Kuala Lumpur: Masyarakat terutama ibu bapa digesa mengembalikan
‘kuasa orang dewasa’ atau ketua keluarga dalam usaha mengawasi anak
mereka daripada terjebak dengan pelbagai unsur negatif termasuk
penagihan dadah.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Dr Abd Halim
Mohd Hussin berkata, ketika ini masyarakat dewasa terutama ibu bapa
seolah-olah ‘hilang kuasa’ bagi mengekang salah laku dalam kalangan
kanak-kanak atau remaja.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai orang dewasa menegur sesiapa saja (kanak-kanak dan remaja) yang melakukan kesalahan.
“Namun apa yang berlaku hari ini, kita hanya mampu melihat
kanak-kanak atau remaja ini melakukan kesalahan seperti merokok, melepak
hingga larut malam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui wartawan
sempena Sambutan Hari Anti Dadah Kebangsaan 2017, di sini, semalam.
Beliau berkata, lebih memburukkan keadaan, ada ibu bapa dilihat
hilang kuasa memantau anak mereka khususnya menentukan tingkah laku
sosial yang positif.
“Misalnya, ibu bapa perlu memperkasakan semula hak mengetahui secara
terperinci mengenai kegiatan anak mereka termasuk memeriksa bilik tidur
dan beg sekolah pada bila-bila masa.
“Tindakan memberi hak privasi kepada anak khususnya golongan belia
dan kanak-kanak masih terlalu awal untuk diamalkan walaupun niat kita
mahu mereka berdikari pada usia muda,” katanya.
Menurutnya, sama ada ibu bapa, keluarga, jiran atau anggota
masyarakat sekali pun, orang dewasa perlu menjalankan tanggungjawab
mengambil berat dan menjaga golongan kanak-kanak dan remaja hari ini.
“Berdasarkan rekod, seramai 30,465 penagih dadah dikesan sepanjang
tahun lalu dan 2.7 peratus atau 817 daripadanya adalah golongan remaja
selain seorang kanak-kanak.
“Bilangan ini cukup membimbangkan kita memandangkan usia penagihan
dadah dalam masyarakat kita kini boleh bermula di peringkat sekolah.
“Beberapa kes dilaporkan di media massa juga menunjukkan golongan
remaja dan kanak-kanak terbabit dengan penagihan dadah turut menyebabkan
mereka terjebak dengan pelbagai kes jenayah lain termasuk ada yang
membunuh dan mengelar anggota keluarga sendiri,” katanya.
Sehubungan itu, Abd Halim berkata, pihaknya kini tampil dengan
program baharu iaitu Sentuhan Kasih dalam menyasar pembabitan anggota
masyarakat khususnya ibu bapa dalam melakukan pencegahan penagihan dadah
di rumah.
“Bertemakan Pencegahan Dari Rumah, AADK akan turun padang berjumpa
sendiri dengan anggota masyarakat termasuk di peringkat keluarga bagi
menyelesaikan penagihan dadah sama ada untuk diri sendiri atau keluarga.
“Berdasarkan kajian yang dijalankan, sebahagian besar isu sosial
(termasuk penagihan dadah) tidak dibendung seawal di dalam rumah lagi,”
katanya.
Menurut beliau, ada antara ibu bapa atau penjaga tidak mengetahui
prosedur betul dalam menangani masalah tingkah laku sosial anak selain
bimbang kesan kepada anak serta keluarga jika memaklumkan perkara itu
kepada pihak berkuasa.
“Dalam hal ini, AADK dan agensi kerajaan lain bersedia membantu
anggota masyarakat yang berada dalam dilema dan menyelesaikan masalah
mereka.
“Kami mahukan lebih ramai pihak sama ada anggota keluarga atau
masyarakat sekeliling turut memainkan peranan penting dalam usaha
meningkatkan kesedaran dan bersama-sama membanteras penyalahgunaan dadah
di negara kita,” katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat berhubung aktiviti AADK
boleh melayari facebook Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia atau
menghubungi talian 03-89112406.