#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

20 January 2014

2003: Perangi Dadah Habis-habisan


Penyampai:DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk:SAMBUTAN HARI ANTI-DADAH KEBANGSAAN
Lokasi:DEWAN MILLENNIUM, KEPALA BATAS, PULAU PINANG
Tarikh:29-03-2003


1. Terlebih dahulu saya besyukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah kurnia dan rahmatNya dapat kita berkumpul di sebuah majlis yang begitu penting dan bermakna ini. Saya gembira melihat kehadiran begitu ramai orang di sini, yang datang dari jauh dan dekat, untuk bersama-sama memberi bantuan dan sokongan dalam usaha kita memerangi gejala dadah.

2. Kerajaan telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor satu negara sejak tahun 1983 lagi. Kini, setelah 20 tahun berlalu, gejala ini masih belum dapat dibendung sepenuhnya, malah semakin serius. Penyalahgunaan dadah kini merangkumi jenis dadah bukan sintetik (seperti heroin, morfin, candu dan ganja) dan jenis sintetik (seperti syabu, pil psikotropik, ecstasy dan amphetamine). Sepanjang tahun 2002, seramai 31,893 orang penagih dadah telah dikesan oleh pihak berkuasa. Jumlah penagih dadah terkumpul yang direkodkan oleh Agensi Dadah Kebangsaan (A.D.K.) Daripada tahun 1988 hingga 2002 adalah seramai 235,495 orang, termasuk kira-kira 50,000 orang penagih tegar. Badan-badan bukan kerajaan (N.G.O.) pula menganggarkan terdapat kira-kira 350,000 orang yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di dalam negara. Angka ini dikatakan bertambah sebanyak 1,300 penagih dadah setiap bulan.

3. Gejala dadah membawa pelbagai kos dan kesan buruk kepada negara. Kebanyakan penagih dadah merupakan golongan belia - pada tahun lepas, hampir 80 peratus daripada penagih dadah yang dikesan berumur di antara 18 hingga 40 tahun. Kumpulan muda ini merupakan tenaga penggerak yang diperlukan bagi usaha pembangunan negara. Selain itu, masalah penyalahgunaan dadah mempunyai kaitan dengan kejadian jenayah. N.G.O.- N.G.O. yang terlibat menganggarkan kira-kira 50 peratus daripada banduan yang dipenjarakan ada hubung-kait dengan isu dadah. Gejala dadah ini juga mengenakan kos secara langsung dan tidak langsung kepada negara, seperti kos pengawasan polis, kos rawatan dan kebajikan para penagih, dan kos tambahan kepada sistem kesihatan nasional.

4. Kejadian penyakit h.i.v./aids juga bertambah ketara disebabkan masalah penyalahgunaan dadah. Ini berpunca daripada amalan perkongsian jarum yang berleluasa dikalangan penagih-penagih dadah. Sebanyak 51,256 kes h.i.v./aids telah dilaporkan di dalam negara semenjak tahun 1986. Lebih membimbangkan, kejadian penyakit ini telah bertambah pada kadar yang lebih tinggi dewasa ini. Pada tahun lepas, purata sebanyak 19 kes baru telah dilaporkan setiap hari, berbanding 13 kes baru pada tahun 2001. Di dalam hal ini, sebanyak 77 peratus daripada mereka yang mengidap penyakit h.i.v./aids merupakan penagih dadah. Justeru, usaha-usaha membendung gejala dadah tidak dapat dipisahkan daripada usaha-usaha untuk menangani penyakit h.i.v./aids.

Saudara dan saudari sekelian

5. Kerajaan telah membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk mengatasi gejala dadah. Kita telah membina infrastruktur yang serba lengkap, termasuk kemudahan hospital dan 28 pusat serenti di seluruh negara. Kita telah menggubal antara undang-undang anti-dadah yang paling berat di dunia. Kita juga telah mendirikan agensi- agensi kerajaan yang diberi tanggungjawab dan kuasa penuh untuk menangani masalah dadah.

6. Walaupun begitu, usaha-usaha kita belum membuahkan hasil yang memuaskan. Bilangan penagih dadah semakin ramai. Kini kita berhadapan dengan dadah-dadah sintetik baru yang lebih merbahaya, dan kejadian-kejadian lain seperti penyalahgunaan ubat batuk dan aktiviti menghidu glu. Dalam pada itu, usaha-usaha rawatan dan pemulihan penagih dadah tidak berjaya seperti yang diharapkan. Kadar penagih yang telah mula menagih dadah semula (iaitu "relapse rate") selepas melalui rawatan dan pemulihan begitu tinggi (dianggarkan sekitar 70 peratus oleh badan- badan N.G.O.), walaupun kita sudah mempunyai pengalaman kira-kira 30 tahun dalam usaha rawatan seperti ini.

7. Sebenarnya, masa telah berlalu dan cabaran-cabaran kita telah berubah. Oleh itu, kita perlu mengkaji semula cara kita menangani gejala dadah dan memperbaharui pemikiran kita di dalam hal ini. Antara lain, kita perlu menilai semula kaedah dan tindakan agensi kerajaan, penglibatan pihak-pihak N.G.O. dan bekas-bekas penagih dadah, tanggungjawab ibu bapa dan pemimpin masyarakat, tugas dan fungsi majikan dan sektor swasta, serta peranan media di dalam usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah.

8. Walaupun begitu, kerajaan akan tetap bertegas dalam menguatkuasakan undang-undang negara berkaitan dadah. Pihak berkuasa negara telahpun mencapai banyak kejayaan dalam gerakan menghapuskan kegiatan pengedaran dadah. Tahun lalu, seramai 25,906 orang telah ditangkap di bawah akta-akta yang berkaitan, termasuk 2,167 orang di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya (yang membawa hukuman gantung sampai mati sekiranya disabitkan kesalahan). Agensi-agensi penguatkuasa juga telah berjaya mengesan dan merampas kuantiti dadah yang tinggi sejak akhir-akhir ini. Saya ingin mengucapkan syabas kepada agensi-agensi tersebut. Usaha ini perlu diteruskan, malah dipertingkatkan lagi.

9. Dari segi penagihan dadah pula, kita perlu berganjak daripada fokus yang menekankan aspek jenayah/punitif bagi penagih dadah, kepada pendekatan memerangi `penyakit' penagihan dadah yang boleh dipulihkan melalui rawatan. Kita bersimpati dan berasa sedih kerana begitu ramai anak- anak muda yang telah sesat dan terjebak ke arah penyalahgunaan dadah. Penyakit ini perlu dirawat dan dihapuskan, agar generasi akan datang berupaya menjauhkan diri daripada gejala ini. Justeru, pusat-pusat rawatan dadah perlu mempertingkatkan keupayaan mereka untuk menjalankan kaunseling dan memulihkan penagih-penagih dadah dengan lebih berkesan.

10. Masyarakat juga perlu merubah pemikiran mereka tentang dadah. Masalah penyalahgunaan dadah adalah masalah bersama, dan bukan masalah pihak berkuasa semata- mata. Sesungguhnya, masalah dadah tidak mengenal batasan politik, agama, bangsa, sosial dan kebudayaan. Ini bermakna perjuangan memerangi dadah memerlukan penglibatan secara total. Oleh itu, semua pihak perlu berkongsi tanggungjawab dan kumpulan yang akan berusaha membasmi dadah perlu diperbesarkan. Antara lain, kita harus lebih melibatkan N.G.O.- N.G.O. dalam usaha ini, dan mempertingkatkan lagi hubungan kerjasama antara pihak berkuasa dan pelbagai N.G.O. yang terbabit.

11. Saya juga berharap pemimpin-pemimpin masyarakat yang lain, termasuk ketua-ketua kampung dan para guru, akan turut bersama di dalam usaha ini. Sebenarnya, pendidikan adalah salah satu mekanisme terbaik dalam menangani masalah ini. Kalau dilihat daripada profil penagih yang dikesan, 72 peratus daripada mereka hanya mendapat pendidikan sehingga tingkatan tiga. Saya percaya sekiranya kita mempertingkatkan pendidikan di kalangan anak-anak muda, baik dari segi pendidikan khusus mengenai dadah mahupun pendidikan am, kita akan dapat mengawal gejala ini dengan lebih baik.

Saudara dan saudari sekelian

12. Walaupun institusi keluarga kini menghadapi pelbagai cabaran getir akibat perubahan-perubahan ekonomi, sosial dan teknologi yang sedang melanda, namun penglibatan ibu bapa dan lain-lain ahli keluarga amat diperlukan bagi menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ibu bapa perlu memainkan peranan yang berkesan dalam memberi kasih sayang dan penjagaan kepada anak-anak mereka, agar anak-anak itu tidak terperangkap di dalam gejala dadah. Justeru, saya berharap latihan kemahiran keibubapaan dapat dipertingkatkan lagi, melalui usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak kerajaan, pelbagai yayasan dan pihak-pihak yang lain.

13. Selain aspek pencegahan, pihak keluarga juga perlu memainkan peranan dalam memulihkan ahli keluarga yang telah menjadi penagih dadah. Bekas-bekas penagih yang telah melalui rawatan haruslah diterima balik ke pangkuan keluarga masing-masing. Saya amat khuatir sekiranya perasaan prasangka terhadap para penagih menebal di kalangan ahli-ahli keluarga sendiri, maka mereka akan berasa tersisih dan akan mudah kembali kepada penyalahgunaan dadah. Kita harus sedar dan memberikan mereka harapan dan peluang untuk memulakan kehidupan baru.

14. Saya juga menyeru agar para majikan dapat mengikis perasaan prejudis mereka dan memberi bekas-bekas penagih dadah peluang untuk bekerja semula, lebih-lebih lagi ketika negara sedang menghadapi masalah kekurangan pekerja. Saya difahamkan ramai bekas penagih yang mempunyai kelulusan tinggi dan mempunyai kemahiran dalam bidang-bidang seperti komputer, pertukangan tangan, jahitan dan membuat rumah. Malahan penghuni-penghuni pusat serenti diberikan kemahiran vokasional ketika menjalani rawatan, seperti membaiki kenderaan, jahitan, membuat perabot, aktiviti pertanian dan lain-lain lagi.

15. Kebolehan bekas penagih ini boleh dimanfaatkan oleh sektor swasta, selain daripada berharap kepada pekerja asing semata-mata. Bekas-bekas penagih juga boleh dimanfaatkan oleh agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan yang lain untuk membuat kerja- kerja seperti menyelenggara taman permainan, membina atau membaiki rumah murah dan lain-lain lagi. Dengan itu, saya meminta supaya pihak-pihak yang terbabit dapat memberikan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan hasrat ini.

16. Dalam pada itu, saya juga berharap pihak media dapat membantu usaha-usaha menangani gejala ini. Liputan berunsur sensasi haruslah dielakkan. Sebaliknya, usaha- usaha untuk memberikan gambaran yang jelas dan tepat patut diutamakan, termasuk tentang kerja-kerja sukarelawan dalam membendung masalah dadah ini.

Saudara dan saudari sekelian

17. Pendek kata, kita perlu melibatkan semua pihak dalam usaha menangani gejala dadah. Apa yang diperlukan ialah penjagaan yang berterusan dalam hal ini, atau apa yang disebut sebagai "continuum of care". Sekiranya terdapat kelemahan dalam mana-mana aspek pencegahan atau rawatan, maka akan lemahlah seluruh usaha kita untuk membendung dadah.

18. Oleh itu, kita perlu mengambil pendekatan yang strategik, menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi dadah. Semua agensi, N.G.O. dan pihak-pihak yang lain haruslah bekerjasama dan menyelaras usaha-usaha mereka. Idea-idea baru perlu difikirkan untuk memberi nafas segar kepada usaha-usaha kita. Pihak kementerian dalam negeri sendiri sedang berusaha untuk melaksanakan beberapa program baru, termasuk menjadikan pusat serenti sebagai anak angkat kepada institusi pengajian tinggi (I.P.T.); menempatkan penagih (yang berada di fasa pra-pembebasan) di sektor swasta, seperti di kilang-kilang; mengadakan program khidmat masyarakat oleh penghuni pusat serenti; menerokai modul rawatan yang baru, dan lain-lain lagi.

19. Agensi dadah kebangsaan di K.D.N. juga telahpun dimantapkan dari segi organisasi, tenaga manusia dan sistem/peralatan untuk menjadi `lead agency' dalam usaha ini. Saya berharap pihak-pihak yang terlibat akan memberikan bantuan dan sokongan kepada A.D.K. dalam mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diberi. Dalam pada itu, saya juga ingin mengumumkan bahawa di peringkat pentabiran kerajaan negeri, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan untuk menyelaras semua aktiviti dan program anti-dadah. Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh setiausaha kerajaan negeri dan dianggotai oleh pihak- pihak yang relevan, dan diurusetiakan oleh A.D.K. di peringkat negeri.

20. Saya percaya tahun 2003 akan memulakan satu detik dan era baru dalam usaha kita membasmi dadah. Bak kata pepatah: "tepuk dada, tanyalah selera". Sekiranya kita menanam semangat dan berusaha secara bersama, saya yakin usaha-usaha kita akan beroleh kejayaan, Insya-Allah.

21. Akhir kata, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada A.D.K. dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar usaha-usaha ini diberkati Allah S.W.T., demi kebaikan kita dan negara. Maka dengan itu, dengan lafaz bismillahir rahmanir rahim, saya dengan sukacitanya melancarkan "Tahun 2003 Perangi Dadah Habis-habisan".

Sekian, terima kasih.


Sumber : http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklahtpm&id=3273

Bacaan Tambahan:
1. Perutusan Ketua Pengarah AADK -Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2013. http://nodrugplease.blogspot.com/2013/02/perutusan-ybhg-ketua-pengarah-aadk.html

2. Ucapan YAB Tun Mahathir bin Mohamad - Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 1983.
http://nodrugplease.blogspot.com/2014/01/1983-dadah-musuh-nombor-1-negara.html


Ambil Kisah. Ambil Tindakan.




No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya