#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

30 March 2015

Infographic Animation - Heroin


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.

AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

27 March 2015

Infographic Animation - Pil Kuda


 
 
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.

AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

26 March 2015

Infographic Animation - Ecstasy






Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.

AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

20 March 2015

Tahukah Anda Syabu Merosakkan Otak Remaja?

universityherald.com melaporkan bahawa penyalahgunaan methamphetamine atau lebih dikenali sebagai syabu telah dibuktikan bahawa ia memberi kesan dan kerosakkan kepada otak tidak mengira usia penyalahgunanya.

Namun begitu, dapatan kajian terbaru yang dijalankan oleh pengkaji dari Utah University dan Korea Selatan menunjukkan bahawa kesan tersebut lebih parah terhadap otak remaja berbanding orang dewasa. Kajian ini mendapati bahawa syabu memberi kesan terhadap frontal cortex iaitu area yang mengawal fungsi kawalan, pemikiran dan ingatan. Ini adalah mengejutkan kerana pada usia remaja, frontal cortex masih belum sempurna dan masih dalam proses "pembangunan". Area ini adalah sangat penting untuk kemahiran kognitif seseorang. Sekiranya proses pembangunan ini terjejas, ia akan mengakibatkan seseorang itu berisiko untuk menghadapi masalah tingkah laku serta penagihan semula.

untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila baca artikel di bawah:
___


Teens who habitually use methamphetamine suffer greater and more widespread alterations in their brain than adults who chronically abuse the drug-and damage, according to a recent study.

Researchers at the University of Utah and South Korea found that with chronic adolescent meth users in South Korea had decreased thickness in the gray matter of their frontal cortex, the area of the brain believed to direct people's ability to organize, reason and remember things, known as the executive function. Adult brains showed less damage.

The researchers found the evidence of damage to cortical thickness in the frontal cortex of adolescent users alarming.

"It's particularly unfortunate that meth appears to damage that part of the brain, which is still developing in young people and is critical for cognitive ability," In Kyoon Lyoo, first author of the study, said in a statement. "Damage to that part of the brain is especially problematic because adolescents' ability to control risky behavior is less mature than that of adults. The findings may help explain the severe behavioral issues and relapses that are common in adolescent drug addiction."

The results also indicate that it might take much less meth to cause greater damage in adolescent brains because youths typically use smaller amounts of the drug than adults.

For the study, researchers scanned the brains of 111 South Korean adolescents and 114 adults. Among the younger people, 51 used meth while 60 did not. The adults included 54 meth users and 60 non-users.
"There is a critical period of brain development for specific functions, and it appears that adolescents who abuse methamphetamine are at great risk for derailing that process," Perry Renshaw, senior author of the study, said in a statement. "I think the results show it is hugely important to keep kids off drugs."

Meth is the one of the most widely abused drugs in Asia, but it's also a problem in the United States, with the Western region of the country experiencing the highest rates of use. Studies with rodents have shown that meth damages the brains of adult rats more than young ones, but whether that holds true in people has been cause for debate.

The findings are detailed in Molecular Psychiatry.

Read more: http://www.universityherald.com/articles/15850/20150213/meth-may-mess-up-brains-of-youths-far-more-than-adults.htm#ixzz3UtbvriGF


Dadah...Kesannya Membinasakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.


10 March 2015

Infographic Animation - SYABU


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.

AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

09 March 2015

Infographic Animation - CANNABIS SATIVA / GANJA


Siapa kata ambil Dadah COOL?? Dadah...Kesannya Membinasakan.



Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.

AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

06 March 2015

KHUTBAH JUMAAT SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN TAHUN 2015/1436M


TEMA: DADAH…KESANNYA MEMBINASAKAN


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini untuk menyampaikan peringatan agar kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dan melakukan segala yang diperintahkanNya dengan bersungguh-sungguh dan dengan jalan sabar. Sesungguhnya kejayaan setiap mukmin itu disertai dengan kesabaran. Semoga, kita dikurniakan rahmat dan maghfirah dalam kehidupan dan sentiasa di bawah naungan hidayahNya.
Pada tanggal 19 Februari setiap tahun, kita akan diingatkan dengan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah Jumaat yang bertemakan “Dadah...Kesannya Membinasakan”

Muslimin yang dirahmati Allah,
Gejala penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Seluruh negara di dunia ini turut menghadapi permasalahan penagihan dadah. Tidak dinafikan, peranan di setiap lapisan masyarakat merupakan faktor utama bagi merealisasikan keberkesanan serta kejayaan menangani gejala ini. Firman Allah Azza Wajalla dalam surah al-Ma`idah ayat 2:
"...وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰ‌ۖ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِ‌ۚ..."
Maksudnya: “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ...”
Sidang Jumaat Yang Beriman,
            Dadah merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal, mental dan emosi serta tingkah laku pengguna ia apabila disalahgunakan. Akibat dari kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan akan terus bergantung hidup kepadanya.
 Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS dan Hepatitis B. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial.
Dadah jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah dadah jenis perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY, Yaba, ice, syabu dan ectacy. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu seperti keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan manifestasi tingkahlaku ganas dan emosi yang terjejas.
Negara kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan – bahan lain yang disalahgunakan iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan inhalan seperti gam boleh menyebakan kesan buruk serta merta seperti berhalusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan menyebkan kerosakan sel – sel otak serta boleh mengakibatkan kematian.
Penyalahgunaan air ketum juga semakin membimbangkan di negara kita. Secara tradisionalnya, air ketum atau air daun biak dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit. Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan  penggunanya mengalami kesan – kesan seperti dadah jenis morfin; iaitu rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh tidur.


Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Dan Dirahmati Allah,
Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, 30 Oktober 2005) dan Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Perlis (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke-12, 30 Oktober 2013) telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa kemudaratan dan kerosakkan pada diri.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan Negara Malaysia bebas daripada dadah, kita haruslah bersatu padu menggembleng tenaga tanpa mengira perbezaan ideologi, agama dan juga bangsa. Selain dari pihak berkuasa, kitalah yang harus memainkan peranan ini sebagai satu pasukan sukarelawan yang utuh. Seperti yang kita semua sedia maklum, masyarakat hari ini semakin terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada diri dan juga negara. Mimbar ingin sekali lagi mengingatkan bahawa dengan membiarkan ummah berada dalam keadaan yang lemah, mundur serta dibelenggu dengan perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, akan menghancurkan sebuah tamadun yang kukuh. Sabda Rasullullah s.a.w.;
اَلمُؤمِنُ لِلْمُؤْمِن كَالبُنْيَان يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضَ وَشَبَكَ بَيْنَ أَصَابِعَهُ
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang lainnya. (Rasulullah s.a.w. sambil memasukkan jari-jari tangan kecelah jari-jari lainnya)”
(HR. Muttafaqun `alaih)
Penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan bermula seawal usia kanak-kanak / remaja. Peringkat umur yang kritikal seperti inilah perlu diberi perhatian terutama dalam pencegahan dadah. Peranan ibu bapa juga amat penting dalam menangani masalah dadah ini. Ibu bapa perlulah bertanggungjawab terhadap kebajikan anak - anak dengan mengikuti segala perkembangan mereka dari masa ke semasa. Anak – anak muda ini perlu dibimbing  kerana jika mereka terlibat dengan masalah dadah, ia boleh mengancam masa depan ummah di masa hadapan kerana telah menular di kalangan generasi muda seawal usia murid-murid sekolah rendah, remaja dan dewasa.
Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita semua haruslah sedar bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, kita semua telah dipertanggungjawabkan untuk sama-sama membendung masalah ini dengan apa cara sekalipun. Apa yang kita semua sudah sedia maklum, dadah banyak dibawa melalui pintu-pintu masuk utama negara dan disinilah semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bukan hanya pihak berkuasa sahaja tetapi kita juga sebagai sebuah anggota masyarakat yang prihatin akan masalah ini haruslah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Perkara ini haruslah dibendung habis-habisan kerana kesan dari penyalahgunaan dadah ini terutamanya dari sudut kesihatan dan sosial perlu dilihat secara objektif oleh semua pihak. Ini  adalah kerana penyalahgunaan dadah berkait rapat dengan masalah sosial yang lain seperti melahirkan anak luar nikah, ponteng sekolah, pelanggaran disiplin dan peraturan di sekolah, penularan penyakit berjangkit dan juga budaya merempit.
Ingatlah wahai sidang Jumaat sekalian, kita akan dipersoalkan di akhirat kelak dengan apa yang telah kita lakukan. Melihat kepada permasalahan dadah yang melanda anak bangsa kita sekarang, kita tidak seharusnya duduk bergoyang kaki bersenang lenang kerana mereka inilah penggerak masa depan dan penentu kemajuan negara. Mimbar ingin mengingatkan semua, bahawa perubahan yang ingin kita laksanakan hendaklah bermula dari dalam diri kita sendiri dan barulah kita mampu untuk melaksanakan perubahan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila diri kita kukuh dengan pegangan agama, insya-Allah kita mampu melaksanakan perubahan untuk melawan gejala negatif yang  menggugat keharmonian negara.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi,
Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran penting yang dapat diambil dari khutbah ini.
1  1. Penyalahgunaan dadah adalah HARAM dan merupakan penyumbang ke arah masalah sosial Negara.
2 2. Semua pihak perlu menggembeling tenaga dan bersatu padu dalam membanteras penyalagunaan dadah ini.
3  3. Dadah membawa kemudaratan dan kesan yang sangat buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat.

Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.

TEKS UCAPAN Y.B MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN 2015



BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM

Yang Amat Berhormat,
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,
Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

YBerbahagia
Dato’ Alwi bin Hj Ibrahim
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri

Yang Berbahagia,
Datuk Seri Noor Rashid bin Ibrahim,
Timbalan Ketua Polis Negara.

Yang Berhormat,
Datuk Mat Ali bin Hasan,
Setiausaha Kerajaan Negeri.

Yang Berhormat,
Dato’  Zaifulbahari bin Idris,
Pengerusi JK Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan.

Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan

Yang Berhormat Sohibus Samahah
Dato’ Haji Mohamad Yusof bin Hj Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan

Yang Berbahagia,
Dato’ Haji Suhaimi bin Abdullah,
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan.

Yang Berbahagia,
Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Yang Berusaha,
Pegawai-Pegawai Pengurusan Tertinggi
Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Ahli Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia),

Dato’-Dato’, Tuan-Tuan ,Puan-Puan  dan saudara – saudari Yang Dihormati Sekalian.

Assalamualaikum WBT
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.

1.        Alhamdulillah, marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari ini kita semua dapat berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk membanteras masalah dadah di Malaysia. Saya merasa amat berbangga melihat sokongan padu yang diberikan oleh hadirin sekalian dalam menjayakan sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2015 pada pagi ini.

2.        Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YBhg Dato’ Suhaimi bin Abdullah, Ketua Pengarah AADK kerana sudi menjemput saya ke majlis sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2015 pada kali ini.  Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada YBhg Dato’ Suhaimi bin Abdullah serta seluruh warga kerja AADK di semua peringkat kerana bertungkus lumus menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.

3.        Setinggi – tinggi penghargaan saya ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sudi hadir di majlis ini walaupun di dalam jadual kerja beliau yang sangat sibuk. Ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Sembilan dan seluruh jenteranya dalam membanteras penagihan dadah adalah sangat  tinggi.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,
 
4.        Saya dimaklumkan bahawa hadirin dan hadirat pada hari ini terdiri daripada Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, pegawai-pegawai  Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) daerah dan negeri dari Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara, Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung (JKKK), Pemimpin – pemimpin masyarakat dari Felda Wlayah Raja Alias, Jempol, Ahli-Ahli Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dari seluruh Negeri Sembilan, Rakan Kembara Malaysia Negeri Sembilan, ahli-ahli SKUAD 1Malaysia  dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur dan Selangor, murid-murid sekolah  dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari sekitar Seremban, pemimpin-pemimpin komuniti, wakil-wakil NGO, Ahli-Ahli Lembaga Pelawat,  para belia, ibubapa dan ahli masyarakat dari Seremban dan daerah-daerah berdekatan. Tidak ketinggalan kepada semua pegawai dan kakitangan serta warga AADK yang dirahmati Allah sekalian.

5.        Pada 19 Februari setiap tahun, Hari Antidadah Kebangsaan akan disambut bagi memperingati kempen nasional pertama yang dilancarkan oleh mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengisytiharkan bahawa Dadah Musuh No. 1 Negara. Pengisytiharan tersebut dilakukan kerana:

                     i.        Penagihan dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah – langkah tegas tidak diambil untuk membanterasnya;
                    ii.        Sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan;
                   iii.        Penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan ,mengancam keselamatan negara.

6.        Zaman sentiasa mengalami perubahan. Begitu juga dengan trend penyalahgunaan dadah yang telah bertukar daripada dadah tradisional seperti Ganja dan Candu kepada dadah sintetik seperti Syabu, Pil Kuda dan Ecstacy. Bekalan dadah  sintetik mudah dibawa masuk memandangkan saiznya kecil, contohnya Pil Ecstacy yang beratnya 0.3 gram, diameternya 9 mm dan ketebalan 5 mm, disamping cara pengambilannya juga mudah dengan menelan sahaja berbanding dengan cara tradisional yang memerlukan peralatan atau dapur khas. Ianya juga boleh dan mudah diproses di ”kitchen lab” melalui adunan bahan-bahan precursors di mana resepinya boleh dirujuk melalui internet.

7.        Menurut laporan United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang dikeluarkan pada 20 Mei 2014 iaitu Global Synthetics Drugs Assessment – Amphetamine-type Stimulants and New Psycoactive Substances, jumlah peningkatan rampasan Syabu secara global adalah hasil dari rampasan di Asia Timur dan Tenggara serta Amerika Utara. Berdasarkan laporan ini, jelas menunjukkan bahawa Asia merupakan pasaran Amphetamine-Type Stimulants (ATS) terbesar di dunia. Trend rampasan Syabu terus meningkat sehingga 3 kali ganda dalam masa 5 tahun terakhir hingga mencapai 36 tan metrik. Kenaikan permintaan Syabu serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru di pasaran Asia berlaku kerana pemprosesan dadah berskala besar berpusat di Negara Cina, Myanmar dan Filipina. Kemunculan dadah-dadah baru ini memberi ancaman dan kemudaratan yang amat merbahaya kepada negara dan generasi akan datang.

8.        Laporan UNODC bagi tahun 2013 pula mengatakan aktiviti pengedaran dadah kini semakin canggih dengan menggunakan dunia maya sebagai medium perhubungan komunikasi. ”Demand ” dan ”Supply” dadah dilakukan secara atas talian serta menjadikan media sosial sebagai rangkaian transaksi terbaru bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

9.        Rekod AADK menunjukkan jumlah penagih yang dikesan terkumpul dari tahun 1998 sehingga 2013 adalah seramai 365,945 orang. Menurut World Health Organization (WHO), pada kelazimannya, seorang penagih dadah yang dikesan, akan mempunyai 4 orang penagih lain di belakangnya iaitu dengan ratio 1:4. Ini bermakna secara kasarnya jumlah penagih di negara ini adalah seramai 1.46 juta orang.

10.    Pada tahun 2014 sahaja, seramai 21,227 orang penagih telah dikesan. Daripada jumlah tersebut, 63% merupakan penagih baru dan 37% adalah merupakan penagih berulang. 70% penagih yang dikesan merupakan mereka yang terdiri daripada golongan yang berumur 18 hingga 39 tahun.  Ini menunjukkan tenaga muda dan belia yang sepatutnya menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan negara telah dipersiakan akibat penyalahgunaan dadah. Profil penagih dadah yang dikesan dari pecahan umur 16-19 tahun adalah seramai 847 orang pada tahun 2013 dan meningkat  kepada 1,141 orang pada tahun 2014. Peningkatan ini adalah sebanyak 35%.

Hadirin yang saya kasihi sekalian,

11.    Dadah...Kesannya Membinasakan telah dipilih sebagai tema sambutan pada kali ini. Tema ini dipilih kerana kita ingin menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah memberi kesan yang sangat memudaratkan kepada bukan sahaja penyalahguna, tetapi juga kepada keluarga, masyarakat dan negara.

12.    Kesan penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS dan Hepatitis. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan, rumah tangga dan hubungan sosial. Jika ada seorang penagih dadah di dalam sesebuah keluarga, sudah cukup untuk memporak perandakan seluruh ahli keluarga berkenaan.

13.    Ianya lebih dahsyat lagi jika kita memperkatakan tentang kesan penyalahgunaan dadah jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah dadah jenis perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY, Yaba, ice, syabu dan ecstacy. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu seperti keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan bertingkahlaku ganas dan mengalami gangguan emosi.

14.    Negara kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan – bahan lain yang disalahgunakan iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan inhalan seperti gam turut memberi kesan serta merta seperti halusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan menyebabkan kerosakan sel – sel otak serta boleh mengakibatkan kematian.

15.    Penyalahgunaan air ketum juga semakin membimbangkan di negara kita. Walaupun secara tradisionalnya, air ketum dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit. Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan penggunanya mengalami kesan – kesan seperti mengambil dadah jenis morfin; iaitu rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh tidur.

16.    Di samping itu, anak-anak kita turut terdedah kepada pengaruh hedonisme dan hiburan tanpa batasan. Untuk makluman semua, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang menganjurkan private party di sekitar bandar-bandar besar dan jemputan ke private party hanya melalui aplikasi Whatsapp. Jadi pihak berkuasa mempunyai kekangan untuk memastikan sesuatu private party itu betul-betul bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

17.    Penyalahgunaan dadah ketika menghadiri konsert atau aktiviti hiburan telah menular dan berleluasa. Kejadian pada 14 Mac 2014 di Stadium Bukit Jalil masih segar dalam ingatan kita. Enam orang remaja meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah ketika menghadiri Konsert Festival Future Music. Dadah yang disalahgunakan adalah dadah jenis ATS dan masih baru dalam pasaran. Terdapat juga penonton-penonton lain yang ditahan dan didapati positif dadah jenis methamphetamine, ecstasy dan ganja.

Hadirin yang dihormati sekalian,

18.    Selain daripada memberi kesan-kesan dan situasi yang membimbangkan seperti yang saya jelaskan tadi, saya juga ingin menarik perhatian hadirin dan hadirat sekalian akan trend pengambilan dadah yang melibatkan remaja yang begitu membimbangkan saya. Contohnya, kajian yang dilaksanakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2012 terhadap sekumpulan remaja lelaki dan perempuan yang berumur 13 hingga 19 tahun mengenai ”Perbandingan Faktor Risiko dan Pelindung Penyalahgunaan Bahan Dalam Kalangan  Remaja dan Belia di Kawasan Bandar dan Luar Bandar” telah menunjukkan 10 fakta berikut:

           i.  Semakin tinggi faktor risiko dan semakin rendah faktor pelindung pada diri seseorang maka semakin tinggi kebarangkalian untuknya terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

        ii.  Faktor risiko dan pelindung meliputi aspek  diri, individu, keluarga, rakan, sekolah dan masyarakat.

   iii.  Dadah tidak mengenal usia, taraf dan kedudukan seseorang.

  iv.     Tercicir daripada arus sistem persekolahan merupakan faktor risiko yang utama.

     v.   Ia diikuti dengan perlakuan antisosial yang lain seperti bergaduh dan pelanggaran peraturan.

    vi.   Penglibatan dadah yang utama adalah dadah jenis ATS  seperti Ecstacy dan pil khayal.

vii.    Mula mencuba dadah pada usia muda iaitu di sekolah rendah.

viii.    Bermula dengan menggunakan gateway drugs seperti rokok dan    alkohol.

ix.    Bermula dengan perbuatan mencuba – cuba dan,

 x.    Lebih awal terlibat dengan dadah lebih cepat menjadi penagih dadah tegar.

19.    Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan ibu bapa akan kepentingan peranan kita dalam memastikan anak – anak tidak terjebak dengan masalah dadah. Anak-anak perlu dididik dan sentiasa diberi perhatian setiap masa dari aspek keperluan seharian,  pergaulan dan perlakuan mereka. Para ibubapa hendaklah sentiasa mendampingi anak-anak dengan kasih sayang dan memahami keperluan mereka. Suasana yang harmoni dalam rumahtangga akan menjadi faktor pelindung untuk mengelakkan mereka terlibat dengan masalah dadah.

20.    Kita semua tahu anak adalah amanah Allah SWT kepada kita. Dari Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
” setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah yakni suci dan bersih. Kedua – dua orang tualah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi”. (Riwayat Bukhari)

21.    Kesimpulannya, bayi yang lahir ke dunia ini adalah dalam keadaan suci dan bersih. Ibarat kain putih yang tidak tercorak. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak kehidupannya. Jika dicorak dengan baik, anak ini akan menjadi baik. Jika buruk, maka buruklah jadinya.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

22.    Di pihak kerajaan, KDN melalui AADK sentiasa memberi perhatian serius dalam menangani isu penyalahgunaan dadah. Contohnya dalam aspek rawatan dan pemulihan, AADK telah membangunkan modul pemulihan penyalahgunaan dadah yang berteraskan best practices dan evidence-based yang menekankan kepada keperluan kepulihan kelompok klien mengikut kategori seperti penagih remaja, penagih wanita, penagih tegar dan ringan. Ini adalah untuk memastikan rawatan dan pemulihan yang disediakan adalah berkesan dan klien dapat kembali berfungsi di dalam masyarakat.

23.    Bagi mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi, aspek kerohanian juga diterapkan. Pelaksanaan pendekatan kerohanian melalui Modul Halaqah dilaksanakan di semua pusat pemulihan yang dikendalikan oleh AADK. AADK turut melaksanakan  pendekatan Modul Inabah yang berasaskan Tariqat Qadariyyah Naqshabandiyyah di CCRC Sg Ruan, Pahang. Selain itu, AADK turut mensasarkan perkhidmatan kepada klien yang mengidap HIV/AIDS di Baitul Islah, Serendah dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor dengan menggunakan peruntukan zakat.  Usaha murni Jabatan Agama Islam Selangor ini wajar dicontohi iaitu dengan menjadikan penagih-penagih dadah yang berpenyakit kronik sebagai golongan asnaf yang perlu dibantu melalui peruntukan zakat untuk membolehkan mereka diberi rawatan dan pemulihan yang khusus. 

24.    Dari segi penguatkuasaan, pencapaian operasi bersepadu AADK bersama dengan agensi-agensi berkaitan dalam mengesan dan menahan penagih dadah amat menggalakkan. Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak 1,955 operasi dijalankan. Seramai 26,488 orang yang disyaki telah disaring air kencing dan daripada jumlah tersebut 6,548 telah positif dadah. Manakala dari segi Pengurusan Orang Kena Pengawasan (OKP) pula, daripada bulan Januari sehingga Disember 2014 sebanyak 38,613 atau 92.3% OKP telah mematuhi syarat pengawasan daripada jumlah keseluruhan OKP sebanyak 41,834 OKP seluruh Malaysia.

25.    Selain itu, saya juga berbangga dan mengucapkan tahniah kepada pasukan Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia) di mana jumlah keahliannya telah mencecah seramai 243, 887 orang di seluruh Malaysia. Di samping membantu AADK dalam menangani pemasalahan dadah, ahli SKUAD 1Malaysia kita juga boleh membantu masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelaan yang melibatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, seramai 400 orang Ahli SKUAD 1Malaysia telah terlibat dalam membantu mangsa – mangsa banjir yang telah melanda negeri – negeri Pantai Timur baru – baru ini.

26.    Saya juga telah meminta AADK menggubal Dasar Dadah Negara dengan  mengambilkira strategi, impak dan pendekatan yang lebih berkesan bagi membendung ancaman gejala dadah di negara ini. Pihak AADK telah dan sedang mengenalpasti pelbagai isu dan cadangan penambahbaikan dalam merangka draf Dasar Dadah Negara tersebut.



Hadirin yang saya hormati sekalian,

27.    Dalam mengurangkan aspek penawaran, penyeludupan, pemilikan, penjualan dan pengedaran dadah pula, KDN melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis DiRaja Malaysia telah menubuhkan Special Tactics and Intelligence Narcotic Group (STING) yang bertanggungjawab untuk membuat operasi dan pemantau ke atas pot-pot dadah di seluruh negara dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.

28.    Antara strategi JSJN adalah untuk membenteras bekalan dadah dengan mengesan dan menangkap semua pengedar dadah terutamanya kingpins atau drug baron.

29.    Pelbagai tindakan telah diambil untuk mengekang dan seterusnya melumpuhkan kegiatan penyeludupan dan pengedaran dadah. Antaranya ialah:

                     i.        Meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi penguatkuasa dadah antarabangsa dengan pertukaran maklumat risikan.
                    ii.        Mengenalpasti dan membina networking dengan negara serantau dan agensi-agensi luar.
                   iii.        Menjalankan operasi bersama dengan agensi penguatkuasa dadah antarabangsa bersama yang mensasarkan sindiket-sindiket yang mempunyai rangkaian di dalam negara dan negara berkaitan.

30.    Penguatkuasaan yang berterusan ke atas kegiatan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah tempatan dan antarabangsa telah menyebabkan mereka mengambil tindakan berhati-hati. Terdapat kingpins tempatan yang memberhentikan kegiatan mereka akibat takut ditangkap atau dikenakan tindakan di bawah undang-undang LLPK. Kingpins  sindiket antarabangsa pula telah melarikan diri dan mengubah haluan ke negara-negara jiran untuk meneruskan kegiatan mereka bagi mengelakkan diri mereka ditangkap dan harta mereka disita. Statistik jumlah rampasan dadah bagi tahun 2014 menunjukkan penurunan ketara bagi kebanyakan dadah utama sekaligus membuktikan keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dijalankan oleh JSJN. Ini dapat ditunjukkan melalui nilai rampasan dadah pada tahun 2013 berjumlah RM402 juta telah turun kepada RM238 juta dalam tahun 2014.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

31.    Sebelum mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengajak tuan- tuan dan puan-puan merenungkan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “..Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman ini adalah bersandarkan keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan atau terdapat keburukan-keburukan dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat.

32.    Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang selama ini bertungkus lumus menjayakan program-program pencegahan dadah, operasi-operasi bersepadu dan menjadi agensi peneraju kepada permasalahan dadah di negara ini. Tidak lupa juga kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Bahagian Farmasi, KKM, Jabatan Patalogi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, seluruh agensi dan kementerian yang tidak dapat saya sebutkan satu persatu di sini serta semua NGO yang telah banyak menggerakkan usaha-usaha memerangi musuh nombor satu negara.

33.    Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada AADK  di atas penerbitan video Animasi Kesan Dadah sebanyak 5 jenis iaitu kesan dadah jenis Heroin, Syabu, Pil Kuda, Ecstacy dan Ganja. Video – video ini telah dimuatnaik ke laman youtube dan media sosial lain mulai hari ini. Pendekatan ini merupakan satu pendekatan yang menarik dan tepat pada masanya. Ia sesuai dengan kumpulan sasaran kita iaitu Generasi Z. Generasi Z adalah golongan remaja yang dilahirkan selepas zaman millenium iaitu awal tahun 2000 sehingga sekarang. Generasi tersebut adalah generasi yang ‘technology savy’.  Video-video berdurasi 2 minit setiap satu ini memperihalkan tentang kesan-kesan dadah melalui animasi dan ilustrasi yang menarik. Penonton akan mudah memahami mesej yang hendak disampaikan. Saya meminta agar video-video tersebut ditayangkan di semua sekolah di seluruh negara agar semua murid mendapat maklumat yang betul dan tepat mengenai kesan penyalahgunaan dadah.

34.    Tahniah kepada YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha berterusan Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memberikan   pendidikan pencegahan dadah di sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi serta kerjasama yang padu dalam melaksanakan program pada hari ini. Semoga kerjasama sebegini  ini akan diteruskan pada masa akan datang.

35.    Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohammad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan di atas kesudian YAB Dato’ Seri Utama yang sudi  hadir dan memberi sumbangan serta menyokong program pada hari ini.


36.    Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum WBT. 



hidup ini terlalu indah untuk disiakan
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya