#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

28 February 2014

Perutusan YAB Perdana Menteri Sempena Hari Antidadah 2014

PERUTUSAN
YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
SAMBUTAN HARI ANTIDADAH TAHUN 2014



Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.


Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t  di atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta ini. Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita capai dan pelbagai dugaan juga telah kita atasi demi membawa Malaysia ke arah negara maju menjelang tahun 2020.

2. Sesungguhnya dalam memacu pembangunan negara, kerajaan tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar dari pelbagai penyakit sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan moral seperti masalah penyalahgunaan dadah. 

3.  Oleh yang demikian, saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri telah menganjurkan Sambutan Hari Antidadah. Ia bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah yang boleh menjejaskan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan sosio-politik serta ekonomi negara.

4. Kerajaan telah menyediakan perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan secara terbuka kepada semua golongan masyarakat yang menghadapi permasalahan dadah melalui Klinik Cure and Care 1Malaysia sejak tahun 2010. Sehingga kini, kerajaan telah berjaya menubuhkan 12 buah Klinik Cure and Care 1Malaysia di seluruh negara dan seramai 39, 452     [1] orang telah mendapat perkhidmatan. Daripada jumlah tersebut, 13,256 orang (33.6%) merupakan klien inpatient, 11,342 orang (28.7%) merupakan klien outpatient dan 14,854 orang (37.6%) merupakan klien hasil rujukan dan advokasi.

5. Perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan juga telah diperluaskan di dalam komuniti dengan menyediakan Cure and Care Service Centre (CCSC). Kerajaan telah menyediakan sebanyak 58 buah CCSC  di seluruh negara dan sehingga kini, sejumlah 673,548[2] sesi perkhidmatan telah diberikan kepada klien, ahli keluarga klien serta seluruh masyarakat yang memerlukan perkhidmatan berkaitan permasalahan dadah.

6. Penglibatan komuniti dalam mengatasi masalah dadah amatlah penting. Oleh itu, Caring Community House (CCH) telah ditubuhkan dengan menjadikan ahli komuniti sebagai tenaga penggerak utama. CCH merupakan pusat aktiviti harian yang menyediakan perkhidmatan bimbingan, khidmat nasihat, serta rujukan dan advokasi kepada masyarakat setempat yang mempunyai masalah dadah. Program dan aktiviti tersebut dilaksanakan sendiri oleh ahli jawatankuasa CCH bersama masyarakat setempat dan AADK hanyalah sebagai penasihat. Sehingga kini, terdapat 78 buah CCH di seluruh negara dan sejumlah 228, 264[3] sesi perkhidmatan telah diberikan.

7.  Kerajaan mendapati bahawa kesemua perkhidmatan tadi telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pelbagai golongan klien dari semua peringkat tanpa mengira umur dan status sosio-ekonomi. Ia adalah satu petanda yang positif dan menunjukkan bahawa pendekatan transformasi yang berlandaskan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah diterima rakyat.

8. Dari satu segi, pencapaian ini telah melonjakkan mutu perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah ke tahap yang lebih tinggi iaitu dengan mengambil kira keperluan pelanggan. Dari sudut yang lain pula, kerajaan menyedari bahawa masalah penagihan dadah telah menular dan menjadikan kanak-kanak dan remaja muda sebagai mangsa. Ini adalah kerana kita mendapati penyalahgunaan dadah dalam kalangan klien yang mendapatkan rawatan dan pemulihan terutamanya di Klinik Cure and Care 1Malaysia menunjukkan masalah tersebut telah bermula seawal umur 10 tahun.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

9. Kajian ke atas kos ekonomi penyalahgunaan dadah oleh pengkaji dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 2009 mendapati sejumlah RM 8.65[4] billion telah di belanjakan oleh kerajaan melalui kos langsung (perbelanjaan agensi-agensi penguatkuasaan dan pemulihan berkaitan pemulihan dadah) dan kos tidak langsung ( kos rawatan kesihatan, kos kehilangan produktiviti dan kos berkaitan jenayah seramai 63, 884 orang penagih dadah). Ini menjadikan kos perkapita penagihan dadah di Malaysia adalah RM332.

10.       Sekiranya kos tersebut digunakan untuk membina sekolah menengah kebangsaan berkapasiti 1,200 orang pelajar, kerajaan berupaya menyediakan 216 buah sekolah dan seramai 259,200 orang pelajar boleh mendapat faedahnya.

11.       Pada hemat saya, sekiranya kita berjaya menangani masalah penyalahgunaan dadah secara bersama, sudah pasti kos seperti ini boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih penting dan memberi manafaat kepada semua rakyat.

12.       Pada hari ini, selepas 31 tahun kerajaan berusaha menangani masalah dadah, kita menyambut Hari Antidadah sekali lagi dengan bertemakan AADK Prihatin, Rakyat Sejahtera. Tema ini dipilih sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat iaitu menyediakan perkhidmatan yang benar-benar diperlukan oleh ahli komuniti dan masyarakat seperti outreaching, lawatan ke rumah, home – based treatment, serta memberikan sokongan langsung kepada klien dan ahli keluarga yang terlibat dengan permasalahan dadah. Sejajar dengan itu, perkhidmatan Klinik Bergerak Cure and Care telah dimulakan oleh AADK dengan tujuan dapat mendekati klien, ahli keluarga dan masyarakat yang tidak mendapat akses ke Klinik Cure and Care 1Malaysia.

13.       Kerajaan juga prihatin dengan masalah dadah yang selalunya berpunca dari kepincangan institusi keluarga. Oleh itu saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar memastikan keluarga kita mengamalkan kehidupan yang sejahtera dan saya percaya situasi ini akan menghindarkan anak-anak atau orang yang anda sayangi dari terlibat dengan masalah dadah.  

14.       Penyalahgunaan dadah cenderung untuk berlaku di dalam rumah kita sendiri. Oleh itu, setiap ibu bapa dan ahli keluarga perlu prihatin dengan perubahan tingkahlaku anak-anak agar pencegahan awal dapat dilaksanakan. Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak, hormatilah perasaan dan pendapat mereka serta didiklah mereka mengenai kesan buruk dadah supaya mereka mendapat maklumat yang betul.

15.       Kehidupan yang tidak bahagia dan tidak selesa di rumah menjadikan kanak-kanak dan remaja terus terdedah dengan masalah penyalahgunaan dadah. Ini adalah kerana kepercayaan anak-anak kepada ibu bapa sangat sedikit berbanding dengan pengaruh rakan sebaya. Rentetan itu, didorong pula dengan perasaan ingin tahu yang tinggi akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh dengan gejala yang negatif.   

16.        Sesungguhnya, pemerhatian kita juga menunjukkan penagihan dadah dalam kalangan remaja turut dikaitkan dengan masalah ketagihan yang lain seperti ketagihan alkohol dan ketagihan seks. Ini menjadikan masalah ini bertambah kompleks dan proses rawatan dan pemulihan adalah rumit dan memerlukan kepakaran dan kemahiran yang tinggi. Kesannya, masalah sosial lain akan turut berlaku seperti aktiviti seks bebas, vandalisme dan keruntuhan akhlak.

17.       Oleh itu, bertindaklah sekarang, kerana sekiranya kita terlewat, mungkin ketika itu anak-anak atau orang yang kita sayangi telah pun menjadi mangsa dadah.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

18.       Saya juga menyeru kepada semua, jadilah ahli komuniti yang prihatin dengan menyertai sukarelawan antidadah AADK yang dikenali sebagai SKUAD 1Malaysia untuk memberi bantuan kepada orang atau ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah dadah.

19.       Kerajaan menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh seluruh sukarelawan yang tidak putus asa dan tanpa rasa jemu dalam membantu orang lain yang berada di dalam kesukaran  seperti yang telah dilakukan oleh SKUAD 1Malaysia. Tahniah kepada seluruh SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin, yang sehingga kini telah mendapat keahlian berjumlah [5]223, 201 orang di seluruh negara. 80.5% daripada jumlah tersebut merupakan golongan remaja dan belia yang berusia 15 – 39 tahun.

20.       Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Social Care Foundation kerana telah menyumbangkan sebuah bas yang telah dijadikan Klinik Bergerak Cure and Care. Sesungguhnya sumbangan tersebut menunjukkan keprihatinan dan kesungguhan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Social Care Foundation dalam membantu kerajaan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan dadah.

21.       Saya juga sangat menghargai sumbangan yang telah diberikan oleh semua Badan-Badan Bukan Kerajaan seperti PEMADAM, PENGASIH, PENDAMAI, KOMITED Malaysia, Persatuan Rakan Sebaya Malaysia, Drug Free Youth Association, Yayasan Salam, Teratak Arfidah, dan Warisan Cahaya Gemilang serta lain-lain NGO kerana telah membantu kerajaan dalam memerangi masalah dadah di negara kita.

22.       Kerajaan juga mengucapkan tahniah kerana usaha-usaha membenteras masalah dadah dilakukan secara usahasama strategik di antara jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian. Antaranya adalah seperti Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Malaya, Polis Diraja Malaysia serta semua jabatan-jabatan di bawah KDN, Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.  

23.       Akhir kalam, pada sambutan Hari Antidadah tahun ini, saya menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar meluangkan masa yang berkualiti bersama keluarga, memberi perhatian kepada perasaan dan kehendak anak-anak dan sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan gejala yang negatif. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menjadikan komuniti kita selamat dari ancaman dadah supaya anak-anak kita dapat membesar dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya.

24.       Sesungguhnya, kerajaan komited dan bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih prihatin dan mesra serta memenuhi keperluan setiap pelanggan.


AADK PRIHATIN, RAKYAT SEJAHTERA.
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.



Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.





[1] Statistik klien di Klinik Cure and Care 1Malaysia sehingga 6 Februari 2014.
[2] Jumlah sesi perkhidmatan CCSC sehingga 31 Disember 2013.
[3] Jumlah sesi perkhidmatan di CCH sehingga 1 Februari 2014.
[4] Kos Ekonomi Penyalahgunaan Dadah., Jamal Ali, Sallahuddin Hassan & Noor Al Huda Abdul Karim, Jurnal Antidadah Malaysia, Jilid 6, Nombor 2, Disember 2009.
[5] Jumlah ahli SKUAD 1Malaysia sehingga 20 Januari 2014.

No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya