#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

10 November 2014

Cerpen AADK : Suamiku Penagih

NAIB JUARA : KATEGORI UMUM
NAMA PENULIS NURHADI BIN SAADON
ALAMAT NO. 45, JALAN SI 8, TAMAN SAUJANA INDAH,
75450 BUKIT KATIL, MELAKA
TAJUK CERPEN : SUAMIKU PENAGIH


Ramai yang beranggapan dan memberikan tanggapan yang
sangat negatif apabila suami seorang penagih dadah dan keluar masuk
penjara atau pusat pemulihan, maka hidup isteri dan anak-anak akan
menjadi tidak ketentuan. Masyarakat juga manusia yang biasa seperti kita
juga yang mempunyai pelbagai pendapat serta pandangan peribadi yang
tersendiri.
Pada pandangan sesetengah masyarakat si isteri pasti akan
merana, anak-anak pula menjadi liar, tidak tentu hala tuju hidup dan
menjadi sepertimana yang telah terjadi pada keluarga mereka. Apakah
senario ini saja yang berlaku dalam kehidupan isteri dan anak seorang
penagih? Atau mereka juga boleh berjaya seperti keluarga cemerlang
yang lain? Mereka juga mempunyai keinginan sepertimana yang kita
inginkan untuk menempuh kehidupan dunia yang sementara ini.
Golongan seperti mereka ini pasti akan berjaya sekiranya
mereka menganggap bahawa Allah sentiasa ada di sisi hamba-Nya. Allah
tidak akan menguji hamba-Nya sekiranya kita tidak mampu untuk
mengatasisegala ujian yang diberikan.
Kisah ini memaparkan bagaimana pengorbanan dan luahan
hati saya sebagai seorang isteri penagih yang terpaksa mengharungi hidup
membesarkan anak-anak tanpa suami yang sering keluar masuk penjara
dan pusat pemulihan kerana menagih.
Semoga pengorbanan saya menjadi teladan buat para isteri
yang kemungkinan sedang menghadapi masalah yang sama. Sekiranya
kuat pegangan agama kita, maka kuatlah kita untuk melalui pelbagai ujian
dan dugaan di dunia. Saya percaya kebanyakan agama lain selain Agama
Islam juga ada cara tersendiri untuk membimbing penganut mereka
daripada membuat keburukan

Inilah realiti hidup saya sebagai isteri seorang penagih dadah.
Terlalu perit untuk melalui hidup, apalagi jika kedua-dua pihak keluarga
mengenali suami dengan segala kebaikan. Segala yang buruk tentang
suami tidak terlahir dengan kata-kata kerana tidak mahu rahsia keburukan
suami terbongkar dan diketahui keluarga.
Selama 20 tahun bergelar isteri, kehidupan saya tidaklah
sesusah mana dan tidaklah sesenang mana, tetapi saya amat gembira
dengan kehidupan yang saya lalui, memiliki suami yang penyayang.
Tidak pernah suami menunjukkan penampilan yang dirinya
seorang penagih dadah, dia sentiasa membuat saya ketawa walau
hubungan saya dengan ipar tidak sebaik mana. Mungkin kerana mereka
takut saya ini akan membebankan hidup mereka kerana abang mereka
penagih.
Bagi saya adanya suami di sisi memberi saya kekuatan untuk
saya tempuhi hari mendatang tanpa keluarga di sisi.
Di awal perkahwinan, saya dikejutkan dengan berita sedih.
Seorang pak cik datang ke rumah menyampaikan berita penangkapan
suami saya ketika kandungan sulung saya mencecah usia lapan bulan.
Saban hari air mata adalah teman setia, untuk mengadu dengan keluarga
saya tidak berdaya. Setiap malam saya mengambil wudu’, menunaikan
solat sunat, berdoa saya saya diberikan kekuatan serta ketabahan untuk
melalui ujian ini. Saya kumpulkan kekuatan untuk pergi ke Balai Polis
berjumpa suami di lokap. Saya minta izin suami untuk pulang ke rumah
ibu bapa saya di Kuala Lumpur kerana saya mahu meminjam wang untuk
menjamin suami.

Kepada mereka saya kuatkan diri untuk mengatakan bahawa
suami saya terlantar sakit di hospital dan memerlukan wang sebanyak ini
untuk menjalani pembedahan.
Syukur Alhamdulillah, ayah memberi wang yang saya mahu
tanpa banyak bertanya soalan. Setelah dua minggu di rumah keluarga,
saya pulang ke rumah dalam keadaan saya sarat mengandung. Saya tidak
terus pulang ke rumah tetapi terus ke balai polis untuk bertemu suami
di lokap dan menjaminnya.
Pasti ramai yang tertanya-tanya sebab apa saya sanggup
bersusah payah menjamin suami, sanggup berbohong dengan keluarga
demi mendapatkan wang jaminan suami. Ini kerana saya mahu melahirkan
anak sulung saya di sisi suami. Saya tidak mahu keseorangan. Bagi saya
sejahat mana pun suami saya, dia tetap suami saya, syurga saya di bawah
tapak kakinya. Selagimana dia tidak menyuruh saya membuat perkara
yang dilarang oleh Allah, selagi itu saya akan taat padanya.
Dari anak sulung hinggalah anak ke lima, suami selalu keluar
masuk penjara. Setiap kali saya dirundung pilu, saya akan memeluk
anak-anak saya, pada mereka saya tumpahkan air mata sedih. Anak-anak
saya adalah sumber kekuatan saya pada saat itu.
Apabila anak-anak tanya kenapa saya menangis, jawab saya
kerana ayah ditangkap polis sebab membawa lori secara berbahaya
(ketika itu suami bekerja sebagai pemandu lori).
Saya tidak pernah membebankan anak-anak dengan masalah
saya dan tidak pernah menceritakan pada anak-anak tabiat buruk ayah
mereka.

Saya mahu anak-anak menghormati ayah mereka, walau
siapa pun ayah mereka, saya tidak mahu memutuskan kasih sayang
anak-anak dengan ayah mereka, apa lagi ayah mereka tidak pernah
mengkasari mereka malah selalu memberi tunjuk ajar yang baik walau dia
sendiri terjebak dengan penagihan dadah.
Terlalu sukar menasihati suami yang selalu leka dengan
dunianya, tetapi saya tidak pernah marah atau bergaduh di hadapan
anak-anak. Saya selalu memberi anak-anak kata-kata perangsang supaya
mereka berjaya dalam pelajaran.
Hari-hari berlalu dalam sekelip mata, kini anak-anak saya
telah dewasa, yang sulung berusia 20 tahun, sedang menjalani pengajian
ijazah pertama dalam jurusan perakaunan di sebuah IPTA terkemuka di
Malaysia. Dari peperiksaan UPSR (5A), PMR (8A) dan SPM (10A1),
kini kedukaan dan keperitan saya terubat dengan setiap gred penilaian
CGPA yang selalu diperolehnya iaitu 3.90-3.96, setiap kali peperiksaan
semester.
Anak kedua saya melanjutkan pengajiannya di kolej IPTS
Shah Alam. Anak saya ini memang tidak pernah berminat dengan bidang
akademik, jadi saya masukkan dia ke bidang kemahiran yang diminatinya.
Anak ketiga saya berada di tingkatan 3 dan akan menghadapi
peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dan anak yang
ke empat dan kelima masih bersekolah rendah.

Sekarang baru anak-anak saya tahu kenapa ayah mereka
selalu keluar masuk penjara dan saya memberitahu mereka, bukan saya
membenci ayah mereka atau sengaja mahu merahsiakan perkara yang
sebenarnya, tetapi saya tidak mahu mereka terjebak dengan masalah
saya. Saya tidak mahu mereka merasa tertekan dengan masalah yang
dihadapi kami sekeluarga.
Saya sering mengatakan bahawa saya mahu supaya anak-anak
saya berjaya dan dapat mengubah nasib keluarga apabila dewasa nanti.
Dengan kejayaan mereka itulah penawar serta ganjaran yang amat besar
untuk saya setelah pelbagai rintangan yang dilalui.
Kini suami saya juga baru setahun keluar dari Pusat Pemulihan
Akhlak dan saya amat berharap biarlah ini penahanannya yang terakhir
kerana dia pun tidak muda lagi, sudah mencecah 50 tahun. Ajal maut pasti
akan tiba tanpa lewat walaupun sesaat, kerana kematian itu pasti.
Walau tiada apa yang dapat saya beri kepada anak sulung saya
atas kejayaannya, tetapi setiap kali peperiksaan penting, nama saya akan
jadi sebutan, suami saya juga memberitahu pada saya pihak penjara amat
kagum dengan kecekalan saya mendidik anak-anak.
Tidak semua penagih dadah yang dapat memberi pelajaran
sempurna untuk anak-anak kerana kebanyakan isteri penagih dadah akan
tertekan dengan masalah suami dan anak-anak akan jadi mangsa.
Bagaimana pihak penjara tahu kejayaan anak saya? Ini kerana
saya selalu menghantar surat dan mengirimkan salinan keputusan
peperiksaan anak saya kepada suami semasa dia dalam tahanan.

Sebelum saya menutup tirai cerita saya ini, ingin saya
nasihatkan kepada para isteri yang senasib dengan saya, pandanglah
wajah anak-anak yang tidak berdosa, jangan kita jadikan mereka tempat
melemparkan kemarahan, tetapi anggaplah mereka sahabat yang sering
membahagiakan kita.
Biarlah kita sengsara, tetapi lawan jiwa rapuh kita dengan
kekuatan dan semangat untuk melihat anak-anak berjaya.
Saya melalui pahit getir kehidupan sebagai isteri penagih
dadah selama bertahun lamanya, bayangkan kesengsaraan yang saya lalui
seorang diri tanpa tempat mengadu melainkan hanya pada Allah yang
Maha Esa.
Saya bersyukur kepada Tuhan kerana diberi kekuatan dan
kesabaran yang luar biasa ini. Saya harap kebahagiaan ini akan berterusan.
Doa saya semoga anak-anak saya akan mendapat perlindungan, hidayah
dan diberkati hidup mereka di dunia dan akhirat.
Kepada suami, harapan dan doa saya yang tidak pernah putus,
bertaubat dan berubahlah demi anak-anak. Ingatlah kepada Allah dan
kembali ke pangkal jalan.
Demikanlah kisah saya yang dapat saya sampaikan.
Diharapkan sedikit sebanyak dapat memberikan sedikit kekuatan, serta
janganlah kita lupa pada Allah yang menciptakan semua makhluk,
rapatkanlah diri pada-Nya di saat kita susah mahupun senang.
Sekian.
******************************


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan...
AMBIL KISAH> AMBIL TINDAKAN


No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya