Kuala Lumpur, 14 Ogos : Bertempat di sekitar kawasan Chow Kit, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) serta Majlis Belia Putrajaya dan Yayasan Salam telah melaksanakan program outreach dan sumbangan kepada gelandangan di sini semalam.
Program yang dianjurkan untuk tahun kedua ini telah bermula lebih kurang jam 10.30 malam melibatkan hampir 30 orang peserta. Kumpulan tersebut telah menuju ke lokasi pertama iaitu berhadapan CIMB Aviba dan ketibaan mereka telah dinantikan lebih kurang 200 orang gelandangan yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang termasuk mereka yang terlibat dengan masalah penagihan dadah.
Turut hadir pada program outreach tersebut ialah YBhg. Datuk Ahmad A.Talib selaku Ahli Pemegang Amanah Yayasan Salam Malaysia, YM Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB), Tun Faisal Ismail bin Aziz, Pengerusi Majlis Belia Putrajaya, Tn Hj Izhar bin Abu Talib Pengarah Bahagian Rawatan,Perubatan dan Pemulihan, Tn Hj. Wan Addenan bin Wan Mohd Noor Pengarah Bahagian Pencegahan, En Abdul Rahman Hj Hamid Pengarah AADK WPKL dan YM Raja Azizan Suhaimi bin Raja Abd Latif Pengurus Cure and Care Service Centre (CCSC) Chow Kit.
Sumbangan berupa makanan, kain batik, kain pelikat dan duit raya telah diberikan kepada kira-kira 200 orang gelandangan yang berada di lokasi tersebut. Setelah berada di lokasi pertama kira-kira 30 minit, peserta outreach meneruskan agenda dengan mengadakan lawatan ke rumah Puan Norisah Abu Bakar yang menjaga 9 orang cucu angkat di Kampung Periuk, Dang Wangi. Dimaklumkan lapan orang daripada anak yang dijaga oleh beliau merupakan anak kepada seorang ibu yang terlibat dengan masalah penagihan dadah yang kini berada di Klinik Cure & Care 1Malaysia Bachok bagi menjalani rawatan dan pemulihan dadah secara sukarela.
Melihat penderitaan yang dialami oleh beliau, kumpulan peserta outreach tersebut telah memberikan sumbangan dan barangan keperluan asas untuk kegunaan beliau bersama cucu-cucunya. Program berkenaan berakhir pada jam 1.00 pagi itu dengan sesi sidang media bersama YM Tengku Azman Tengku Zainal Abidin, Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Bandar (SHEB) dan Tun Faisal Ismail bin Aziz, Pengerusi Majlis Belia Putrajaya.
Gambar-gambar di sekitar sesi outreaching.......
Sumber : Mohd Saad bin Md Ani & Mastura binti Muklas
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan........
No comments:
Post a Comment