Ampang: “Kami mahu cari Pokemon Go. Di sini banyak binatang
Pokemon!,” itu alasan diberikan sekumpulan lapan remaja yang ditahan
Agensi Antidadah (AADK) selepas didapati positif dadah jenis syabu dan
ganja.
Semua remaja berusia 15 hingga 20 tahun itu diberkas kira-kira jam 2
pagi semalam, ketika sedang berkumpul di kawasan Taman Rekreasi Bukit
Indah, di sini, dalam keadaan mencurigakan.
Bagaimanapun sebaik disergah AADK, kumpulan remaja itu terus
membuang rokok di tangan selain ‘gugup’ apabila diajukan pelbagai
soalan.
Salah seorang remaja berusia 16 tahun yang ditahan mengaku mula
berjinak dengan dadah sejak seminggu lalu selepas berkenalan dengan
seorang pengedar dadah menerusi aplikasi Wechat.
Katanya, selain membekalkan ganja kepadanya, pengedar dadah itu
turut mengajar cara untuk menghisap dadah termasuk langkah demi langkah
membuat ‘dapur’ ganja.
“Saya mengenalinya menerusi mesej dihantar melalui Wechat. Saya jadi
teringin mencuba dadah selepas dia menceritakan ‘keseronokan’ menagih
dadah.
“Lelaki itu kemudian turut mengajar saya kaedah menghisap ganja dan menghasilkan bong (alat memasak dadah),” katanya.
Remaja yang sudah tidak bersekolah sejak tahun lalu berkata, dia
menagih dadah itu bersama rakan-rakannya dan tidak menyangka ditahan
pihak berkuasa.
Sementara itu, Ketua Pegawai AADK Ampang Hasnina Ibrahim berkata,
ketika ditahan, kumpulan remaja itu cuba menipu kononnya sedang bermain
permainan ‘Pokemon Go’.
Bagaimanapun pemeriksaan terhadap lapan remaja itu mendapati empat daripada mereka positif dadah.
“Mereka ditemui dalam keadaan mencurigakan di kawasan gelap di taman
rekreasi berkenaan.
Bagaimanapun pemeriksaan lanjut gagal menemui
sebarang dadah di badan mereka.
“Semua yang gagal ujian air kencing itu dibawa ke pejabat AADK untuk
siasatan lanjut termasuk memanggil ibu bapa remaja itu,” katanya.
Sumber: Harian Metro 17 Ogos 2016
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment