BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Yang Berbahagia
Puan Sri Dato’ Zuraidah binti Hj. Mohamed
Ketua Pengarah
Agensi Antidadah Kebangsaan
Yang Berusaha Timbalan -Timbalan Ketua Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
Setiausaha-Setiausaha Bahagian
Kementerian Dalam Negeri
Ketua-Ketua Jabatan
Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Dalam Negeri
Pegawai-Pegawai Kanan Agensi Antidadah Kebangsaan
Ahli-ahli SKUAD 1Malaysia,
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Yang Dihormati
Sekalian..
Assalamualaikum W.B.T Dan Salam Sejahtera.
1.
Alhamdulillah,
marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T
kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari yang indah ini, kita
semua dapat berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk
membanteras masalah dadah di Malaysia. Pada
hari ini juga, saya merasa amat gembira melihatkan sokongan dan penglibatan begitu
ramai ahli sukarelawan antidadah SKUAD 1Malaysia terutama dari golongan remaja
dan belia yang hadir bagi memeriahkan majlis pada pagi ini.
2. Terlebih
dahulu, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada YBhg. Puan Sri Dato’
Zuraidah, Ketua Pengarah AADK kerana sudi menjemput saya ke hari yang signifikan
dalam usaha membasmi dadah iaitu sambutan Peringatan Hari Antidadah
Antarabangsa (HADA) 2012 pada kali ini. Tahniah dan syabas juga saya ucapkan
kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga kerja AADK dari peringkat
atasan sehingga ke peringkat akar umbi kerana bertungkus lumus menjayakan
majlis yang penuh bermakna ini.
3. 3. Saya
juga turut ingin mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada semua ahli SKUAD
1Malaysia atas penglibatan aktif sempena Sambutan Hari Belia di Putrajaya pada
bulan Mei yang lalu dan Perhimpunan SKUAD Muda KDN yang telah diadakan di MAEPS,
Serdang pada 10 Jun yang lepas. Jelas sekali SKUAD 1Malaysia yang diterajui
oleh AADK merupakan gelombang sukarelawan sejati kerana mereka ikhlas dalam
melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang sukarelawan walaupun tanpa mendapat
apa-apa bayaran. Saya sangat berbangga dengan penglibatan sukarelawan antidadah
(SKUAD 1Malaysia) yang kebanyakannya terdiri daripada mereka yang profesional
dan mempunyai kemahiran dalam lapangan masing-masing seperti peguam, kaunselor,
pensyarah, ahli agama, pegawai perubatan dan ahli perniagaan yang bersama-sama
membantu ke arah matlamat menjadikan negara bebas dadah. Sekali lagi, tahniah diucapkan. SKUAD 1Malaysia, anda sememangnya
sukarelawan prihatin!
Para hadirin Sekalian,
4.
Sambutan
Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini bertemakan “Sukarelawan Prihatin” iaitu merupakan
kesinambungan dengan sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan yang telah
diadakan pada bulan Februari 2012 lalu di Sembrong. Tema ini juga adalah selari
dengan tema yang ditetapkan oleh United
Nation Office on Drugs and Crime (UNODC) iaitu “Global Action for Healthy Communities without Drugs” yang
bertujuan untuk menyeru seluruh rakyat bangkit bersama-sama melahirkan komuniti
yang sihat melalui gerakan kesukarelaan antidadah. Selain itu, tema Sukarelawan Prihatin ini juga dipilih
bagi menghargai usaha dan sumbangan para sukarelawan antidadah yang banyak
membantu kerajaan dalam melaksanakan program pencegahan dan rawatan dan
pemulihan dadah. Saya berharap dengan lebih ramai ahli yang mendaftar sebagai
sukarelawan antidadah, ramai yang akan lebih prihatin dengan klien, ahli
keluarga serta ahli masyarakat yang mempunyai permasalahan dadah. Apabila lebih
ramai yang prihatin dengan masalah dadah, maka matlamat Negara Bebas Dadah pada
tahun 2015 akan dapat dicapai.
5.
Tahniah
kepada AADK kerana telah menyahut cabaran menggerakkan gelombang kesukarelaan
sebagaimana komitmen ketujuh KDN dalam perutusan tahun baru YB Menteri Dalam
Negeri pada 2011. Sehingga kini keahlian SKUAD 1Malaysia adalah seramai 252,128
dan penglibatan tidak terhad kepada kaum Melayu
sahaja. Penglibatan kaum lain di dalam keahlian SKUAD 1Malaysia yang berumur 18
hingga 25 tahun adalah sangat menggalakkan. Kaum
Cina seramai 7,544 orang (8.7%), kaum India seramai 3,559 orang (4%) dan
lain-lain kaum seramai 4,502 orang (4.2%).
Hadirin sekalian,
6.
Kementerian
Dalam Negeri merupakan lead ministry
dalam aspek kesukarelaan di negara ini. Berdasarkan misi ini, SKUAD Muda KDN telah diwujudkan dan
dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri pada Himpunan Jutaan Belia 2012 di
Putrajaya baru-baru ini. Skuad Muda KDN disertai oleh sukarelawan antidadah
(SKUAD 1Malaysia), JPAM, RELA dan SUKSIS (PDRM). Penubuhan Skuad Muda KDN ini
adalah sejajar dengan penubuhan 1Malaysia For Youth (1M4U) yang akan dilancarkan
sedikit masa lagi.
7.
Gelombang
kesukarelaan dibawah Skuad Muda KDN jelas satu gelombang yang besar, ini dapat
dilihat semasa perhimpunan Skuad Muda KDN bersama YB Dato’ Seri Hishamuddin bin
Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri pada 10 Jun 2012 yang lalu yang telah berjaya
mengumpulkan 15,000 sukarelawan Skuad Muda KDN
dari seluruh negara dan yang lebih membanggakan, pencapaian keahlian
SKUAD 1Malaysia berumur 18 hingga 25 tahun sehingga hari ini adalah 86%
daripada jumlah keseluruhan KPI yang ditetapkan iaitu 100,000 orang ahli SKUAD
1Malaysia di dalam keahlian SKUAD Muda KDN.
8.
SKUAD 1Malaysia yang merupakan ahli Skuad Muda KDN yang berumur 18 hingga 25 tahun adalah seramai
85,876 orang. Peranan dan penglibatan sukarelawan
antidadah dalam kalangan remaja dan belia perlu diberi fokus kerana golongan
ini berisiko tinggi untuk terjebak dengan permasalahan penagihan dadah. Oleh
itu, saya menyeru SKUAD 1Malaysia yang juga ahli Skuad Muda KDN supaya anda
proaktif dalam usaha mencegah penularan penyalahgunaan dadah. Anda sukarelawan
prihatin dan anda pasti boleh melakukannya!
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.
Seperti yang kita
semua sedia maklum, masalah
penyalahgunaan dadah merupakan masalah global yang perlu diatasi bersama oleh
semua peringkat. Berdasarkan laporan World
Drug Report tahun 2011 menganggarkan terdapat sekitar 180 juta hingga 210 juta orang berusia 15 hingga 64
tahun atau 3.4% hingga 6.4% daripada populasi penduduk di dunia menggunakan
dadah terlarang setiap tahun. Dari jumlah berkenaan 200,000 orang berada di
ambang kematian setiap tahun. Hari ini, penyalahgunaan dan penyeludupan dadah
bukan hanya ancaman terhadap kesihatan, tetapi telah menjadi ancaman yang besar
terhadap kestabilan global dan pembangunan sosio-ekonomi yang merentasi dunia.
10. Ancaman dadah merupakan masalah yang serius dihadapi
bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia. Trend dan pola penyalahgunaan
dadah juga semakin kompleks dan telah berubah dari penggunaan dadah jenis
tradisi seperti heroin, morphine, candu dan ganja kepada dadah jenis sintetik
atau ‘designer drug’ yang dilihat
lebih banyak mempengaruhi golongan remaja dan belia.
11. Berdasarkan statistik Bionadi tahun 2011, jumlah penagih
tertinggi adalah pada usia remaja hingga belia iaitu antara umur 18 hingga 39
tahun iaitu seramai 8,760 orang daripada 11,194 orang (78%) daripada
keseluruhan penagih yang dikesan pada tahun berkenaan. Jelas sekali golongan
yang perlu diberikan tumpuan merupakan golongan remaja dan belia atau lebih
mudah golongan muda. Ini menunjukkan kepada kita bahawa golongan yang terlibat
dengan dadah adalah dalam kalangan mereka yang berada di usia produktif dan
sepatutnya boleh menyumbang kepada pembangunan negara.
Hadirin sekalian,
12. Jika diperhatikan di media-media massa, hampir setiap
hari dipaparkan pelbagai isu membabitkan golongan remaja dan belia antaranya
seperti gejala rempit, seks bebas, buang bayi, pergaduhan, lari dari rumah
serta pengedaran dan penagihan dadah. Selain itu, kes-kes jenayah seperti
ragut, rompak malahan pembunuhan sering dikaitkan dengan remaja atau belia yang
terlibat dengan masalah dadah. Golongan belia yang sepatutnya menjadi tunggak
negara pada masa hadapan dilihat rebah satu demi satu akibat gejala dadah.
13. Penghakisan budaya dan norma ketimuran, ditokok pula
dengan kesan-kesan sosial lain yang tercetus daripada gelombang globalisasi
seperti budaya mengutamakan keseronokan, hubungan seks bebas, pengambilan
alkohol, pegangan agama yang longgar dan sebagainya memburukkan lagi situasi
sedia ada. Walaupun hanya sekumpulan kecil sahaja yang terlibat dalam isu
sosial ini namun pengaruhnya cukup kuat kepada belia kerana aspek-aspek
keseronokan akan membuatkan mereka sukar membuat pertimbangan dan penilaian
matang. Kesan gelombang globalisasi ini akan membinasakan keharmonian dan keamanan
negara kita dalam tempoh satu atau dua generasi jika langkah bijak dan tegas
tidak dilakukan untuk memastikan belia Malaysia sentiasa bebas dari dadah.
14. Analisis Laporan Dadah 2011 Agensi Antidadah Kebangsaan
(AADK) menunjukkan bahawa Pengaruh Kawan (44.51%) merupakan faktor
utama yang menyebabkan seseorang itu terjebak dengan gejala dadah, diikuti
faktor Perasaan Ingin Tahu (20.31%) dan faktor Untuk
Keseronokan(13.13%). Oleh itu, adalah perlu untuk kita bersama-sama golongan
muda pada hari untuk kita bimbing dan pandu mereka ke arah masa hadapan yang
lebih baik. Golongan muda perlu dibawa bersama menggerakkan usaha-usaha
kerajaan terutama dalam membebaskan negara dari masalah dadah.
15. Corak penagihan dadah pada masa kini juga telah melalui
perubahan yang amat ketara sekali. Jika dahulu, pengguna atau penagih-penagih
dadah dijumpai di bawah jambatan, di lorong-lorong jalan, di port-port dan
dalam kusut masai, kurus, cengkung dan tidak terurus tetapi pada hari ini
penagih terdiri daripada golongan pelajar universiti, professional, pegawai,
berpakaian kemas dan kelihatan sihat pada mata kasar. Namun tanpa kita sedari
mereka ini merupakan seorang pengguna dadah dan kemungkinan ada diantara mereka
ini merupakan salah seorang dari ahli keluarga kita sendiri. Oleh itu, setiap
dari kita perlu lebih sensitif dan peka dengan perubahan dan perkembangan ahli
keluarga dan rakan sekeliling kita supaya masalah ini dapat dibendung sebelum
ianya menjadi lebih parah.
Para hadirin Sekalian,
16. Aktiviti-aktiviti yang disediakan oleh
AADK sepanjang berlangsungnya HADA pada hari ini sememangnya bertepatan dan menjurus
kepada minat dan kesukaan remaja dan belia masa kini. Pada pandangan saya, ini
patut dijadikan platform terbaik untuk kita memulakan usaha menjauhkan remaja
dan belia daripada dadah dengan penglibatan aktiviti yang sihat dan positif
sesuai dengan minat mereka.
17.
Harapan
saya, AADK dapat meneruskan program dan aktiviti yang bersesuaian dengan golongan
muda dan para sukarelawan remaja dan belia seperti aktiviti yang disediakan
pada hari ini. Dengan kejayaan untuk menarik golongan ini bersama dengan kita,
maka dapatlah kita membentuk mereka ke arah kehidupan yang lebih positif dan
jauh dari gejala penagihan dan masalah sosial yang lain. Selain program secara
fizikal, penggunaan dunia maya menggunakan media baru seperti facebook dan
twitter merupakan kaedah terbaik untuk mendekatkan kita dengan golongan remaja
dan belia. Mesej menggunakan media baru sangat efektif dalam dalam mempengaruhi
minda remaja dan belia selain berkesan dalam menyampaikan maklumat dan berita. KDN
sentiasa membuka ruang untuk berkomunikasi dan mendapat maklumbalas melalui
facebook dan twitter dengan anda semua.
18.
Sesungguhnya
SKUAD 1Malaysia mestilah bersatu padu dan mengekalkan keamanan di dalam negara
ini. SKUAD 1Malaysia semestinya menolak semua bentuk keganasan dan demonstrasi
jalanan yang boleh merosakkan bangsa dan negara dalam jangka masa panjang.
Justeru saya menyeru supaya semua ahli SKUAD 1Malaysia supaya bersatu untuk
menjadikan negara kita bebas dari keganasan ancaman dadah. Dengan kerjasama dan
penglibatan semua remaja dan belia, matlamat We Want Peace yang
dilaungkan oleh anda pasti akan dapat dicapai.
19.
Bagi
menghargai jasa anda semua sukarelawan KDN saya dengan sukacitanya ingin mencadangkan
agar sukarelawan Skuad Muda KDN termasuk SKUAD 1Malaysia diberi elaun sepertimana
elaun yang diperolehi oleh sukarelawan RELA dan JPAM. Kertas cadangan akan
disediakan dan dibentangkan di dalam kabinet untuk kelulusan. Adalah diharapkan
cadangan ini akan mendapat perhatian dari pihak kerajaan dan seterusnya menjadi
pemangkin kepada gerakan sukarelawan terutamanya dalam kalangan sukarelawan
SKUAD Muda KDN.
Para hadirin Sekalian,
20. Sebelum mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin
mengucapkan tahniah kepada kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga
kerja AADK kerana bertungkus lumus
menjayakan majlis kita pada hari ini. Jutaan terima kasih juga kepada hadirin
sekalian tuan/puan para sukarelawan yang selama ini membantu kerajaan khususnya
Agensi Antidadah Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri demi merealisasikan
hasrat kerajaan dalam membasmi penagihan dadah dalam kalangan rakyat negara ini
supaya kita dapat merealisasikan hari
esok lebih baik daripada hari ini. Maka, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya
dengan sukacitanya merasmikan sambutan Peringatan Hari Antidadah Antarabangsa
2012.
Sekian,
Wabillahi Taufi Walhidayah, Wassalamualaikum W.B.T.
Think Health, not Drugs
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan.......
No comments:
Post a Comment