1.
Bismillahirrahmanirrahim.
2.
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
selamat sejahtera dan salam 1Malaysia. Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian.
3.
Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi
dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta
ini.Tarikh
26 Jun pada setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa.
Ini dilaksanakan bertujuan bagi menyokong matlamat yang dipersetujui dalam persidangan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) pada tahun 1987 untuk menjadikan masyarakat antarabangsa
bebas dadah. Matlamat sambutan ini
adalah untuk memberi peringatan bahawa
dadah masih merupakan ancaman utama kepada negara-negara di seluruh
dunia.
4.
Sambutan ini memperingatkan akan peranan dan tanggungjawab
kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah dan kesannya kepada keamanan,
kesejahteraan dan keselamatan sosiopolitik serta ekonomi negara. Penagihan dadah
dalam negara akan mencapai tahap epidemik sekiranya langkah-langkah tegas tidak
diambil untuk membanterasnya dan sasaran utama penagihan dadah ialah generasi muda
yang merupakan tulang belakang dan harapan negara di masa hadapan. Semua rakyat
Malaysia diseru agar bersama memperbaharui iltizam, memperteguhkan tekad dan semangat
yang lebih kental bagi melaksanakan tanggungjawab bersama membantu kerajaan membebaskan
negara dari masalah dadah. Tanggungjawab yang diamanahkan ini akan lebih berkesan
dengan sokongan secara total daripada semua pihak.
5.
Pada tahun ini Hari Antidadah Antarabangsa
bertemakan “KESUKARELAAN BUKAN PILIHAN, IA
SATU TANGGUNGJAWAB’. Tema ini sebenarnya berkait rapat dengan hasrat kerajaan
untuk menggerakkan gelombang kesukarelaan negara. Bagi mewujudkan
kesinambungan usaha gerakan bersepadu yang melibatkan masyarakat sivil dan golongan
belia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah menyemarakkan semangat kesukarelaan
tersebut melalui penubuhan SKUAD
1Malaysia yang kini telah mencapai bilangan seramai 255,256 orang ahli.Ini menggambarkan betapa rakyat amat prihatin
terhadap isu penyalahgunaan dadah dan sentiasa mendokong usaha kerajaan dalam
mencegah dan merawat pulih individu yang telah terjebak dengan masalah
penagihan dadah. Sukarelawan-sukarelawan antidadah memainkan peranan dan
tanggungjawab yang besar dalam membantu menangani masalah dadah melalui program
pencegahan, rawatan dan pemulihan serta pengawasan. Selain daripada itu, ahli
masyarakat secara keseluruhan diseru
supaya tampil ke hadapan untuk memainkan peranan dan tanggungjawab bagi mencari
penyelesaian dan pendekatan terbaik bagi membanteras masalah dadah. Cabaran dan
tanggungjawab ini perlu dipikul secara bersama dan secara sukarela.
6.
Sejarah
dan perkembangan penagihan dadah di negara ini telah berubah mengikut peredaran
masa. Dalam mengharungi era globalisasi yang penuh cabaran ini AADK telah
bertindak proaktif dengan mengambil pendekatan yang disuntik nilai tambah ke arah
perkhidmatan rawatan dan pemulihan secara terbuka dan sukarela. Ianya selaras
dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mengurangkan Kadar Jenayah
Jalanan, dimana AADK telah membuat anjakan paradigma bagi merintis satu
pendekatan yang menekankan aspek pengurusan program pemulihan yang lebih
sistematik berasaskan keperluan kumpulan sasar.Penyampaian perkhidmatan AADK
telah ditransformasikan dengan mewujudkan pelbagai fasiliti dan perkhidmatan
terkini seperti Klinik Cure & Care 1Malaysia
(Klinik C&C 1Malaysia), Cure &
Care Service Centre (CCSC), Caring
Community House (CCH), Cure &Care
Vocational Centre (CCVC) dan Cure
& Care Rehabilitation Centre (CCRC)
7.
Transformasi
yang bermula pada 2010 telah menunjukkan impak yang positif dengan kehadiran
terkumpul klien secara sukarela seramai 29,498 orang di 11 buah Klinik Cure & Care 1Malaysia. Manakala
klien yang hadir mendapatkan perkhidmatan di 52 Cure & Care Service Centre (CCSC) telah mencecah sejumlah 575,443
orang sehingga 30 April yang lalu. Sebanyak
72 buah Caring Community House (CCH)
atau Rumah Komuniti yang merupakan pusat aktiviti kemasyarakatn bagi melibatkan
masyarakat dalam usaha memulihkan penagih dadah. CCH adalah pusat aktiviti
kemasyarakatan yang dikendalikan
sepenuhnya oleh komuniti setempat dan bertindak sebagai pusat penyebaran
maklumat anti-dadah. Manakala Cure &
Care Vocational Centre (CCVC) dibangunkan untuk membantu penagih dan
pengguna dadah mendapatkan perkhidmatan latihan kemahiran, penempatan pekerjaan
dan pengembangan kerjaya selain sebagai satu pusat kecemerlangan untuk
mengembalikan fungsi penagih sebagai masyarakat yang produktif. AADK juga telah
membuat anjakan berganda dalam melaksanakan transformasi di Cure & Care Rehabilitation Centre
(CCRC) dengan menstrukturkan semula pengisian agar seiring dengan keperluan
kepulihan klien.
8.
Melihat transformasi yang dilaksanakan dan hasil kejayaan yang dikecapi,
pihak badan dunia seperti UNODC, UNAIDS
dan World
Health Organisation (WHO) dan NGO-NGO dari luar negara yang terlibat
dengan pembasmian masalah dadah telah mengiktiraf pendekatan kerajaan Malaysia
dalam usaha memulihkan masalah penagihan dadah. WHO misalnya, memberikan
penghargaan dan pujian terhadap pendekatan ‘Pulih
dan Prihatin’ Malaysia dalam Laporan “Good
Practices In Asia: Effective Paradigm Shifts Towards Improved National Response
To Drug & HIV/AIDS” yang dikeluarkan pada awal tahun lalu. Kerajaan
Malaysia turut mendapat pujian dari badan dunia di mana kita dilihat satu-satunya kerajaan di dunia
memberikan sokongan penuh kepada usaha membasmi penagihan dadah dalam negara.
9.
Bagi
menyokong transformasi kerajaan dalam mengurangkan indeks kadar jenayah, Bahagian
Pengesanan dan Pengawasan AADK yang bertanggungjawab terhadap
Orang Kena Pengawasan akan memastikan mereka hadir utk mendapatkan rawatan dan
pemulihan. InsyaAllah, kerajaan
melalui Kementerian Dalam Negeri khususnya AADK akan memperluaskan lagi
perkhidmatan-perkhidmatan terbabit dalam masa yang terdekat ini demi memenuhi
ekspektasi masyarakat dan memastikan rakyat Malaysia bebas dari ancaman dadah.
10. Sempena sambutan peringatan hari Antidadah Antarabangsa
pada tahun ini, marilah kita bersama-sama kerajaan dan rakyat
merealisasikan masa depan yang lebih baik untuk bumi tercinta ini. Tugas kita hari
ini sebagai generasi baru Malaysia meneruskan usaha membina Negara bebas dadah.
Ia bukan nya sebuah mimpi malahan ia dalam rangkulan kita jika kita sanggup merancang dengan teliti
dan bekerja keras bagi mencapainya. Akhir
sekali, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia agar lebih prihatin dan
meningkatkan semangat kesukarelaan demi menjadikan hari esok lebih baik dari
hari ini.
Hidup ini terlalu indah untuk dipersiakan...
No comments:
Post a Comment