KHUTBAH JUMAAT
SEMPENA SAMBUTAN
HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA
TAHUN 2016/1437M
TEMA: PERANGI DADAH HABIS-HABISAN
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin mengambil kesempatan pada hari Jumaat yang mulia ini untuk
menyampaikan peringatan agar kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan
ketaqwaan kepada Allah dan melakukan segala yang diperintahkanNya dengan
bersungguh-sungguh dan dengan jalan sabar. Sesungguhnya kejayaan setiap mukmin
itu disertai dengan kesabaran. Semoga, kita dikurniakan rahmat dan maghfirah
dalam kehidupan dan sentiasa di bawah naungan hidayahNya. Mimbar pada hari ini
akan membicarakan khutbah Jumaat yang bertajuk “Perangi Dadah Habis-Habisan”.
Muslimin yang
dirahmati Allah,
Pada
tanggal 26 Jun setiap tahun merupakan sambutan Hari Antidadah Antarabangsa.
Tujuan sambutan ini diadakan adalah untuk memastikan masyarakat sentiasa diberi
peringatan mengenai ancaman bahaya dadah dan kedurjanaan yang melampau.Ia
merupakan satu gejala yang masih berleluasa sehingga kini bukan sahaja di
Malaysia malahan di seluruh pelosok dunia.
Masalah
dadah umpama barah yang membunuh pembinaan masyarakat yang gemilang. Lantaran
itu, kerajaan mengisytiharkan agar semua golongan masyarakat tanpa pengira
umur, agama dan keturunan agar bersatu padu menentang dadah, Musuh No. 1
Negara. Dalam hal ini, bukan sahaja AADK yang dipertanggungjawabkan untuk
menyedarkan mengenai bahayanya dadah malahan tugas ini juga tergalas di bahu
masyarakat, ibu bapa, keluarga, institusi pendidikan, majikan dan sebagainya.
Sidang Jumaat yang
dirahmati Allah sekalian,
Bersesuaian dengan tema Hari
Antidadah Antarabangsa pada tahun ini “Perangi Dadah Habis-Habisan”, hal ini
perlu menjadi tanggungjawab semua orang untuk merealisasikan masyarakat bebas
dadah. Ingin saya maklumkan di sini bahawa di dalam
tempoh tiga bulan pertama tahun ini sahaja jumlah penagih yang dikesan adalah
seramai 7,261 orang dimana 5,564 daripadanya adalah penagih baru. Ini dapat
dilihat peningkatannya sebanyak 39% berbanding tahun lepas. Walaupun angkanya
nampak seperti kecil tetapi dengan peningkatan seperti inilah yang mampu
merosakkan negara dan anak-anak bangsa kita. Cuba kita bayangkan, sekiranya
jumlah ini semakin bertambah apakah kesannya terhadap negara kita pada masa
akan datang. Ianya pasti akan membawa kehancuran terhadap keluarga, masyarakat,
ekonomi dan negara. Kita semua tentu tidak mahu hidup di dalam persekitaran dan
masyarakat yang banyak terjebak dengan dadah.
Di sinilah
kita semua perlu memainkan peranan. Dari
segi rawatan dan pemulihan, klien yang ingin memerangi kesan dadah yang telah
membelenggu diri sejak sekian lama boleh mendapatkan rawatan secara sukarela
sepertimana yang telah disediakan oleh pihak AADK. Inilah yang dikatakan jihad
melawan hawa nafsu, jihad yang paling besar dalam diri manusia. Ini bertepatan
dengan firman Allah SWT dalam Surah Al Hajj ayat 78 yang bermaksud: “Dan
berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya (haqqa
jihadihi)”. Kemasukan secara sukarela ini akan lebih mudah kerana klien sendiri
yang ingin mengubah diri mereka dari terus terjebak di dalam kebinasaan.
Kaum Muslimin
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Usaha pencegahan dadah juga adalah
perjuangan berterusan. Bersesuaian dengan tagline “Ambil Kisah Ambil Tindakan”
oleh AADK menunjukkan bahawa tindakan mencegah dadah ini perlu diambil kisah
oleh semua lapisan masyarakat termasuklah jiran, keluarga, pihak institusi
pendidikan dan majikan. Perumpamaan “jangan menjaga tepi kain orang” sudah
tidak boleh dipakai di dalam hal ini kerana dengan menjaga tepi kain orang lah
hal atau masalah seperti ini dapat dibendung. Jika masyarakat membiarkan
perkara ini berlarutan dibimbangi akan terus menular sehingga ke akar umbi
tanpa kita sedari.
Begitu
jugalah halnya dengan jiran sebelah menyebelah haruslah mengambil tahu keadaan
sekeliling, siapa jiran kita, apa kerjanya dan sebagainya. Begitu juga dengan
keluarga. Haruslah semua ahli keluarga bersama-sama untuk membendung masalah
ini dari menular masuk ke dalam hubungan kekeluargaan. Ibu bapa harus mengambil
tahu setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak supaya tidak menyesal di
kemudian hari. Jangan dibiarkan dadah menguasai anak-anak kita kerana dadah
boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Jangan kita lupa bahawa
peranan sekolah dan institut pengajian tinggi juga sangat penting bagi
membendung masalah ini. Para guru atau pihak sekolah boleh memainkan peranan
dengan menerangkan kepada para pelajar tentang bahayanya dadah melalui saluran
seperti ceramah, pameran bergambar bahayanya dadah dan sebagainya. Perkara ini
sangat penting diterapkan kepada para pelajar di sekolah mahupun IPT kerana
mereka inilah tonggak kemajuan dan pembangunan Negara pada masa hadapan. Pihak
sekolah mahupun IPT boleh bergerak seiring bersama-sama dengan AADK melalui
program pencegahan yang dianjurkan. Program pencegahan merupakan usaha terbaik bagi mengelak
pertambahan jumlah penagih baru di negara ini. Ini semua perlulah dilakukan
bagi memastikan para pelajar tidak sekali-kali mendekati bahan terlarang itu.
Semua pihak harus sentiasa mengambil tahu dan memantau aktiviti para pelajar,
apa yang dilakukan dan perkara luar biasa yang berlaku ke atas setiap pelajar
agar perkara yang tidak diingini dapat dicegah dari awal lagi.
Kaum Muslimin
Sidang Jumaat Yang Berbahagia,
Ingin diingatkan di sini juga kepada
semua para majikan bahawa majikan juga mempunyai peranan yang sangat penting di
dalam perkara ini. Ini adalah kerana para pekerja juga mudah terdedah dengan
mengambil bahan terlarang ini. Walau apa sekalipun tujuan pengambilannya,
haruslah diingat bahawa jika para pekerja sudah terjebak dengan dadah, maka
ianya sedikit sebanyak akan menjejaskan reputasi pekerja itu sendiri dan
sekaligus menjejaskan reputasi majikan.
Di sinilah
para majikan harus memainkan peranan penting di dalam memastikan para pekerjanya
bersih dari gejala dadah. Penyalahgunaan dadah di kalangan pekerja risiko
kemalangan di tempat kerja bertambah bukan sahaja kepada yang menyalahgunakan
dadah malahan kepada orang di sekeliling. Majikan haruslah peka dengan pekerja
yang mula atau sudah terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Penagihan dadah
adalah sejenis penyakit walaupun ianya nampak macam sengaja dicari, oleh itu
majikan haruslah membuat langkah pencegahan dengan menggalakkan gaya hidup
sihat di kalangan pekerja, kurangkan tenaga kerja yang tidak perlu kepada
mereka, memberikan perhatian yang sewajarnya kepada pekerja dengan selalu
berbincang dan mempromosi mengenai keburukan dadah. Majikan juga perlulah menyediakan
prosedur untuk aktiviti pencegahan dan penyalahgunaan dadah, memberi latihan
kepada penyelia dan memberi keterangan serta pengetahuan kepada semua pekerja
tentang bahaya penyalahgunaan dadah.
Hadirin Sidang Jumaat Yang Dikasihi Allah,
Kesimpulan yang dapat disimpulkan di sini adalah tugas untuk memerangi
dadah adalah tanggungjawab semua pihak. Bukan sahaja tergalas di bahu penagih
itu sendiri untuk berubah malahan tergalas di bahu masyarakat, jiran, keluarga
dan institusi pendidikan itu sendiri.
Maksudnya: “Wahai orang yang
beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api Neraka yang bahan
bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar;
tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada
mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(At-Tahrim:6)
#LetsDevelopWithoutDrugs
#PerangiDadahHabisHabisan
#SayangiDiriMu
#AmbilKisahAmbilTindakan
#HADA2016
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment