MELAKA 11 Ogos -
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri menahan 31 penagih dadah
termasuk seorang warga emas berumur 61 tahun dalam serbuan di lokasi
baharu dekat bawah jambatan Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh
(SPA), Krubong, di sini hari ini.
Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusof
Kameh berkata, warga emas yang datang dari Kelemak, Alor Gajah itu
sanggup menunggang motosikal sejauh 20 kilometer bersama seorang lagi
rakannya ke lokasi tersebut semata-mata untuk melepaskan gian.
Menurutnya, lelaki tersebut ditahan pihak AADK
negeri dengan kerjasama anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah
Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul
8.30 pagi.
“Warga emas tersebut dipercayai menjadi penagih
dadah sejak 41 tahun lalu bermula dengan ganja sebelum bertukar kepada
dadah jenis heroin. Selain warga emas itu, pihak berkuasa turut menahan
30 lagi penagih termasuk seorang remaja berusia 19 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita
sempena program My Beautiful Malaysia AADK Daerah Melaka Tengah dekat
Krubong, di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Paya Rumput, Datuk Sazali Muhamad Din.
Jelas Mohamad Yusof, lokasi baharu penagihan
dadah itu dipercayai telah wujud dalam tempoh dua bulan dan kedudukannya
tidak jauh dari lokasi lama yang telah dibersihkan sebelum ini.
“Hasil
risikan selama lebih sebulan, kita dapati lokasi baharu ini lebih sejuk
dan tersorok ini hanya sejauh dua kilometer dari Kampung Krubong Tengah
menjadikan ia tempat strategik untuk melepaskan gian di kalangan
penagih sekitar daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah,” ujarnya. - UTUSAN
ONLINE
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment