AHMAD ZAHID HAMIDI melambaikan tangan kepada orang ramai yang hadir pada
Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas, semalam.
Turut kelihatan, Ismail Sabri Yaakob dan Mahdzir Khalid. BERNAMA
LAWAS 28 Feb. -
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengisytiharkan bahawa
kerajaan akan memerangi jenayah penyalahgunaan dadah secara
besar-besaran pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Dalam Negeri menegaskan, tindakan tersebut berikutan
kebimbangannya terhadap statistik sejumlah 26,660 orang penagih dikesan
tahun lalu dengan 76.1 peratus daripadanya merupakan penagih baharu
manakala selebihnya adalah penagih berulang.
“Bertambah
malang apabila 73.4 peratus daripada yang dikesan itu adalah golongan
muda. Penagih dadah termuda yang dikesan tahun lalu berusia tujuh tahun.
Ini menyedihkan, ada ‘pelaburan’ yang dilakukan oleh pengedar dadah
dengan menggunakan gula-gula (diletakkan ganja) seperti dilaporkan
media, yang diberikan kepada murid sekolah.
“Harap
Kementerian Pendidikan ambil perhatian selain Agensi Anti Dadah
Kebangsaan (AADK) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan,” katanya.
Beliau
berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Sambutan Hari
Antidadah Kebangsaan 2016 di Taman Awam Lawas di sini hari ini.
Yang
turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta
Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua negeri, Datuk Amar
Awang Tengah Ali Hassan.
Dalam pada itu,
Ahmad Zahid menolak cadangan Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan
Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Muhamad Ridhwan Muhamad Rosli yang
memohon kerajaan memperhalusi pengharaman ganja di negara ini, kerana
mendakwa ia tidak menyebabkan penghisap agresif atau hilang pertimbangan
seperti mereka yang mengambil alkohol berlebihan.
Tegas
Timbalan Perdana Menteri, Malaysia tidak boleh mengikut tanda aras
digunakan negara-negara Eropah yang membenarkan penggunaan ganja untuk
mengurangkan ketagihan.
“Terdapat beberapa
cadangan untuk kita perhalusi penggunaan ganja supaya dapat digunakan
dengan beberapa peraturan. Tetapi secara peribadi, saya rasa kita tidak
boleh mengikut penanda aras beberapa negara Eropah yang mengizinkan
ganja untuk mengurangkan ketagihan.
“Saya
tidak setuju kerana ganja melibatkan (menyebabkan) ketagihan berulang.
Cadangan itu (penggunaan ganja) saya tidak berkenan (setuju),” katanya
Ahmad
Zahid memberitahu, berdasarkan kajian, penggunaan ganja tidak
mengurangkan masalah penyalahgunaan dadah di negara-negara berkenaan.
“Malah,
menyebabkan berlakunya ketagihan berulang dan penambahan
penagih-penagih baharu. Kita ada Akta Racun dan Akta Dadah Berbahaya,
kita akan runding bersama Pejabat Peguam Negara untuk melihat semula
(akta berkenaan) berdasarkan maklum balas pelbagai pihak,” ujarnya.
Sumber : utusan.com.my 29 Februari 2016
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
#ganja
No comments:
Post a Comment