KUANTAN: Jumlah golongan belia yang menghisap
dadah berada pada tahap membimbangkan apabila mencatat peningkatan
sebanyak 804 orang tahun lepas berbanding tahun sebelumnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) Azizan Ariffin berkata penagih dadah dalam kumpulan umur 19
hingga 39 tahun direkodkan seramai 15,128 tahun lepas berbanding 14,324
pada 2014.
"Jumlah ini termasuk kes baharu dan kes berulang.
Situasi ini membimbangkan kerana dadah merupakan musuh nombor satu
negara. Oleh itu, perlu ada satu formula terbaik untuk membanteras
gejala penyalahgunaan dadah ini," katanya.
Beliau berkata
demikian kepada pemberita selepas melancarkan Jelajah AADK Ekspedisi
Membanteras Dadah peringkat negeri di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Azizan berkata jumlah penagih remaja berusia 13 tahun
hingga 18 tahun juga meningkat tahun lepas iaitu 557 berbanding 544 pada
tahun sebelumnya.
"Semakin ramai penagih muda sekarang ini.
Kita memerlukan lebih banyak program kesedaran mengenai bahaya dadah di
sekolah bagi memastikan mereka sedar dadah memang musuh nombor satu
negara," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata terdapat 12
lokasi 'panas' yang dikenal pasti AADK sebagai kawasan penagihan dadah
berisiko tinggi di Pahang termasuk di sekitar bandar Kuantan, pekan
Rompin, bandar Pekan, Temerloh, Raub dan Bentong.
Katanya jumlah penagih dadah di Pahang turut merekodkan peningkatan
apabila terdapat seramai 2,066 orang tahun lepas berbanding 1,903 pada
2014 iaitu meningkat sebanyak 163.
Sumber: astroawani
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan
No comments:
Post a Comment