KUALA LUMPUR: Otak jadi sewel pada usia masih muda. Itu antara
musibah dihadapi ramai remaja sekolah yang terjebak dengan penagihan
dadah methamphetamine atau syabu.
Lebih menggusarkan apabila
jumlahnya kini kian meningkat saban tahun. Seorang penagih muda,
Muhammad Ishak (bukan nama sebenar), 17 mendakwa terjebak dengan
penagihan dadah syabu selepas diperkenalkan kepada seorang tokan dadah
yang memberinya bekalan syabu percuma pada peringkat awal.
Dia yang menetap di Ampang Jaya, Selangor, mendakwa ditawarkan syabu di
tepi padang permainan sebelum dadah itu dikongsi bersama rakan sebaya
lain.
“Mulanya saya hanya ambil dos kecil, tetapi lama kelamaan dos syabu
semakin meningkat. Emosi rasa teruja sentiasa...gembira tanpa sebab,
malah kami akan ketawa berdekah-dekah tanpa punca.
“Saya akan
mengalami halusinasi hingga sampai satu tahap ada suara halus seperti
wanita yang membisikkan kata-kata di telinga,” kata pelajar sebuah
sekolah menengah kebangsaan di Ampang Jaya di sini.
Bukan itu saja, kesan syabu itu menyebabkan dia seolah-olah melihat benda yang mustahil dan tidak wujud di alam nyata.
“Saya kerap ponteng sekolah dan tidak dapat menumpukan pelajaran di
kelas. Otak ketika itu sudah jadi biul kerana fikirkan keseronokan dadah
sepanjang masa.
“Jika tidak dapat bekalan (syabu), saya akan jadi
gelisah dan agresif. Saya pernah menumbuk adik yang baru berusia lima
tahun tanpa sebab.
“Mujur ahli keluarga dapat menghidu tingkah
laku aneh saya sebelum saya dihantar ke Pusat Penyembuhan, Rawatan dan
Pemulihan (CCRC) untuk menjalani rawatan. Pada masa sama saya turut
dihantar ke Jabatan Psikiatri, Hospital Kuala Lumpur (HKL) berikutan
gejala sakit mental kesan dadah diambil selama hampir lapan bulan itu,”
katanya yang kini mulai pulih dan masih menerima rawatan susulan dan
pemantauan CCRC.
Sementara itu, seorang lagi penagih muda yang mahu dikenali Padli, 17, mengaku terjebak dadah syabu sejak dua tahun lalu.
Dia yang menuntut di Kuching, Sarawak, mengaku mula mengenali dadah
apabila dipujuk rakan sekolah yang sebelum ini pernah mencuba ekstasi
dan ganja.
“Selepas beberapa kali dipujuk, saya terpengaruh dan
menikmati syabu bersama mereka dan kesannya berasa aktif keterlaluan dan
cergas tanpa rasa penat. Malah, saya pernah tidak tidur lebih 24 jam
penangan dadah syabu,” katanya.
Padli berkata, ketagihan dadah
menyebabkan dia tidak ke sekolah kerana masanya lebih banyak dihabiskan
bersama rakan-rakan penagih.
“Akibat sering tidak hadir ke
sekolah, saya dibuang sekolah. Malah, usaha ibu bapa saya memujuk saya
supaya bersekolah semula juga gagal kerana saya tidak minat lagi
belajar.
“Saya juga pernah ditahan oleh pihak AADK (Agensi Anti
Dadah Kebangsaan) sebelum ini, namun dibebaskan dengan jaminan ibu
bapa,” katanya.
Dia yang juga anak bongsu daripada lima beradik
itu turut mengaku pernah mencuri duit ahli keluarganya bagi membeli
syabu sebelum dikongsi bersama rakan-rakan.
“Dadah syabu agak mahal berbanding dadah lain. Namun, disebabkan kesan high luar biasa, apa sahaja sanggup dilakukan termasuk mencuri motosikal dan wang milik ahli keluarga.