#PerangiDadahHabisHabisan‬

#PerangiDadahHabisHabisan‬

SELAMAT DATANG..

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh

Sayangi Dirimu, Dadah Membunuh
#ambilkisahambiltindakan

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah

Sayangi Dirimu, Jauhi Dadah
#ambilkisahambiltindakan

31 December 2017

AADK TERUS MELANGKAH MEREDAH CABARAN 2018


PENDAHULUAN

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh. Salam sejahtera kepada semua warga AADK. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2018 kepada semua. Semoga Tahun Baru ini membuka lembaran baru untuk kita semua dan memberi semangat baru untuk menjalankan perancangan kerja tahun 2018 dengan lancar dan berkesan. 

Tahun 2017 merupakan tahun yang bermakna bagi saya kerana ia adalah tahun kedua saya diberi mandat dan dilantik sebagai Ketua Pengarah AADK. Sepanjang tempoh itu, saya telah menyaksikan semangat kerjasama yang erat sesama anggota AADK dan bersama-sama menjayakan program dan menyampaikan perkhidmatan yang kepada masyarakat tanpa mengira waktu.


AADK TERUS MELANGKAH MEREDAH CABARAN

Untuk maju kehadapan, kita perlu merenung perkara yang lepas dengan mempelajari daripada gabungan kelemahan dan kejayaan. Dalam konteks AADK, mari kita soroti sebahagian pencapaian 2017 untuk dijadikan panduan bagi kita maju kehadapan dengan lebih yakin dan cemerlang berbekalkan nilai nilai teras seperti profesionalisme, integriti, tegas dan prihatin.

Di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan/ National Blue Ocean Strategy (NBOS), buat julung kalinya sambutan Hari Penjara ke 227 dan Hari Antidadah Kebangsaan 2017 dilangsungkan secara NBOS oleh Jabatan Penjara Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan bertempat di Penjara Simpang Renggam, Johor. Sinergi serta gabungan aktiviti yang menarik telah menjadi penanda aras baharu dalam meraikan perbezaan dan kebersamaan. Menerusi strategi ini, sebanyak RM264,413.00 telah berjaya dijimatkan iaitu penjimatan sebanyak 38.8%.

Selaras dengan hasrat Kerajaan, supaya penggunaan sumber di semua agensi Kerajaan dioptimumkan, di samping menjimatkan kos dalam perlaksanaan sesuatu projek, AADK akan meneruskan program NBOS sedia ada dan berusaha untuk meneroka peluang baru untuk menghasilkan program yang berimpak tinggi dengan kos yang minimum.

Penerusan kempen PDH yang diperluaskan di 50 kawasan baharu menggunakan 6+1 strategi, dengan memperkenalkan program baharu iaitu “outreach” bagi menggalakkan penagih mendapatkan rawatan secara sukarela. Secara amnya, bilangan PENAGIH DIKESAN menunjukkan PENURUNAN dalam perbandingan tempoh Januari sehingga September tahun 2016 & 2017 sebanyak -38.0%. Daripada perbandingan tempoh tersebut, didapati penurunan sebanyak -39.4% bagi status penagih baru, manakala peratusan yang dicatat bagi PENAGIH BERULANG juga telah MENURUN sebanyak -33.8%. Penurunan jumlah penagih dadah dikesan adalah tanda-tanda awal keberhasilan usaha-usaha yang dilaksanakan melalui kempen Perangi Dadah Habis-Habisan.

Pelaksanaan program secara konsisten di kawasan yang dikenalpasti berisiko tinggi dijalankan secara berfokus dengan penglibatan kepimpinan negeri dan daerah. Usaha mensasarkan penglibatan dan komitmen pemimpin-pemimpin di peringkat nasional, negeri dan daerah untuk bersama AADK dalam usaha memerangi dadah habis-habisan telah dilaksanakan melalui satu inisiatif impak tinggi di bawah Community Empowerment Program. 

Melalui inisiatif ini, AADK telah mengadakan kunjungan hormat, perbincangan dan sesi penerangan bersama Menteri Besar/Ketua Menteri, Exco-exco dan Setiusaha Kerajaan Negeri. Sesi-sesi ini digunakan sepenuhnya oleh AADK bagi menerangkan mengenai kempen memerangi dadah habis-habisan, Dasar Dadah Negara, peranan dan komitmen stakeholder dalam membantu AADK, dan kerjasama dalam pelbagai bidang yang boleh dijalinkan antara AADK dan Kerajaan Negeri. 

Hasilnya, mereka menyatakan komitmen tanpa berbelah bahagi dengan memberikan sokongan padu kepada AADK dalam melaksana program-program bagi memerangi dadah. Terdapat kerajaan negeri yang menyalurkan bantuan kewangan bagi pelaksanaan program-program pencegahan dadah.

Buat pertama kalinya dalam bidang inovasi, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah berjaya meraih dua pingat emas, dalam pertandingan inovasi antarabangsa Idea-Inovasi-Produk Baru (iENA) 2017, Nuremberg, Jerman yang berlangsung pada 2-5 Nov 2017. Kemenangan ini merupakan julung-julung kali berjaya dicipta oleh penyelidik AADK. 

Pada pertandingan tersebut, hampir 900 produk pelbagai kategori dipertandingkan dan AADK berjaya meraih emas bagi :
i. Modul Pensijilan Pengamal Psiko-Pendidikan Bertauliah Dalam Bidang Rawatan & Pemulihan Penyalahgunaan Bahan.
ii. Terapi Psiko-Pendidikan Berkelompok Untuk Rawatan & Pemulihan Penyalahgunaan Bahan.

Pencapaian ini amat bermakna bagi kita dan ia memberi maksud warga AADK mempunyai keupayaan dari segi idea-idea inovatif dan kreatif yang mencapai tahap dunia. Dalam erti kata lain, ia merupakan berkat usaha yang gigih dan komitmen kita untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Teruskan usaha untuk meraih kejayaan yang lebih besar pada tahun 2018. 

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua. Semoga momentum ini dapat diteruskan pada tahun 2018 dan tahun-tahun seterusnya. Sudah tentu ada banyak lagi kejayaan yang telah dikecapi AADK tetapi tidak mampu disenarai satu demi satu di sini.


EKSPEKTASI 2018

Tahun 2018 dijangka akan terus menjadi satu tahun yang mencabar bagi AADK. Pada masa ini Dasar Dadah Negara (DDN) telah pun diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Mac 2017 dan diselaraskan oleh pihak AADK. Dasar ini menetapkan bahawa kuasa penguatkuasaan dan pelaksanaan adalah di bawah bidang kuasa 10 kementerian utama dan 15 agensi serta jabatan kerajaan. 

AADK akan menjadi agensi penting dalam pelaksanaan dasar ini iaitu bertindak sebagai penyelaras bagi kerjasama dan usaha bersepadu semua pihak yang berikut dalam pelaksanaan tindakan dan tanggungjawab membanteras gejala dadah. Oleh itu, setiap kakitangan WAJIB benar-benar memahami keperluan Dasar Dadah Negara dari aspek teras-teras berkaitan, fokus teras serta kumpulan sasar bagi setiap teras. Ini untuk memastikan AADK kekal relevan sebagai agensi utama dan peneraju dalam bidang dadah.

Memetik kata-kata Tan Sri Ketua Setiausaha Negara, “We need to constantly be creative and innovative, sentiasa mencari ruang penambahbaikan, dari semasa ke semasa demi kesejahteraan rakyat dan Negara”. Melalui inisiatif yang telah dilaksanakan seperti pendekatan NBOS, dan kini gagasan Transformasi Nasional 2050 atau TN50, kita perlu bersama-sama merancang dan memastikan AADK berada dalam kelompok penggerak gagasan tersebut.

Integriti sesuatu organisasi mencerminkan budaya organisasi dan sesuatu nilai yang terlalu penting bagi sesuatu organisasi untuk diperlekehkan. ‘Sebab nila setitik, rosak susu sebelanga’. Insiden salah laku kakitangan bukan sahaja menggugat integriti sesebuah organisasi, kejadian ini akan mengganggu momentum dan perkembangan sesebuah organisasi dalam jangka masa panjang. Kepercayaan orang awam terhadap integriti AADK kita juga akan mengambil masa yang lama untuk pulih. Sebelum kita bertindak, kita haruslah berfikir tentang baik buruknya tindakan tersebut agar tidak berlakunya penyesalan kemudian hari.

Tahun 2018 bakal menyaksikan pelaksanaan Pilihanraya Umum Negara ke-14. Sebagai sebuah agensi yang memberikan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat kita mempunyai peranan memastikan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat di tahap terbaik. Untuk itu AADK akan mengambil kaedah ‘search and serve’ atau ‘jejak dan berkhidmat’, iaitu daripada kita mendekati rakyat dengan tujuan menyampaikan perkhidmatan kepada mereka. Perkhidmatan awam perlu disampaikan secara cepat dan tepat bagi mengelakkan kerugian masa dan kos kepada rakyat. AADK perlu bersiap sedia dengan perancangan aktiviti dan program mendatangi kelompok yang memerlukan bagi memastikan rakyat merasai peranan yang dimainkan oleh agensi ini.

Ledakan teknologi media sosial terbukti berkesan merapatkan jurang antara kerajaan dengan rakyat. Rakyat dapat memberikan pandangan dan menyalurkan maklumat kepada AADK secara pantas melalui facebook, twitter dan instagram. Saya percaya majoriti kakitangan AADK mempunyai akaun media sosial seperti facebook, whatsapp, twitter atau instagram. Saya berharap agar setiap kakitangan secara rela dan aktif membantu dengan menggunakan saluran media sosial dalam menyampaikan maklumat mengenai perkhidmatan, aktiviti serta program yang dilaksanakan oleh jabatan.


PENUTUP

Dalam kita merangka dan memperkenalkan program-program baru, kita sewajarnya menjadikan pencapaian kita pada tahun-tahun kebelakangan sebagai landasan dan panduan untuk kita bergerak lebih jauh. Saya percaya kita sentiasa mempunyai peluang dan ruang untuk meningkatkan pencapaian sedia ada ke tahap yang lebih tinggi kerana kita mempunyai kepakaran, potensi dan kemudahan yang sentiasa berkembang. Apa yang perlu adalah kita sentiasa mengkaji dan memperbaiki pendekatan dan inisiatif yang telah, sedang dan akan diambil dengan memastikannya bersesuaian dengan cabaran cabaran semasa dan mendatang.Semoga setiap langkah yang kita ambil adalah langkah ke arah kejayaan dan kecemerlangan. Semoga segala usaha murni kita untuk memartabatkan perkhidmatan di AADK akan diberkati Allah SWT dan mencapai matlamat dengan jayanya.

Dato' Dr. Abd Halim Bin Mohd Hussin
Ketua Pengarah AADK
31 Dis 2017



#perangidadahhabishabisan
#negarakuselamatsejahteratanpadadah
#ambilkisah.ambiltindakan
 
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.

No comments:

Post a Comment

Selamat Tahun Baru 2018

Selamat Tahun Baru 2018
#ambilkisahambiltindakan

We Are Drug Free. Join Us

We Are Drug Free. Join Us
#ambilkisahambiltindakan

Selamat Hari Raya