KHUTBAH JUMAAT
SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA 2012
اَلْحَمْدُ لِله القَائِلِ,
نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنُوءْمِنُ
بِهِ وَنَتَوَكَّلُ عَلَيْهِ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ
أًنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّأًتِ أًعْمَالِنَا. مَنْ يَهْدِهِ اللُه فَلاَ مُضِلَّ
لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ.
أَشْهَدُ أَن لآ أِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ
لَهُ, وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ, اَللَّهُمَّ صَلِّ
وَسَلِّمْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِينَ.
أَمَّا بَعْدُ, فَيَا عِبَادَ اللهِ, إِتَّقُوا الله حَقَّ
تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.
Sidang Muslimin Yang Di Rahmati Allah Sekalian,
Pada kesempatan hari Jumaat yang mulia ini, khatib ingin
berpesan kepada diri khatib sendiri serta kepada sidang Jumaat yang berbahagia sekalian,
marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan dan mengukuhkan pegangan aqidah
kita kepada Allah Yang Maha Esa dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala
perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan
keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan juga di akhirat.
Tanggal 26 Jun pada saban tahun, telah tercatat dalam kalender dunia akan
peringatan Hari Antidadah Antarabangsa (HADA). Perlu diingatkan bahawa sejarah memperingati
hari tersebut dicetuskan hasil usaha pimpinan terdahulu menerusi persidangan
antarabangsa mengenai penagihan dan pengedaran dadah yang berlangsung di
Vienna, Austria pada tahun 1987. Tanggal tersebut telah diisytiharkan oleh
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai Hari Antidadah Antarabangsa. Pengisytiharan
tersebut merupakan salah satu usaha pihak PBB kearah memerangi ancaman
penyalahgunaan dan pengedaran dadah secara yang tersusun dan integrated diseluruh
dunia. Ia bukanlah sekadar hanya hari
peringatan semata-mata, tetapi kita haruslah menghayati akan intipati hari
peringatan tersebut. Menjadi kewajipan kita semua untuk bersama-sama membasmi
gejala penyalahgunaan dadah. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan membicarakan
khutbah yang bertajuk “Keprihatinan
Ummah, Membanteras Penyalahgunaan Dadah”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Melihat kepada statistik Penagih Dadah dalam
tempoh antara 1988-2010 sahaja terdapat 325,075 orang penagih dadah yang
berdaftar secara komulatif. Ini menunjukkan pada setiap hari terdapat seramai
48 penagih baru. Bilangan penagih yang berjaya dipulihkan adalah sebanyak
57,189 orang iaitu (18%) dari tahun 2000-2010. Pada tahun 2010 sahaja seramai
23,642 orang penagih dadah telah dikesan di seluruh negara berbanding tahun
2009 hanya 15,736 orang termasuk penagih baru dan juga yang berulang. Secara
purata, di negara kita hari ini seramai 48 penagih baru dan 18 penagih berulang
telah dikesan setiap hari sepanjang tahun 2010.
Keadaan ini nyata amat
membimbangkan kita semua memandangkan sebahagian besar penagih yang dikesan melalui
hasil kajian yang di buat pada tahun 2005 disekitar 68.11% atau 22,344 penagih terdiri
daripada para belia melayu yang beragama Islam. Dalam masa lima tahun terkini
ianya terus meningkat apabila maklumat yang diperolihi pada tahun 2010 yang
lalu mendapati dari 23,642 orang penagih seramai 18,693 orang atau 79.07 %
terdiri dari para belia melayu yang beragama Islam. Sebahagian kecil lain ialah
mereka yang terdiri dari pelbagai bangsa dan agama yang lain. Kebimbangan
berlaku disaat negara kita amat
memerlukan generasi belia yang bersemangat juang yang tinggi untuk meneruskan
agenda traansformasi pembangunan negara. Tanpa adanya generasi sebegini,
bagaimanakah kita akan mencapai kesejahteraan dalam menempuh cabaran global
masa kini. Kita semua harus sedar, bahawa permasalahan dadah sudah menular ke
dalam masyarakat kita berabad lamanya. Jika bukan kita sendiri yang memikul
tanggungjawab ini, siapa lagi yang harus kita harapkan?
Sebagai satu usaha untuk membanteras masalah dadah dalam kalangan belia
ini, Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam Negeri (AADK, KDN) pada
tahun 2011 telah menubuhkan Sukarelawan Antidadah atau SKUAD 1 Malaysia.
Lanjutan daripada itu maka tema HADA pada tahun 2012 ini ialah “Sukarelawan Prihatin”. Tema ini
dipilih memandangkan betapa perlunya semangat kesukarelawan diperluaskan dalam
kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bagi membantu kerajaan memerangi
permasalahan dadah. Matlamat utama penubuhan Sukarelawan Antidadah atau Skuad 1
Malaysia, ialah untuk mengajak semua sukarelawan ini bertindak dan bergerak
sebagai satu pasukan dalam membantu pihak kerajaan khususnya AADK,KDN bagi menangani
masalah serta ancaman dadah, menggerakkan program-program dan aktiviti
pencegahan dadah di dalam komuniti, memberi sokongan dan membantu bekas-bekas
penagih dadah bagi mengekalkan kepulihan total dan akhirnya memastikan
penglibatan anggota masyarakat dalam usaha merealisasikan masyarakat bebas
dadah.
Manakala fungsi dan peranan ahli Skuad 1 Malaysia pula ialah merancang dan
melaksanakan aktiviti-aktiviti pencegahan dadah seperti memberi kesedaran dan
pendidikan mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah melalui program
bersemuka, sukan dan rekreasi, kerohanian, kesenian dan kebudayaan serta
intervensi terhadap kumpulan yang berisiko. Disamping itu mereka juga terlibat
dalam merancang dan melaksanakan program rawatan dan pemulihan seperti khidmat
masyarakat, khidmat nasihat, temu seru, kemahiran hidup, latihan teknik dan ,vokasional,
penempatan kerja dan pembangunan kerjaya.
Namun demikian kita tidak seharusnya hanya membiarkan pertubuhan atau
sukarelawan tertentu sahaja yang berperanan membasmi penyalahgunaan dadah, sebaliknya
ia perlu dipikul secara bersama. Gejala penyalahgunaan dadah ini perlu diberi
perhatian serius kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat
kebangsaan mahupun antarabangsa. Sebahagian besar negara di dunia ini turut menghadapi
permasalahan yang sama. Tidak dinafikan, peranan di setiap lapisan masyarakat merupakan
faktor utama bagi merealisasikan keberkesanan serta kejayaan menangani gejala
ini. Firman Allah Azza Wajalla dalam surah al-Ma`idah ayat 2
"...وَتَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلاَ تَعَاوَنُواْ
عَلَى ٱلإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ..."
Maksudnya: “...
Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan
janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan ...”
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Dan Dirahmati Allah,
Sehubungan dengan itu, untuk mencapai misi ini, kita haruslah bersatu padu
menggembleng tenaga tanpa mengira perbezaan ideologi, agama dan juga bangsa.
Selain dari pihak berkuasa, kitalah yang harus memainkan peranan ini sebagai
satu pasukan sukarelawan yang utuh. Seperti yang kita semua sedia maklum,
masyarakat hari ini semakin terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh
mendatangkan kemudharatan kepada diri dan juga negara. Mimbar ingin sekali lagi
mengingatkan bahawa dengan membiarkan ummah berada
dalam keadaan yang lemah, mundur serta dibelenggu dengan perkara negatif seperti
penyalahgunaan dadah, akan menghancurkan sebuah tamadun yang kukuh. Sabda
Rasullullah s.a.w.;
اَلمُؤمِنُ لِلْمُؤْمِن كَالبُنْيَان يَشُدُّ بَعْضُهُ بَعْضَ وَشَبَكَ بَيْنَ أَصَابِعَهُ
"Mukmin
yang satu dengan yang lainnya bagaikan sebuah bangunan yang saling memperkuat
antara sebahagian dengan sebahagian yang lainnya. (Rasulullah s.a.w. sambil memasukkan jari-jari tangan kecelah jari-jari
lainnya)”
(HR. Muttafaqun `alaih)
Jelaslah
di sini, sebagai sebuah masyarakat, kita mestilah bergabung tenaga untuk
sama-sama membanteras masalah ini demi mewujudkan komuniti sejahtera bebas
dadah. Sebagai umat yang diberikan keistimewaan dan akal fikiran oleh Allah SWT
semestinya kita segera mengatur langkah untuk melaksanakan perubahan dalam
mempertahankan kejayaan ketamadunan kita pada hari ini untuk dinikmati generasi
akan datang. Sesebuah negara maju bukan hanya cukup dengan bergantung kepada
kekuatan ekonomi dan pembangunan fizikal semata-mata, malah yang lebih penting
lagi adalah mempunyai warganegara yang hebat dalam melawan perkara negatif di
samping mempunyai pegangan agama yang kukuh.
Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita semua haruslah sedar bahawa sebagai khalifah Allah di muka bumi ini,
kita semua telah dipertanggungjawabkan untuk sama-sama membendung masalah ini
dengan apa cara sekalipun. Apa yang kita semua sudah sedia maklum, dadah banyak
dibawa melalui pintu-pintu masuk utama negara dan disinilah semua pihak harus
memainkan peranan masing-masing. Bukan hanya pihak berkuasa sahaja tetapi kita juga
sebagai sebuah anggota masyarakat yang prihatin akan masalah ini haruslah
menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa yang berkenaan. Janganlah terdapat
sekelumit pun niat di dalam hati kita untuk terlibat dengan masalah ini walau
dengan apa alasan sekalipun. Firman Allah SWT dalam surah al-`Asr ayat 1 hingga
3:
وَٱلۡعَصۡرِ (١) إِنَّ الإنسَـٰنَ لَفِى خُسۡرٍ
(٢) إِلاَّ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ وَتَوَاصَوۡاْ
بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ (٣)
Yang bermaksud: “Demi
Masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang
beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran dan
berpesan-pesan dengan sabar.”
Ingatlah wahai sidang Jumaat sekalian, kita akan dipersoalkan di akhirat
kelak dengan apa yang telah kita lakukan. Melihat kepada permasalahan dadah
yang melanda anak bangsa kita sekarang, kita tidak seharusnya duduk bergoyang
kaki bersenang lenang kerana mereka inilah penggerak masa depan dan penentu kemajuan
negara. Mimbar ingin mengingatkan semua, bahawa perubahan yang ingin kita
laksanakan hendaklah bermula dari dalam diri kita sendiri dan barulah kita
mampu untuk melaksanakan perubahan dalam masyarakat. Hal ini kerana apabila
diri kita kukuh dengan pegangan agama, insya-Allah kita mampu melaksanakan
perubahan untuk melawan gejala negatif yang telah lama menggugat keharmonian negara.
Firman Allah dalam dalam Surah Ar Ra’du ayat 11;
...إِنَّ ٱللَّهَ لا يُغَيِّرُ مَا
بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ ...
Bermaksud; “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu
kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Akhirnya, marilah kita segera menggerakkan serta
mengembangkan gelombang kesukarelawan yang prihatin terhadap gejala
penyalahgunaan dadah. Biarpun terdapat pelbagai nama sukarelawan yang sedia
tertubuh, namun misinya biarlah sama. Sesungguhnya Allah akan memberi ganjaran
yang lumayan kepada hamba-hambanya yang ikhlas melakukan amal kebajikan. Sementara
kita masih ada peluang, marilah kita memanfaatkannya agar dijadikan bekalan di
akhirat kelak.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar merayu
sidang Jumaat dan umat Islam sekalian agar kita sama-sama bersatu padu dan
menggembling tenaga di bawah akidah yang sama, agama yang sama, kiblat yang
sama, nabi yang sama serta Tuhan yang sama yakni Allah SWT dalam membendung
masalah utama ummah. Marilah kita semua mengubah pemikiran kita ke arah yang
lebih positif, agar ianya selari dengan peredaran masa dan zaman. Jadikan perubahan
diri sebagai asas untuk kita membina sebuah tamadun bangsa yang beretika dan
bermaruah. Sama-samalah kita menjadikan negara kita sebagai sebuah negara yang
bebas dari dibelenggu permasalahan penyalahgunaan dadah selari dengan tuntutan
syariat Islam.
بَارَكَ
اللُه لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ الْعَظِيْمِ وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا
فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الْحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ
تِلاَوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ, أَقُولُ قَوْلِي هَذَا
وَأَسْتَغْفِرُ اللَه العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ, وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ
وَالْمُسْلِمَاتِ, وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ, فَاسْتَغْفِرُوْهُ إِنَّهُ
هُوَ الغَفُوْرُ الرَّحِيْمُ.
:nota
Khutbah khas ini Insya Allah akan di siarkan secara life oleh RTM pada hari jumaat 16 Syaaban/6 July 2012 di salah satu dari empat masjid utama di W.Persekutuan sama ada di Masjid Negara, Masjid W.Persekutuan, Masjid Besi dan Masjid Putra. Khutbah ini juga akan dibaca serentak di seluruh negara.