WAN MOHAMAD GHAZALI NOR (kiri ) bersama Nor Azmi Amin Abd. Rahman
(tengah) dan Zolkifli Mohd. Dom (dua dari kanan) melihat kesan kebakaran
yang berpunca daripada perbuatan khianat sekumpulan remaja menghidu gam
di PPR Beringin, Kepong, Kuala Lumpur baru-baru ini. UTUSAN/Zakaria
Idris
KUALA LUMPUR 23
Nov. - Sebanyak 27 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam
(PA) di ibu negara dikenal pasti menjadi ‘sarang’ kepada kegiatan
penagihan dadah.
Penolong Pengarah Penguatkuasaan dan
Keselamatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur, Zolkifli Mohd. Dom berkata, sebanyak 80 peratus kes dadah
dikesan di perumahan tersebut antaranya PPR Desa Tun Razak, PPR Intan
Baiduri, Flat San Peng dan PA Desa Rejang.
Jelasnya, seramai 2,409 penagih dadah telah dikesan berusia dalam lingkungan 14 hingga 60 tahun dan majoritinya kaum Melayu.
“AADK
melaksanakan operasi secara habis-habisan bagi membanteras gejala itu.
Program kesedaran komuniti juga diperhebatkan termasuk sesi dialog,
pameran dan ceramah di perumahan terbabit.
“Kami
turut mengadakan program pemulihan dan rawatan di rumah penagih serta
menilai tahap pemulihan mereka dari semasa ke semasa,” katanya semasa
membuat tinjauan di PPR Beringin, Jinjang, Kepong di sini baru-baru ini.
Yang
turut hadir Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan dan Pembangunan
Komuniti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Wan Mohammad Ghazali Nor
dan Timbalan Ketua Balai Polis Jinjang, Ibu Pejabat Polis Daerah
Sentul, Sub Inspektor Nor Azmi Amin Abd. Rahman.
Tinjauan
itu dibuat ekoran beberapa siri pendedahan Utusan Malaysia berhubung
kegiatan penagihan dadah yang semakin menjadi-jadi di kawasan perumahan
itu.
Sementara itu, Wan Mohammad Ghazali
berkata, beliau yakin kerjasama antara DBKL, AADK, polis dan persatuan
penduduk dapat menangani masalah sosial dan dadah di PPR.
“Program
yang dijalankan adalah berbentuk kesedaran. Jika kita mempunyai bukti
berhubung vandalisme, DBKL akan bertindak tegas bukan sahaja
mengeluarkan kompaun tetapi juga menamatkan sewa rumah mereka,” katanya.
Beliau
tidak menafikan unit-unit rumah kosong di PPR menjadi lokasi tumpuan
sarang penagihan dadah termasuk kegiatan menghidu gam.
“Bagi
mengatasi masalah itu, unit-unit kosong tersebut akan dibaik pulih
terlebih dahulu sebelum penyewa baharu masuk. Keutamaan akan diberi
kepada pemindahan penduduk dari penempatan setinggan di ibu kota,”
katanya.
Sementara itu, Nor Azmi Amin
berkata, pihak polis turut mengambil inisiatif dengan mewujudkan saluran
melalui Whatsapp yang melibatkan semua persatuan penduduk PPR di
kawasan Jinjang.
“Ini
bagi membolehkan pengerusi-pengerusi persatuan tersebut menyalurkan
aduan berkaitan kes jenayah supaya pihak polis boleh mengambil tindakan
dengan segera,” katanya.
Sumber
Utusan Online 24 November 2015
Hidup Ini Terlalu Indah Untuk Disiakan
Ambil Kisah.Ambil Tindakan