BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Yang Amat Berhormat,
Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan,
Menteri Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.
YBerbahagia
Dato’ Alwi bin Hj Ibrahim
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri
Yang Berbahagia,
Datuk Seri Noor Rashid bin Ibrahim,
Timbalan Ketua Polis Negara.
Yang Berhormat,
Datuk Mat Ali bin Hasan,
Setiausaha Kerajaan Negeri.
Yang Berhormat,
Dato’ Zaifulbahari bin Idris,
Pengerusi
JK Bertindak Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan.
Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri
Sembilan
Yang Berhormat Sohibus Samahah
Dato’ Haji Mohamad Yusof bin Hj Ahmad
Mufti Kerajaan Negeri Sembilan
Yang Berbahagia,
Dato’ Haji Suhaimi bin Abdullah,
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan.
Yang Berbahagia,
Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof,
Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Yang Berusaha,
Pegawai-Pegawai Pengurusan Tertinggi
Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Ahli Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia),
Dato’-Dato’, Tuan-Tuan ,Puan-Puan dan saudara – saudari Yang Dihormati Sekalian.
Assalamualaikum WBT
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
1.
Alhamdulillah,
marilah sama-sama kita ucapkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T
kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, maka pada hari ini kita semua dapat
berkumpul bagi memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk membanteras
masalah dadah di Malaysia. Saya merasa amat berbangga melihat sokongan padu
yang diberikan oleh hadirin sekalian dalam menjayakan sambutan Hari Antidadah
Kebangsaan 2015 pada pagi ini.
2.
Terlebih
dahulu saya ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada YBhg Dato’
Suhaimi bin Abdullah, Ketua Pengarah AADK kerana sudi menjemput saya ke majlis sambutan
Hari Antidadah Kebangsaan 2015 pada kali ini.
Tahniah dan syabas juga saya ucapkan kepada YBhg Dato’ Suhaimi bin
Abdullah serta seluruh warga kerja AADK di semua peringkat kerana bertungkus
lumus menjayakan majlis yang penuh bermakna ini.
3.
Setinggi
– tinggi penghargaan saya ucapkan kepada YAB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin
Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan kerana sudi hadir di majlis ini walaupun
di dalam jadual kerja beliau yang sangat sibuk. Ini membuktikan komitmen Kerajaan
Negeri Sembilan dan seluruh jenteranya dalam membanteras penagihan dadah adalah
sangat tinggi.
Hadirin
yang saya kasihi sekalian,
4.
Saya
dimaklumkan bahawa hadirin dan hadirat pada hari ini terdiri daripada Ketua-Ketua
Jabatan Negeri dan Persekutuan, pegawai-pegawai Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) daerah dan
negeri dari Kementerian Pendidikan Malaysia seluruh negara, Pengerusi
dan Ahli Jawatankuasa Kemajuan
& Keselamatan Kampung (JKKK),
Pemimpin – pemimpin masyarakat dari Felda Wlayah Raja Alias, Jempol, Ahli-Ahli
Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dari seluruh Negeri Sembilan, Rakan
Kembara Malaysia Negeri Sembilan, ahli-ahli SKUAD 1Malaysia dari Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur
dan Selangor, murid-murid sekolah dan
pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta dari sekitar Seremban, pemimpin-pemimpin
komuniti, wakil-wakil NGO, Ahli-Ahli Lembaga Pelawat, para belia, ibubapa dan ahli masyarakat dari
Seremban dan daerah-daerah berdekatan. Tidak ketinggalan kepada semua pegawai
dan kakitangan serta warga AADK yang dirahmati Allah sekalian.
5.
Pada 19
Februari setiap tahun, Hari Antidadah Kebangsaan akan disambut bagi
memperingati kempen nasional pertama yang dilancarkan oleh mantan Perdana
Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad yang telah mengisytiharkan bahawa Dadah
Musuh No. 1 Negara. Pengisytiharan tersebut dilakukan kerana:
i.
Penagihan
dadah dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah – langkah
tegas tidak diambil untuk membanterasnya;
ii.
Sasaran
utama penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan
harapan negara di masa hadapan;
iii.
Penagihan
dan pengedaran dadah yang berleluasa boleh mengancam kesejahteraan
sosio-ekonomi, rohani dan budaya rakyat jelata dan seterusnya melemahkan
ketahanan nasional dan ,mengancam keselamatan negara.
6.
Zaman
sentiasa mengalami perubahan. Begitu juga dengan trend penyalahgunaan dadah yang
telah bertukar daripada dadah tradisional seperti Ganja dan Candu kepada dadah
sintetik seperti Syabu, Pil Kuda dan Ecstacy. Bekalan dadah sintetik mudah dibawa masuk memandangkan saiznya
kecil, contohnya Pil Ecstacy yang beratnya 0.3 gram, diameternya 9 mm dan
ketebalan 5 mm, disamping cara pengambilannya juga mudah dengan menelan sahaja
berbanding dengan cara tradisional yang memerlukan peralatan atau dapur khas.
Ianya juga boleh dan mudah diproses di ”kitchen
lab” melalui adunan bahan-bahan precursors di mana resepinya boleh dirujuk melalui
internet.
7.
Menurut
laporan United Nations Office on Drugs
and Crime (UNODC) yang dikeluarkan pada 20 Mei 2014 iaitu Global Synthetics Drugs Assessment –
Amphetamine-type Stimulants and New Psycoactive Substances, jumlah
peningkatan rampasan Syabu secara global adalah hasil dari rampasan di Asia
Timur dan Tenggara serta Amerika Utara. Berdasarkan laporan ini, jelas
menunjukkan bahawa Asia merupakan pasaran Amphetamine-Type
Stimulants (ATS) terbesar di dunia. Trend rampasan Syabu terus meningkat
sehingga 3 kali ganda dalam masa 5 tahun terakhir hingga mencapai 36 tan
metrik. Kenaikan permintaan Syabu serta munculnya dadah psikoaktif jenis baru
di pasaran Asia berlaku kerana pemprosesan dadah berskala besar berpusat di
Negara Cina, Myanmar dan Filipina. Kemunculan dadah-dadah baru ini memberi
ancaman dan kemudaratan yang amat merbahaya kepada negara dan generasi akan
datang.
8.
Laporan
UNODC bagi tahun 2013 pula mengatakan aktiviti pengedaran dadah kini semakin
canggih dengan menggunakan dunia maya sebagai medium perhubungan komunikasi. ”Demand
” dan ”Supply” dadah dilakukan
secara atas talian serta menjadikan media sosial sebagai rangkaian transaksi
terbaru bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
9.
Rekod
AADK menunjukkan jumlah penagih yang dikesan terkumpul dari tahun 1998 sehingga
2013 adalah seramai 365,945 orang.
Menurut World Health Organization (WHO), pada kelazimannya, seorang penagih
dadah yang dikesan, akan mempunyai 4 orang penagih lain di belakangnya iaitu
dengan ratio 1:4. Ini bermakna secara kasarnya jumlah penagih di negara ini adalah
seramai 1.46 juta orang.
10.
Pada tahun 2014 sahaja, seramai 21,227 orang penagih telah dikesan. Daripada jumlah tersebut, 63% merupakan
penagih baru dan 37% adalah merupakan
penagih berulang. 70% penagih yang
dikesan merupakan mereka yang terdiri daripada golongan yang berumur 18 hingga
39 tahun. Ini menunjukkan tenaga muda dan belia yang sepatutnya
menyumbang dalam pembangunan dan kemajuan negara telah dipersiakan akibat
penyalahgunaan dadah. Profil penagih dadah yang
dikesan dari pecahan umur 16-19 tahun adalah seramai 847 orang pada tahun 2013
dan meningkat kepada 1,141 orang pada
tahun 2014. Peningkatan ini adalah sebanyak 35%.
Hadirin
yang saya kasihi sekalian,
11.
Dadah...Kesannya Membinasakan telah dipilih sebagai tema sambutan pada kali ini. Tema
ini dipilih kerana kita ingin menegaskan bahawa penyalahgunaan dadah memberi
kesan yang sangat memudaratkan kepada bukan sahaja penyalahguna, tetapi juga
kepada keluarga, masyarakat dan negara.
12.
Kesan
penyalahgunaan dadah berbeza mengikut jenisnya. Dadah tradisional seperti
candu, heroin dan morfin boleh menyebabkan penggunanya merasa khayal dan
mengalami sindrom penarikan (gian). Pengambilan dadah jenis ini melalui jarum
suntikan boleh menyebabkan jangkitan penyakit bawaan darah seperti HIV / AIDS
dan Hepatitis. Di samping itu, penagih juga akan mengalami kecelaruan mental
dan menjejaskan fungsi kehidupan seharian seperti pembelajaran, pekerjaan,
rumah tangga dan hubungan sosial. Jika ada seorang penagih dadah di dalam
sesebuah keluarga, sudah cukup untuk memporak perandakan seluruh ahli keluarga
berkenaan.
13.
Ianya
lebih dahsyat lagi jika kita memperkatakan tentang kesan penyalahgunaan dadah
jenis sintetik atau Amphetamine Type Stimulant (ATS) adalah dadah jenis
perangsang. Contohnya adalah seperti pil kuda, WY, Yaba, ice, syabu dan ecstacy.
Penyalahgunaan dadah jenis ini akan mengakibatkan kesan yang lebih buruk iaitu
seperti keadaan mental tidak stabil, hilang kawalan diri, bertindak agresif dan
bertingkahlaku ganas dan mengalami gangguan emosi.
14.
Negara
kita juga berhadapan dengan pemasalahan bahan – bahan lain yang disalahgunakan
iaitu seperti inhalan dan daun ketum. Bahan inhalan seperti gam turut memberi kesan
serta merta seperti halusinasi, emosi tidak stabil dan dalam jangka masa yang
panjang akan menyebabkan kerosakan sel – sel otak serta boleh mengakibatkan
kematian.
15.
Penyalahgunaan
air ketum juga semakin membimbangkan di negara kita. Walaupun secara
tradisionalnya, air ketum dipercayai boleh digunakan untuk merawat penyakit.
Namun begitu, pengambilan dos yang banyak dan dalam tempoh yang lama boleh menyebabkan
penggunanya mengalami kesan – kesan seperti mengambil dadah jenis morfin; iaitu
rasa bosan dan malas, hilang kawalan diri, hilang selera makan dan tidak boleh
tidur.
16.
Di samping itu, anak-anak kita turut terdedah kepada pengaruh hedonisme dan hiburan tanpa batasan.
Untuk makluman semua, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab yang
menganjurkan private party di sekitar
bandar-bandar besar dan jemputan ke private
party hanya melalui aplikasi Whatsapp. Jadi pihak berkuasa mempunyai
kekangan untuk memastikan sesuatu private
party itu betul-betul bebas daripada sebarang penyalahgunaan dadah.
17.
Penyalahgunaan dadah ketika menghadiri konsert
atau aktiviti hiburan telah menular dan berleluasa. Kejadian pada 14 Mac 2014 di
Stadium Bukit Jalil masih segar dalam ingatan kita. Enam orang remaja meninggal
dunia akibat penyalahgunaan dadah ketika menghadiri Konsert Festival Future Music. Dadah yang
disalahgunakan adalah dadah jenis ATS dan masih baru dalam pasaran. Terdapat
juga penonton-penonton lain yang ditahan dan didapati positif dadah jenis
methamphetamine, ecstasy dan ganja.
Hadirin yang dihormati sekalian,
18.
Selain
daripada memberi kesan-kesan dan situasi yang membimbangkan seperti yang saya
jelaskan tadi, saya juga ingin menarik perhatian hadirin dan hadirat sekalian
akan trend pengambilan dadah yang
melibatkan remaja yang begitu membimbangkan saya. Contohnya, kajian yang
dilaksanakan oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 2012
terhadap sekumpulan remaja lelaki dan perempuan yang berumur 13 hingga 19 tahun
mengenai ”Perbandingan Faktor Risiko dan Pelindung Penyalahgunaan Bahan Dalam Kalangan Remaja dan Belia di Kawasan Bandar dan Luar Bandar”
telah menunjukkan 10 fakta berikut:
i. Semakin tinggi faktor risiko dan semakin rendah faktor
pelindung pada diri seseorang maka semakin tinggi kebarangkalian untuknya
terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
ii. Faktor risiko dan
pelindung meliputi aspek diri, individu,
keluarga, rakan, sekolah dan masyarakat.
iii. Dadah tidak mengenal usia, taraf dan kedudukan seseorang.
iv.
Tercicir
daripada arus sistem persekolahan merupakan faktor risiko yang utama.
v. Ia diikuti dengan perlakuan antisosial yang lain seperti
bergaduh dan pelanggaran peraturan.
vi. Penglibatan dadah yang utama adalah dadah jenis ATS seperti Ecstacy dan pil khayal.
vii. Mula mencuba dadah pada usia muda iaitu di sekolah
rendah.
viii. Bermula dengan menggunakan gateway drugs seperti rokok dan alkohol.
ix. Bermula dengan perbuatan mencuba – cuba dan,
x. Lebih awal terlibat dengan dadah lebih cepat menjadi
penagih dadah tegar.
19.
Oleh itu, saya
ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan ibu bapa akan kepentingan
peranan kita dalam memastikan anak – anak tidak terjebak dengan masalah dadah. Anak-anak
perlu dididik dan sentiasa diberi perhatian setiap masa dari aspek keperluan
seharian, pergaulan dan perlakuan mereka.
Para ibubapa hendaklah sentiasa mendampingi anak-anak dengan kasih sayang dan memahami
keperluan mereka. Suasana yang harmoni dalam rumahtangga akan menjadi faktor
pelindung untuk mengelakkan mereka terlibat dengan masalah dadah.
20.
Kita
semua tahu anak adalah amanah Allah SWT kepada kita. Dari Abu Hurairah R.A,
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
” setiap anak yang dilahirkan dalam keadaan fitrah yakni suci dan bersih.
Kedua – dua orang tualah yang menjadikan dia Yahudi, Nasrani atau Majusi”.
(Riwayat Bukhari)
21.
Kesimpulannya,
bayi yang lahir ke dunia ini adalah dalam keadaan suci dan bersih. Ibarat kain
putih yang tidak tercorak. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorak
kehidupannya. Jika dicorak dengan baik, anak ini akan menjadi baik. Jika buruk,
maka buruklah jadinya.
Hadirin yang saya hormati sekalian,
22.
Di
pihak kerajaan, KDN melalui AADK sentiasa memberi perhatian serius dalam menangani
isu penyalahgunaan dadah. Contohnya dalam aspek rawatan dan pemulihan, AADK
telah membangunkan modul pemulihan penyalahgunaan dadah yang berteraskan best practices dan evidence-based yang menekankan kepada keperluan kepulihan kelompok
klien mengikut kategori seperti penagih remaja, penagih wanita, penagih tegar
dan ringan. Ini adalah untuk memastikan rawatan dan pemulihan yang disediakan
adalah berkesan dan klien dapat kembali berfungsi di dalam masyarakat.
23.
Bagi
mengimbangkan antara keperluan duniawi dan ukhrawi, aspek kerohanian juga
diterapkan. Pelaksanaan pendekatan kerohanian melalui Modul Halaqah
dilaksanakan di semua pusat pemulihan yang dikendalikan oleh AADK. AADK turut melaksanakan
pendekatan Modul Inabah yang berasaskan
Tariqat Qadariyyah Naqshabandiyyah di CCRC Sg Ruan, Pahang. Selain itu, AADK
turut mensasarkan perkhidmatan kepada klien yang mengidap HIV/AIDS di Baitul
Islah, Serendah dengan kerjasama daripada Jabatan Agama Islam Selangor dengan
menggunakan peruntukan zakat. Usaha
murni Jabatan Agama Islam Selangor ini wajar dicontohi iaitu dengan menjadikan
penagih-penagih dadah yang berpenyakit kronik sebagai golongan asnaf yang perlu
dibantu melalui peruntukan zakat untuk membolehkan mereka diberi rawatan dan
pemulihan yang khusus.
24. Dari
segi penguatkuasaan, pencapaian operasi bersepadu AADK bersama dengan
agensi-agensi berkaitan dalam mengesan dan menahan penagih dadah amat
menggalakkan. Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak 1,955 operasi
dijalankan. Seramai 26,488 orang yang disyaki telah disaring air kencing dan
daripada jumlah tersebut 6,548 telah positif dadah. Manakala dari segi
Pengurusan Orang Kena Pengawasan (OKP) pula, daripada bulan Januari sehingga
Disember 2014 sebanyak 38,613 atau 92.3% OKP telah mematuhi syarat pengawasan
daripada jumlah keseluruhan OKP sebanyak 41,834 OKP seluruh Malaysia.
25. Selain itu, saya juga berbangga dan mengucapkan tahniah
kepada pasukan Sukarelawan Antidadah (SKUAD 1Malaysia) di mana jumlah
keahliannya telah mencecah seramai 243, 887 orang di seluruh Malaysia. Di
samping membantu AADK dalam menangani pemasalahan dadah, ahli SKUAD 1Malaysia
kita juga boleh membantu masyarakat dalam kerja-kerja kesukarelaan yang
melibatkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan. Contohnya, seramai 400 orang Ahli
SKUAD 1Malaysia telah terlibat dalam membantu mangsa – mangsa banjir yang telah
melanda negeri – negeri Pantai Timur baru – baru ini.
26.
Saya juga telah
meminta AADK menggubal Dasar Dadah Negara dengan mengambilkira strategi, impak dan pendekatan
yang lebih berkesan bagi membendung ancaman gejala dadah di negara ini. Pihak
AADK telah dan sedang mengenalpasti pelbagai isu dan cadangan penambahbaikan
dalam merangka draf Dasar Dadah Negara tersebut.
Hadirin yang
saya hormati sekalian,
27.
Dalam
mengurangkan aspek penawaran, penyeludupan, pemilikan, penjualan dan pengedaran
dadah pula, KDN melalui Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis DiRaja
Malaysia telah menubuhkan Special Tactics
and Intelligence Narcotic Group (STING)
yang bertanggungjawab untuk membuat operasi dan pemantau ke atas pot-pot dadah
di seluruh negara dan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa yang lain.
28.
Antara
strategi JSJN adalah untuk membenteras bekalan dadah dengan mengesan dan
menangkap semua pengedar dadah terutamanya kingpins
atau drug baron.
29.
Pelbagai
tindakan telah diambil untuk mengekang dan seterusnya melumpuhkan kegiatan
penyeludupan dan pengedaran dadah. Antaranya ialah:
i.
Meningkatkan
lagi kerjasama dengan agensi penguatkuasa dadah antarabangsa dengan pertukaran
maklumat risikan.
ii.
Mengenalpasti
dan membina networking dengan negara
serantau dan agensi-agensi luar.
iii.
Menjalankan
operasi bersama dengan agensi penguatkuasa dadah antarabangsa bersama yang
mensasarkan sindiket-sindiket yang mempunyai rangkaian di dalam negara dan
negara berkaitan.
30.
Penguatkuasaan
yang berterusan ke atas kegiatan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah
tempatan dan antarabangsa telah menyebabkan mereka mengambil tindakan
berhati-hati. Terdapat kingpins
tempatan yang memberhentikan kegiatan mereka akibat takut ditangkap atau
dikenakan tindakan di bawah undang-undang LLPK. Kingpins sindiket
antarabangsa pula telah melarikan diri dan mengubah haluan ke negara-negara
jiran untuk meneruskan kegiatan mereka bagi mengelakkan diri mereka ditangkap
dan harta mereka disita. Statistik jumlah rampasan dadah bagi tahun 2014
menunjukkan penurunan ketara bagi kebanyakan dadah utama sekaligus membuktikan
keberkesanan strategi penguatkuasaan yang dijalankan oleh JSJN. Ini dapat
ditunjukkan melalui nilai rampasan dadah pada tahun 2013 berjumlah RM402 juta
telah turun kepada RM238 juta dalam tahun 2014.
Hadirin yang
saya hormati sekalian,
31.
Sebelum
mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengajak tuan- tuan dan puan-puan
merenungkan firman Allah SWT dalam surah
Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “..Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan
diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” Hukum dan larangan pengambilan
dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak.
Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman
ini adalah bersandarkan keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-Hadis) kerana ia
termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal
dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan atau
terdapat keburukan-keburukan dan membawa
kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat.
32. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang selama ini bertungkus lumus menjayakan
program-program pencegahan dadah, operasi-operasi bersepadu dan menjadi agensi
peneraju kepada permasalahan dadah di negara ini. Tidak lupa juga kepada
Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia,
Bahagian Farmasi, KKM, Jabatan Patalogi, Kementerian Pendidikan Malaysia,
Kementerian Komunikasi dan Multimedia, seluruh agensi dan kementerian yang
tidak dapat saya sebutkan satu persatu di sini serta semua NGO yang telah banyak
menggerakkan usaha-usaha memerangi musuh nombor satu negara.
33. Saya juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada
AADK di atas penerbitan video Animasi
Kesan Dadah sebanyak 5 jenis iaitu kesan dadah jenis Heroin, Syabu, Pil Kuda,
Ecstacy dan Ganja. Video – video ini telah dimuatnaik ke laman youtube dan media sosial lain mulai hari
ini. Pendekatan ini merupakan satu pendekatan
yang menarik dan tepat pada masanya. Ia sesuai dengan kumpulan sasaran kita
iaitu Generasi Z. Generasi Z adalah golongan remaja yang dilahirkan selepas
zaman millenium iaitu awal tahun 2000 sehingga sekarang. Generasi tersebut
adalah generasi yang ‘technology savy’.
Video-video
berdurasi 2 minit setiap satu ini memperihalkan tentang kesan-kesan dadah
melalui animasi dan ilustrasi yang menarik. Penonton akan mudah memahami mesej
yang hendak disampaikan. Saya meminta agar video-video tersebut ditayangkan di
semua sekolah di seluruh negara agar semua murid mendapat maklumat yang betul
dan tepat mengenai kesan penyalahgunaan dadah.
34. Tahniah kepada YBhg. Datuk Dr. Khair bin Mohamad Yusof, Ketua Pengarah Pelajaran, Kementerian Pendidikan Malaysia atas usaha berterusan
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam memberikan pendidikan pencegahan dadah di sekolah dan Institusi
Pengajian Tinggi serta kerjasama yang padu dalam melaksanakan program pada hari
ini. Semoga kerjasama sebegini ini akan
diteruskan pada masa akan datang.
35. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada YAB Dato’ Seri
Utama Hj Mohammad bin Hj Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan di atas kesudian YAB
Dato’ Seri Utama yang sudi hadir dan memberi
sumbangan serta menyokong program pada hari ini.
36. Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan Wabillahitaufik Walhidayah,
Wassalamualaikum WBT.
hidup ini terlalu indah untuk disiakan
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN