SEORANG lelaki disyaki penagih dadah sanggup membawa
air kencing individu lain demi mengelakkan diri dari dicekup dalam Ops
Sarang 2 di Port Kodiang, Kota Setar, kelmarin.
Bagaimanapun, taktik lelaki berusia 52 tahun itu gagal mengaburi 17
penguat kuasa Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Kedah diketuai Mohd
Syafieq Ismail.
Ketika diperiksa, anggota penguat kuasa AADK menemui botol kecil
mengandungi air kencing dari poket depan baju lelaki terbabit yang
berasal dari Perlis.
Dia yang dikenali sebagai Mat membawa air kencing orang lain kerana bimbang hasil ujian urinnya akan disahkan positif heroin.
“Adik perempuan tahu saya hisap dadah, jadi saya minta untuk guna air kencing dia untuk elak dicekup.
“Saya tak bawa selalu, cuma ambil langkah berjaga-jaga dengan
meletakkan botol air kencing dalam pakaian. Macam pagi ini, saya bawa
stok yang semalam (kelmarin),” katanya.
Dalam ops itu, pelbagai taktik mahupun alasan diberikan mereka ditahan
semata-mata untuk mengelakkan diri dari dicekup, termasuklah mengaku
orang kurang upaya (OKU) mental.
Malah, beberapa individu berkenaan membawa senjata tajam seperti parang
dan pisau atas alasan bimbang keselamatan terancam, dan ada dilihat
cuba mengacu ke arah penguat kuasa AADK.
Sementara itu, seorang lelaki membawa kanak-kanak lelaki berusia
lingkungan dua tahun dipercayai anaknya memberi kerjasama ketika ditahan
untuk pemeriksaan lanjut.
Hisap dadah lebih 30 tahun
Seorang lelaki berusia 45 tahun menjadi individu pertama dicekup dalam
operasi port dadah syabu dan heroin terbesar di kawasan itu bermula jam 3
pagi hingga 3 petang.
Lelaki yang tidak bekerja tetap dan meniaga sayuran-sayuran secara
kecilan berkenaan mendakwa dia mula mengambil dadah seawal usia belasan
tahun.
Katanya, dia boleh mendapatkan bekalan dadah diinginkan dengan mudah
daripada beberapa tokan di port berkenaan, disebabkan ia beroperasi
selama 24 jam.
Bagaimanapun, bapa kepada lima anak berusia sembilan hingga 20-an itu
tidak dapat menghilangkan ketagihan dadah diambil sejak lebih 30 tahun
lalu.
“Saya terlampau yakin tidak boleh hidup tanpa hisap dadah, jadi macam
mana pun gian, kembali ambil semula, meskipun dinasihati anak-anak,”
katanya.
Meskipun 'kantoi' tiga kali atas ketagihan dadah dimiliki, dia tidak
serik kerana terlalu gian apabila tidak mendapatkan bekalan dadah itu.
Musnahkan port dadah
Menurut Ketua Pegawai AADK Kubang Pasu, Mohd Zaki Abdullah, serbuan
dibuat hasil risikan anggota selama sebulan untuk mencegah
penyalahgunaan dadah.
Mohd Zaki berkata, mereka yang ditahan antara 26 lelaki berusia 22
hingga 52 tahun yang dicekup dalam kebun getah kerana disyaki
menyalahgunakan dadah.
Beliau berkata, taktik tertentu penagih antaranya membawa air kencing
orang lain sudah menjadi kebiasaan, namun ia dapat dibongkar dengan
kepakaran anggota AADK.
“Ada lelaki yang sudah ditahan cuba melarikan diri semula masuk ke
dalam semak samun, namun berjaya diberkas semula tidak lama kemudian.
“Siasatan penguat kuasa AADK turut mendapati lebih kurang tujuh port
dadah ditemui dalam kebun getah berkeluasan 1.21 hektar (3 ekar),”
katanya.
Susulan itu, beliau berkata, pihaknya turut memusnahkan port dadah yang
dianggap antara terbesar di kawasan itu untuk membolehkan penduduk
menoreh dengan tenteram.
Kesemua mereka ditahan dibawa ke Pejabat AADK Kubang Pasu untuk
menjalani ujian air kencing, dan hasil saringan mendapati 24 positif
dadah, manakala dua lagi negatif.
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.