KHUTBAH JUMAAT
SAMBUTAN HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA (HADA)
TAHUN 2015 / 1436H
TEMA : A Message of Hope: Drug Use Disorders Are
Preventable and Treatable (Masih Ada Sinar Harapan: Penyalahgunaan Dadah Boleh
Dicegah & Dirawat)
الحَمْدُ للهِ اْلقَآئِلْ :
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنصَابُ وَالْأَزْلَامُ
رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
أَشْهَدُ أَنْ لآ اِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ
شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدِنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
اَللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا
عِبَادَ الله، إِتَّقُوا اللهَ وَأُوْصِيْكُمْ وَاِيَّايَ بِتَقْوَى اللهِ، فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُوْنَ.
Sidang Jumaat Yang
Dirahmati Allah,
Saya berpesan
kepada diri saya dan para Jemaah sekalian agar bertaqwa kepada Allah SWT dengan
mengerjakan segala titah perintahnya dan meninggalkan segala yang dilarang. Mudah-mudahan
kita akan beroleh kemenangan dan kejayaan di dunia apatahlagi di akhirat. Alhamdulillah
kita sedang melalui fasa pertama dalam
bulan Ramadhan. Semoga kita dapat
menjalani ibadah puasa dengan penuh
keberkatan dan ketaqwaan.
Bersempena dengan sambutan
Hari Antidadah Antarabangsa yang berkebetulan jatuh pada hari ini 26 Jun 2015, marilah
kita sama-sama menghayati khutbah yang membawa mesej mengenai dadah dan
kesannya yang membinasakan.
Dalam bulan Ramadhan
yang mulia ini marilah kita memperbanyakkan ibadah kepada Allah, mendekatkan
diri dengan Allah SWT dengan membaca Al-Quran, memperbanyakkan ibadah sunah, solat
terawih, solat witir, bersedekah, qiamulail, menghadiri majlis ilmu. Di samping
itu marilah kita meningkatkan usaha
dalam mendidik anak-anak, ahli keluarga dan masyarakat untuk menyempurnakan
segala kewajipan yang telah Allah wajibkan ke atas kita, termasuklah juga usaha
menangani gejala sosial, terutama keruntuhan akhlak yang membabitkan
penyalahgunaan dadah di kalangan masyarakat di sekeliling kita pada hari ini.
Allah mengingatkan
kita dalam surah al-Ahzab ayat 70 hingga71:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱتَّقُواْ ٱللَّهَ
وَقُولُواْ قَوۡلٗا سَدِيدٗا ٧٠ يُصۡلِحۡ لَكُمۡ أَعۡمَٰلَكُمۡ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ
ذُنُوبَكُمۡۗ وَمَن يُطِعِ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ فَقَدۡ فَازَ فَوۡزًا عَظِيمًا ٧١
Maksudnya: ‘Wahai
orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan
yang tepat yakni benar (dalam segala perkara) supaya Ia memberi
taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan
(ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia
telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.
Sidang Jumaat Yang
Budiman,
Islam melarang umatnya daripada melakukan apa jua perkara yang mendatangkan
mudarat sama ada kepada diri sendiri mahupun kepada masyarakat. Salah satu
perkara atau perbuatan yang sangat ditegah dan wajib dijauhi oleh setiap Muslim
ialah mengambil atau memakan atau meminum sesuatu yang mengkhayalkan atau
memabukkan seperti meminum minuman keras (khamar) dan penyalahgunaan dadah.
Firman Allah S.W.T.
dalam surah al-Ma`idah ayat 90 yang berbunyi :
يَٰٓأَيُّهَا
ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡخَمۡرُ وَٱلۡمَيۡسِرُ وَٱلۡأَنصَابُ
وَٱلۡأَزۡلَٰمُ رِجۡسٞ مِّنۡ عَمَلِ ٱلشَّيۡطَٰنِ فَٱجۡتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمۡ
تُفۡلِحُونَ ٩٠
Maksudnya: “Wahai
orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan
berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya)
kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya
kamu berjaya.”
Hukum dan larangan
pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan dalil yang dikiaskan kepada
arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman ini berdasarkan
kepada keterangan nas-nas Al-Quran dan Al-Hadis kerana ia termasuk dalam
pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan
kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan dan membawa
kebinasaan terhadap individu dan masyarakat.
Firman Allah SWT
dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang berbunyi;
… وَلَا تُلۡقُواْ
بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّهۡلُكَةِ …
Maksudnya: ”Dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan”
Berdasarkan
Muzakarah Fatwa kali ke-3 pada 13-14 April 1982 dan kali ke-76 pada 21- 23
November 2006, memutuskan sebarang penyalahgunaan dadah termasuk dadah jenis
baru seperti ecstasy dan ketamine, hukumnya adalah haram. Mimbar ingin
mengingatkan bahawa kerosakan yang dibawa oleh gejala dadah sangatlah besar.
Sedarlah, bukan hidup penagih saja yang terjejas. Bukan setakat kesihatan,
kewangan si penagih, tetapi yang paling malang gejala ini akan menghilangkan
kewarasan, menghilangkan ketawa riang anak-anak dan isteri serta akan diwarnai
dengan tangisan yang berpanjangan.
Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti
Al-Diar Al-Masriah Al-Sabiq (bekas Mufti Mesir), Al-Syeikh Hasanin Mahkluf
dalam kitabnya, "Fatwa Al–Syari'iyah (muka surat 184) bahawa dadah
adalah haram hukumnya dari segi penggunaan, pemberian dan membuat jualan
perniagaan.
Pengharaman ke atas dadah meliputi semua
kegiatan yang berkaitan dengan seperti yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu
Majah, bahawa Rasulullah S.A,W, pernah melaknat tentang khamar.
عَنْ اَنَسٍ قَالَ: لَعَنَ رَسُوْلُ اللهِ ص
فِى اْلخَمْرِ عَشْرَةً: عَاصِرَهَا وَ مُعْتَصِرَهَا وَ شَارِبَهَا وَ حَامِلَهَا
وَ اْلمَحْمُوْلَةَ اِلَيْهِ وَ سَاقِيَهَا وَ بَائِعَهَا وَ آكِلَ ثَمَنِهَا وَ
اْلمُشْتَرِيَ لَهَا وَ اْلمُشْتَرَاةَ لَهُ.
Maksudnya: "Rasulullah s.a.w.
melaknat tentang khamar sepuluh golongan, (1) pembuatnya, (2) pengedarnya, (3)
peminumnya, (4) pembawanya, (5) pengirimnya, (6)penuanganya, (7) penjualnya,
(8) pemakan wang hasilnya, (9) pembelinya, (10) pemesannya.
Sidang Jumaat Yang
Dirahmati Allah,
Permasalahan dadah
telah mengancam negara kita sejak sekian lama dan isu penyalahgunaan dadah
masih kekal menjadi musuh utama negara. Dadah secara rationalnya digambarkan
sebagai sesuatu yang negatif dan wajib dijauhi. Penyalahgunaan dadah ini
berlaku apabila dadah digunakan bukan untuk tujuan perubatan dan diambil tanpa
pengawasan pihak perubatan dan disalahgunakan bagi tujuan yang lain. Dadah
memberi kesan yang negatif ke atas sistem badan, tingkahlaku manusia serta
kestabilan mental. Pengambilan dadah pula lebih banyak kesan buruk berbanding
kebaikan.
Para ulama telah
bersetuju bahawa dadah itu termasuk di dalam pengertian arak kerana dadah boleh
mengganggu dan mengkhayalkan fikiran sama seperti arak.
Sabda Rasulullah S.A.W.
yang bermaksud:“Daripada Ibnu Umar R.A: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Semua yang
memabukkan itu adalah termasuk dalam erti kata arak dan semua yang memabukkan
itu adalah haram." (Riwayat
Imam Muslim).
Dan sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam lagi
عَنْ اَبِى مَالِكٍ اْلاَشْعَرِيِّ اَنَّهُ سَمِعَ النَّبِيَّ ص
يَقُوْلُ: لَيَشْرَبَنَّ اُنَاسٌ مِنْ اُمَّتِى اْلخَمْرَ وَ يُسَمُّوْنَهَا
بِغَيْرِ اسْمِهَا.
Maksudnya: “Daripada
Malik bin Abi Mariam katanya: "Telah bersabda Rasulullah s.a.w., pasti
akan ada manusia di kalangan umatku yang minum khamar, namun mereka
menamakannya dengan nama yang lain." (Hadis Riwayat Imam Abu Daud).
Sidang Jumaat Yang
Berbahagia,
Penyalahgunaan
dadah boleh memberi kesan buruk kepada akal, melemahkan tenaga berfikir dan
kecerdasan, mengakibatkan penyakit urat saraf mengakibatkan mati pucuk,
kerosakan pada hati dan buah pinggang, angin ahmar (stroke), sawan dan boleh
mendatangkan maut.
Bagi penagih yang sudah berkeluarga, dadah boleh meruntuhkan kebahagiaan rumah
tangga bahkan boleh menyebabkan berlakunya perceraian. Rumah tangga yang
sempurna dan bahagia akan musnah di mana anak-anak yang dikasihi akan turut menderita.
Rasulullah S.A.W.
bersabda maksudnya:
مُدْمِنُ الْخَمْرِ كَعَآبِدِ وَثَنٍ (أو قما قال)
Maksudnya: "Dari
Abu Hurairah Radiallahuanhu berkata, bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam, penagih khamar sama seperti penyembah berhala." (Riwayat Al-Imam
Ibnu Majah).
Hadis tersebut
menjelaskan dosa penagih khamar atau dadah dengan dosa penyembah berhala adalah
sama yang merupakan satu kekufuran yang sangat berat dosanya. Ini menunjukkan
betapa besar dosa dan betapa kerasnya larangan tersebut.
Bila melihat betapa
buruknya kesan dadah itu, marilah kita sama-sama muhasabah diri sejauh mana
kita telah menjaga anak-anak kita dari terpengaruh dengan penyalahgunaan dadah
dan perkara-perkara mungkar lain yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam api
neraka dan jauh dari rahmat Allah S.W.T.
Firman Allah SWT
dalam ayat 6 surah at-Tahrim;
أَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
يَا أَيُّهَا
الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا وَقُودُهَا النَّاسُ
وَالْحِجَارَةُ عَلَيْهَا مَلَائِكَةٌ غِلَاظٌ شِدَادٌ لَّا يَعْصُونَ اللَّهَ مَا
أَمَرَهُمْ وَيَفْعَلُونَ مَا يُؤْمَرُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah
diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia
dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang
keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala
yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala
yang diperintahkan.”
Para ibu bapa
adalah bertanggungjawab dalam membentuk anak-anak atau para belia ke arah mengamalkan
segala tuntutan Islam. Ini penting bagi melahirkan masyarakat yang memiliki
iman yang teguh serta mempunyai ketahanan diri yang utuh dalam menghadapi
segala godaan yang boleh merosakkan dan memusnahkan hidup. Di antara
perkara-perkara yang boleh mencegah dan mengawal anak-anak kita dari terjebak
dan terjerumus dengan gejala dadah serta perkara-perkara mungkar yang lain
ialah:
Pertama : Ibu
bapa hendaklah memastikan anak-anak mendirikan sembahyang fardu lima waktu
dengan sempurna kerana sembahyang yang sempurna boleh menjamin seseorang dari
melakukan perbuatan yang keji dan mungkar.
Firman Allah SWT
dalam Surah Al-Ankabuut ayat 45;
ٱتۡلُ
مَآ أُوحِيَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ
تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَكۡبَرُۗ وَٱللَّهُ
يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ
Maksudnya: "Bacalah
kitab Al Quran yang telah diwahyukan kepada kamu(Muhammad)dan dirikanlah
sembahyang dengan tekun, sesungguhya sembahyang itu mencegah dari perbuatan
yang keji dan mungkar. Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar
faedahnya dan kesannya dan ingatlah Allah Ta’ala Maha Mengetahui akan apa yang
kamu kerjakan."
Kedua : Ibu bapa juga hendaklah mendorong anak-anak untuk
membiasakan membaca Al-Qur’an, di samping mengerjakan sembahyang sunat,
berzikir dan lain-lain lagi kerana faedahnya yang amat banyak. Sebaliknya
orang-orang yang lalai akan sentiasa menjadi teman syaitan dan hidupnya
sentiasa menuju ke arah perkara-perkara mungkar.
Ketiga : Melakukan amar makruf nahi mungkar dalam kehidupan.
Sesungguhnya kehidupan manusia akan menjadi manis dan indah sekiranya amar
makruf nahi mungkar diamalkan dalam kehidupan seperti sentiasa menjaga akhlak
dan batasan dalam pergaulan dan takut untuk melakukan perkara-perkara mungkar
termasuk penyalahgunaan dadah.
Keempat : Mewujudkan suasana harmoni dalam rumah tangga. Adapun
rumah tangga yang harmoni akan dapat mewujudkan suasana yang bahagia serta
anak-anak tidak merasa bosan dan jemu berada di rumah. Apa yang penting, jangan
biarkan serta elakkan anak-anak hidup berfoya-foya kerana ia boleh membuka
ruang kepada mereka untuk terjerumus dengan penyalahgunaan dadah.
Kelima : Penglibatan ibu bapa dalam mendidik serta menyedarkan
anak-anak tentang bahaya dan kesan buruk akibat penyalahgunaan dadah hendaklah
dipertingkatkan, di samping menjauhi tabiat merokok dan sebagainya. Keadaan ini
dapat membuka pemikiran anak-anak terhadap bahaya dadah dan rokok.
Sidang Jumaat Yang
Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap anak-anak kita
dalam mengawasi pergaulan mereka terutama dengan siapa mereka bergaul, ke mana
mereka pergi dan apa aktiviti mereka. Keadaan ini bukanlah hendak menyekat atau
mengongkong kebebasan anak-anak tetapi mengambil berat dan prihatin terhadap
aktiviti mereka sesuai dengan kehendak agama.
Kebebasan yang kita
berikan kepada anak-anak mesti ada batasnya iaitu dengan batasan agama, akhlak
dan sopan santun. Pencegahan penyalahgunaan dadah perlu bermula dari rumah dan
ahli keluarga mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan keluarga bebas
dari ancaman dadah. Dan sekiranya ada ahli keluarga
kita yang terlibat dengan masalah dadah, janganlah kita menyisihkan mereka.
Perlulah kita bantu mereka untuk kembali ke pangkal jalan kerana masalah
penyalahgunaan dadah ini boleh dirawat. Bantulah mereka agar dapat kembali
berfungsi menjadi ahli masyarakat yang berguna kepada agama dan negara.
Justeru, marilah
kita sama-sama berganding bahu mengatasi masalah dadah dari terus memusnahkan
diri dan bangsa kita. Jangan mengikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya
syaitan itu sentiasa berusaha menimbulkan kerosakan ke atas kita lantaran perkara
maksiat yang kita lakukan.
Firman Allah SWT
dalam Surah Al-Maa-idah ayat 91:
إِنَّمَا
يُرِيدُ ٱلشَّيۡطَٰنُ أَن يُوقِعَ بَيۡنَكُمُ ٱلۡعَدَٰوَةَ وَٱلۡبَغۡضَآءَ فِي
ٱلۡخَمۡرِ وَٱلۡمَيۡسِرِ وَيَصُدَّكُمۡ عَن ذِكۡرِ ٱللَّهِ وَعَنِ ٱلصَّلَوٰةِۖ
فَهَلۡ أَنتُم مُّنتَهُونَ
Maksudnya: "Sesungguhnya
syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di
antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada
mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu
berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu
masih berdegil.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِيْ الْقُرْآنِ
الْعَظِيْمِ، وَنَفَعَنِيْ وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ اْلآيَاتِ وَالذِّكْرِ
الْحَكِيْمِ، وَتَقَبَّلَ مِنِّيْ وَمِنْكُمْ تِلاَوَتَهُ، إِنَّهُ هُوَ
السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ. أَقُوْلُ قَوْلِيْ هَذَا، وَأَسْتَغْفِرُ اللهَ
الْعَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ، وَلِسَائِرِ الْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ،
وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَألْمُؤْمِنَاتِ، فَاسْتَغْفِرُوْهُ، فَيَا فَوْزَ
الْمُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ.