#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

13 March 2017

Ketum : Mitos Dan Realiti, Manfaat Atau Mudarat

 

Pokok ketum (Malaysia) ataupun kratom (Thailand) merupakan pokok berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose. Ia adalah salah satu ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama. Pokok ketum pertama kalinya dikenalpasti pada tahun 1839 oleh pakar botani Belanda, Pieter Korthals dan penulisan tentang tumbuhan ini telah disiarkan semenjak tahun 1897.

Pokok ketum selalunya boleh tumbuh sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai ketinggian sehingga 60 kaki. Batang pokok ketum boleh membesar sehingga 15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci lebar. 

Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk tujuan pengubatan. Terdapat lebih 40 jenis compound ataupun bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine, mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl. Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline dan sebagainya.

Alkaloid adalah sekumpulan bahan kimia yang mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis alkaloid yang mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan pengubatan, menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalarial, penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai kesan psikotropik. 

Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang. Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk tujuan menghilangkan stress dan untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di dalam daun ketum ini terdapat banyak bahan kimia yang boleh memberi kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal hinggalah kesan psikologi termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).

Salah satu compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid adalah mitragynine. Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum.

Apa yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di mana pokok ketum ini membiak. 

Pokok ketum yang tumbuh di negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi, manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau, kepekatannya menjadi rendah.

Mitragynine ini dikatakan 13 kali lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di saraf tunjang. Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%. Di dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant) sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat. 

Dos rendah adalah daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram. Jika diambil pada dos melebihi 15gram, seseorang akan mengalami kesan sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor (hampir tidak sedar diri). Terdapat juga lapuran kejadian sawan selepas mengambil daun ketum melebihi 15 gram.

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.

KEGUNAAN

Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak digunakan oleh pengubatan moden. 

Malah kesan farmakologi daun ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan tidak ada maklumat terperinci mengenainya. Secara traditionalnya, daun ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia. 

Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok). Jika diambil seperti minuman teh, jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit. Ia seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti keradangan (inflammatory). 

Lain-lain kegunaan adalah seperti dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid. Ada juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan kebergantungan kepada dadah seperti opiod. Kajian ke atas haiwan menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin. 

Pada asalnya pengambilan daun ketum ini dianggap sebagai budaya orang kampung dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan kesalahan dan baik untuk kesihatan. 

Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine. Di samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste). Banyak produk daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya sangat mudah ditanam di sekitar rumah. 

Di selatan Thailand, cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan seakan-akan arak. Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun ubat penahan sakit.

KESAN SAMPINGAN

Seperti yang dinyatakan tadi daun ketum mengandungi banyak jenis bahan kimia ataupun phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar untuk dibuat kajian. 

Secara umumnya, kesan pengambilan daun ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil ataupun “dose-dependent”. 

Pada kadar dos yang rendah, ia boleh meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin. 

Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering kesan khayal dan keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir sehingga 1-1.5 jam. 

Pengamal daun ketum mendakwa lebih bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu sek meningkat. Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg mitragynine menunjukkan ransangan otot, diikuti dengan pening, hilang perseimbangan badan dan mengeletar. 

Mekanisma aktiviti ransangan ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas. Daun ketum kering yang diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa. Kemudiannya kesan ini akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh mengambil masa sehingga 6 jam. 

Kesan-kesan ini disebabkan oleh dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan 7-hydroxymitragynine. Pengambilan daun ketum secara tetap boleh menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa satu minggu. Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh berlaku. Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan kerosakan hati. 

Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l. Jika daun ketum digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti ubat-ubatan tertentu boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Kes kematian telah dilapurkan ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai ubat herba). 

Satu kajian "case series" kematian akibat pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9 kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan), campuran ini dikenali sebagai “Krypton”. 

Untuk mendapat rasa bersemangat dan seronok/khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar dikunyah serentak. Selepas mengunyah, dan menelan, pengamal akan meminum air suam ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10 kali di dalam satu hari.

Kesan sosial pengambilan daun ketum adalah membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat ketagihan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum dianggap sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat tertentu. Ianya juga diamalkan oleh golongan-golongan agamawan yang akan menjadi tauladan kepada ahli-ahli masyarakat yang lain. 

Dengan berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan, cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah, individu yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami ketagihan dan kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan ubat batuk. Daun ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain kepada penagih morfin,heroin dan lain2 yang kurang berkemampuan kerana harganya yang murah dan mudah diperolehi. 

Dengan kelonggaran peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum, kita tidak boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap masyarakat jika budaya ini dibiarkan berkembang. Tidak hairan mengapa ia bakal memberi kesan sosial yang lebih serius dari penyalahgunaan dadah-dadah yang lain.

UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN DAUN KETUM

Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug Conventions. 

Daun ketum, dan/atau mitragynine dan/atau 7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden. Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand. Di negeri Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya mengharamkan penanaman pokok ketum. 

Di New Zealand, daun ketum dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations. Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap sebagai “drug of concern”. 

Pada bulan Jun 2015, FDA telah membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil, hilang nafsu seks, sembelit, hiperpigmentasi kulit, loya, muntah dan gejala withdrawal yang berat“. 

Disebabkan ketum tidak pernah diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden. 

Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952. Sesiapa yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. 

Sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali. Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952 yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali ataupun hukuman mati mandatori. Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum masih lagi di bawah akta racun 1952.

FATWA DAUN KETUM

Daun ketum boleh dianggap sebagai bahan yang boleh memabukkan/mengkhayalkan serta boleh memudaratkan. Berikut adalah petikan daripada Irsyad Al-Fatwa ke 124 (Majlis fatwa pejabat mufti Wilayah Persekutuan):

Kami nukilkan di sini fatwa dari majlis Fatwa Kebangsaan Muzakarah mengenai dadah Syabu dan jenis-jenis dadah baru yang lain yang mana daun ketum juga boleh dimasukkan sekali kerana ‘illah yang sama iaitu memabukkan/mengkhayalkan serta memudaratkan.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah membincangkan Hukum Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis Dadah Baru Yang Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang sama seperti ecstasy, katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).

Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual, mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.

KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dalam isu penanaman pokok ketum ini, kami lebih cenderung kepada untuk dielakkannya kerana berbeza penggunaannya dengan bab yang lain di mana ianya lebih kepada mudarat dan juga mafsadah.

Keduanya, sekalipun niat baik dan tujuan yang jelas bagi tujuan farmaseutikal/perubatan, tetapi isu tahap kawalan agar tidak terarah kepada penyalahgunaannya begitu mencabar untuk dipertahankan. Sudah barang tentu akan di ambil kesempatan dan peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Ketiganya, dalam suasana amat sukar menangani isu dadah dan seumpamanya, jika ia dibiarkan untuk pokok ketum ditanam secara berleluasa, maka ia boleh menyukarkan untuk proses pembasmian salah guna dadah.

Seterusnya kami berpendapat bahawa masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh dikormesialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan yang lumayan bagi menggantikan daun ketum dalam skala yang besar. Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Malaysia dari segala bala-bencana serta memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Wassalam.

Untuk maklumat lanjut mengenai Irsyad Al-Fatwa ke 124 ini sila layari laman web DI SINI 

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke 12 pada tahun 2013 juga memfatwakan penyalahgunaan daun ketum dan produk-produknya sebagai haram. KLIK DI SINI 

Wakil PEMADAM (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sendiri pernah menyarankan supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa haram ke atas penyalahgunaan daun ketum, KLIK DI SINI

KESIMPULAN

Daun ketum mengandungi lebih 40 jenis bahan kimia dan di antaranya terdapat beberapa jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid. Bahan alkaloid yang paling utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran seseorang. 

Disebabkan oleh terlalu banyak bahan kimia yang terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun ketum dalam bentuk mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan kepada fizikal dan juga mental seseorang. 

Walaupun ianya mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi kesan sampingan yang dibawa olehnya tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang berkaitan dengan kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal mengalami masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa jika daun ketum ini dicampurkan dengan bahan-bahan lain. 

Daun ketum ini bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi bahan-bahan kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga ada racun tersembunyi yang boleh memudaratkan pengamalnya di dalam jangkamasa panjang. 

Malahan jika pengamalnya mengambil pada dos yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan bahan-bahan kimia yang lain termasuk ubat-ubat dari kategori opioid, boleh menyebabkan kesan sampingan serius jangkamasa pendek termasuk kematian. Jika ianya hendak digunakan untuk tujuan pengubatan, maka ahli sains perlu mengambil ataupun mengekstrak bahan-bahan ubatan tersebut satu persatu dan ditentukan dos serta kaedah pengambilan yang sesuai, sama seperti ubat-ubatan moden yang lain. Kesimpulannya pengambilan daun ketum tanpa kawalan boleh berpotensi menyebabkan bermacam masalah kesihatan fizikal, ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat negara kita. 

Ketagihan daun ketum boleh menjadi tapak permulaan kepada ketagihan dadah-dadah lain yang lebih kuat dan memudaratkan. Saya tidak bersetuju jika disamakan daun ketum ini dengan buah anggur yang boleh dijadikan arak kerana buah anggur adalah jelas halal dimakan kerana ianya bersih dan bebas dari bahan kimia terlarang. Ianya menjadi haram apabila sudah melalui proses bertukar menjadi arak. 

Sedangkan daun ketum adalah jelas sudah mengandungi bahan kimia yang memudaratkan jika dimakan secara mentah tanpa melalui proses pengubahsuaian. Kita berharap ahli-ahli sains akan membuat kajian saintifik yang lebih mendalam ke atas potensi manfaat dan mudarat daun ketum di masa hadapan. 

Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG (UKM),FGO(S'PORE),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah

#HADK2017
#PerangiKetum
#SayangiDirimu
#PerangiDadahHabisHabisan

Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

Program Sepetang Bersama Ketua Menteri Melaka

Melaka – YAB Datuk Seri Utama Ir Hj Idris Bin Hj Haron, Ketua Menteri Melaka telah hadir dalam Program “Sepetang Bersama Ketua Menteri Melaka” yang dirancang khas atas permintaan beliau sendiri untuk bertemu dengan sejumlah 1500 Orang Kena Pengawasan (OKP) di seluruh negeri Melaka. 

Ketibaan beliau pada jam 4.30 petang di Dewan Tun Ali, Bukit Katil telah menerima sokongan padu daripada tetamu yang hadir. YAB Ketua Menteri Melaka telah memberikan ucapan dan kemudiannya beramah mesra dengan Orang Kena Pengawasan (OKP) yang hadir dengan diiringi oleh YBhg Dato’ Dr Abd Halim Bin Hussin, Ketua Pengarah AADK Malaysia, Pengarah Bahagian Pencegahan, Encik Abdul Rahmna Bin Hamid serta En Mohamad Yusof Bin Kameh, Pengarah AADK Melaka. 

YAB Ketua Menteri Melaka berharap dengan pendekatan yang bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh pihak AADK serta Kerajaan Negeri Melaka akan dapat mengurangkan bilangan penagih di negeri Melaka seterusnya menjadikan Melaka Bebas Dadah.

  


 

 

 
 




#HADK2017
#pencegahandadahbermuladarirumah
#perangidadahhabishabisan   


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

08 March 2017

Ganja – Racun atau Penawar?


Cannabinoid adalah satu kelas bagi kompaun-kompaun kimia yang mampu mengikat secara khusus terhadap reseptor cannabinoid dalam tubuh. Reseptor cannabinoid adalah salah satu komponen utama bagi sistem endocannabinoid dalam tubuh manusia. Sistem endocannabinoid mengawal fungsi memori, metabolisma, kawalan selera makan, sistem imun, kawalan tidur dan emosi dan mood. Sistem ini dikawal imbangan homeostasisnya dalam tubuh dengan ketat.

Terdapat beberapa jenis reseptor cannabinoid yang telah dikenalpasti dan dihuraikan fungsinya dalam tubuh manusia. Reseptor cannabinoid jenis 1 (CB1) banyak taburannya dalam otak. Manakala reseptor cannabinoid jenis 2 (CB2) lebih banyak taburannya dalam sistem periferi berbanding otak.

Cannabinoid semulajadi

Tubuh kita juga menghasilkan cannabinoid secara semulajadi – Anandamide. Kompoun ini mengikat secara khusus pada reseptor CB1 dan mengawal kewujudan memori dalam otak. Kajian telah menunjukkan kehilangan memori jangka pendek pada tikus yang diberikan dos tinggi anandamide.

Kewujudan anandamide menunjukkan kemampuan otak untuk melupakan perkara yang dirasakan ‘tidak perlu’ dan ‘tidak disenangi’ – fungsi yang sangat penting supaya kita dapat fokus dan menumpukan perhatian pada perkara yang utama dalam kehidupan seharian.

 

Anandamide juga, seperti namanya (‘ananda’ diambil dari perkataan Sanskrit yang bermaksud kegembiraan), mempunyai fungsi dalam kawalan emosi. Sebab itulah pengguna kanabis atau ganja mengalami keadaan ‘high’ dan euforia (kegembiraan melampau).

Ini adalah kerana kehadiran molekul kimia tetrahydrocannabinol (THC) yang mampu mengaruh reseptor cannabinoid seperti anandamide. Namun, THC adalah molekul yang lebih poten dan menghasilkan kesan yang lebih hebat dari anandamide.

Ganja

Marijuana, Cannabis/ Kanabis atau ganja adalah merujuk kepada sejenis tumbuhan berbunga yang sama – Cannabis sativa. Terdapat juga beberapa spesis lain dalam genus yang sama contohnya Cannabis indica, C. ruderalis, C. Americana dan beberapa strain kacukan lain. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok hemp.

Cannabis Sativa

Cannabinoid adalah salah satu kelas bagi kompoun-kompoun kimia yang dapat diperoleh dari tumbuhan ini (digelar ‘phyto-cannabinoids’, phyto- tumbuhan). Kebanyakan cannabinoids ini diperoleh dari resin dalam trikom pokok ganja. Ada lebih 600 kompoun kimia telah dikenalpasti dalam tumbuhan ganja dan lebih seratus jenis cannabinoids telah dapat diasing sehingga kini.

Cannabinoid dalam ganja

Cannabinoid paling utama dan paling banyak dikaji adalah kompoun kimia tetrahydrocannabinol (THC). Kompoun dalam kelas THC adalah bersifat ‘psikotropik’. Ini bermaksud, kompoun dalam jenis ini mengaruh fungsi otak dan menyebabkan gangguan pada persepsi, mood, emosi dan kesedaran. THC juga dikatakan mampu meningkatkan penghasilan dan perembesan neuropemancar dopamine dalam otak yang akan mengakibatkan pengguna ganja mengalami euforia (kegembiraan melampau) dan halusinasi.
Tetrahydrocannabinol (THC)

Cannabinol (CBN) juga adalah salah satu dari kompoun psikoaktif yang terdapat dalam ganja yang banyak dikaji dan diteliti. Namun kompoun ini adalah bersifat psikoaktif sama seperti THC walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding THC. Ada banyak lagi kompoun yang mempunyai sifat seperti THC dalam tumbuhan ini. Malah THC juga wujud dalam beberapa bentuk isomer dalam resin ganja.

Cannabidiol

Cannabidiol (CBD) pula adalah phytocannabinoids yang tidak bersifat psikoaktif seperti THC. Namun, kompoun ini telah dilaporkan sebagai agonis songsang (inverse agonist) terhadap reseptor cannabinoid dan mampu meningkatkan afiniti reseptor tersebut terhadap THC.

Banyak lagi kompoun cannabinoids yang telah dikaji dan diteliti contohnya cannabichromene, cannabigerol, cannabicyclol, cannabivarin yang mempunyai sifat seperti CBD.

Ganja dan minyak hemp

Ganja biasanya diperoleh dalam keadaan kering daripada bunga, daun dan putiknya. Bunga dan putik ganja mempunyai amaun THC yang paling tinggi berbanding bahagian lain dalam pokok ini.

Minyak hemp diperoleh dengan memerah bijian dari pokok ganja. Minyak ini dikatakan mempunyai amaun CBD yang tinggi dan THC yang rendah (sekitar 4mg/kg).

Kesan pengambilan ganja terhadap otak

Selain kesan jangka pendek seperti kehilangan kesedaran, kehilangan memori, euforia dan mengalami halusinasi, pengambilan ganja juga menjejaskan fungsi otak untuk jangka panjang.
 

Banyak kertas kajian jangka panjang telah menunjukkan penggunaan ganja mampu menurunkan kebolehan kognitif otak. Remaja yang mengambil ganja didapati mempunyai  IQ dengan paras 8 hingga 10 poin dibawah normal. Malah, jika kita mengambil ganja pada awal usia dan berhenti, paras penurunan IQ itu juga adalah sama dan tidak berubah.

Sesetengah kajian juga menunjukkan pengambilan ganja mengakibatkan pengecilan saiz otak terutama pada bahagian hippokampus yang mengawal memori, kebolehan belajar dan kawalan impuls (bahagian ini juga terdapat reseptor CB1 yang padat).

Menariknya, kesan ganja ini akan lebih ketara jika diambil pada usia muda. Lebih muda seseorang itu terdedah pada ganja, lebih teruk kesannya terhadap otak.  Bayangkan bayi yang diberikan minyak hemp. Walaupun amaun THC dalam minyak ini boleh dikatakan amat rendah, tetapi THC adalah bahan yang sangat mudah meresap dalam sistem tubuh kerana sifatnya yang lipofilik. Ciri ini juga menyebabkan THC berada lama dalam sistem tubuh kita kerana ia tersimpan dalam sel lemak.

Ganja dan kesuburan

Sistem reproduktif manusia dikawal oleh tindak balas hormon-hormon yang dirembes oleh hipothalamus di otak. Sistem endocannabinoid juga mempunyai pengaruh yang bukan sedikit terhadap regulasi hormon dan pembentukan sperma dan ovum.

 

Kehadiran cannabinoid pada aras yang tinggi dengan pengambilan ganja menyebabkan paras testosteron menurun. Ini juga akan menyebabkan gangguan pada pembentukan sperma.

Kajian oleh Gundersen (2015) menunjukkan pengambilan pengambilan ganja minima sekali seminggu mengurangi satu per tiga jumlah sperma berbanding normal.

Pengambilan ganja juga menyebabkan embrio tidak dapat melekat pada dinding rahim setelah persenyawaan berlaku.

Ganja dalam perubatan

Salahtanggapan umum (dan teori konspirasi) bahawa kegunaan ganja adalah terhalang dan tiada kajian langsung mengenainya dari sudut perubatan. Kajian tentang kegunaan ganja untuk perubatan telah banyak dan giat dilakukan. Malangnya, faedah dan nilai terapeutik tumbuhan ini terhalang dengan kesan psikotropik yang dihasilkan oleh kebanyakan kompaun kimia (contohnya THC) dalam ganja.

Jadi, saintis berusaha dan mengkaji untuk menghasilkan molekul kimia dari ganja ini secara sintetik untuk memberikan nilai tambah kepadanya atau mengurangi kesan sampingan darinya.

 

Sativex (Nabiximol) adalah ekstrak khusus dari molekul kimia THC dan cannabidiol (nisbah 1:1) telah dilesenkan untuk kegunaan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis).

Nabilone adalah molekul sintetik yang hampir sama dengan struktur  kimia THC telah digunakan untuk merawat kesan sampingan kemoterapi dan antimuntah.

Marinol (dronabinol) digunakan sebagai anti-muntah, peningkat selera dan penahan sakit.

Kajian klinikal molekul terbitan cannabidiol juga telah berada diperingkat akhir untuk rawatan Sindrom Dravet dan epilepsi.

Ganja dan kanser

Tanggapan umum mengatakan ganja adalah ‘rawatan’ yang ampuh untuk kanser adalah tidak tepat. Kebanyakan penggunaan ganja pada ketika ini adalah hanya untuk mengawal kesan buruk dari kemoterapi atau mengawal kesakitan dan sebagai stimulan untuk meningkatkan selera.

Ganja, malangnya telah dilaporkan meningkatkan peratusan kanser pada penggunanya. Insiden kanser tekak, leher dan kepala agak tinggi atau sama dengan pengguna rokok. Ini adalah tidak menghairankan kerana molekul kimia yang terdapat dalam asap rokok yang bersifat karsinogenik. Contohnya,  kompaun benzopyrene  dan benzathracene, tar dan lain-lain lagi.

Menariknya, kadar risiko untuk kanser prostat dan kanser testis meningkat seiring penggunaan ganja!

Namun, kajian tentang sitotoksik THC dan beberapa kompoun dari ganja telah dilakukan dan mendapat kesan positif. Hasil kajian ini, walaupun sangat positif dan memberangsangkan, masih diperingkat pre-klinikal dan perlu diteliti diperingkat haiwan dan manusia.

Jadi, bolehkah menggunakan ganja untuk ‘self-medicate'(guna untuk diri sendiri)?

‘Self-medicate’ ataupun mengambil ganja bagi diri sendiri tanpa mendapatkan nasihat doktor adalah sesuatu yang tidak digalakkan. Ini kerana keburukan ganja masih mengatasi kebaikannya terutamanya bagi yang menghisap ganja. Ini kerana kebarangkalian untuk penyalagunaan bahan ini adalah tinggi.  Malah, jumlah yang terdapat dalam ganja secara natural itu mungkin tidak sampai kepada amaun terapeutik yang diperlukan untuk menyembuhkan apa pun penyakit anda. Baca artikel ini untuk ulang kaji: ‘Chemical drug is bad, all natural is good’ – Benarkah?

Rujukan
MacDonald K, Pappas K. WHY NOT POT?: A Review of the Brain-based Risks of Cannabis. Innovations in Clinical Neuroscience. 2016;13(3-4):13-22.

Gundersen TD, Jørgensen N, Andersson AM, Bang AK, Nordkap L, Skakkebæk NE, Priskorn L, Juul A, Jensen TK. Association Between Use of Marijuana and Male Reproductive Hormones and Semen Quality: A Study Among 1,215 Healthy Young Men. Am J Epidemiol. 2015 Sep 15;182(6):473-81. doi: 10.1093/aje/kwv135.

Du Plessis SS, Agarwal A, Syriac A. Marijuana, phytocannabinoids, the endocannabinoid system, and male fertility. Journal of Assisted Reproduction and Genetics. 2015;32(11):1575-1588. doi:10.1007/s10815-015-0553-8.

Francesca MF. Weeding Through Marijuana’s Effects on the Brain. JAMA Psychiatry. 2016;73(8):773-774. doi:10.1001/jamapsychiatry.2016.1133

Francesca MF, Sina A, Vince DC, Jeffrey SS, Eswar D, Arvind C, and Judith S. Long-term effects of marijuana use on the brain. PNAS. (2014) 16913–16918, doi: 10.1073/pnas.1415297111
Jacobus J, Tapert SF. Effects of Cannabis on the Adolescent Brain. Current pharmaceutical design. 2014;20(13):2186-2193.

Sarfaraz S., Adhami VM., Deeba N. S, Afaq F. and Mukhtar H. Cannabinoids for Cancer Treatment: Progress and Promise. Cancer Res. (2008) DOI: 10.1158/0008-5472.CAN-07-2785

M Guzmán, M J Duarte, C Blázquez, J Ravina, M C Rosa, I Galve-Roperh, C Sánchez, G Velasco and L González-Feria. A pilot clinical study of Δ9-tetrahydrocannabinol in patients with recurrent glioblastoma multiforme. British Journal of Cancer (2006) 95, 197–203. doi:10.1038/sj.bjc.6603236

Ligresti A, Moriello AS, Starowicz K, Matias I, Pisanti S, De Petrocellis L, Laezza C, Portella G, Bifulco M, Di Marzo V. Antitumor activity of plant cannabinoids with emphasis on the effect of cannabidiol on human breast carcinoma. J Pharmacol Exp Ther. 2006 Sep;318(3):1375-87

Jack MF, Bryan P, David JF. Cognitive Correlates of Long-term Cannabis Use in Costa Rican Men.  Arch Gen Psychiatry. 1996;53(11):1051-1057. doi:10.1001/archpsyc.1996.01830110089011

Sumber : Root Of Science

#HADK2017
#pencegahandadahbermuladarirumah
#perangidadahhabishabisan 


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

04 March 2017

Antidrugs Community Fun Run 2017 di Terengganu

Antidrugs Community Fun Run Sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus. Larian disertai ribuan peserta termasuk golongan istimewa berkerusi roda. Jadi apa alasan untuk tidak mengamalkan gaya hidup sihat bebas dadah! Jumpa anda di larian seterusnya di Johor Bahru dan Pulau Pinang.


 











 
#HADK2017
#pencegahandadahbermuladarirumah
#perangidadahhabishabisan


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

02 March 2017

Antidrugs Community Fun Run 2017


Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan kerjasama Pejabat Daerah Kuala Nerus, Terengganu akan menganjurkan program Antidrugs Community Fun Run 2017 sempena Hari Antidadah Kebangsaan 2017 di Dataran City Night Games, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada 4 Mac 2017 bermula dari jam 7 pagi. 

Pelbagai aktiviti disediakan seperti acara larian komuniti antidadah, berbasikal, kasut roda, jalan kaki, senamrobik dan persembahan buskers. 

2000 penyertaan terawal akan mendapat t-shirt percuma. Anda juga berpeluang menyertai peraduan Swafoto dan Cabutan Bertuah. Hadiah misteri menanti anda. 

Jom hadir beramai-ramai. Masuk adalah percuma. Pencegahan Dadah Bermula Dari Rumah. Maklumat lanjut, sila hubungi Norzira di talian 019-972 8347.

#HADK2017
#PerangiDadahHabisHabisan
#SayangiDirimu
#AmbilKisahAmbilTindakan

Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

01 March 2017

Lawatan Kerja Timbalan Menteri Dalam Negeri II

28 Februari : YB Masir Kujat Timbalan Menteri Dalam Negeri II mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Membanteras Dadah Negeri Kelantan dan mengadakan lawatan kerja ke Klinik Cure & Care 1Malaysia Kota Bharu, Kelantan.









 #HADK2017
#PerangiDadahHabisHabisan
#PDH2
#SayangiDirimu
#AmbilKisahAmbilTindakan


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya