Beberapa minggu lepas, penulis artikel ini telah dihubungi
seorang rakan lama yang bertanyakan tentang ‘ubat sakit tekak’ atau
sejenis candy yang dijumpai di poket seluar sekolah anaknya.
Pil berbentuk bulat, berwarna pastel oren-merah jambu dengan
bungkusan merah lutsinar di depan dan lapisan perak dibelakang. Ia
kelihatan seperti bungkusan lozenge yang diambil untuk sakit tekak. Cuma
pilnya lebih kecil.
Beliau yang kebetulan mengalami sedikit inflamasi pada tekak kerana
cuaca yang tidak menentu, tanpa berfikir panjang terus mengambil pil
tersebut. Apabila diletakkan diatas lidah, ia terasa sedikit manis
dengan perasa mint yang sangat lembut. Tidak seperti lozenge biasa yang
mempunyai rasa mint yang kuat.
Selepas 10 minit, kepala terasa amat berat. Badan terasa lemah.
Silibus pengajaran yang sedang disiapkan di laptop tampak
berbalam-balam. Langsung beliau tidak boleh berfikir dengan jelas.
Malah, mahu mengeluarkan suara untuk meminta pertolongan dari isteri
yang sedang tidur juga tidak dapat dilakukan. Beliau masih sedar, namun
terasa berada diawang-awangan. Sangkanya, tekanan darah mencanak naik!
APAKAH SEBENARNYA PIL TERSEBUT?
Ia adalah Nimetazepam, sejenis dadah dalam kelas benzodiazepine yang
mengakibatkan kesan hipnotik, sedatif (pemangkin tidur) dan digunakan
juga sebagai perehat otot (muscle relaxant).
Nimetazepam sebenarnya adalah ubatan berdaftar yang digunakan secara
klinikal untuk rawatan pesakit yang mempunyai masalah tidur (insomnia,
selalu terjaga dengan tiba-tiba, keresahan) yang didaftarkan dengan nama
komersil Erimin. Ia juga digunakan dalam rawatan epilepsy (sawan)
apabila rawatan ubatan lain menemui kegagalan.
Namun, ubat ini seringkali dijual dalam pasaran gelap untuk kegunaan
rekreasi dan terkenal sebagai ‘soft drug’ dalam kalangan pengguna dadah.
Erimin digunakan sebagai ‘club drug’ dan diambil dengan alkohol.
Seringkali ia diambil bersama dadah lain seperti ecstasy,
methamphetamine dan benzodiazepine lain.
Harganya yang murah berbanding dadah jalanan lain menyebabkan ia
popular dikalangan kanak-kanak sekolah dan pelajar awal remaja (satu tab
sepuluh pil cuma berharga sekitar RM15 – RM40 sahaja). Ia popular
dengan nama ‘Happy’, ‘Five’, ‘Happy 5’.
BAGAIMANA ERIMIN BERFUNGSI?
Seperti dadah benzodiazepine yang lain, Erimin juga bertindak keatas
reseptor GABA di otak. Ia akan menambat pada reseptor GABAA dan
menyebabkan neurotransmitter GABA menambat pada reseptor GABA dengan
lebih efisyen.
Neurotransmitter GABA adalah neurotransmitter yang bersifat merencat
sesetengah aktiviti neuron. Ia terlibat dalam aktiviti rangsangan tidur,
merehatkan aktiviti otot, mengawal keresahan dan secara kesimpulannya
melumpuhkan dan merehatkan fungsi otak (CNS). Benzodiazepine seperti
Erimin akan meningkatkan aktiviti neurotransmitter GABA pada reseptor,
seterusnya menggalakkan fungsi GABA tersebut.
APAKAH KESAN PENGAMBILAN ERIMIN
Seperti yang terlihat pada kes diatas, kesan pengambilan Erimin terlihat seperti:
- Hilang kesedaran
- Kekurangan fungsi kognitif dari segi mengambil keputusan, berfikir, hilang tumpuan
- Kesukaran untuk mengawal fungsi tubuh, bercakap, bergerak
- Kesukaran mengingat, pelupa
Erimin juga mampu memberikan kesan ketagihan seperti dadah rekreasi
lain. Ia juga mampu meningkatkan keadaan toleran (sentiasa mahu
meningkatkan dos) dan beralih pada dadah yang lebih kuat kemudiannya.
Prihatin pada aktiviti anak-anak dan anggota keluarga. Selalu memberi perhatian pada mereka.
Sayangi diri dan keluarga. Jauhi dadah!
Sumber: Root Of Science
RUJUKAN
Monti JM. 2015. The Pharmacological Treatment of Sleep Disorders. A Comprehensive Guide to Its Development, Clinical Milestones, and Advances in Treatment. Springer New York. DOI: 10.1007/978-1-4939-2089-1_59
Han, W. W., Yakatan, G. J. and Maness, D. D. (1977), Kinetics and mechanisms of hydrolysis of 1, 4-benzodiazepines III: Nitrazepam. J. Pharm. Sci., 66: 795–798. doi:10.1002/jps.2600660613
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment