Idris HARON menyampaikan cenderamata kepada Ikon Anti Dadah Negeri
Melaka, Muhammad Fakhrul Islam Md. Janin (tiga dari kanan) selepas
merasmikan Seminar Komuniti Unggul; Perangi Dadah Habis-habisan di Ayer
Keroh, Melaka, kelmarin.
MELAKA 27 Julai -
Kerajaan negeri bertekad mahu membendung sepenuhnya kegiatan
penyalahgunaan dadah dengan membersihkan tujuh kawasan hitam yang
menjadi lokasi utama aktiviti penagihan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron
berkata, kesemua tujuh kawasan yang telah dikenal pasti itu adalah
Pantai Kundor, Tanjung Kling, Klebang, Paya Rumput, Bachang, Kesidang
dan Sungai Udang.
Menurutnya, kerajaan
negeri menerusi Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri mahu isu
tersebut dijadikan agenda utama perbincangan di setiap peringkat
termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK).
“Agenda
membanteras dadah secara habis-habisan ini perlu diletakkan sebagai
keutamaan dalam mana-mana mesyuarat terutamanya di peringkat JKKK yang
merupakan kumpulan paling dekat dengan kelompok penagih itu sendiri.
“Ia
perkara serius yang perlu dimasukkan dalam mekanisme sebagai kewajipan
dan sekiranya tidak dibincangkan serta dimasukkan dalam minit
mesyuarat, tindakan sepatutnya akan diambil,” tegasnya.
Beliau
berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar
Komuniti Unggul: Perangi Dadah Habis-habisan anjuran AADK Melaka di
Auditorium Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Yang
turut hadir Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad
Diah; Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Abdul Rahman Hamid dan Pengarah
AADK Negeri, Mohamad Yusof Kameh.
Dalam pada
itu, Idris juga mahu semua ADUN di kawasan tersenarai mengenal pasti
kumpulan penagih tegar tersebut dan memastikan mereka tidak mempengaruhi
atau mewujudkan kumpulan penagih baharu.
“Adalah
penting untuk kita memastikan tidak wujud penagih baharu dalam usaha
kerajaan bagi memastikan negeri ini dapat mencapai jumlah sifar penagih
seperti yang disasarkan sebelum ini,” katanya.
Sementara
itu, beliau berkata, semua masyarakat terutamanya pemimpin, ahli JKKK,
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga perlu sentiasa peka dengan menjaga
keluarga masing-masing selain mengamalkan kehidupan sejahtera.
“Diharapkan
dengan usaha berterusan dan bersungguh-sungguh hasil usahasama
strategik pelbagai pihak ini mampu mencapai hasrat kita untuk
membanteras musuh nombor satu negara secara total pada masa akan
datang,” tambahnya.
Petikan Utusan Online 28 Julai 2016
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.