#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Lelaki di Bawah Jambatan

TEMPAT KETIGA : KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS SITI NURZULAIKHA BINTI ADAM
ALAMAT NO 26, LORONG 22, TAMAN SERI MAHKOTA,
JALAN GAMBANG, 25150 KUANTAN, PAHANG.
TAJUK CERPEN : LELAKI BAWAH JAMBATAN


Di bawah jambatan simen capuk itu, terbaring sepi seorang
lelaki empat puluhan. Sejak tiga tahun yang lalu, susuk tubuhnya yang
kurus-kering itu sudah tidak asing lagi di sekitar Sungai Klang. Keadaannya
cukup naif, cukup jelek, dan cukup menyayat hati. Bajunya cobak-cabik,
seluarnya seperti kain buruk yang disarungkan pada buah nangka;
turut compang-camping. Rambutnya kusut-masai serta jambangnya tidak
terbela. Kusut dan terbiar. Bau badannya sudah tidak tertanggung oleh
deria hidu manusia. Entah bila kali terakhir dia menyucikan diri. Mungkin
sejak tiga tahun yang lalu. Sejak dia jatuh cinta pada serbuk halus putih
berdebu; yang telah meragut segala kesempurnaan hidup yang dia miliki.
Dia hilang segalanya. Rumah, kereta, isteri, anak-anak
dan kerjaya. Malahan orang tuanya sendiri tidak mengenalinya kini.
Semuanya mulai hilang sedikit demi sedikit. Dan kini, tiada apa lagi yang
dimilikinya, melainkan sehelai baju buruk serta kepingan-kepingan kotak
coklat yang menjadi tilamnya saban malam di bawah jambatan simen
itu. Demi serbuk putih itu, lelaki itu sanggup menggadaikan apa sahaja
yang dia miliki asalkan dia merasa puas. Pernah dia menggadaikan jam
tangan berjenama Rolex semata-mata untuk mendapatkan stok bagi
menghilangkan ketagihannya. Semua perbuatan jahatnya tidak dihidu
oleh isteri dan keluarga, sehinggalah dia tertangkap dalam satu ops cegah
dadah di ibu kota Kuala Lumpur.
Jangan terkejut kalau diceritakan bahawa lelaki itu bukan
calang-calang orang. Bukan pemandu lori, bukan posmen, bukan peladang
dan bukan juga pekerja kilang. Ternyata, dia adalah seorang juruterbang
pesawat atau lebih mudah dipanggil ‘pilot’. Ya, ‘pilot’. Malahan ibu
dan bapanya juga bukan orang sembarangan. Ayahnya imam dan ibunya
ustazah di kampung kelahirannya, Banting. Mana mungkin, seorang
yang terpelajar dan terhormat sebegitu, kini menjadi seperti anjing
kurap, terkais-kais mencari sisa makanan di tong-tong sampah bagi
menampung perut. Namun kerana serbuk putih itu, segalanya mungkin.
Kini tidak ada apa lagi yang tinggal pada bekas pilot itu.
Jika dahulu, dia megah dengan seragam dan topinya, sekarang sabun
mandian dan ubat gigi pun tidak dapat dibezakan olehnya lagi. Semasa
dia ditangkap, dia sedang asyik menghisap dadah. Bayangkan sahaja
bagaimana perasaan isteri, anak-anaknya yang masih kecil serta ibu
bapanya saat dikhabarkan mengenai penangkapannya. Lelaki itu telah
menconteng arang pada muka seluruh insan dalam keluarganya. Maruah
keluarga Sang Imam itu tercalar hebat akibat kedurjanaannya.
Lelaki itu ditahan di salah sebuah pusat serenti. Dengan
izin Allah, perkembangan kesihatannya cukup positif dan pesat. Dalam
tempoh satu tahun sahaja, dia benar-benar telah boleh hidup tanpa
serbuk putih itu. Mungkin kerana dia orang terpelajar dan terhormat,
jadi tahap motivasi dan kesedaran dalam dirinya adalah tinggi. Seisi
keluarganya tidak henti-henti memberi sokongan dan dorongan sejak dia
mula memasuki pusat serenti itu.
Lelaki itu bebas. namun dia telah kehilangan pekerjaan
hebatnya sebagai seorang pilot. Dan dia sendiri malu untuk menetap
di Kuala Lumpur lagi, lalu dia memutuskan untuk bekerja sementara
di salah sebuah kilang elektronik di Banting, sebelum menemukan
pekerjaan yang benar-benar sesuai dengan kelayakan ijazah luar
negaranya. Dia, isteri, serta anak-anaknya tinggal bersama kedua orang
tuanya di kampung tersebut.
Masyarakat setempat mulai berhenti mencerca lelaki
tersebut, malahan banyak program-program antidadah yang dijalankan
dengan menjemput lelaki itu sebagai ahli panel atau penceramah khas.
Keadaan hidup lelaki itu bertambah baik. Hari demi hari, sedikit demi
sedikit. Tiada lagi rasa malu dan kecewa. Lelaki itu mula bekerja keras
untuk mendapatkan wang bagi menyara hidupnya sekeluarga. Sudah tentu
dia tidak ingin menyusahkan kedua ibu bapanya, di samping mendekatkan
diri dengan Tuhan sepanjang masa.
Namun sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan
di tengah hari. Syaitan mana yang telah berjaya menghasutnya untuk
menyentuh serbuk putih itu kembali. Rupanya, di kilang tempat dia
bekerja, dadah dijual seperti gula-gula; ada penggemarnya, ada pelbagai
rasa serta pelbagai harga. Dia kandas dan akhirnya tumpas; lagi buat kali
kedua. Selepas berhempas-pulas jatuh dari langit, kini dia terbenam pula
ke dasar perut bumi yang paling dalam. Malahan kali ini, lebih tragis dan
gila berbanding sebelumnya.

baca kisah selanjutnya di sini : http://wecareweserve.org/cerpenmng/03_HU-Umum-No%2003-R1.pdf


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan..
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.



No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya