Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin
Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin
Pertamanya Majli Belia Malaysia (MBM) meyakini penekanan kepada agenda sosial bermakna menekankan elemen manusia di dalam perancangan yang dibuat. Manusia sebagai unsur penting dan penentu dalam membangun sebuah peradaban atau tamadun perlu manjadi titik sasaran (focus point) dalam pentadbiran negara terutamanya dalam perancangan kewangan negara.

Mana-mana perancangan yang meninggalkan agenda sosial akan kelihatan tempang kerana elemen manusia perlu menjadi output keberhasilan atau mendapat manafaat yang maksima. Membangun ekonomi mesti berteraskan sosial. Maka komitmennya adalah ‘ekonomi sosial’ dan begitu juga sektor lain seperti politik, budaya, pendidikan dan agama yang perlu menatijahkan pembaikan sosial.

Kedua, pemerkasaan platform sedia ada seperti Majlis Sosial Negara agar menjadi juru pandu menatijahkan program terbaik dan berkesan dalam masyarakat dan dijadikan agenda bersama. Pastinya agenda sosial ini perlaksanaannya perlulah merentas kementerian (NBOS) agar segala program yang dirancang dapat disinergikan secara bersama.

Menyedari bahawa dalam mengangkat agenda sosial, ianya memerlukan perancangan yang melibatkan banyak pihak termasuk pihak AADK, PDRM, PBT, NGO dan sebagainya. Usaha juga telah banyak dilakukan oleh Kementerian-kementerian lain dalam dalam merangka program menangani masalah sosial dalam masyarakat.

Ketiga, menyedari keupayaan melihat potensi masyarakat Malaysia yang pelbagai dan rencam memerlukan pendekatan atau interaksi sosial yang berkesan dan kreatif serta kadangkala pendekatannya di luar kebiasaan sedia ada. Perlaksanaannya mesti mengambil kira persekitaran dan suasana serta perlakuan juga berbeza dan berubah. Maka pengupayaan masyarakat sivil sebagai sektor ketiga dalam masyarakat perlu diraikan.

Sebagai gambarannya golongan belia bukannya homogen kerana ada yang dikategorikan sebagai belia berisiko, belia minoriti dan belia terpinggir. Kategori belia ini amat terdedah dengan masalah sosial dan memerlukan ekosistem yang sesuai untuk menyokong perkembangan minda dan modal insan mereka.

Keempat, komitmen berterusan dan berpanjangan (istiqamah) kerana kesan daripada program-program yang dirancang atau sedang berjalan mungkin natijahnya bukan semerta, tetapi ianya akan memberikan kesan jangka panjang yang boleh menjimatkan kos negara serta praktikal.

Kita meyakini bahawa ada terdapat program-program mengangkat dan menangani isu sosial dalam kementerian-kementerian, agensi pelaksana atau sektor ketiga (NGO) yang boleh diketengahkan terpaksa ditangguhkan atau dikurangkan ekoran kurang peruntukan. Maka adalah perlu penelitian yang mendalam perlu diberikan agar program seumpama ini dilihat dari sudut yang lebih besar untuk manfaat jangka panjang masyarakat.

Contohnya, sebelum ini terdapat program yang dinamakan Program Angkat dan Upaya atau PADU yang merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan semangat serta jati diri remaja dan belia bermasalah. Begitu juga Program Jati diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) yang bertujuan untuk membentuk jati diri, patriotisme dan semangat sayangkan negara kepada belia-belia negara ini. Langkah dalam membentuk PLKN 2.0 diharap berjaya membentuk belia yang lebih matang dan berkarisma sesuai dalam membawa imej sebuah negara maju menjelang 2050.

Sehubungan itu, MBM menyokong kenyataan yang dilakukan YB Khairy Jamaluddin dalam menjadikan agenda sosial sebagai agenda utama yang perlu diangkat di dalam Bajet 2018 selari dengan hasrat kerajaan dalam melahirkan negara bangsa yang hebat menjelang 2050. 

Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia

Sumber : Utusan Online


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.