#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

28 February 2014

2001 : Ucapan Pak Lah di Hari Antidadah Antarabangsa



Penyampai:DATUK SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI
Tajuk:MAJLIS PERINGATAN HARI ANTI DADAH ANTARABANGSA 2001
Lokasi:AUDITORIUM PERDANA ANGKASAPURI KUALA LUMPUR
Tarikh:26-06-2001

YB Tan Sri Mohd. Khalil Yaakob Menteri Penerangan Malaysia

YB Timbalan-timbalan Menteri Dalam Negeri

YB Setiausaha Parlimen Kementerian Dalam Negeri

Y. Bhg Dato' Aseh Che' Mat Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Y. Bhg. Dato' Salleh Mat Som Ketua Pengarah Agensi Dadah Kebangsaan Kementerian Dalam Negeri

Ketua-ketua Jabatan Kerajaan

Tan Sri, Dato' Seri, Dato'

Tuan-tuan dan puan-puan hadirin sekalian,

2. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahuwataala kerana dengan limpah rahmatnya dapatlah kita berkumpul pada pagi ini dalam suasana yang aman lagi meriah untuk memperingati Hari Anti Dadah Antarabangsa Peringkat Kebangsaan tahun 2001.

3. Kita menyambut Hari Anti Dadah Antarabangsa kerana komitmen kita dengan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (PBB). Di peringkat antarabangsa kita menganggotai badan-badan utama seperti United Nations Commission on Narcotic Drugs, The International Narcotics Control Board, Head of National Law Enforcement Agencies (HONLEA) dan ASEAN Senior Officials on Drug Matters (ASOD). Melalui kerjasama badan- badan tersebut kita berkongsi maklumat mengenai pembekalan dan permintaan dadah, program- program anti dadah yang dilaksanakan di Malaysia akan lebih berjaya.

4. Atas visi dan daya usaha Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad menerusi persidangan antarabangsa mengenai penagihan dan pengedaran dadah yang berlangsung di Vienna, Austria pada tahun 1987, pihak PBB telah mengisytiharkan tarikh 26 Jun sebagai Hari Anti Dadah Kebangsaan. Mulai tarikh itu segala usaha untuk memerangi ancaman penyalahgunaan dadah dan pengedaran dadah secara yang tersusun dan integrated di seluruh dunia dipergiatkan.

5. Pada pagi ini kerajaan sekali lagi mengulangi komitmen, bagi mengingatkan kita semua untuk terus memerangi dadah. Pada tahun ini tema yang diberi oleh PBB ialah "Sports vs Drug". Bagaimanapun kita telah sesuaikan tema ini dengan keadaan suasana Malaysia. Tema kita ialah "Menjana generasi tanpa dadah" dianggap paling sesuai selaras dengan strategi kerajaan Malaysia untuk mencapai visi mewujudkan generasi bebas daripada dadah menjelang dadah menjelang tahun 2015. Di peringkat negara- negara ASEAN yang lain juga sepakat menjadikan tahun 2015 sebagai tahun drug-free ASEAN.

6. Strategi kerajaan untuk mencapai misi generasi tanpa dadah supaya mereka ini nanti dapat menjadi individu yang produktif dan anggota masyarakat yang boleh dipertanggung- jawabkan untuk memimpin negara. Dalam masa 10 hingga 15 tahun ke hadapan golongan ini akan menjadi teras kepada masyarakat sama ada sebagai pemimpin, pentadbir, polis, tentera, pekerja sektor awam, swasta dan sebagainya menggantikan (phase out) teras anggota masyarakat sekarang ini.

7. Untuk menjadikan golongan remaja dan belia hari ini bebas dari dadah, peranan semua pihak selain dari kerajaan adalah sangat dituntut. Kerajaan sedang dan akan terus menyediakan program-program pencegahan dan rawatan yang berkesan untuk mencegah penyalahgunaan dadah dan merawat penagih dadah. Pihak polis dan kastam perlu meneruskan tindakan membanteras bekalan dadah, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) ada peranannya untuk mencegah supaya pusat-pusat hiburan tidak digunakan sebagai tempat pengambilan atau pengedaran dadah.

8. Program-program pencegahan yang dibuat oleh kerajaan tentu sekali tidak akan berkesan atau berjaya sepenuhnya jika tidak disokong atau dibantu oleh ibu bapa, guru-guru, majikan, dan pertubuhan-pertubuhan sukarela. Saya melihat ibu bapa sebagai penjana yang sangat penting untuk mendidik anak-anak supaya membenci kepada dadah. Ini adalah kerana sesiapa pun tak kira keturunan dalam keadaan yang biasa akan menghormati dan mendengar cakap ibu bapa, lebih- lebih lagi di pihak ibu. Dengan kekuatan yang ada pada ibu khususnya, saya yakin anak-anak yang baik akan mendengar cakap ibu bapa. Berilah penerangan yang jelas tentang bahaya penyalahgunaan dadah kepada anak-anak dan semaikanlah kedalam diri mereka sikap membenci dadah.

9.Ibu bapa perlu mewujudkan suasana rumahtangga yang harmoni. Kalau rumahtangga tidak aman, tentu sekali jiwa anak-anak jadi tertekan. Ini boleh menjadi salah satu sebab yang mendorong mereka berjinak dengan dadah, apatah lagi jika ada pengaruh yang kuat dari kawan-kawan sekeliling. Ibu bapa perlu mengawasi pergerakan, pergaulan dan tingkah laku anak- anak. Jangan biarkan mereka berkawan dengan kawan-kawan yang disyaki mengambil dadah atau yang tidak bermoral. Untuk melaksanakan tanggungjawab mendidik anak-anak supaya bebas dari dadah tentu sekali para ibu bapa sewajarnya mengambil tahu mengenai dadah, tanda- tanda orang mengambil dadah dan bahaya penggunaannya.

10. Selanjutnya guru turut memainkan peranan penting untuk menjana generasi tanpa dadah kerana selain dari ibu bapa, pihak kedua yang dihormati oleh seseorang ialah gurunya. Peranan guru dan peranan ibu bapa adalah saling `compliment'. Cakap guru seperti juga cakap ibu bapa, malah kadang-kadang seseorang anak itu lebih patuh kepada cakap guru dari ibu bapa. Dengan demikian saya berharap guru-guru dan pihak pentadbir sekolah rendah dan menengah, kolej, institusi pendidikan tinggi (IPT/IPTA) dapat menggandakan usaha-usaha mendidik pelajar-pelajar supaya membenci dadah dan menjauhi diri dari dadah. Saya berharap supaya diberikan kerjasama yang padu bagi menjayakan program-program pencegahan dari masa ke semasa di sekolah, kolej dan juga institusi pengajian tinggi.

11. Pihak majikan baik majikan kerajaan atau swasta juga dapat memainkan peranan penting menjana generasi tanpa dadah. Pihak majikan dapat mengadakan peraturan-peraturan yang perlu dipatuhi oleh pekerjanya yang memberi kesan kepada seseorang anggota bawahan. Pihak pengurusan harus menunjukkan komitmen yang lebih serius untuk mewujudkan tempat kerja bebas dari dadah. Pekerja-pekerja harus didedahkan dengan program dan aktiviti pencegahan dadah dari semasa ke semasa di tempat kerja masing-masing. Bilangan anggota perkhidmatan awam misalnya melebih 800,000 orang. Mereka boleh mengadakan program-program untuk menghapuskan gejala sosial termasuk pengambilan dadah di kalangan anggota dan juga keluarga anggota organisasi mereka. Apabila anggota organisasi bebas dari dadah, mereka akan dapat membentuk tempat kerja yang bebas dari dadah dan selanjutnya membantu membentuk masyarakat setempatnya bebas dari dadah.

12. Pekerja di sektor perkilangan kebanyakannya terdiri daripada golongan belia pelbagai kaum. Mereka ini datangnya dari pelbagai latar belakang kehidupan - dari kampung, kampung baru, kampung nelayan, bandar, dan tanah rancangan. Mereka juga mempunyai pelbagai peringkat pendidikan - dari yang rendah hingga ke peringkat ijazah. Jika pihak majikan komited membuat peraturan-peraturan yang sesuai tentang penyalahgunaan dadah dan mengadakan program-program anti dadah di tempat kerja, saya yakin masalah penyalahgunaan dadah pekerja di sektor perkilangan dapat diatasi. Dalam hal ini saya meminta pihak majikan swasta supaya dapat memberikan kerjasama untuk mengadakan program "tempat kerja bebas dari dadah".

13. Kerajaan sedar bahawa bilangan penganggur, ramai yang terdiri dari golongan belia. Pada tahun 2000 didapati seramai 4,068 atau 13.3% penagih adalah dari golongan penganggur. Golongan ini juga perlu diberi perhatian oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan seperti Kementerian Belia. Golongan belia yang menganggur mudah terlibat dengan masalah dadah. Justeru itu mereka perlu dibantu dengan cara- cara seperti melatih mereka dalam bidang-bidang seperti perniagaan, pertanian, kemahiran teknikal, sukan, agama dan sebagainya.

14. Seperti yang kita ketahui, di negara kita banyak pertubuhan-pertubuhan sukarela. Bilangan pertubuhan induk sahaja sudah hampir 30,000, manakala cawangan-cawangannya pula hampir 58,000. Pertubuhan-pertubuhan yang ada ini janganlah hendaknya berminat dengan isu-isu sensasi seperti hak asasi manusia dan kebebasan bersuara sahaja. Mereka patut lihat dengan serius masalah dadah dalam negara kita dan juga peringkat global. Pada saya mereka harus bersama menangani masalah dadah. Ini kerana permasalahan dadah memerlukan perhatian yang serius dari semua pihak. Oleh itu musuh ini perlu kita banteras agar negara kita aman, bebas dari dadah, demi untuk masa hadapan generasi yang akan datang.

15. Dalam hal ini pertubuhan dan kelab belia dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti kesedaran dan pencegahan dadah. Mulakannya dari sekarang dan bagi yang sudah bermula, laksanakanlah dengan berterusan dan tersusun supaya ada kesannya.

16. Seterusnya saya mengharapkan juga semangat kejiranan sentiasa menjiwai setiap individu. Dengan adanya semangat kejiranan, InsyaAllah ianya akan wujudlah keadaan harmoni, tolong menolong dan hormat menghormati dalam masyarakat. Jika suasana ini terbentuk, sudah pasti perkara-perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah dapat diatasi dan semua orang komited untuk tidak melihat perkara yang buruk ini berlaku di kawasan mereka. Saya mengharapkan semangat kejiranan yang telah dibentuk dan diwarisi melalui sektor rukun tetangga, jawatankuasa keselamatan kemajuan kampung dan persatuan penduduk hendaklah diteruskan dan dipelihara oleh kita semua.

17. Seruan untuk membawa rakyat kepada kesejahteraan dan keselamatan tanpa dadah harus juga dipelopori oleh tokoh-tokoh agama. Para alim ulama dan tokoh-tokoh agama termasuk para imam dan pendakwah-pendakwah yang mempunyai pengaruh yang besar dalam masyarakat perlu prihatin terhadap masalah dadah yang menimpa sebilangan besar umat Islam di negara ini. Peranan dan sumbangan tuan-tuan sangatlah dihargai. Tindakan yang lebih pro-aktif adalah diharapkan. Saya mahu melihat program yang menjurus ke arah membasmi masalah dadah dilipat gandakan di semua kariah di seluruh negara kita. Gunakan masa, peluang dan kedudukan untuk memandu rakyat ke arah kebaikan. Pastikan semua kariah bersih dari masalah dadah.


Akhirnya saya dengan lafaz Bismillahhirahmannirrahim merasmikan Hari Anti Dadah Antarabangsa Peringkat Antarabangsa tahun 2001.


sumber: http://www.pmo.gov.my/ucapan/?m=p&p=paklahtpm&id=3388



No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya