PERUTUSAN
YAB. DATO’ SRI
MOHD NAJIB BIN TUN ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
SAMBUTAN HARI ANTIDADAH TAHUN
2014
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
Salam
Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Rakyat
Malaysia yang dikasihi sekalian.
1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih
lagi dapat menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta
ini. Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita capai
dan pelbagai dugaan juga telah kita atasi demi membawa Malaysia ke arah negara
maju menjelang tahun 2020.
2. Sesungguhnya dalam memacu pembangunan negara, kerajaan
tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia terhindar dari pelbagai penyakit
sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan moral seperti masalah penyalahgunaan
dadah.
3. Oleh yang demikian,
saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan, Kementerian Dalam
Negeri telah menganjurkan Sambutan Hari Antidadah. Ia bertujuan untuk memperingatkan masyarakat Malaysia
akan peranan dan tanggungjawab kita berhadapan dengan ancaman bahaya dadah yang
boleh menjejaskan keamanan, kesejahteraan dan kestabilan sosio-politik serta
ekonomi negara.
4. Kerajaan telah menyediakan perkhidmatan
perubatan, rawatan dan pemulihan secara terbuka kepada semua golongan
masyarakat yang menghadapi permasalahan dadah melalui Klinik Cure and Care
1Malaysia sejak tahun 2010. Sehingga
kini, kerajaan telah berjaya menubuhkan 12 buah Klinik Cure and Care 1Malaysia
di seluruh negara dan seramai 39, 452 [1]
orang telah mendapat perkhidmatan. Daripada jumlah tersebut, 13,256 orang
(33.6%) merupakan klien inpatient,
11,342 orang (28.7%) merupakan klien outpatient
dan 14,854 orang (37.6%) merupakan klien hasil rujukan dan advokasi.
5. Perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan juga telah
diperluaskan di dalam komuniti dengan menyediakan Cure and Care Service Centre
(CCSC). Kerajaan telah menyediakan sebanyak 58 buah CCSC di seluruh negara dan sehingga kini, sejumlah
673,548[2]
sesi perkhidmatan telah diberikan kepada klien, ahli keluarga klien serta
seluruh masyarakat yang memerlukan perkhidmatan berkaitan permasalahan dadah.
6. Penglibatan komuniti dalam mengatasi masalah dadah
amatlah penting. Oleh itu, Caring Community House (CCH) telah ditubuhkan dengan
menjadikan ahli komuniti sebagai tenaga penggerak utama. CCH merupakan pusat
aktiviti harian yang menyediakan perkhidmatan bimbingan, khidmat nasihat, serta
rujukan dan advokasi kepada masyarakat setempat yang mempunyai masalah dadah. Program
dan aktiviti tersebut dilaksanakan sendiri oleh ahli jawatankuasa CCH bersama masyarakat
setempat dan AADK hanyalah sebagai penasihat. Sehingga kini, terdapat 78 buah
CCH di seluruh negara dan sejumlah 228, 264[3]
sesi perkhidmatan telah diberikan.
7. Kerajaan mendapati bahawa kesemua perkhidmatan tadi telah
mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dari pelbagai golongan klien dari
semua peringkat tanpa mengira umur dan status sosio-ekonomi. Ia adalah satu
petanda yang positif dan menunjukkan bahawa pendekatan transformasi yang
berlandaskan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan telah diterima rakyat.
8. Dari satu segi, pencapaian ini telah
melonjakkan mutu perkhidmatan perubatan, rawatan dan pemulihan penagihan dadah ke
tahap yang lebih tinggi iaitu dengan mengambil kira keperluan pelanggan. Dari
sudut yang lain pula, kerajaan menyedari bahawa masalah penagihan dadah telah
menular dan menjadikan kanak-kanak dan remaja muda sebagai mangsa. Ini adalah
kerana kita mendapati penyalahgunaan dadah dalam kalangan klien yang
mendapatkan rawatan dan pemulihan terutamanya di Klinik Cure and Care 1Malaysia
menunjukkan masalah tersebut telah bermula seawal umur 10 tahun.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
9. Kajian ke atas kos ekonomi penyalahgunaan
dadah oleh pengkaji dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 2009 mendapati sejumlah
RM 8.65[4] billion telah di
belanjakan oleh kerajaan melalui kos langsung (perbelanjaan agensi-agensi penguatkuasaan
dan pemulihan berkaitan pemulihan dadah) dan kos tidak langsung ( kos rawatan
kesihatan, kos kehilangan produktiviti dan kos berkaitan jenayah seramai 63,
884 orang penagih dadah). Ini menjadikan kos perkapita penagihan dadah di
Malaysia adalah RM332.
10.
Sekiranya kos tersebut digunakan untuk membina sekolah menengah kebangsaan
berkapasiti 1,200 orang pelajar, kerajaan berupaya menyediakan 216 buah sekolah
dan seramai 259,200 orang pelajar boleh mendapat faedahnya.
11.
Pada hemat saya, sekiranya kita berjaya menangani masalah penyalahgunaan
dadah secara bersama, sudah pasti kos seperti ini boleh digunakan untuk tujuan
lain yang lebih penting dan memberi manafaat kepada semua rakyat.
12. Pada hari ini, selepas 31 tahun kerajaan berusaha
menangani masalah dadah, kita menyambut Hari Antidadah sekali lagi dengan bertemakan
AADK Prihatin, Rakyat Sejahtera. Tema
ini dipilih sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat
iaitu menyediakan perkhidmatan yang benar-benar diperlukan oleh ahli komuniti dan
masyarakat seperti outreaching, lawatan
ke rumah, home – based treatment,
serta memberikan sokongan langsung kepada klien dan ahli keluarga yang terlibat
dengan permasalahan dadah. Sejajar dengan itu, perkhidmatan Klinik Bergerak
Cure and Care telah dimulakan oleh AADK dengan tujuan dapat mendekati klien,
ahli keluarga dan masyarakat yang tidak mendapat akses ke Klinik Cure and Care
1Malaysia.
13. Kerajaan juga prihatin dengan masalah dadah yang
selalunya berpunca dari kepincangan institusi keluarga. Oleh itu saya menyeru
kepada semua rakyat Malaysia agar memastikan keluarga kita mengamalkan kehidupan yang
sejahtera dan saya percaya situasi ini akan menghindarkan anak-anak atau orang
yang anda sayangi dari terlibat dengan masalah dadah.
14. Penyalahgunaan dadah cenderung untuk berlaku di dalam
rumah kita sendiri. Oleh itu, setiap ibu bapa dan ahli keluarga perlu prihatin
dengan perubahan tingkahlaku anak-anak agar pencegahan awal dapat dilaksanakan.
Luangkanlah masa yang berkualiti dengan anak-anak, hormatilah perasaan dan
pendapat mereka serta didiklah mereka mengenai kesan buruk dadah supaya mereka
mendapat maklumat yang betul.
15. Kehidupan yang tidak bahagia dan tidak selesa di rumah
menjadikan kanak-kanak dan remaja terus terdedah dengan masalah penyalahgunaan
dadah. Ini adalah kerana kepercayaan anak-anak kepada ibu bapa sangat sedikit
berbanding dengan pengaruh rakan sebaya. Rentetan itu, didorong pula dengan
perasaan ingin tahu yang tinggi akan menyebabkan mereka mudah terpengaruh
dengan gejala yang negatif.
16. Sesungguhnya, pemerhatian kita juga menunjukkan penagihan
dadah dalam kalangan remaja turut dikaitkan dengan masalah ketagihan yang lain seperti
ketagihan alkohol dan ketagihan seks. Ini menjadikan masalah ini bertambah
kompleks dan proses rawatan dan pemulihan adalah rumit dan memerlukan kepakaran
dan kemahiran yang tinggi. Kesannya, masalah sosial lain akan turut berlaku
seperti aktiviti seks bebas, vandalisme dan keruntuhan akhlak.
17.
Oleh itu, bertindaklah sekarang, kerana sekiranya kita terlewat, mungkin
ketika itu anak-anak atau orang yang kita sayangi telah pun menjadi mangsa
dadah.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
18.
Saya juga menyeru kepada semua, jadilah ahli komuniti yang prihatin dengan
menyertai sukarelawan antidadah AADK yang dikenali sebagai SKUAD 1Malaysia untuk
memberi bantuan kepada orang atau ahli keluarga mereka yang mempunyai masalah
dadah.
19.
Kerajaan menyokong penuh usaha-usaha yang dilakukan oleh seluruh
sukarelawan yang tidak putus asa dan tanpa rasa jemu dalam membantu orang lain
yang berada di dalam kesukaran seperti
yang telah dilakukan oleh SKUAD 1Malaysia. Tahniah kepada seluruh SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan Prihatin, yang
sehingga kini telah mendapat keahlian berjumlah [5]223,
201 orang di seluruh negara. 80.5% daripada jumlah tersebut merupakan golongan
remaja dan belia yang berusia 15 – 39 tahun.
20. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan
setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan
Social Care Foundation kerana telah menyumbangkan sebuah bas yang telah dijadikan
Klinik Bergerak Cure and Care. Sesungguhnya sumbangan tersebut menunjukkan
keprihatinan dan kesungguhan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Social
Care Foundation dalam membantu kerajaan untuk mengatasi masalah penyalahgunaan
dadah.
21. Saya juga sangat menghargai sumbangan yang telah
diberikan oleh semua Badan-Badan Bukan Kerajaan seperti PEMADAM, PENGASIH,
PENDAMAI, KOMITED Malaysia, Persatuan Rakan Sebaya Malaysia, Drug Free Youth
Association, Yayasan Salam, Teratak Arfidah, dan Warisan Cahaya Gemilang serta
lain-lain NGO kerana telah membantu kerajaan dalam memerangi masalah dadah di
negara kita.
22. Kerajaan juga mengucapkan tahniah kerana usaha-usaha
membenteras masalah dadah dilakukan secara usahasama strategik di antara
jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian. Antaranya adalah seperti
Kementerian Kesihatan Malaysia, Universiti Malaya, Polis Diraja Malaysia serta
semua jabatan-jabatan di bawah KDN, Kementerian Pendidikan Malaysia, JAKIM, Kementerian
Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Kementerian Belia dan Sukan serta
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
23. Akhir kalam, pada sambutan Hari Antidadah tahun ini, saya
menyarankan kepada semua rakyat Malaysia agar meluangkan masa yang berkualiti
bersama keluarga, memberi perhatian kepada perasaan dan kehendak anak-anak dan
sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak agar mereka tidak mudah terpengaruh
dengan gejala yang negatif. Marilah kita bersama-sama berganding bahu untuk menjadikan
komuniti kita selamat dari ancaman dadah supaya anak-anak kita dapat membesar
dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya.
24. Sesungguhnya, kerajaan komited dan bertanggungjawab untuk
memastikan kesejahteraan rakyat dengan menyediakan perkhidmatan yang lebih
prihatin dan mesra serta memenuhi keperluan setiap pelanggan.
AADK
PRIHATIN, RAKYAT SEJAHTERA.
AMBIL KISAH. AMBIL TINDAKAN.
Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
[1]
Statistik klien di Klinik Cure and Care 1Malaysia sehingga 6 Februari 2014.
[2]
Jumlah sesi perkhidmatan CCSC sehingga 31 Disember 2013.
[3]
Jumlah sesi perkhidmatan di CCH sehingga 1 Februari 2014.
[4]
Kos Ekonomi Penyalahgunaan Dadah., Jamal Ali, Sallahuddin Hassan & Noor Al
Huda Abdul Karim, Jurnal Antidadah Malaysia, Jilid 6, Nombor 2, Disember 2009.
[5]
Jumlah ahli SKUAD 1Malaysia sehingga 20 Januari 2014.
No comments:
Post a Comment