WAN MOHAMAD GHAZALI NOR (kiri ) bersama Nor Azmi Amin Abd. Rahman
(tengah) dan Zolkifli Mohd. Dom (dua dari kanan) melihat kesan kebakaran
yang berpunca daripada perbuatan khianat sekumpulan remaja menghidu gam
di PPR Beringin, Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini. UTUSAN/Zakaria
Idris
KUALA LUMPUR 23
Nov. - Sebanyak 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam
(PA) di ibu negara dikenal pasti menjadi ‘sarang’ kepada kegiatan
penagihan dadah.
Jelasnya, seramai 2,409 penagih dadah telah dikesan berusia dalam lingkungan 14 hingga 60 tahun dan majoritinya kaum Melayu.
“AADK melaksanakan operasi secara habis-habisan bagi membanteras gejala itu. Program kesedaran komuniti juga diperhebatkan termasuk sesi dialog, pameran dan ceramah di perumahan terbabit.
“Kami turut mengadakan program pemulihan dan rawatan di rumah penagih serta menilai tahap pemulihan mereka dari semasa ke semasa,” katanya semasa membuat tinjauan di PPR Beringin, Jinjang, Kepong di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohammad Ghazali Nor dan Timbalan Ketua Balai Polis Jinjang, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, Sub Inspektor Nor Azmi Amin Abd. Rahman.
Tinjauan itu dibuat ekoran beberapa siri pendedahan Utusan Malaysia berhubung kegiatan penagihan dadah yang semakin menjadi-jadi di kawasan perumahan itu.
Sementara itu, Wan Mohammad Ghazali berkata, beliau yakin kerjasama antara DBKL, AADK, polis dan persatuan penduduk dapat menangani masalah sosial dan dadah di PPR.
“Program yang dijalankan adalah berbentuk kesedaran. Jika kita mempunyai bukti berhubung vandalisme, DBKL akan bertindak tegas bukan sahaja mengeluarkan kompaun tetapi juga menamatkan sewa rumah mereka,” katanya.
Beliau tidak menafikan unit-unit rumah kosong di PPR menjadi lokasi tumpuan sarang penagihan dadah termasuk kegiatan menghidu gam.
“Bagi mengatasi masalah itu, unit-unit kosong tersebut akan dibaik pulih terlebih dahulu sebelum penyewa baharu masuk. Keutamaan akan diberi kepada pemindahan penduduk dari penempatan setinggan di ibu kota,” katanya.
Sementara itu, Nor Azmi Amin berkata, pihak polis turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan saluran melalui Whatsapp yang melibatkan semua persatuan penduduk PPR di kawasan Jinjang.
“Ini bagi membolehkan pengerusi-pengerusi persatuan tersebut menyalurkan aduan berkaitan kes jenayah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan dengan segera,” katanya.
Sumber Utusan Online 24 November 2015
Hidup Ini Terlalu Indah Untuk Disiakan
Ambil Kisah.Ambil Tindakan
No comments:
Post a Comment