Agak kecoh juga beberapa hari ini apabila ada kumpulan penyokong “Dr.
Ganja” berhimpun di mahkamah. Di kalangan kumpulan itu, ada kanak-kanak
yang dipakaikan baju menunjukkan sokongan terhadap ganja perubatan.
Laman FB para penyokong ganja juga banyak berkongsi status yang disalin
berkenaan kajian berkaitan penggunaan ganja untuk merawat autism. Ya,
kajian dalam bidang tersebut memang ada dijalankan. Namun begitu, dari
komen dan ulasan mereka, jelas menunjukkan kedangkalan dan kekurangan
dalam memahami kajian dan penulisan saintifik.
Saya cuba rumuskan dari kajian yang mereka rujuk dan yang saya pernah baca:-
1. Walaupun bukti keberkesanan dan keselamatan penggunaan ganja untuk
tujuan perubatan bagi kanak-kanak masih tidak kuat, wujud
kumpulan-kumpulan terutamanya di media sosial seperti Mothers for
Medical Marijuana Treatment for Autism”, “Mothers Advocating Medical
Marijuana for Autism (MAMMA)”, dan “Pediatric Cannabis Therapy” (Hadland
et. al., 2016).
Kebanyakan fakta yang mereka bentangkan adalah
hasildari kajian ke atas haiwan yang amat berbeza interpertasinya untuk
kegunaan manusia.
2. Kajian tahun 2013 oleh Universiti Stanford
ke atas TIKUS menunjukkan tikus yang mempunyai mutasi gen yang dikaitkan
dengan autism menunjukkan ketidaknormalan tindakbalas endocannabinoid
(cannabinoids yang terhasil secara natural dalam badan) (Foldy et. al.,
2013).
Satu kajian lagi ke atas TIKUS yang mempunyai ‘fragile X
syndrome’ juga menunjukkan terdapat kecelaruan dalam proses penghasilan
endocannabinoid (Miles, 2014).
Apa yang berlaku adalah media dan
para advokasi penggunaan ganja ini menjadikan hasil ini sebagai satu
bukti yang ganja boleh digunakan untuk merawat autism. Ini adalah
interpertasi yang salah dan amat menyeleweng. Ia hanyalah kajian
PATOFISIOLOGI penyakit dan bukannya kajian yang menunjukkan bagaimana
penyakit itu boleh dirawat. Lebih-lebih lagi, ia hanya dijalankan ke
atas tikus.
4. Kajian yang melibatkan manusia pula hanyalah pada
tahap kajian kes (case studies). Kajian kes adalah bukti saintifik pada
taraf yang amat rendah kerana ia mempunyai banyak kekurangan dari segi
metodologi dan tahap bias. Untuk sesuatu ubat mencapai pembuktian yang
kuat, ia perlu dibuktikan berkesan dalam ujian klinikal (clinical
trials) dengan jumlah sampel yang mencukupi.
5. Sebagai contoh,
seorang budak berumur 6 tahun yang didagos menghidapi autism dirawat
menggunakan cannabidiol untuk setiap hari selama 6 bulan dan didapati
mempunyai peningkatan apabila diukur dengan Aberrant Behavior Checklist
(ABC) (Kurz & Blaas, 2010). Namun begitu, ia dikritik kerana tiada
kawalan yang cukup kuat dan mempunyai risiko bias yang kuat.
6.
Satu kajian lagi ke atas pesakit dewasa dengan ADHD didapati yang
menggunakan ganja. Didapati, skil memandu beliau bertambah baik apabila
dia menghisap ganja (Budney et. al., 2004). Namun begitu terdapat
kemungkinan yang ganja hanya merawat kesan ‘withdrawal’ subjek
seterusnya menyebabkan skil memandunya kembali normal.
7.
Terdapat satu lagi kajian bersiri yang menunjukkan remaja yang mempunyai
risiko mencederakan diri didapati kurang mencederakan diri setelah
dirawat dengan cannabidiol (Kruger & Christophersen, 2006). Namun
begitu, kajian ini tidak diterbitkan dan hanya protokol kajian sahaja
yang berjaya dijumpai.
Secara rumusannya, tiada satu pun
kajian-kajian yang didatangkan menunjukkan pembuktian jelas yang
cannabidiol terbukti selamat dan berkesan untuk merawat autism. Apa yang
ada adalah kajian mekanism penyakit ke atas haiwan dan kajian kecil
pada kualiti yang amat rendah.
Pandangan ini turut dikemukakan
oleh American Academy of Pediatrics (AAP) yang menyatakan ganja tidak
boleh digunakan ke atas kanak-kanak selagi ia belum dibuktikan berkesan
dan selamat. Lebih-lebih lagi, kajian penggunaan ganja pada jangka masa
panjang telah dibuktikan meningkatkan risiko masalah kognitif dan mental
(Hadland et. al., 2016).
Majoriti pengguna ganja dan pejuang
legalisasi sebenarnya tidak memahami proses pembuktian ubat-ubatan. Ahli
profesional kesihatan bukanlah memusuhi ganja akan tetapi
penyalahgunaan dan salah interpertasi kajian-kajian sains yang dibawa
oleh mereka. Rawatan perlulah dibuktikan dengan jelas keberkesanan dan
keselamatannya sebelum ia diiktiraf.
Kebiasaannya manusia tidak
suka dijadikan bahan uji kaji. Namun kenapa dalam kes ini, ramai yang
berlumba-lumba menjadikan diri atau ahli keluarga sebagai bahan uji kaji
rawatan yang belum terbukti berkesan?
Sumber:
Ganja (Cannabidiol) untuk Autism: Apa Sebenarnya Kata Kajian?
Fahmi Hassan
Pegawai Farmasi
fb.com/fahmiabad
www.fahmihassan.net
#perangidadahhabishabisan
#pencegahandadahbermuladarirumah
#keluargasayatanggungjawabsaya
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment