BISMILLAHIRAHMANIRRAHIM
Yang Berhormat
Timbalan-Timbalan Menteri Dalam Negeri
Yang Dihormati Timbalan-Timbalan Ketua
Setiausaha
Kementerian Dalam Negeri
Yang Berbahagia
Puan Sri Dato’ Zuraidah Hj. Mohamed
Ketua Pengarah Agensi Antidadah
Kebangsaan
Setiausaha-Setiausaha Bahagian
Kementerian Dalam Negeri
Ketua-Ketua Jabatan,
Pemimpin-pemimpin masyarakat kawasan
Parlimen Sembrong
Rakan-rakan NGO dan pihak swasta
Para Sukarelawan Antidadah (SKUAD
1Malaysia)
Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan
yang dihormati sekalian.
Assalamualaikum
W.B.T dan Salam 1 Malaysia.
- Alhamdulillah,
syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinan-Nya, dapat kita
bersama-sama berkumpul pada hari yang penuh bermakna ini bagi
memperbaharui azam serta meningkatkan semangat untuk menangani masalah
dadah di Malaysia. Saya merasa amat
gembira kerana begitu ramai hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat,
tanpa mengira kaum, usia dan bangsa hadir bersama-sama bagi memeriahkan majlis
kita pada hari ini.
Para hadirin Sekalian,
- Setinggi-tinggi
penghargaan saya ucapkan kepada YBhg. Puan Sri Dato’ Zuraidah, Ketua
Pengarah AADK dan seluruh warga AADK yang telah bertungkus lumus
melaksanakan sambutan Peringatan Hari Anti Dadah Kebangsaan Tahun 2012 di
bumi Sembrong. Terima kasih dan
tahniah juga kepada semua ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Sembrong, rakan-rakan
NGO, pihak swasta, wakil-wakil Jabatan Kerajaan, tuan-tuan dan puan-puan
yang turut memberikan kerjasama dan bantuan di dalam menjayakan program
ini.
- Tema Sambutan Peringatan Hari
Anti Dadah Kebangsaan tahun ini adalah SKUAD 1Malaysia, Sukarelawan
Prihatin. SKUAD 1Malaysia
atau Sukarelawan Anti Dadah
1Malaysia merupakan sebuah platform yang menempatkan semua sukarelawan
anti dadah, baik yang diseliakan di bawah KDN, mahupun yang berada di luar
KDN, di bawah satu bumbung. Melalui platform SKUAD 1Malaysia, semua
aktiviti pendidikan dan kesedaran, membasmi penyalah gunaan dan pengedaran
najis dadah, serta rawatan dan pemulihan dapat diselaras dan disenergikan
bagi memastikan masyarakat di dalam negara kita dapat hidup sejahtera
tanpa dadah. Matlamat menggerakkan civil
society atau sukarelawan komuniti bagi membentuk sebuah masyarakat
yang sejahtera tanpa dadah ini amat bertepatan dengan tema dan pendekatan United Nation on Drugs and Crimes
(UNODC) iaitu Healthy
Communities Without Drugs. Berpandukan tema ini, UNODC menyarankan agar
setiap ahli masyarakat terutamanya golongan belia mengambil peranan dalam
mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan dalam komuniti.
- Saya merasa amat bertuah
kerana kawasan Parlimen Sembrong dipilih untuk menjadi tapak untuk menggerakkan
SKUAD 1Malaysia yang telah saya lancarkan pada Julai 2011 yang lalu. Bermula di sini gerakan untuk
mempertingkatkan semangat kesukarelaan dan memperkasa peranan SKUAD 1Malaysia Sukarelawan Prihatin
akan direalisasikan.
- Suka untuk saya nyatakan di
sini bahawa kesukarelaan adalah aktiviti murni yang dijayakan oleh
masyarakat di seluruh dunia. Ia melepasi sempadan budaya, agama dan status
serta konsepnya adalah kesedaran untuk membantu orang lain supaya
kehidupan lebih sejahtera. Semangat kesukarelaan inilah yang perlu diterapkan
kepada semua masyarakat sama ada di bandar ataupun di desa bagi mencapai
misi negara bebas dadah.
- SKUAD 1Malaysia bukan
hanya berperanan untuk memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat
mengenai bahaya dan kesan penyalahgunaan dadah malah sebagai agen
penggerak masyarakat untuk turut sama menangani masalah dadah melalui aktiviti
home
visit, program bersemuka,
temu seru (outreach), khidmat nasihat dan bimbingan selain
aktiviti sukan dan rekreasi.
Tuan-tuan
dan puan-puan yang dihormati sekalian.
- Sempena
sambutan peringatan hari Anti Dadah Kebangsaan Tahun 2012 ini, saya suka
untuk mengumumkan beberapa perkara. Pertamanya,
atas kesedaran bahawa DADAH MERUPAKAN MUSUH NO 1 negara dan di atas
kesedaran bahawa musuh ini perlu diperangi sehabis-habisnya oleh semua
rakyat Malaysia, maka hari ini saya suka untuk mengumumkan kolaborasi
pasukan sukarelawan yang dibawah seliaan KDN untuk turut serta membantu
usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan, serta memerangi penyalah gunaan
dan pengedaran dadah ini.
- Selain RELA,
KDN amat bertuah kerana mempunyai beberapa pasukan sukarelawan seperti
PVR, JPAM dan Sukarelawan Anti Dadah (Skuad) 1Malaysia yang mempunyai
keanggotaan yang besar dan peranan yang signifikan dalam memastikan keselamatan
dan kesejahteraan negara. Terbaru adalah Sukarelawan Koreksional yang
ditubuhkan oleh Jabatan Penjara.
- RELA
mempunyai 2.87 juta orang sukarelawan. JPAM pula mempunyai 394,000 orang
sukarelawan terlatih di seluruh negara, tidak termasuk 44,000 org anggota
kadet di peringkat sekolah menengah; dan sejumlah 291,948 orang
awam yang dilatih dengan kesedaran dan kemahiran bagi menghadapi kecemasan
dan bencana setempat. Manakala AADK,
di bawah SKUAD 1Malaysia yang ditubuhkan secara rasmi pada 4 Julai 2011 mempunyai
ahli baru seramai hampir 252,000 orang.
- Hari ini,
pasukan RELA dan JPAM, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan
Koreksional Jabatan Penjara akan mempunyai pasukan khas yang akan turut
sama membantu usaha dan gerak kerja SKUAD 1Malaysia. Pasukan khas di bawah
RELA, JPAM, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan Koreksional Penjara
ini akan digerakkan untuk membantu usaha pendidikan dan pencegahan,
rawatan dan pemulihan serta penguat kuasaan AADK atau menjadi sukarelawan anti dadah
berdasarkan kepakaran masing-masing.
- Kita akan
memulakan gerakan kesukarelaan bagi aktiviti pencegahan, rawatan,
pemulihan dan penguatkuasaan penyalah gunaan dadah, terutama dari aspek
pengesanan kepada pengguna, penyalahguna dan penagih dadah. Melalui
gerakan ini, kita akan dapat mengesan mereka yang ingin menjalani rawatan
dan pemulihan secara sukarela melalui program outreaching dan pengesanan kepada mereka yang enggan menjalani
program rawatan dan pemulihan secara sukarela dengan mengadakan operasi
bersama dengan Sukarelawan Polis, RELA, JPAM, Sukarelawan Koreksional dan
NGO-NGO lain di luar sana.
- Kedua, saya ingin mengumumkan bahawa Persatuan Rakan
Sebaya yang dulunya dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) telah
berjaya didaftarkan sebagai sebuah persatuan. Syabas diucapkan! Semoga perkhidmatan
yang diberikan akan lebih efisyen dalam membantu membimbing mereka yang
menghadapi masalah dadah ke arah kepulihan.
- Ketiga, selepas 16 tahun AADK memperjuangkan isu elaun
insentif khas petugas di institusi rawatan dan pemulihan AADK, maka pada
hari ini dengan sukacitanya saya ingin mengumumkan berita baik, bahawa kerajaan
telahpun meluluskan Elaun Insentif Khas bagi semua pegawai petugas AADK di
institusi rawatan dan pemulihan AADK. Melalui kemurahan hati kerajaan
Barisan Nasional ini, saya berharap, pegawai-pegawai anti dadah akan berusaha
dengan lebih komited dan lebih bersemangat lagi bagi menangani masalah
dadah di dalam negara.
Tuan-tuan
dan puan-puan yang saya hormati sekalian,
- Atas semangat kolaborasi yang sama, saya juga ingin
mengambil kesempatan ini untuk membawa seramai mungkin golongan muda untuk
bersama-sama menggerakkan gelombang kesukarelaan yang telah saya mulakan
dua tahun lepas. Saya percaya semangat kesukarelaan amat perlu dipupuk
sejak peringkat usia muda lagi.
- Melalui semangat kesukarelaan ini, saya yakin kita akan
dapat membentuk keperibadian mulia generasi masa hadapan negara yang
prihatin, penyayang, bertanggung jawab, patriotik dan sanggup menyumbang
tenaga, masa dan wang ringgit demi kebaikan masyarakat.
- Melalui pelbagai aktiviti kesukarelaan yang dianjurkan,
golongan muda ini juga akan mendapat pendedahan dan kemahiran dalam
bidang-bidang yang diceburi agar mereka bukan sahaja dapat menjadi
sukarelawan yang terlatih dan berkemahiran, malah dapat membimbing mereka
menjadi pemimpin yang dapat menganjurkan pelbagai program kesukarelaan
bagi membantu seramai mungkin rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik
atau yang ditimpa bencana.
- Hari ini, jumlah golongan
muda berumur 16-25 tahun di dalam Rela adalah seramai 872,000 orang (872,728).
Manakala golongan muda berumur 18-29
tahun di dalam JPAM pula adalah seramai 294,000 (294,829 orang). Jika
dijumlahkan, jumlah golongan muda di dalam RELA dan JPAM sudah menghampiri
1.1 juta orang. Ini belum termasuk golongan muda di dalam SKUAD 1Malaysia
AADK, Sukarelawan Simpanan Polis dan Sukarelawan Koreksional.
- Jumlah 1.1 juta orang golongan muda ini adalah satu jumlah yang besar dan sudah tentu wajar
digerakkan sebagai salah satu elemen penting dalam gelombang kesukarelaan
kita. Insyaallah, dalam masa terdekat ini, 1.1 juta sukarelawan muda di bawah KDN ini, baik sukarelawan muda
RELA, sukarelawan muda JPAM, sukarelawan muda Skuad 1Malaysia AADK dan
Sukarelawan Koreksional Jabatan Penjara akan diberikan peranan baru dan
hala tuju yang lebih segar. Mereka juga akan diberikan kemahiran yang
sesuai dan didedahkan melalui pelbagai program kesukarelaan di seluruh
negara.
Tuan-tuan dan puan-puan yang
saya hormati sekalian,
- Sebelum
mengakhiri ucapan, saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada
kepada YBhg. Puan Sri Dato’ serta seluruh warga kerja AADK, ahli SKUAD
1Malaysia, rakan NGO, jabatan dan agensi kerajaan yang terlibat terutama
PDRM, RELA, JPAM, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Pendaftaran
Negara, Suruhanjaya Pilihanraya, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan
semua pemimpin masyarakat setempat kerana bertungkus lumus menjayakan
majlis kita pada hari ini.
- Jutaan
terima kasih juga kepada hadirin sekalian, Dato’-dato’, tuan-tuan dan
puan-puan yang telah sama-sama menjaya dan memeriahkan program sambutan
Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2012. Maka,
dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan sambutan Peringatan
Hari Anti Dadah Kebangsaan bagi tahun 2012.
Sekian,
No comments:
Post a Comment