bersama di dalam usaha ini. Sebenarnya, pendidikan adalah salah satu mekanisme terbaik dalam menangani masalah ini. Kalau dilihat daripada profil penagih yang dikesan, 72 peratus daripada mereka hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga. Saya percaya sekiranya kita mempertingkatkan pendidikan di kalangan anak-anak muda, baik dari segi pendidikan khusus mengenai dadah mahupun pendidikan am, kita akan dapat mengawal gejala ini dengan lebih baik.

Saudara dan saudari sekelian

12. Walaupun institusi keluarga kini menghadapi pelbagai cabaran getir akibat perubahan-perubahan ekonomi, sosial dan teknologi yang sedang melanda, namun penglibatan ibu bapa dan lain-lain ahli keluarga amat diperlukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi kasih sayang dan penjagaan kepada anak-anak mereka, agar anak-anak itu tidak terperangkap di dalam gejala dadah. Justeru, saya berharap latihan kemahiran keibubapaan dapat dipertingkatkan lagi, melalui usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, pelbagai yayasan dan pihak-pihak yang lain.

13. Selain aspek pencegahan, pihak keluarga juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya amat khuatir sekiranya perasaan prasangka terhadap para penagih menebal di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri, maka mereka akan berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

14. Saya juga menyeru agar para majikan dapat mengikis perasaan prejudis mereka dan memberi bekas-bekas penagih dadah peluang untuk bekerja semula, lebih-lebih lagi ketika negara sedang menghadapi masalah kekurangan pekerja. Saya difahamkan ramai bekas penagih yang mempunyai kelulusan tinggi dan mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang seperti komputer, pertukangan tangan, jahitan dan membuat rumah. Malahan penghuni-penghuni pusat serenti diberikan kemahiran vokasional ketika menjalani rawatan, seperti membaiki kenderaan, jahitan, membuat perabot, aktiviti pertanian dan lain-lain lagi.

15. Kebolehan bekas penagih ini boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta, selain daripada berharap kepada pekerja asing semata-mata. Bekas-bekas penagih juga boleh dimanfaatkan oleh agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang lain untuk membuat kerja- kerja seperti menyelenggara taman permainan, membina atau membaiki rumah murah dan lain-lain lagi. Dengan itu, saya meminta supaya pihak-pihak yang terbabit dapat memberikan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan hasrat ini.

16. Dalam pada itu, saya juga berharap pihak media dapat membantu usaha-usaha menangani gejala ini. Liputan berunsur sensasi haruslah dielakkan. Sebaliknya, usaha- usaha untuk memberikan gambaran yang jelas dan tepat patut diutamakan, termasuk tentang kerja-kerja sukarelawan dalam membendung masalah dadah ini.

Saudara dan saudari sekelian

17. Pendek kata, kita perlu melibatkan semua pihak dalam usaha menangani gejala dadah. Apa yang diperlukan ialah penjagaan yang berterusan dalam hal ini, atau apa yang disebut sebagai "continuum of care". Sekiranya terdapat kelemahan dalam mana-mana aspek pencegahan atau rawatan, maka akan lemahlah seluruh usaha kita untuk membendung dadah.

18. Oleh itu, kita perlu mengambil pendekatan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi dadah. Semua agensi, N.G.O. dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita. Pihak kementerian dalam negeri sendiri sedang berusaha untuk melaksanakan beberapa program baru, termasuk menjadikan pusat serenti sebagai anak angkat kepada institusi pengajian tinggi (I.P.T.); menempatkan penagih (yang berada di fasa pra-pembebasan) di sektor swasta, seperti di kilang-kilang; mengadakan program khidmat masyarakat oleh penghuni pusat serenti; menerokai modul rawatan yang baru, dan lain-lain lagi.

19. Agensi dadah kebangsaan di K.D.N. juga telahpun dimantapkan dari segi organisasi, tenaga manusia dan sistem/peralatan untuk menjadi `lead agency' dalam usaha ini. Saya berharap pihak-pihak yang terlibat akan memberikan bantuan dan sokongan kepada A.D.K. dalam mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi. Dalam pada itu, saya juga ingin mengumumkan bahawa di peringkat pentabiran kerajaan negeri, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan untuk menyelaras semua aktiviti dan program anti-dadah. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri dan dianggotai oleh pihak- pihak yang relevan, dan diurusetiakan oleh A.D.K. di peringkat negeri.

20. Saya percaya tahun 2003 akan memulakan satu detik dan era baru dalam usaha kita membasmi dadah. Bak kata pepatah: "tepuk dada, tanyalah selera". Sekiranya kita menanam semangat dan berusaha secara bersama, saya yakin usaha-usaha kita akan beroleh kejayaan, Insya-Allah.

21. Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada A.D.K. dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha-usaha ini diberkati Allah S.W.T., demi kebaikan kita dan negara. Maka dengan itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya melancarkan "Tahun 2003 Perangi Dadah Habis-habisan".

Sekian, terima kasih.


Sumber : http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklahtpm&id=3273

Bacaan Tambahan:
1. Perutusan Ketua Pengarah AADK -Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2013. http://nodrugplease.blogspot.com/2013/02/perutusan-ybhg-ketua-pengarah-aadk.html

2. Ucapan YAB Tun Mahathir bin Mohamad - Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 1983.
http://nodrugplease.blogspot.com/2014/01/1983-dadah-musuh-nombor-1-negara.html


Ambil Kisah. Ambil Tindakan.




Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya