Pokok ketum (Malaysia) ataupun kratom (Thailand) merupakan pokok
berdaun hijau yang sangat mudah tumbuh di dalam iklim tropika. Nama
saintifik untuk ketum adalah Mitragyna speciose. Ia adalah salah satu
ahli di dalam keluarga tumbuhan yang dikenali sebagai Rubiaceae di mana
pokok kopi dan gardenia adalah juga di dalam keluarga yang sama. Pokok
ketum pertama kalinya dikenalpasti pada tahun 1839 oleh pakar botani
Belanda, Pieter Korthals dan penulisan tentang tumbuhan ini telah
disiarkan semenjak tahun 1897.
Pokok ketum selalunya boleh tumbuh
sehingga ketinggian 12-30 kaki, malah ada yang boleh mencapai
ketinggian sehingga 60 kaki. Batang pokok ketum boleh membesar sehingga
15 kaki dan daunnya boleh membesar sehingga 7 inci panjang dan 4 inci
lebar.
Daun ketum digunakan untuk banyak tujuan termasuk untuk
tujuan pengubatan. Terdapat lebih 40 jenis compound ataupun bahan kimia
yang terdapat di dalam daun ketum termasuk alkaloid seperti mitragynine,
mitraphylline, 7-hydroxymitragynine dan mitragynine pseudoindoxyl.
Lain-lain bahan kimia aktif adalah raubasine, yohimbe, rhynchophylline
dan sebagainya.
Alkaloid adalah sekumpulan bahan kimia yang
mempunyai atom nitrogen dan terdapat banyak jenis alkaloid yang
mempunyai pelbagai fungsi termasuk untuk tujuan pengubatan,
menghilangkan sakit, merawat batuk, membunuh kuman, demam, antimalarial,
penyakit arythmia, cirit-birit dan tidak kurang juga yang mempunyai
kesan psikotropik.
Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh
merubah fungsi otak dan menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan
juga kesedaran seseorang. Sebab itu ianya seringkali digunakan untuk
tujuan menghilangkan stress dan untuk tujuan berkhayal. Pendek kata di
dalam daun ketum ini terdapat banyak bahan kimia yang boleh memberi
kesan yang pelbagai daripada kesan fizikal hinggalah kesan psikologi
termasuk ketagihan dan kebergantungan (dependency).
Salah satu
compound penting dalam daun ketum yang dikategorikan sebagai alkaloid
adalah mitragynine. Ia adalah salah satu bahan alkaloid yang paling
banyak terdapat di dalam daun ketum. Dipercayai bahan inilah yang
menjadi sebab ramai penggemar ketum mengambil daun ketum.
Apa
yang menarik adalah kepekatan mitragynine di dalam daun ketum bergantung
kepada banyak faktor, salah satu faktor paling penting adalah tempat di
mana pokok ketum ini membiak.
Pokok ketum yang tumbuh di
negara-negara Asia Tenggara mempunyai kandungan mitragynine yang tinggi,
manakala jika tumbuh di tempat lain dan di bawah rumah hijau,
kepekatannya menjadi rendah.
Mitragynine ini dikatakan 13 kali
lebih poten dari morfin. Ia bertindak ke atas reseptor mu dan
delta-opioid, reseptor serotonin di otak serta reseptor noradrenergic di
saraf tunjang. Kajian analisis LC-ESI-MS menunjukkan bahawa peratusan
kandungan mitragynine di dalam daun ketum adalah pada tahap 1-6%. Di
dalam dos rendah, daun ketum boleh memberi kesan ransangan (stimulant)
sehingga seseorang itu merasa bertenaga, lebih ceria dan mesra tetapi di
dalam dos yang tinggi, ia boleh memberi kesan mengantuk dan kesan
narkotik termasuk depresi sistem saraf pusat.
Dos rendah adalah
daun seberat 1-5 gram manakala dos tinggi pula adalah dari 5-15 gram.
Jika diambil pada dos melebihi 15gram, seseorang akan mengalami kesan
sedatif yang melampau (mengantuk dan lali), malah boleh menjadi stupor
(hampir tidak sedar diri). Terdapat juga lapuran kejadian sawan selepas
mengambil daun ketum melebihi 15 gram.
Sehelai daun ketum yang segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79 mg (0.078 gram) mitragynine.
KEGUNAAN
Hampir kesemua manfaat yang dikaitkan dengan pengambilan daun ketum ini
adalah berasaskan kepada dakwaan pengamalnya kerana daun ketum tidak
digunakan oleh pengubatan moden.
Malah kesan farmakologi daun
ketum ke atas tubuh badan manusia juga tidak dikaji dengan mendalam dan
tidak ada maklumat terperinci mengenainya. Secara traditionalnya, daun
ketum diambil dengan mengunyah daunnya di dalam bentuk mentah seperti
yang diamalkan oleh penduduk selatan Thailand dan juga utara Malaysia.
Ada juga yang menjadikan ia seperti minuman teh, merebus serta diambil
airnya dan menghisap asap daun ketum (merokok). Jika diambil seperti
minuman teh, jus limau dicampurkan supaya ia dapat mengekstrak bahan
alkaloid, gula dan madu dicampurkan untuk menghilangkan rasa pahit. Ia
seringkali diambil oleh pekerja-pekerja untuk tujuan mengurangkan
keletihan, meningkatkan mood serta mengurangkan kesakitan dan anti
keradangan (inflammatory).
Lain-lain kegunaan adalah seperti
dinyatakan di atas yang dikaitkan dengan kegunaan kompoun alkaloid. Ada
juga yang menggunakannya untuk tujuan mengurangkan ketagihan dan
kebergantungan kepada dadah seperti opiod. Kajian ke atas haiwan
menunjukkan bahawa kesan menghentikan batuk oleh mitragynine ini hampir
sama dengan kodein, manakala 7-hydroxymiragynine ini pula dikatakan
mempunyai kesan mengurangkan sakit yang lebih poten dari morfin.
Pada asalnya pengambilan daun ketum ini dianggap sebagai budaya orang
kampung dan diamalkan oleh semua golongan sehingga ianya dianggap bukan
kesalahan dan baik untuk kesihatan.
Sehelai daun ketum yang
segar seberat 2 gram boleh mengandungi 79mg (0.078 gram) mitragynine. Di
samping dalam bentuk daun mentah, produk daun ketum ada juga dihasilkan
di dalam bentuk serbuk, kapsul, resin dan pes (paste). Banyak produk
daun ketum ini dapat dibeli dengan mudah dari internet, malahan ianya
sangat mudah ditanam di sekitar rumah.
Di selatan Thailand,
cocktail daun ketum ais yang dihasilkan di rumah pernah popular satu
masa dahulu, ia dikenali sebagai “4X100”, dikatakan memberi kesan
seakan-akan arak. Cocktail ini terdiri dari daun ketum, minuman ringan
yang mengandungi kafein (contoh: coca cola) dan ubat batuk yang
dicampurkan dengan kiub ais, ubat penenang, ubat antidepresi ataupun
ubat penahan sakit.
KESAN SAMPINGAN
Seperti yang
dinyatakan tadi daun ketum mengandungi banyak jenis bahan kimia ataupun
phytochemicals (fitokimia) yang mempunyai nisbah berbeza sehingga sukar
untuk dibuat kajian.
Secara umumnya, kesan pengambilan daun
ketum ke atas manusia bergantung kepada berapa banyak ianya diambil
ataupun “dose-dependent”.
Pada kadar dos yang rendah, ia boleh
meransang seperti pengambilan kokain, manakala di dalam dos yang tinggi
ia boleh memberi kesan mengantuk dan khayal seperti morfin.
Selepas mengambil beberapa gram daun ketum kering kesan khayal dan
keseronokan mula dialami dalam masa 10 minit dan kesannya boleh berakhir
sehingga 1-1.5 jam.
Pengamal daun ketum mendakwa lebih
bertenaga, lebih bersedia dan ada juga yang mengatakan nafsu sek
meningkat. Kajian ke atas sebilangan kecil manusia yang mengambil 50 mg
mitragynine menunjukkan ransangan otot, diikuti dengan pening, hilang
perseimbangan badan dan mengeletar.
Mekanisma aktiviti ransangan
ini masih tidak dapat diterangkan dengan jelas. Daun ketum kering yang
diambil sebanyak 10-25 gram pada peringkat awalnya boleh menyebabkan
berpeluh, pening, loya dan perasaan tidak selesa. Kemudiannya kesan ini
akan bertukar menjadi tenang, seronok dan seperti bermimpi yang boleh
mengambil masa sehingga 6 jam.
Kesan-kesan ini disebabkan oleh
dua jenis alkaloid yang disebutkan tadi iaitu mitragynine dan
7-hydroxymitragynine. Pengambilan daun ketum secara tetap boleh
menyebabkan ketagihan dan kebergantungan (dependence). Kesan withdrawal
ke atas manusia adalah ringan dan seringkali akan hilang di dalam masa
satu minggu. Ketagihan, lemah badan, risau, gelisah, berhingus, lemah
otot, loya, berpeluh, kejang otot, gangguan tidur dan halusinasi boleh
berlaku. Lain-lain kesan sampingan yang dikesan ke atas pengamal daun
ketum yang kronik adalah hipotiroidism (kurang hormon tiroksin) dan
kerosakan hati.
Terdapat kes kematian akibat pengambilan ketum
dalam dos yang terlalu tinggi dan ujian post-mortem menunjukkan
kandungan mitragynine di dalam darah sehingga 1.20 mg/l. Jika daun ketum
digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti ubat-ubatan tertentu boleh
menyebabkan kesan sampingan yang serius. Kes kematian telah dilapurkan
ke atas seorang penagih daun ketum yang mencampurkan pati daun ketum
dengan ubat fentanyl, ubat batuk, kopi dan morfin (ianya dijual sebagai
ubat herba).
Satu kajian "case series" kematian akibat
pengambilan daun ketum telah dijalankan di Sweden yang melibatkan 9
kematian dalam satu tahun akibat mengambil daun ketum yang dicampurkan
dengan ubat tramadol (ubat kategori opioid untuk melegakan kesakitan),
campuran ini dikenali sebagai “Krypton”.
Untuk mendapat rasa
bersemangat dan seronok/khayal, 1 hingga 3 helai daun ketum segar
dikunyah serentak. Selepas mengunyah, dan menelan, pengamal akan meminum
air suam ataupun kopi. Penagih daun ketum akan mengunyah 3 hingga 10
kali di dalam satu hari.
Kesan sosial pengambilan daun ketum
adalah membimbangkan. Walaupun ketagihan daun ketum tidak seberat
ketagihan dadah yang lebih kuat seperti heroin dan ganja, tetapi kesan
sosialnya tidak boleh dipandang ringan kerana pengambilan daun ketum
dianggap sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat tertentu. Ianya
juga diamalkan oleh golongan-golongan agamawan yang akan menjadi
tauladan kepada ahli-ahli masyarakat yang lain.
Dengan
berumpankan kesan positif terhadap tenaga, boleh merawat kesakitan,
cirit-birit dan lain-lain dakwaan yang mungkin sengaja ditokok tambah,
individu yang mengambil daun ketum ini lama kelamaan akan mula mengalami
ketagihan dan kebergantungan sama seperti ketagihan dadah berbahaya dan
ubat batuk. Daun ketum juga boleh menjadi alternatif (pilihan) lain
kepada penagih morfin,heroin dan lain2 yang kurang berkemampuan kerana
harganya yang murah dan mudah diperolehi.
Dengan kelonggaran
peraturan dan undang-undang berkaitan dengan penggambilan daun ketum,
kita tidak boleh bayangkan apakah kesan jangka panjang terhadap
masyarakat jika budaya ini dibiarkan berkembang. Tidak hairan mengapa ia
bakal memberi kesan sosial yang lebih serius dari penyalahgunaan
dadah-dadah yang lain.
UNDANG-UNDANG PENGAMBILAN DAUN KETUM
Tidak ada alkaloid yang diambil dari tumbuhan termasuk mitragynine yang
tersenarai di dalam mana-mana jadual ubat di dalam United Nations Drug
Conventions.
Daun ketum, dan/atau mitragynine dan/atau
7-hydroxymitragynine adalah bahan terkawal di banyak negara Eropah
seperti Denmark, Latvia, Lithuania, Poland, Romania dan Sweden.
Lain-lain negara yang mengawal penggunaan daun ketum di bawah
undang-undang narkotik adalah Australia, Myanmar dan Thailand. Di negeri
Thai, kerajaan Thailand telah meluluskan Kratom Act 2486 di mana ianya
mengharamkan penanaman pokok ketum.
Di New Zealand, daun ketum
dan mitragynine diletakkan di bawah Medicines Amendment Regulations.
Walau bagaimanapun di Amerika, daun ketum tidak dikawal tetapi dianggap
sebagai “drug of concern”.
Pada bulan Jun 2015, FDA telah
membuat pengumuman amaran pengimpotan produk daun ketum disebabkan oleh
kebimbangan terhadap keselamatan penggunaan produk ini, FDA membuat
kenyataan bahawa “Pengambilan daun ketum boleh menyebabkan beberapa
kesan masalah kesihatan termasuk depresi sistem pernafasan, perasaan
takut, agresif, agitasi, gangguan tidur, halusinasi, delusi, menggigil,
hilang nafsu seks, sembelit, hiperpigmentasi kulit, loya, muntah dan
gejala withdrawal yang berat“.
Disebabkan ketum tidak pernah
diterima penggunaannya dari sudut undang-undang, ia tidak pernah
mendapat pengiktirafan sebagai bahan pengubatan oleh perubatan moden.
Di Malaysia, daun ketum dan Mitragynine disenaraikan dalam jadual
ketiga (Section 30) Psychotropic Substances Akta Racun 1952. Sesiapa
yang mengimport, mengekspot, mengilang, membekal, menjual dan memiliki
ataupun menggunakan bahan psikotropik secara haram (tanpa dibenarkan
mengikut undang-undang) adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen
30(3) Akta Racun 1952.
Sabit kesalahan boleh dihukum denda
sehingga RM10,000 ataupun penjara 4 tahun atau kedua-duanya sekali.
Terdapat ura-ura untuk meminda akta ini kepada akta dadah berbahaya 1952
yang sabit kesalahan akan dipenjara seumur hidup dan sebatan 6 kali
ataupun hukuman mati mandatori. Sehingga rencana ini ditulis, daun ketum
masih lagi di bawah akta racun 1952.
FATWA DAUN KETUM
Daun ketum boleh dianggap sebagai bahan yang boleh
memabukkan/mengkhayalkan serta boleh memudaratkan. Berikut adalah
petikan daripada Irsyad Al-Fatwa ke 124 (Majlis fatwa pejabat mufti
Wilayah Persekutuan):
Kami nukilkan di sini fatwa dari majlis
Fatwa Kebangsaan Muzakarah mengenai dadah Syabu dan jenis-jenis dadah
baru yang lain yang mana daun ketum juga boleh dimasukkan sekali kerana
‘illah yang sama iaitu memabukkan/mengkhayalkan serta memudaratkan.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21 - 23 Nov 2006 telah
membincangkan Hukum Penyalahgunaan Dadah Jenis Syabu Dan Jenis-Jenis
Dadah Baru Yang Lain. Muzakarah telah memutuskan bahawa dadah jenis
syabu dan dadah-dadah jenis baru yang lain mempunyai kesan mudharat yang
sama seperti ecstasy, katamine dan Gamma Hyroxybutyric Acid (GHB).
Oleh itu, penyalahgunaan dadah jenis syabu dan dadah-dadah jenis baru
yang lain adalah haram dan semua aktiviti yang berkaitan dengan
penyalahgunaan dadah ini seperti menanam, memproses, memiliki, menjual,
mengedar, membeli atau membenarkan premis digunakan untuk bersubahat
dengan penggunaannya adalah juga diharamkan.
KENYATAAN MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
Setelah meneliti pelbagai pandangan dan pendapat dalam isu penanaman
pokok ketum ini, kami lebih cenderung kepada untuk dielakkannya kerana
berbeza penggunaannya dengan bab yang lain di mana ianya lebih kepada
mudarat dan juga mafsadah.
Keduanya, sekalipun niat baik dan
tujuan yang jelas bagi tujuan farmaseutikal/perubatan, tetapi isu tahap
kawalan agar tidak terarah kepada penyalahgunaannya begitu mencabar
untuk dipertahankan. Sudah barang tentu akan di ambil kesempatan dan
peluang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Ketiganya, dalam
suasana amat sukar menangani isu dadah dan seumpamanya, jika ia
dibiarkan untuk pokok ketum ditanam secara berleluasa, maka ia boleh
menyukarkan untuk proses pembasmian salah guna dadah.
Seterusnya
kami berpendapat bahawa masih banyak lagi jenis tanaman yang boleh
dikormesialkan bagi tujuan perubatan dan juga menambahkan pendapatan
yang lumayan bagi menggantikan daun ketum dalam skala yang besar. Akhir
kalam, semoga Allah SWT sentiasa melindungi rakyat Malaysia dari segala
bala-bencana serta memberikan kefahaman yang baik dalam beragama.
Wassalam.
Untuk maklumat lanjut mengenai Irsyad Al-Fatwa ke 124 ini sila layari laman web DI SINI
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke 12 pada tahun 2013
juga memfatwakan penyalahgunaan daun ketum dan produk-produknya sebagai
haram. KLIK DI SINI
Wakil PEMADAM
(Persatuan Mencegah Dadah Malaysia) sendiri pernah menyarankan supaya
Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa haram ke atas penyalahgunaan
daun ketum, KLIK DI SINI.
KESIMPULAN
Daun ketum mengandungi lebih 40 jenis bahan kimia dan di antaranya
terdapat beberapa jenis bahan yang dikategorikan sebagai alkaloid. Bahan
alkaloid yang paling utama adalah Mitragynine yang mempunyai ciri-ciri
Psikotropik bermaksud bahan kimia yang boleh merubah fungsi otak dan
menyebabkan perubahan kepada persepsi, mood dan juga kesedaran
seseorang.
Disebabkan oleh terlalu banyak bahan kimia yang
terdapat di dalam daun ketum, kesan pengambilan daun ketum dalam bentuk
mentah samada basah ataupun kering boleh menyebabkan pelbagai kesan
kepada fizikal dan juga mental seseorang.
Walaupun ianya
mempunyai kesan-kesan pengubatan tetapi kesan sampingan yang dibawa
olehnya tidak boleh dipandang ringan terutamanya yang berkaitan dengan
kesan ke atas otak ataupun psikotropik sehingga pengamal mengalami
masalah ketagihan, kesan withdrawal dan berpotensi mengancam nyawa jika
daun ketum ini dicampurkan dengan bahan-bahan lain.
Daun ketum
ini bolehlah diumpamakan sejenis daun yang di dalamnya mengandungi
bahan-bahan kimia untuk merawat beberapa jenis penyakit tetapi juga ada
racun tersembunyi yang boleh memudaratkan pengamalnya di dalam
jangkamasa panjang.
Malahan jika pengamalnya mengambil pada dos
yang tinggi ataupun mencampurkannya dengan bahan-bahan kimia yang lain
termasuk ubat-ubat dari kategori opioid, boleh menyebabkan kesan
sampingan serius jangkamasa pendek termasuk kematian. Jika ianya hendak
digunakan untuk tujuan pengubatan, maka ahli sains perlu mengambil
ataupun mengekstrak bahan-bahan ubatan tersebut satu persatu dan
ditentukan dos serta kaedah pengambilan yang sesuai, sama seperti
ubat-ubatan moden yang lain. Kesimpulannya pengambilan daun ketum tanpa
kawalan boleh berpotensi menyebabkan bermacam masalah kesihatan fizikal,
ketagihan dan masalah sosial dalam kalangan masyarakat negara kita.
Ketagihan daun ketum boleh menjadi tapak permulaan kepada ketagihan
dadah-dadah lain yang lebih kuat dan memudaratkan. Saya tidak bersetuju
jika disamakan daun ketum ini dengan buah anggur yang boleh dijadikan
arak kerana buah anggur adalah jelas halal dimakan kerana ianya bersih
dan bebas dari bahan kimia terlarang. Ianya menjadi haram apabila sudah
melalui proses bertukar menjadi arak.
Sedangkan daun ketum
adalah jelas sudah mengandungi bahan kimia yang memudaratkan jika
dimakan secara mentah tanpa melalui proses pengubahsuaian. Kita berharap
ahli-ahli sains akan membuat kajian saintifik yang lebih mendalam ke
atas potensi manfaat dan mudarat daun ketum di masa hadapan.
Dato' Dr. Mohd Rushdan Md Noor
DSDK.,SDK.,AMK.,BCK
MD,MOG (UKM),FGO(S'PORE),AM
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi
Hospital Sultanah Bahiyah
#HADK2017
#PerangiKetum
#SayangiDirimu
#PerangiDadahHabisHabisan
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
perkongsiaan yang baik. saya lihat dalam jadual 3 pada seksyen 30 (3) bawah akta racun 1952 cuma ada mitrgynine bila baca tulisan di atas barulah tahu beza antara Mitragyna speciose dan Mitragynine
ReplyDeleteLa mitraginina es una sustancia poco investigada y difundida en America Latina, pero me alegro poder encontrar información como la suya en un click
ReplyDelete