Beberapa tahun lepas, negara dikejutkan dengan berita kematian
sekumpulan anak-anak muda yang menghadiri festival muzik di Kuala
Lumpur. Kematian mereka dikatakan akibat kejutan haba (heatstroke).
Namun, sedikit kesan dadah jenis MDMA telah dikesan dalam darah mereka.
Adakah kedua-dua fakta ini mempunyai kaitan?
MDMA atau 3,4-Methylenedioxymethamphetamine adalah dadah sintetik terbitan amphetamine. Terkenal sebagai ‘designer drug’ dan komposisinya sentiasa berubah dan ‘ditambahbaik’. Ia juga dikenali sebagai Molly, Adam, Ecstasy, X dan pelbagai nama lagi bergantung pada ketulenan MDMA dan bahan campuran yang diletakkan di dalamnya.
MDMA adalah dadah rekreasi yang terkenal dikalangan ‘party-goers’,
biasa diambil dalam pesta-pesta muzik, pesta RAVE dan pesta muzik
elektronik. Pengambilannya dikatakan mampu meningkatkan sensasi dan
keseronokan dalam keadaan bingit pesta muzik tersebut. Ia juga
meningkatkan kesan empati keseronokan dan menyebabkan pengambilnya
seolah-olah lupa pada keperluan asas seperti makan, minum dan berehat.
Ya, MDMA atau Molly ini memang pelbagai bentuk berwarna-warni seperti
candy (seperti gambar diatas). Ada yang berbentuk hati, berbentuk
nenas, strawberry, ada yang berbentuk watak kartun seperti Super Mario,
Batman, PacMan dan ada juga yang berbentuk haiwan comel seperti
kura-kura dan burung.
BAGAIMANA MDMA BERTINDAK?
MDMA menambat pada pengangkut serotonin dan merencat pengambilan
balik serotonin ke dalam neuron di otak. Jadi, neurotransmitter
serotonin akan berada banyak dan lebih lama untuk mengaktifkan neuron.
MDMA juga mengaruh pembebasan neurotransmitter seperti serotonin,
dopamine dan norepinephrine di pusat saraf tunjang.
Neurotransmitter-neurotransmitter tersebut penting dalam kawalan
emosi, regulasi suhu tubuh (dan otak), regulasi tidur, selera dan rasa
ganjaran (reward). Ia juga mengaruh sistem saraf autonomik yang mengawal
fungsi tubuh seperti degupan jantung dan pernafasan.
Pengambilan MDMA telah dibuktikan meningkatkan hormone cortisol,
prolactin dan hormon adrenocorticotropic lain. Peningkatan prolactin
mungkin salah satu sebab mengapa pengambilan MDMA menyebabkan
penggunanya merasa empati dan mahukan sentuhan dan keinginan untuk
bersosial (possibly mimicking a “post-orgasmic state”).
MDMA DAN STROK HABA
Serotonin dan dopamine penting dalam pengawalan suhu
(thermoregulation) di otak. MDMA mengaruh kebanjiran kedua-dua
neurotransmitter ini. Malah kesan sampingan MDMA yang distimulasi oleh
muzik, cahaya dan persekitaran di pesta muzik menyebabkan pengguna MDMA
seronok bergerak dan menari tanpa henti. Aktiviti ini juga menyumbang
pada keadaan tubuh yang berpeluh dan meningkatkan suhu tubuh.
Ia diburukkan lagi dengan keadaan persekitaran pesta yang sesak dan
panas. Malah, pengguna MDMA ni biasanya ‘terlupa’ minum dan makan. Tubuh
akan kehilangan air dan mineral dengan cepat dan suhu tubuh tidak dapat
diregulasi dengan tepat. Ini semua menyumbang pada gejala kejutan haba.
Banyak juga kes dilaporkan yang menunjukkan MDMA pada dos yang tinggi
akan meningkatkan suhu tubuh dan memaksa penggunanya meminum begitu
banyak air kerana kehausan. Mungkin anda boleh membaca tragedi kematian
Leah Betts yang meminum tujuh liter air dalam masa 90 minit selepas
mengambil sebiji pil MDMA. Beliau ditemui tidak sedarkan diri dan koma
akibat otak yang membengkak.
Leah Betts, remaja berusia 18 tahun yang mati akibat pengambilan ecstasy
Pengambilan MDMA menunjukkan penggunanya mengalami penurunan fungsi
kognitif dalam jangka masa panjang. Pengguna MDMA juga mempunyai
penyusutan dari segi kebolehan mengingat, pemprosesan visual, kesukaran
untuk menumpukan perhatian dan kesukaran untuk tidur.
MDMA DAN VARIASI DADAH TERBITAN
Dadah MDMA dijual dalam bentuk serbuk yang boleh diambil secara oral.
Namun, ia banyak menyumbang pada keadaan bahaya kelebihan dos (hanya
500 ug MDMA sahaja sudah cukup utuk menyebabkan kematian). Ia banyak
dijual dalam bentuk pil bagi mengawal dos tersebut.
Malangnya, pil MDMA ini selalunya dicampur dengan pelbagai dadah lain
seperti caffeine, ketamine, emphetamine, methamphetamine untuk
menghasilkan kesan yang berbeza. Malah, banyak juga pil-pil MDMA yang
dicampur dengan dadah sintetik baru (designer drug) yang tidak begitu
diketahui kesannya. Di Malaysia, kadang-kala ia dicampur dengan bahan
murah seperti racun tikus dan paracetamol. Jadi, pengambilan dadah jenis
MDMA, Molly atau Ecstasy ini adalah amat bahaya dengan kesan yang tidak
menentu.
Gambar laporan kes gadis berusia 18 tahun yang
‘mengunyah’ bibirnya sendiri sehingga rompong setelah mengambil MDMA
dari artikel Nugent et al (2017)
Sayangi diri dan keluarga. Jauhi dadah!
Sumber: Root Of Science
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
Nugent G, Basyuni S, McAnerney D & Cameron M.Oral surgery: Mutilation following MDMA. BDJ 222, 68 (2017) Published online: 27 January 2017 doi:10.1038/sj.bdj.2017.53
Betzler, F., Viohl, L. and Romanczuk-Seiferth, N. (2017), Decision-making in chronic ecstasy users: a systematic review. Eur J Neurosci, 45: 34–44. doi:10.1111/ejn.13480
Garg A, Kapoor S, Goel M, Chopra S, Chopra M, Kapoor A, McCann UD, Behera C (2015). “Functional Magnetic Resonance Imaging in Abstinent MDMA Users: A Review”. Curr. Drug Abuse Rev. 8 (1): 15–25. doi:10.2174/1874473708666150303115833. PMID 25731754.
Mueller M, Maldonado-Adrian C, Yuan J, McCann UD, Ricaurte GA. Studies of (±)-3, 4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) metabolism and disposition in rats and mice: relationship to neuroprotection and neurotoxicity profile. Journal of Pharmacology and Experimental Therapeutics. 2013 Feb 1;344(2):479-88.
McElrath K. MDMA and sexual behavior: ecstasy users’ perceptions about sexuality and sexual risk. Subst Use Misuse, 2005;40(9-10):1461-1477. http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/16048828
Gore SM. Fatal uncertainty: death-rate from use of ecstasy or heroin. Lancet. 1999;354(9186):1265-1266.
Henry JA. Ecstasy and the dance of death. BMJ. 1992;305(6844):5-6.
https://www.ecstasydata.org/results.php
No comments:
Post a Comment