#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Catatan Seorang Aku

JUARA KATEGORI KOLEJ/ UNIVERSITI
NAMA PENULIS MUHAMMAD IZZAN BIN ZOLKAFLI
ALAMAT NO. 45, JALAN RANTAI 2, TAMAN KOBENA, 81200, JOHOR
BAHRU, JOHOR
TAJUK CERPEN CATATAN SEORANG AKU

Catatan doktor bagaikan halilintar yang memagut setiap
sendi yang menggerakkan tubuh kurusku ini. Humane immunodefeciency
virus atau lebih dikenali sebagai HIV telah bersarang dalam sel tubuhku.
Menggigil jemari tirusku memegang dokumen pengesahan sambil
mendengar penjelasan doktor tentang virus yang mendiami tubuhku.
Terkebil-kebil mataku cuba memproses segala maklumat yang aku terima.
Gelora hati ini cuma aku yang tahu. Hati ibu? Perasaan ayah? Bagaimana
aku mahu berdepan dengan mereka?
Pulang dari hospital, aku bergegas menelefon sahabatku Ray,
sebelum memberitahu keadaanku. Padaku, hanya Ray yang memahami.
Hanya Ray yang mengerti. Lima tahun kami belajar di luar negara, Ray
tempat aku bergantung rasa.
’Ray, Ray, Ray’’
Suara aku halus memenuhi ruang sambil jemari mendail
nombor sahabatku itu. Gagang diangkat. Tanpa berlengah, aku bercerita.
Setiap inci, setiap detik penerangan doktor yang menyesakkan akal aku
ceritakan pada dia. Sesekali aku teresak-esak menahan rasa. Usai aku
meluah rasa, Ray diam. Lama. Dia meletakkan gagang tanpa membalas
sepatah pun. Tiba-tiba, telefon bimbit aku berdering.
‘’You got that from me. I am sorry Zar. It has been three months now.
Haven’t got the time to tell you this. I am truly sorry.’’
Lututku menggigil. Takungan mataku pecah. Deras. Jarum
suntikan yang aku terima minggu lepas dicemari Ray. Ya, seorang sahabat
yang aku percaya dengan nyawaku mengkhianati aku sebegitu rupa. Aku
cuba menghubungi Ray sekali lagi. Gagal. Nyata hanya operator yang setia
menjawab setiap panggilan aku.
Tengahari itu aku pulang seperti biasa. Aku telah
memberitahu Suzy, kerani pejabatku yang aku tidak hadir hari ini.
Rupa-rupanya ada hukuman Tuhan di sebalik demam aku yang tidak
kebah-kebah. Segala panggilan aku abaikan. Segala mesyuarat aku
batalkan. Terasa tanggungjawab harian yang selama ini aku dampingi
menjadi dua kali berat bila ditambah dengan beban yang aku terima.
Aku ingin lari. Jauh.
Siapa sangka jarum terakhir yang aku kongsi untuk menyuntik
‘meth’ minggu lepas menjadi titik hitam dalam hidup aku. Siapa sangka
saat-saat yang aku luang melayan gianku bersama Ray di apartmen
kecilnya merupakan detik hitam yang melakar hari-hari gelap di hadapan
aku.
Akhirnya aku mengambil keputusan untuk memberitahu
berita itu kepada kedua orang tuaku. Sebelum aku mengambil keputusan
sedrastik itu, aku telah mempersiapkan diri dengan segala bentuk
cemuhan dan makian ayah. Aku juga telah menebalkan muka meminta
ihsan belas ibuku. Ibu bapa mana yang tidak kecewa dengan anak
serupa aku? Sejak aku menjawat jawatan di ibu kota, jarang sekali kaki
ini aku jejakkan ke kampung kecuali untuk urusan-urusan penting dan
menyambut perayaan besar. Jarang sekali aku mendail telefon bimbit
mahalku untuk bertanya khabar ayah, bermesra dengan ibu. Pulang ke
kampung, aku tetap melayan gajetku. Pulangku juga cuma sebentar.
Jarang benar bermalam. Ah, sesal itu datangnya kemudian.
Ayahku cuma mengucap panjang ketika menerima berita itu.
Ibu? Aku tidak tahu. Ayah melarang keras aku memberitahunya tentang
malapetaka yang menimpa aku. Hujung minggu itu, aku pulang menemui
mereka. Aku memohon cuti selama dua minggu atas alasan urusan
keluarga. Pulangku kali ini bukan atas dasar urusan penting. Bukan juga
atas dasar meraikan perayaan. Pulangku membawa duka.
Bila tapak kaki aku menjejaki pintu kamar tidurku, kelihatan
senaskhah Al-Quran diletakkan di atas katil. Sekeping kertas terselit
di situ.
‘’ Kalau kau sesat, carilah Tuhanmu nak ”
- Ayah.


Aku menyelak lembaran kitab suci. Hati aku sebak. 10 tahun
aku sombong. 10 tahun aku ego. Aku bergegas ke tandas mengambil
air sembahyang. Aku tunaikan solat Dhuha. Usai solat, aku menangis
sungguh-sungguh. Perlahan-lahan aku membuka lembaran kitab suci.
Menggigil-gigil aku membaca setiap patah ayat suci. Menitik air mataku
sambil lidahku terus menyebut kalam Tuhan. Buat pertama kali aku
mengakui betapa kerdilnya aku. Tiada sijil tinggi mampu menjadi benteng,
tiada kedudukan terhormat mampu menjadi penghalang, dari bahana yang
aku undang sendiri seandainya aku hidup bertuhankan nafsu.
****************************************
Tapi itu semua dahulu. Episod kelabu itu telah lebih tiga
tahun meninggalkan aku. Sesal?. Aku percaya Tuhan itu adil. Dia yang
menulis takdir hambanya, Dia sebaik-baik Perancang. Aku belajar
menerima HIV yang aku hadapi sebagai sebuah hakikat yang perlu aku
terima. Rutin harian hidupku dipenuhi dengan perskripsi yang berbagai.
Namun, demi sebuah kehidupan, aku gagahkan juga. Masa silamku yang
hampir memusnahkan segala yang aku usahakan juga mengajar aku erti
sebuah kehidupan-penerimaan dan kemaafan. Menerima hukuman di atas
kesalahan yang aku lakukan dan memaafkan diri sendiri kerana kesalahan
yang aku lakukan.
Ayah, andai aku mampu balas segala jasa dan budimu.
Ibu, andai aku mampu melakar lebih banyak senyuman di bibirmu
di hari-hari terakhirku. Aku tidak tahu selama mana hayatku mampu
dikandung badan. Selama mana tapakku berpijak di bumi Tuhan,
atau hidupku berbumbungkan langit Ilahi. Namun, akan aku cuba
manfaatkan perananku di hari-hari akhirku sebagai khalifah di bumi
Allah.


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan...
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.


No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya