#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

08 March 2017

Ganja – Racun atau Penawar?


Cannabinoid adalah satu kelas bagi kompaun-kompaun kimia yang mampu mengikat secara khusus terhadap reseptor cannabinoid dalam tubuh. Reseptor cannabinoid adalah salah satu komponen utama bagi sistem endocannabinoid dalam tubuh manusia. Sistem endocannabinoid mengawal fungsi memori, metabolisma, kawalan selera makan, sistem imun, kawalan tidur dan emosi dan mood. Sistem ini dikawal imbangan homeostasisnya dalam tubuh dengan ketat.

Terdapat beberapa jenis reseptor cannabinoid yang telah dikenalpasti dan dihuraikan fungsinya dalam tubuh manusia. Reseptor cannabinoid jenis 1 (CB1) banyak taburannya dalam otak. Manakala reseptor cannabinoid jenis 2 (CB2) lebih banyak taburannya dalam sistem periferi berbanding otak.

Cannabinoid semulajadi

Tubuh kita juga menghasilkan cannabinoid secara semulajadi – Anandamide. Kompoun ini mengikat secara khusus pada reseptor CB1 dan mengawal kewujudan memori dalam otak. Kajian telah menunjukkan kehilangan memori jangka pendek pada tikus yang diberikan dos tinggi anandamide.

Kewujudan anandamide menunjukkan kemampuan otak untuk melupakan perkara yang dirasakan ‘tidak perlu’ dan ‘tidak disenangi’ – fungsi yang sangat penting supaya kita dapat fokus dan menumpukan perhatian pada perkara yang utama dalam kehidupan seharian.

 

Anandamide juga, seperti namanya (‘ananda’ diambil dari perkataan Sanskrit yang bermaksud kegembiraan), mempunyai fungsi dalam kawalan emosi. Sebab itulah pengguna kanabis atau ganja mengalami keadaan ‘high’ dan euforia (kegembiraan melampau).

Ini adalah kerana kehadiran molekul kimia tetrahydrocannabinol (THC) yang mampu mengaruh reseptor cannabinoid seperti anandamide. Namun, THC adalah molekul yang lebih poten dan menghasilkan kesan yang lebih hebat dari anandamide.

Ganja

Marijuana, Cannabis/ Kanabis atau ganja adalah merujuk kepada sejenis tumbuhan berbunga yang sama – Cannabis sativa. Terdapat juga beberapa spesis lain dalam genus yang sama contohnya Cannabis indica, C. ruderalis, C. Americana dan beberapa strain kacukan lain. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok hemp.

Cannabis Sativa

Cannabinoid adalah salah satu kelas bagi kompoun-kompoun kimia yang dapat diperoleh dari tumbuhan ini (digelar ‘phyto-cannabinoids’, phyto- tumbuhan). Kebanyakan cannabinoids ini diperoleh dari resin dalam trikom pokok ganja. Ada lebih 600 kompoun kimia telah dikenalpasti dalam tumbuhan ganja dan lebih seratus jenis cannabinoids telah dapat diasing sehingga kini.

Cannabinoid dalam ganja

Cannabinoid paling utama dan paling banyak dikaji adalah kompoun kimia tetrahydrocannabinol (THC). Kompoun dalam kelas THC adalah bersifat ‘psikotropik’. Ini bermaksud, kompoun dalam jenis ini mengaruh fungsi otak dan menyebabkan gangguan pada persepsi, mood, emosi dan kesedaran. THC juga dikatakan mampu meningkatkan penghasilan dan perembesan neuropemancar dopamine dalam otak yang akan mengakibatkan pengguna ganja mengalami euforia (kegembiraan melampau) dan halusinasi.
Tetrahydrocannabinol (THC)

Cannabinol (CBN) juga adalah salah satu dari kompoun psikoaktif yang terdapat dalam ganja yang banyak dikaji dan diteliti. Namun kompoun ini adalah bersifat psikoaktif sama seperti THC walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding THC. Ada banyak lagi kompoun yang mempunyai sifat seperti THC dalam tumbuhan ini. Malah THC juga wujud dalam beberapa bentuk isomer dalam resin ganja.

Cannabidiol

Cannabidiol (CBD) pula adalah phytocannabinoids yang tidak bersifat psikoaktif seperti THC. Namun, kompoun ini telah dilaporkan sebagai agonis songsang (inverse agonist) terhadap reseptor cannabinoid dan mampu meningkatkan afiniti reseptor tersebut terhadap THC.

Banyak lagi kompoun cannabinoids yang telah dikaji dan diteliti contohnya cannabichromene, cannabigerol, cannabicyclol, cannabivarin yang mempunyai sifat seperti CBD.

Ganja dan minyak hemp

Ganja biasanya diperoleh dalam keadaan kering daripada bunga, daun dan putiknya. Bunga dan putik ganja mempunyai amaun THC yang paling tinggi berbanding bahagian lain dalam pokok ini.

Minyak hemp diperoleh dengan memerah bijian dari pokok ganja. Minyak ini dikatakan mempunyai amaun CBD yang tinggi dan THC yang rendah (sekitar 4mg/kg).

Kesan pengambilan ganja terhadap otak

Selain kesan jangka pendek seperti kehilangan kesedaran, kehilangan memori, euforia dan mengalami halusinasi, pengambilan ganja juga menjejaskan fungsi otak untuk jangka panjang.
 

Banyak kertas kajian jangka panjang telah menunjukkan penggunaan ganja mampu menurunkan kebolehan kognitif otak. Remaja yang mengambil ganja didapati mempunyai  IQ dengan paras 8 hingga 10 poin dibawah normal. Malah, jika kita mengambil ganja pada awal usia dan berhenti, paras penurunan IQ itu juga adalah sama dan tidak berubah.

Sesetengah kajian juga menunjukkan pengambilan ganja mengakibatkan pengecilan saiz otak terutama pada bahagian hippokampus yang mengawal memori, kebolehan belajar dan kawalan impuls (bahagian ini juga terdapat reseptor CB1 yang padat).

Menariknya, kesan ganja ini akan lebih ketara jika diambil pada usia muda. Lebih muda seseorang itu terdedah pada ganja, lebih teruk kesannya terhadap otak.  Bayangkan bayi yang diberikan minyak hemp. Walaupun amaun THC dalam minyak ini boleh dikatakan amat rendah, tetapi THC adalah bahan yang sangat mudah meresap dalam sistem tubuh kerana sifatnya yang lipofilik. Ciri ini juga menyebabkan THC berada lama dalam sistem tubuh kita kerana ia tersimpan dalam sel lemak.

Ganja dan kesuburan

Sistem reproduktif manusia dikawal oleh tindak balas hormon-hormon yang dirembes oleh hipothalamus di otak. Sistem endocannabinoid juga mempunyai pengaruh yang bukan sedikit terhadap regulasi hormon dan pembentukan sperma dan ovum.

 

Kehadiran cannabinoid pada aras yang tinggi dengan pengambilan ganja menyebabkan paras testosteron menurun. Ini juga akan menyebabkan gangguan pada pembentukan sperma.

Kajian oleh Gundersen (2015) menunjukkan pengambilan pengambilan ganja minima sekali seminggu mengurangi satu per tiga jumlah sperma berbanding normal.

Pengambilan ganja juga menyebabkan embrio tidak dapat melekat pada dinding rahim setelah persenyawaan berlaku.

Ganja dalam perubatan

Salahtanggapan umum (dan teori konspirasi) bahawa kegunaan ganja adalah terhalang dan tiada kajian langsung mengenainya dari sudut perubatan. Kajian tentang kegunaan ganja untuk perubatan telah banyak dan giat dilakukan. Malangnya, faedah dan nilai terapeutik tumbuhan ini terhalang dengan kesan psikotropik yang dihasilkan oleh kebanyakan kompaun kimia (contohnya THC) dalam ganja.

Jadi, saintis berusaha dan mengkaji untuk menghasilkan molekul kimia dari ganja ini secara sintetik untuk memberikan nilai tambah kepadanya atau mengurangi kesan sampingan darinya.

 

Sativex (Nabiximol) adalah ekstrak khusus dari molekul kimia THC dan cannabidiol (nisbah 1:1) telah dilesenkan untuk kegunaan pesakit sklerosis berbilang (multiple sclerosis).

Nabilone adalah molekul sintetik yang hampir sama dengan struktur  kimia THC telah digunakan untuk merawat kesan sampingan kemoterapi dan antimuntah.

Marinol (dronabinol) digunakan sebagai anti-muntah, peningkat selera dan penahan sakit.

Kajian klinikal molekul terbitan cannabidiol juga telah berada diperingkat akhir untuk rawatan Sindrom Dravet dan epilepsi.

Ganja dan kanser

Tanggapan umum mengatakan ganja adalah ‘rawatan’ yang ampuh untuk kanser adalah tidak tepat. Kebanyakan penggunaan ganja pada ketika ini adalah hanya untuk mengawal kesan buruk dari kemoterapi atau mengawal kesakitan dan sebagai stimulan untuk meningkatkan selera.

Ganja, malangnya telah dilaporkan meningkatkan peratusan kanser pada penggunanya. Insiden kanser tekak, leher dan kepala agak tinggi atau sama dengan pengguna rokok. Ini adalah tidak menghairankan kerana molekul kimia yang terdapat dalam asap rokok yang bersifat karsinogenik. Contohnya,  kompaun benzopyrene  dan benzathracene, tar dan lain-lain lagi.

Menariknya, kadar risiko untuk kanser prostat dan kanser testis meningkat seiring penggunaan ganja!

Namun, kajian tentang sitotoksik THC dan beberapa kompoun dari ganja telah dilakukan dan mendapat kesan positif. Hasil kajian ini, walaupun sangat positif dan memberangsangkan, masih diperingkat pre-klinikal dan perlu diteliti diperingkat haiwan dan manusia.

Jadi, bolehkah menggunakan ganja untuk ‘self-medicate'(guna untuk diri sendiri)?

‘Self-medicate’ ataupun mengambil ganja bagi diri sendiri tanpa mendapatkan nasihat doktor adalah sesuatu yang tidak digalakkan. Ini kerana keburukan ganja masih mengatasi kebaikannya terutamanya bagi yang menghisap ganja. Ini kerana kebarangkalian untuk penyalagunaan bahan ini adalah tinggi.  Malah, jumlah yang terdapat dalam ganja secara natural itu mungkin tidak sampai kepada amaun terapeutik yang diperlukan untuk menyembuhkan apa pun penyakit anda. Baca artikel ini untuk ulang kaji: ‘Chemical drug is bad, all natural is good’ – Benarkah?

Rujukan
MacDonald K, Pappas K. WHY NOT POT?: A Review of the Brain-based Risks of Cannabis. Innovations in Clinical Neuroscience. 2016;13(3-4):13-22.

Gundersen TD, Jørgensen N, Andersson AM, Bang AK, Nordkap L, Skakkebæk NE, Priskorn L, Juul A, Jensen TK. Association Between Use of Marijuana and Male Reproductive Hormones and Semen Quality: A Study Among 1,215 Healthy Young Men. Am J Epidemiol. 2015 Sep 15;182(6):473-81. doi: 10.1093/aje/kwv135.

Du Plessis SS, Agarwal A, Syriac A. Marijuana, phytocannabinoids, the endocannabinoid system, and male fertility. Journal of Assisted Reproduction and Genetics. 2015;32(11):1575-1588. doi:10.1007/s10815-015-0553-8.

Francesca MF. Weeding Through Marijuana’s Effects on the Brain. JAMA Psychiatry. 2016;73(8):773-774. doi:10.1001/jamapsychiatry.2016.1133

Francesca MF, Sina A, Vince DC, Jeffrey SS, Eswar D, Arvind C, and Judith S. Long-term effects of marijuana use on the brain. PNAS. (2014) 16913–16918, doi: 10.1073/pnas.1415297111
Jacobus J, Tapert SF. Effects of Cannabis on the Adolescent Brain. Current pharmaceutical design. 2014;20(13):2186-2193.

Sarfaraz S., Adhami VM., Deeba N. S, Afaq F. and Mukhtar H. Cannabinoids for Cancer Treatment: Progress and Promise. Cancer Res. (2008) DOI: 10.1158/0008-5472.CAN-07-2785

M Guzmán, M J Duarte, C Blázquez, J Ravina, M C Rosa, I Galve-Roperh, C Sánchez, G Velasco and L González-Feria. A pilot clinical study of Δ9-tetrahydrocannabinol in patients with recurrent glioblastoma multiforme. British Journal of Cancer (2006) 95, 197–203. doi:10.1038/sj.bjc.6603236

Ligresti A, Moriello AS, Starowicz K, Matias I, Pisanti S, De Petrocellis L, Laezza C, Portella G, Bifulco M, Di Marzo V. Antitumor activity of plant cannabinoids with emphasis on the effect of cannabidiol on human breast carcinoma. J Pharmacol Exp Ther. 2006 Sep;318(3):1375-87

Jack MF, Bryan P, David JF. Cognitive Correlates of Long-term Cannabis Use in Costa Rican Men.  Arch Gen Psychiatry. 1996;53(11):1051-1057. doi:10.1001/archpsyc.1996.01830110089011

Sumber : Root Of Science

#HADK2017
#pencegahandadahbermuladarirumah
#perangidadahhabishabisan 


Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2020

Selamat Tahun Baru 2020
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya