#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

31 January 2017

Petikan Akhbar: Awasi trend guna golongan muda edar dadah


ABD. HALIM menyifatkan langkah pencegahan bermula dari rumah adalah perkara paling penting dalam usaha memerangi kes penyalahgunaan dan pengedaran dadah.



BARU-BARU ini akhbar melaporkan mengenai trend sindiket dadah yang mempergunakan golongan muda khususnya pelajar sekolah untuk mengedar bahan terlarang itu seperti pil ekstasi dan syabu.

Perkara tersebut cukup membimbangkan kerana sindiket itu dilihat mengambil kesempatan ke atas golongan muda yang dikategorikan sebagai juvana dan tidak terikat dengan hukuman berat.

Pencegahan adalah perkara paling utama dalam membanteras gejala itu daripada terus berleluasa selain pembabitan masyarakat termasuk ibu bapa yang perlu memainkan peranan masing-masing agar usaha memerangi dadah habis-habisan dapat dilaksanakan.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut, wartawan Kosmo! Ahad, NOR IDAYU BOSRO menemu bual Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abd. Halim Mohd Hussin di Ibu Pejabat AADK di Kajang, Selangor baru-baru ini.

Kosmo! Ahad: Sindiket pengedaran dadah sentiasa mencari modus operandi baharu bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa. Taktik menggunakan golongan muda adalah antara kaedah yang diguna pakai sejak akhir-akhir ini. Sejauh mana Datuk melihat keseriusan perkara ini?

ABD. HALIM: Dadah adalah musuh nombor satu negara dan perkara ini sudah semestinya dipandang serius serta perlu diberi perhatian oleh semua pihak. Tambahan pula, modus operandi sindiket ini menggunakan khidmat golongan muda sebagai orang tengah atau runner bagi meneruskan kegiatan mereka. Dalam jangka masa panjang, jika perkara ini tidak ditangani sebaik mungkin, ia boleh menjejaskan perancangan pembangunan modal insan sekiranya berlaku peningkatan tahap penglibatan golongan muda dengan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.
Bolehkah Datuk jelaskan secara terperinci siapakah yang menjadi sasaran utama dalam kalangan golongan muda tersebut?

Berdasarkan soal siasat daripada siri operasi penguatkuasaan yang melibatkan pesalah remaja, didapati golongan muda yang mudah dipengaruhi (vulnerable) dan dijadikan sasaran dalam aktiviti pengedaran dadah secara kecil-kecilan. Dalam konteks ini, golongan berkenaan biasanya datang daripada kawasan perumahan berisiko tinggi, berdepan masalah keciciran sekolah, masalah kewangan dan penagih dadah yang memerlukan bekalan dadah, namun tiada pendapatan untuk menyara kos penagihan. Sebagai contoh, pihak kami pernah berjumpa seorang individu yang mengaku menggunakan dadah sejak berumur tujuh tahun dan menjadi pengedar dadah kecil-kecilan atas kerelaan sendiri.
Selain itu, hasil operasi tangkapan di sekitar Lembah Klang dengan menguatkuasakan Seksyen 6(e) Akta AADK 2004 mendapati, jumlah tangkapan sebanyak 15 kes merupakan golongan muda berumur dalam lingkungan 18 hingga 25 tahun termasuk dua kes membabitkan penuntut di institusi pengajian tinggi swasta.


KUMPULAN sindiket pengedaran dadah telah mula menggunakan golongan remaja dan kanak-kanak bagi tujuan transaksi penjualan dadah. – Gambar hiasan


Apakah taktik yang digunakan sindiket itu untuk mempengaruhi golongan muda berkenaan?

Kumpulan sindiket pengedaran dadah global dan tempatan sangat dinamik dan responsif terhadap ruang kelemahan, penambahbaikan pelaksanaan dan teknikal penyiasatan agensi-agensi penguat kuasa dadah dalam negara.

Semakin giat pihak berkuasa melaksana pelbagai strategi baharu bagi mengekang kegiatan mereka, semakin licik jugalah kumpulan sindiket merangka modus operandi agar aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah sukar dikesan.

Oleh yang demikian, saya percaya bahawa taktik mereka yang menyasarkan kumpulan remaja sebagai pengedar dadah kecil-kecilan telah digunakan dengan meluas. Bahkan berdasarkan maklumat daripada program pemerkasaan komuniti dan aktiviti risikan yang dijalankan AADK di kawasan Projek Perumahan Rakyat Termiskin di utara tanah air, kumpulan sindiket pengedaran telah mula menggunakan kanak-kanak bagi tujuan transaksi penjualan dadah. Ini menambah lagi kesukaran kepada penguat kuasa untuk mengesan kegiatan mereka dengan berselindung di sebalik limitasi perundangan dan teknikal siasatan.

Pada pendapat Datuk, mengapakah sindiket ini mengambil kesempatan ke atas golongan muda berkenaan?

Saya berpendapat golongan kanak-kanak dan remaja dijadikan sasaran bagi memanipulasi faktor kelakuan baik (innocent behaviour) kumpulan berkenaan dalam mengaburi mata pihak berkuasa. Selain itu, jika tangkapan dilakukan semasa aktiviti pengedaran dilakukan, kanak-kanak dan remaja boleh terlepas daripada tindakan undang-undang memandangkan mereka dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak (pindaan 2016) dan selalunya, golongan ini juga tidak mengetahui bahawa mereka dijadikan pengedar dadah. Tambahan pula, kanak-kanak merupakan satu kumpulan paling mudah dipengaruhi lebih-lebih lagi dengan tahap pendidikan rendah dan institusi keluarga yang bermasalah.

Apakah antara faktor yang mendorong golongan muda ini sehingga sanggup merisikokan diri dengan menjadi pengedar dadah?

Keterlibatan golongan muda dalam aktiviti pengedaran dadah kecil-kecilan didorong oleh faktor utama melibatkan elemen kewangan. Umum mengetahui kumpulan sindiket pengedaran dadah meraih keuntungan yang sangat besar hasil daripada kegiatan haram itu. Justeru, umpan kumpulan sindiket ini adalah dengan menawarkan pulangan lumayan kepada pengedar kecil-kecilan di bawah mereka.

Untuk mengaut keuntungan yang lebih besar, saya yakin tindakan mereka menggunakan kumpulan kanak-kanak sebagai pengedar kecil-kecilan dari segi kos upah boleh dikurangkan kerana kumpulan kanak-kanak amat mudah dipengaruhi dan tidak mempunyai keperluan untuk menyara kehidupan seperti kumpulan pengedar remaja dan dewasa. Pada masa sama, pengedar dadah yang sebenar dapat berselindung tanpa perlu menyimpan dadah khususnya di peringkat akhir transaksi jualan.


TEGAS Abd. Halim, golongan kanak-kanak dan remaja dijadikan sasaran sindiket pengedaran dadah kerana faktor kelakuan baik mereka dalam mengaburi mata pihak berkuasa.


Bagaimana bentuk pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan AADK dalam usaha membanteras kegiatan tersebut? Ada tangkapan dibuat setakat ini?

AADK terus bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan. AADK kini hanya menjalankan tangkapan dalam kalangan pengedar dadah kecil-kecilan, manakala urusan penyiasatan diambil alih oleh PDRM. Untuk tujuan itu, sebuah pasukan khas dikenali sebagai Special Tactical Response & Investigation Key Enforcers (STRIKE) ditubuhkan bagi menumpukan terhadap serbuan dan tangkapan membabitkan penagih dadah agresif dan juga pengedar dadah kecil-kecilan.

Sejak ditubuhkan tahun lepas, 15 pengedar dadah telah ditangkap dengan keseluruhan rampasan pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM50,000 selain rampasan wang tunai berjumlah RM9,000.

Dari segi pemantauan, AADK melaksanakan omnipresence dengan menyediakan kaunter aduan bagi masyarakat menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan dadah untuk tindakan sewajarnya.

Apakah gesaan dan nasihat yang ingin disampaikan kepada masyarakat agar dapat bersama-sama AADK memerangi kegiatan ini?

Sebagai permulaan, Hari Antidadah Kebangsaan yang disambut pada 19 Februari setiap tahun menampilkan tema Pencegahan Dadah Bermula di Rumah untuk tahun ini. Justeru AADK berharap masyarakat khususnya ibu bapa dapat menjalankan pencegahan dadah bermula dari rumah masing-masing. Ibu bapa termasuk masyarakat perlu ambil kisah dan tindakan terhadap isu dadah dengan antara lain mendidik anak-anak tentang bahaya bahan terlarang itu.

Selain itu, ibu bapa harus melibatkan diri secara langsung dalam dunia seharian anak anda. Awasi juga pergerakan anak-anak dengan mengambil tahu keberadaan mereka, mengenali kawan-kawan mereka selain menjadikan amalan memeriksa beg sekolah, bilik dan telefon bimbit sebagai rutin sebagai langkah awal intervensi. Ibu bapa juga harus memainkan peranan dengan menyertai program-program yang boleh meningkatkan kemahiran keibubapaan selain menggalakkan anak-anak untuk turut sama dalam aktiviti-aktiviti keagamaan dalam membentuk akhlak dan keperibadian yang baik.


Sumber:    Kosmo

No comments:

Post a Comment

selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
#ambilkisahambiltindakan

we are drug free. join us

we are drug free. join us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya