TEMA: DADAH…KESANNYA
MEMBINASAKAN
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang
mulia ini untuk menyampaikan peringatan agar kita bersama-sama meningkatkan
keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT dan melakukan segala yang
diperintahkanNya dengan bersungguh-sungguh dan dengan jalan sabar. Sesungguhnya
kejayaan setiap mukmin itu disertai dengan kesabaran. Semoga, kita dikurniakan
rahmat dan maghfirah dalam kehidupan dan sentiasa di bawah naungan hidayahNya.
Pada tanggal 19 Februari setiap tahun, kita akan diingatkan dengan
sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Oleh itu, mimbar pada hari ini akan
membicarakan khutbah Jumaat yang bertemakan “Dadah...Kesannya Membinasakan”
Muslimin yang dirahmati Allah,
Gejala penyalahgunaan dadah perlu diberi perhatian serius
kerana ia merupakan masalah ummah sejagat samada di peringkat nasional mahupun
antarabangsa. Seluruh negara di dunia ini turut menghadapi permasalahan
penagihan dadah. Tidak dinafikan, peranan di setiap lapisan masyarakat
merupakan faktor utama bagi merealisasikan keberkesanan serta kejayaan
menangani gejala ini. Firman Allah Azza Wajalla dalam surah al-Ma`idah ayat 2:
"...وَتَعَاوَنُواْ
عَلَى ٱلۡبِرِّ وَٱلتَّقۡوَىٰۖ وَلاَ تَعَاوَنُواْ عَلَى ٱلإِثۡمِ وَٱلۡعُدۡوَٲنِۚ..."
Maksudnya: “... Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan
untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan
pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan ...”
Sidang Jumaat Yang Beriman,
Dadah
merupakan satu istilah khas yang merujuk kepada sejenis bahan yang mendatangkan
kemudaratan kepada kesihatan dan kesejahteraan seseorang dari segi fizikal,
mental dan emosi serta tingkah laku pengguna ia apabila disalahgunakan. Akibat
dari kesan ini, seseorang yang menyalahgunakan dadah akan menjadi ketagih dan
akan terus bergantung hidup kepadanya.
Kesan
penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti
candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan
mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum
suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS
dan Hepatitis B. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental
dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan,
rumah tangga dan hubungan sosial.
Dadah jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant
(ATS) adalah dadah jenis perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY,
Yaba, ice, syabu dan ectacy. Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan
kesan yang lebih buruk iaitu seperti keadaan mental tidak stabil, hilang
kawalan diri, bertindak agresif dan manifestasi tingkahlaku ganas dan emosi
yang terjejas.
Negara kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan –
bahan lain yang disalahgunakan iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan
inhalan seperti gam boleh menyebakan kesan buruk serta merta seperti
berhalusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang panjang akan
menyebkan kerosakan sel – sel otak serta boleh mengakibatkan kematian.
Penyalahgunaan air ketum juga semakin membimbangkan di negara
kita. Secara tradisionalnya, air ketum atau air daun biak dipercayai boleh
digunakan untuk merawat penyakit. Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan
dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan
penggunanya mengalami kesan – kesan seperti dadah jenis morfin; iaitu
rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh
tidur.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Dan Dirahmati Allah,
Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Kedah (Mesyuarat
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah, 30 Oktober 2005) dan Jawatankuasa Majlis Fatwa
Negeri Perlis (Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis ke-12, 30 Oktober
2013) telah mengeluarkan fatwa pengharaman terhadap sebarang kegiatan dan
penyalahgunaan segala jenis dadah adalah haram kerana ianya boleh membawa
kemudaratan dan kerosakkan pada diri.
Sehubungan dengan itu, bagi memastikan Negara Malaysia
bebas daripada dadah, kita haruslah bersatu padu menggembleng tenaga tanpa
mengira perbezaan ideologi, agama dan juga bangsa. Selain dari pihak berkuasa,
kitalah yang harus memainkan peranan ini sebagai satu pasukan sukarelawan yang
utuh. Seperti yang kita semua sedia maklum, masyarakat hari ini semakin
terdedah dengan pelbagai ancaman yang boleh mendatangkan kemudharatan kepada
diri dan juga negara. Mimbar ingin sekali lagi mengingatkan bahawa dengan
membiarkan ummah berada dalam keadaan yang lemah, mundur serta dibelenggu dengan
perkara negatif seperti penyalahgunaan dadah, akan menghancurkan sebuah tamadun
yang kukuh. Sabda Rasullullah s.a.w.;
اَلمُؤمِنُ لِلْمُؤْمِن كَالبُنْيَان يَشُدُّ بَعْضُهُ
بَعْضَ وَشَبَكَ بَيْنَ أَصَابِعَهُ
"Mukmin yang satu dengan yang lainnya bagaikan
sebuah bangunan yang saling memperkuat antara sebahagian dengan sebahagian yang
lainnya. (Rasulullah s.a.w. sambil memasukkan jari-jari tangan kecelah
jari-jari lainnya)”
(HR. Muttafaqun `alaih)
Penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan yang mengkhayalkan
bermula seawal usia kanak-kanak / remaja. Peringkat umur yang kritikal seperti
inilah perlu diberi perhatian terutama dalam pencegahan dadah. Peranan ibu bapa
juga amat penting dalam menangani masalah dadah ini. Ibu bapa perlulah
bertanggungjawab terhadap kebajikan anak - anak dengan mengikuti segala
perkembangan mereka dari masa ke semasa. Anak – anak muda ini perlu
dibimbing kerana jika mereka terlibat
dengan masalah dadah, ia boleh mengancam masa depan ummah di masa hadapan
kerana telah menular di kalangan generasi muda seawal usia murid-murid sekolah
rendah, remaja dan dewasa.
Muslimin Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Kita semua haruslah sedar bahawa sebagai khalifah Allah
di muka bumi ini, kita semua telah dipertanggungjawabkan untuk sama-sama
membendung masalah ini dengan apa cara sekalipun. Apa yang kita semua sudah
sedia maklum, dadah banyak dibawa melalui pintu-pintu masuk utama negara dan
disinilah semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Bukan hanya pihak
berkuasa sahaja tetapi kita juga sebagai sebuah anggota masyarakat yang
prihatin akan masalah ini haruslah menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa
yang berkenaan. Perkara ini haruslah dibendung habis-habisan kerana kesan dari
penyalahgunaan dadah ini terutamanya dari sudut kesihatan dan sosial perlu
dilihat secara objektif oleh semua pihak. Ini adalah kerana penyalahgunaan dadah berkait
rapat dengan masalah sosial yang lain seperti melahirkan anak luar nikah,
ponteng sekolah, pelanggaran disiplin dan peraturan di sekolah, penularan
penyakit berjangkit dan juga budaya merempit.
Ingatlah wahai sidang Jumaat sekalian, kita akan
dipersoalkan di akhirat kelak dengan apa yang telah kita lakukan. Melihat
kepada permasalahan dadah yang melanda anak bangsa kita sekarang, kita tidak
seharusnya duduk bergoyang kaki bersenang lenang kerana mereka inilah penggerak
masa depan dan penentu kemajuan negara. Mimbar ingin mengingatkan semua, bahawa
perubahan yang ingin kita laksanakan hendaklah bermula dari dalam diri kita
sendiri dan barulah kita mampu untuk melaksanakan perubahan dalam masyarakat.
Hal ini kerana apabila diri kita kukuh dengan pegangan agama, insya-Allah kita
mampu melaksanakan perubahan untuk melawan gejala negatif yang menggugat keharmonian negara.
Sidang Jumaat Yang Dikasihi,
Sebagai kesimpulannya, beberapa pengajaran penting yang
dapat diambil dari khutbah ini.
1 1. Penyalahgunaan dadah adalah HARAM dan
merupakan penyumbang ke arah masalah sosial Negara.
2 2. Semua pihak perlu menggembeling tenaga dan
bersatu padu dalam membanteras penyalagunaan dadah ini.
3 3. Dadah
membawa kemudaratan dan kesan yang sangat buruk kepada diri, keluarga dan
masyarakat.
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.
No comments:
Post a Comment