#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Di Lorong Gelap itu

JUARA KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS NURLINA BT MOHD ISMAIL
ALAMAT NO. 2 JLN VISTA 2/14, DESA VISTA,
43900 SEPANG, SELANGOR.
TAJUK CERPEN: DI LORONG GELAP ITU


Sewaktu dia di dalam kantung rahimku. Berkongsi nyawa
denganku, acapkali aku terfikir bagaimanakah rupanya bila dewasa kelak.
Apa pekerjaannya. Bagaimana rupa wanita yang bakal disuntingnya
seterusnya menjadi menantu perempuanku. Adakah akhlaknya juga seindah
nama yang bakal kuberi padanya. Aiman. Aku pasti tersenyum sendiri
dengan persoalan yang penuh di benak fikiran.
Subhanallah… aku memuji-Nya. Kagum dengan kebesaran Allah tatkala
doktor meletakkan Aiman di dada ku sejurus selepas Aiman pertama kali
melihat dunia. Hilang terus rasa perit sakit melahirkannya. Ku kucup lembut
ubun kepalanya.
Anakku… kau lahir bersama cinta-Nya. Dewasalah kau dengan iman dan
ilmu. Jangkaukanlah langkahmu mencari kematangan diri. Ibu akan
memimpinmu, sayang. Namun sampai satu ketika, kau harus terbang
sendiri. Jika kau jatuh menyembah bumi. Bangkitlah dengan penuh daya
di hati…
Proses kelahiran Aiman begitu mudah. Sangka ku mendidiknya juga akan
turut mudah jua.
Sejak kelahiran Aiman aku memulakan catatan harian mengenainya.
Ada catatan buat senyumnya yang pertama. Saat dia mula berdiri, mula
menyebut ‘Ibu’, segalanya tidak terlepas dari coretan diariku. Sekali lagi
sangkaku tentu dia akan seronok membacanya bila tua kelak atau
sekurang-kurangnya buat bingkisan memori indah untuk cucu cicitku nanti.
Entah tiba-tiba catatan ini terhenti. Serasa amat sukar untuk kuletakkan
hujung pena di lembaran kertas. Terasa amat payah untuk diluahkan
kata-kata dari jiwa dan perasaan. Tanpa ku ketahui, Allah telah tentukan
takdir anakku ini di luh mahfuz lagi.
* *********************
Aku hanya mampu memandang sekujur tubuh yang telah
kaku diperbaringan. Tengik bau Clorox hanya menambah sesak nafas
dan senduku. Urusan penyelenggaraan jenazah semuanya diuruskan
pihak hospital. Inilah anak kecilku dulu. Selama 27 tahun begitu banyak
kenangan bersamanya. Memang ku akui anakku ini agak nakal berbanding
yang lain tetapi semakin menginjak remaja gelodak jiwanya semakin
sukar kuselami dasarnya.
Dan sewaktu usianya 15 tahun kusedari perubahan ketara
padanya. Aiman semakin agresif. Pantang ditegur cepat benar dia
melenting. Malahan pintu biliknya juga pecah ditendangnya. Anak-anak
yang lain semakin takut padanya. Malahan kesabaran suamiku juga
tergugat hingga tangannya menghinggapi pipi Aiman untuk pertama kali.

Guru di sekolah juga memaklumkan yang Aiman seringkali
gagal menghadirkan diri ke sekolah. Aku cuba menafikan pada diriku
sendiri namun aku tidak dapat menolak hakikatnya ke tepi. Aiman ku ini
kini bergelumang dengan najis dadah. Takut akan pengaruh sahabatnya
di kawasan perumahanku, aku tekad untuk menghantar Aiman tinggal
bersama nenek dan atuknya di kampung. Mungkin inilah yang terbaik buat
Aiman. Rupanya aku telah menghantarnya terus ke pintu neraka!
Semenjak hari itu aku tidak kenal lagi anak ku sendiri.
Dia ada haluan hidupnya. Entah di mana dia berumah? Entah terisikah
perutnya? Berbantalkah ia dalam peraduan? Jantungku berdegup kencang
bila memikirkan kemungkinan dia adalah di antara ’sampah-sampah’ yang
bertaburan di Kuala Lumpur ini. Antara mereka yang terhuyung-hayang
mengatur langkah di lorong kotor itu. Tidak mengerti kegelapan malam
dan sudah tidak kenal kecerahan hari siang. Bagi mereka dadahlah segala.
Walau bahan itu sudah mula memamah setiap urat sendi mereka malahan
merobek kewarasan yang tinggal segenggam cuma, itulah yang masih
mereka dambakan setiap saat dan ketika.
Setiap kali deringan telefon, degupan jantung ku seolah
terhenti. Takut-takut jika itu panggilan dari pihak polis. Tiap kali polis
menelefon ku dan mengatakan anakku ditahan di lokap seakan ada jalur
kelegaan di hatiku. Sekurang-kurangnya dia tidak tidur bergelandangan
di jalanan dan cuba membunuh orang lain mahupun dirinya dengan najis
dadah. Yang hanya menyelamatkan dia dari hukuman berat ketika itu
cuma kerana umurnya belum genap 18 tahun.

Bermacam usaha kulakukan. Berubat sana-sini. Kuhantar jauh
ke Kelantan untuk dia perbaiki diri dan mencari dirinya yang sebenar
malah turut memimpinnya mengucup Hajarul Aswad. Namun segalanya
gagal. Allah Maha Mengetahui. Pulih bukanlah kemahuannya sendiri.
Aku juga sudah mula mendengar bisik-bisik masyarakat sekeliling.
Namun itu mampu lagi kuhadapi tetapi bila saudara sendiri dah mula
berkata-kata ketabahan ku mula direntap. Aku dikalungkan dengan
gelaran ibu yang tidak pandai mendidik anak.
Jika itulah hemat kalian. Berita kan kepada ku, di manakah silapnya aku
dalam mendidiknya?
Kutebalkan jua mukaku turun naik balai polis. Bertemu
kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat. Doa? Tak pernah putus buatnya.
Malam-malamku yang tidak pernah lena diisi dengan solat hajat semoga
anakku ini diberi kekuatan untuk pulih dan aku diberi kecekalan untuk
menghadapi ujian dari-Nya.
Aku semakin risau apabila Aiman menginjak 18 tahun. Kali
ini dia takkkan terlepas berhadapan dengan hukuman pesalah dadah
yang lain. Tidak lama selepas harijadinya yang ke-18 dia dihadapkan atas
tuduhan memiliki dadah. Kali ini tidak hanya dilokap, dia dihantar terus
ke penjara Kajang.

Sekali lagi luluh jiwaku. Terasa sukar untuk aku berdiri dengan
kaki sendiri. Allah mengetahui segala. Dia ada rancangan buatku yang
mana aku sendiri tidak tahu. Aku tidak akan berburuk sangka jauh sekali
untuk memalingkan wajah ku dari-Nya. Tidak sama sekali. Aku tahu
jika diukur dalamnya kasih seorang ibu kepada anaknya, dalam dan tak
terperi lagi kasih Allah kepada hamba-hambanya.
Ya Rahman, Ya Rahim, jika ini kifarah buatku maka aku redha
Ya Allah, namun berilah aku kekuatan untuk menghadapinya.
Setelah dua tahun dibelenggu jerajak besi, Aiman keluar
menebus janji-janjinya pada kami sekeluarga. Di waktu itu akulah ibu
yang paling bahagia. Sangkaku Aiman telah ketemu titik perubahan
dalam hidupnya. Segalanya tak kekal lama. Bila dia sering kali tidur
kesiangan. Bila dia tidak mampu membalas renunganku lagi, aku tahu,
Aiman kembali menagih benda terkutuk itu.
Atas nasihat seorang kaunselor Agensi AntiDadah Kebangsaan,
aku mendaftarkan Aiman dalam program penggunaan Methadone.
Namun gagal. Aiman menginginkan lebih dari itu. Kebergantungan fizikal
dia dengan dadah membuatkan pemulihan baginya amat perit dan
menyakitkan. Kerana itu, dia tersembam, tersungkur untuk sekian kali
di pertengahan jalan.

“Aiman, Aiman kena berubah. Kalau bukan untuk ibu cubalah
untuk diri Aiman sendiri. Takkan Aiman nak terus-terusan begini? Suatu
hari nanti kita semua akan bertemu Allah. Ibu tak mahu Aiman menyesal
di kemudian hari lebih-lebih lagi bila nyawa sudah terputus dari jasad.”
Aku tahu menasihatinya ketika ini umpama mencurah air ke daun keladi.
“Jadi Ibu nak Aiman matilah ye? Biar senang kerja ibu.
Kalau Aiman nak mati sebagai ‘junkie’ pun, biarlah!” Aku terpana dengan
kata-kata Aiman. Umpama halilintar yang menyambar terus ke ulu hati.
Perit. Lain yang ku taburkan, lain pulak pemahamannya. Inilah dia, bila
pemikiran dan jiwa dijajah noda-noda hina dan busuk, kebenaran dan
kejahilan bersatu hingga sukar ditaksir hitam putihnya.
“Buat tak tahu jelah, bu. Buat apa nak risaukan dia kalau dia tak pernah
nak risaukan diri sendiri?” Keras benar kata-kata anak sulungku tentang
adiknya. Namun aku memahami betapa bosan adik-beradiknya yang lain
dengan perangai dan tingkahlakunya. Aku juga bosan malahan terlalu
‘penat’ dengan semua ini. Salahkah aku untuk berperasaan sebegini.
Berdosakah aku berputus harap kepada Aiman? Adakah ini sama seperti
aku berputus-asa kepada cubaan-Nya? Astagfirullah al-azim…
Tuhanku…kau janji syurga buat para sobirin. Maka ku pohon ya Allah
golongkanlah aku dalam mereka yang sabar menerima ujian-Mu.

Kali terakhir aku menemuinya bila dia sendiri yang
menghubungiku. ”Ibu, Aiman tak sihat. Aiman nak balik rumah” Ringkas
saja permintaannya. Ku ambil dia di perhentian bas yang dijanjikan. Sebak
dadaku. Namun ku tahan airmata ini dari berjujuran. Lemah langkahnya.
Dengan berkemeja T lusuh yang entah dari mana dicurinya. Berseluar
pendek dan berselipar getah yag terlalu kecil buatnya, Aiman masuk
ke keretaku. Direndahkan kerusi lalu baring. Ku beri tuala basah yang
dari awal ku bawa dari rumah. Dilekapkan tuala itu ke muka.
Diam. Tiada sepatah kata yang keluar.
Aku terus memandu. Namun aku tidak mampu menumpukan
perhatian. Sekujur mayat yang bernyawa menumpangi kerusi belakang
keretaku benar-benar meragut cekal yang ada. Lagi payah dan perit
menelan hakikat bila mayat itu adalah anak ku. Anak kecil yang dulunya
aku susui. Anak kecil yang ku tatang umpama menatang sebenjana
air di tanah gersang yang tak bersempadan. Aku mencuri pandang dari
cermin hadapan. Nafasku seakan terhenti. Umpama ada sesuatu yang
menghalang rongga trakeaku tiba-tiba.
Sesak. Sempit..
Kini aku tidak mampu menyeka lagi genangan airmata ini.
Deras dan semakin deras. Kedua lengannya penuh bekas suntikan. Kesan
torehan ‘meth bug’ juga kelihatan. Serasa tidak mampu lagi memandu.
Aku memberhentikan kereta di lorong kecemasan. Kutekupkan wajahku
di stering. Masih basah dek genangan penglihatan yang seakan tidak mahu
berhenti. Lemah longlai kaki ku. Benarlah kesakitan batin ini bisa terkesan
hingga ke urat sendi. Dalam hati tidak henti-henti mencari kekuatan.
Maha Suci Engkau, sesunguhnya aku adalah termasuk orang-orang
yang zalim.
Nekad.
Aku perlu menghantarnya ke Rumah Pengasih sebelum dia
menyedari bahawa kami tidak menuju balik ke rumah. “Ibu nak ke mana
ni?” lemah suaranya. “Rumah Pengasih” ringkas namun terkesan dengan
sendu sebak yang masih belum kering. “Aiman kan tak sihat. Aiman nak
balik rumah” Aiman memujuk dengan lemah.
Dia tidak akan mampu menolak dan mendesak dengan
tenaga yang tak seberapa. Ku juga dapat ‘hidu’ kesan dadah yang masih
berbaki dalam aliran darahnya. Biarlah. Kali ini ku nekad. Dia akan
kembali entah untuk ke berapa kali ke Rumah Pengasih dan takkan
keluar lagi. Aiman tidak cukup kuat. Sudah berapa kali dia ‘relapse’.
Aku hilang perkiraan. Keadaan persekitaran dewasa ini semakin kejam
dan tak berperikemanusiaan terhadap Aiman. Aku terpaksa akur, tangan
ku sudah tidak ampuh mendidiknya lagi.

Bukan menyerah amanah Allah ini bulat-bulat kepada Rumah Pengasih.
Tidak sama sekali! Jika diikutkan naluri keibuanku, hendak ku tatang dia di
depan mata namun kudrat ini sudah tak terdaya lagi. Anak-anak yang lain
juga dambakan perhatian. Selama ini aku telalu ‘sibuk’ mengurusi Aiman.
Namun aku tidak akan putus untuk berdoa. Moga-moga berkat doa
seorang ibu yang tak terhijab dek Allah ini akan termakbul jua. Insya-Allah.
*******************
Inna lillah hi wa innailaihi rojiun……
Beberapa bulan di Rumah Pengasih, Aiman dimasukkan ke hospital.
Hepatitisnya dan phnemonia semakin teruk. Mata putihnya sudah jelas
kuning. Aiman di pangkuanku sewaktu sakaratul menjemputnya pulang.
“Ampunkan... dosa... Aiman... bu” Itu kata-kata akhir Aiman.
Kali ini tiada air mata lagi yang tumpah ke bumi Allah yang fana ini.
Lopakan air mata ku sudah kering. Allah mengetahui segala-galanya.
Siapalah kita untuk mengatasi ilmu-Nya. Aku yakin ada hikmah
di sebalik ujian Allah ini. Anakku ini hanya pinjaman dari-Nya.
Ibu ampukan dosamu sayang. Ibu halalkan setiap titis susu yang kau
minum. Maafkan ibu jika ada sela waktu kehidupanmu, ibu alpa dalam
menunaikan tanggungjawab kepadamu. Selamat tinggal anakku…
ibu berdoa kau peroleh keampunan dari yang Esa.
Apa pun yang Allah tetapkan, aku bersyukur Izrail tidak menemukannya
di lorong gelap itu…




hidup ini terlalu indah untuk disiakan...
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.




No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya