Bismillahirahmanirahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan
Salam Sejahtera
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan berkat izin, limpah
kurnia dan ‘inayahNya, Sambutan Peringatan
Hari Antidadah Kebangsaan 2013 kali ke 30 dapat disambut lagi pada tahun ini
dengan tema ‘KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, IA SATU
TANGGUNGJAWAB’. Tema ini sejajar dengan ketetapan Yang Amat Berhormat
(YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak,di mana tahun 2013 merupakan tahun kesukarelaan
negara. ini Diharapkan tema ini dapat
menyuntik dan menyemarakkan semangat kesukarelaan dalam kalangan masyarakat terutama ahli - ahli SKUAD 1Malaysia bagi
terus aktif membantu melaksanakan
program-program pencegahan dadah, rawatan dan pemulihan di seluruh Negara.
Setelah 30
tahun kerajaan mengistiharkan dadah
sebagai musuh no 1 Negara, pelbagai pendekatan telah dilaksanakan bagi
membantu masyarakat yang terlibat dengan
penyalahgunaan dan penagihan dadah. Namun demikian, pendekatan tersebut masih
tidak menampakkan hasil yang optima dan meyakinkan masyarakat. Sehubungan ini, satu pendekatan baru yang
lebih mesra dan terbuka kepada seluruh masyarakat yang mempunyai permasalahan
dadah telah dilaksanakan di bawah transformasi AADK.
Dengan mengambil kira trend penagihan dadah yang
lebih kompleks, pendekatan tradisional yang digunakan sebelum ini telah ditukar
di bawah transformasi pogram rawatan, perubatan dan pemulihan dengan mewujudkan
10 buah klinik Cure n Care 1Malaysia (C&C 1Malaysia), 52 buah Cure n Care Servis
Center (CCSC) dan 76 buah Caring Community House (CCH). Di bawah program
transformasi ini penagih dadah dilayan sebagai pesakit dan tidak terikat dengan undang-undang. Bagi
mereka yang mempunyai masalah dadah boleh mendapatkan perkhidmatan di semua
fasiliti AADK yang terdapat di seluruh negara.
Bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam
program-program pencegahan dadah, sukarelawan antidadah telah digabungkan
menjadi SKUAD 1Malaysia. SKUAD 1Malaysia
akan menjadi agen dalam melaksanakan program-program AADK kerana mereka lebih
menghayati masalah ahli komuniti yang berhadapan dengan isu penyalagunaan dan
penagihan dadah. Memandangkan SKUAD 1Malaysia merupakan sebahagian daripada
komuniti, mereka lebih mengenali dan memahami situasi dadah semasa di kawasan
mereka dan mudah dihubungi oleh mereka yang menghadapi masalah dadah. Bilangan ahli SKUAD 1Malaysia sehingga 31 Disember
2012 adalah seramai 255, 256 orang.
Sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan
2013, marilah kita bertekad dan berazam untuk sama-sama menyemarakkan semangat
kesukarelaan bagi membantu kerajaan untuk membendung masalah penagihan dadah.
Di kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih di atas
kegigihan ahli-ahli SKUAD 1Malaysia, rakan strategik dan rakan pintar serta
mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung yang telah bersama-sama
melaksanakan program-program pencegahan dadah dan rawatan dan pemulihan. Komitmen dan kerja keras semua pihak diharap
dapat diteruskan daripada masa ke semasa.
Kerjasaama erat yang telah terjalin ini biarlah terus kukuh dan berkekalan sehingga dapat melahirkan masyakat
Malaysia bebas dadah.
Akhir kata saya yakin, Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2013
ini akan mencetuskan pemikiran baru masyarakat Malaysia untuk sama-sama memikul
tanggungjawab menghadapi cabaran dalam menangani masalah dadah.
“KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, IA SATU
TANGGUNGJAWAB”
Sekian, terima
kasih.
No comments:
Post a Comment