Cannabinoid adalah satu kelas bagi kompaun-kompaun kimia yang
mampu mengikat secara khusus terhadap reseptor cannabinoid dalam tubuh.
Reseptor cannabinoid adalah salah satu komponen utama bagi sistem
endocannabinoid dalam tubuh manusia. Sistem endocannabinoid mengawal
fungsi memori, metabolisma, kawalan selera makan, sistem imun, kawalan
tidur dan emosi dan mood. Sistem ini dikawal imbangan homeostasisnya
dalam tubuh dengan ketat.
Terdapat beberapa jenis reseptor cannabinoid yang telah dikenalpasti
dan dihuraikan fungsinya dalam tubuh manusia. Reseptor cannabinoid jenis
1 (CB1) banyak taburannya dalam otak. Manakala reseptor cannabinoid
jenis 2 (CB2) lebih banyak taburannya dalam sistem periferi berbanding
otak.
Cannabinoid semulajadi
Tubuh kita juga menghasilkan cannabinoid secara semulajadi –
Anandamide. Kompoun ini mengikat secara khusus pada reseptor CB1 dan
mengawal kewujudan memori dalam otak. Kajian telah menunjukkan
kehilangan memori jangka pendek pada tikus yang diberikan dos tinggi
anandamide.
Kewujudan anandamide menunjukkan kemampuan otak untuk melupakan
perkara yang dirasakan ‘tidak perlu’ dan ‘tidak disenangi’ – fungsi yang
sangat penting supaya kita dapat fokus dan menumpukan perhatian pada
perkara yang utama dalam kehidupan seharian.
Anandamide juga, seperti namanya (‘ananda’ diambil dari perkataan
Sanskrit yang bermaksud kegembiraan), mempunyai fungsi dalam kawalan
emosi. Sebab itulah pengguna kanabis atau ganja mengalami keadaan ‘high’
dan euforia (kegembiraan melampau).
Ini adalah kerana kehadiran molekul kimia tetrahydrocannabinol (THC)
yang mampu mengaruh reseptor cannabinoid seperti anandamide. Namun, THC
adalah molekul yang lebih poten dan menghasilkan kesan yang lebih hebat
dari anandamide.
Ganja
Marijuana, Cannabis/ Kanabis atau ganja adalah merujuk kepada sejenis tumbuhan berbunga yang sama – Cannabis sativa. Terdapat juga beberapa spesis lain dalam genus yang sama contohnya Cannabis indica, C. ruderalis, C. Americana dan beberapa strain kacukan lain. Pokok ini juga dikenali sebagai pokok hemp.
Cannabis Sativa
Cannabinoid adalah salah satu kelas bagi kompoun-kompoun kimia yang
dapat diperoleh dari tumbuhan ini (digelar ‘phyto-cannabinoids’, phyto-
tumbuhan). Kebanyakan cannabinoids ini diperoleh dari resin dalam trikom
pokok ganja. Ada lebih 600 kompoun kimia telah dikenalpasti dalam
tumbuhan ganja dan lebih seratus jenis cannabinoids telah dapat diasing
sehingga kini.
Cannabinoid dalam ganja
Cannabinoid paling utama dan paling banyak dikaji adalah kompoun
kimia tetrahydrocannabinol (THC). Kompoun dalam kelas THC adalah
bersifat ‘psikotropik’. Ini bermaksud, kompoun dalam jenis ini mengaruh
fungsi otak dan menyebabkan gangguan pada persepsi, mood, emosi dan
kesedaran. THC juga dikatakan mampu meningkatkan penghasilan dan
perembesan neuropemancar dopamine dalam otak yang akan mengakibatkan
pengguna ganja mengalami euforia (kegembiraan melampau) dan halusinasi.
Tetrahydrocannabinol (THC)
Cannabinol (CBN) juga adalah salah satu dari kompoun psikoaktif yang
terdapat dalam ganja yang banyak dikaji dan diteliti. Namun kompoun ini
adalah bersifat psikoaktif sama seperti THC walaupun pada kadar yang
lebih rendah berbanding THC. Ada banyak lagi kompoun yang mempunyai
sifat seperti THC dalam tumbuhan ini. Malah THC juga wujud dalam
beberapa bentuk isomer dalam resin ganja.
Cannabidiol
Cannabidiol (CBD) pula adalah phytocannabinoids yang tidak bersifat
psikoaktif seperti THC. Namun, kompoun ini telah dilaporkan sebagai
agonis songsang (inverse agonist) terhadap reseptor cannabinoid dan
mampu meningkatkan afiniti reseptor tersebut terhadap THC.
Banyak lagi kompoun cannabinoids yang telah dikaji dan diteliti
contohnya cannabichromene, cannabigerol, cannabicyclol, cannabivarin
yang mempunyai sifat seperti CBD.
Ganja dan minyak hemp
Ganja biasanya diperoleh dalam keadaan kering daripada bunga, daun
dan putiknya. Bunga dan putik ganja mempunyai amaun THC yang paling
tinggi berbanding bahagian lain dalam pokok ini.
Minyak hemp diperoleh dengan memerah bijian dari pokok ganja. Minyak
ini dikatakan mempunyai amaun CBD yang tinggi dan THC yang rendah
(sekitar 4mg/kg).
Kesan pengambilan ganja terhadap otak
Selain kesan jangka pendek seperti kehilangan kesedaran, kehilangan
memori, euforia dan mengalami halusinasi, pengambilan ganja juga
menjejaskan fungsi otak untuk jangka panjang.
Banyak kertas kajian jangka panjang telah menunjukkan penggunaan
ganja mampu menurunkan kebolehan kognitif otak. Remaja yang mengambil
ganja didapati mempunyai IQ dengan paras 8 hingga 10 poin dibawah
normal. Malah, jika kita mengambil ganja pada awal usia dan berhenti,
paras penurunan IQ itu juga adalah sama dan tidak berubah.
Sesetengah kajian juga menunjukkan pengambilan ganja mengakibatkan
pengecilan saiz otak terutama pada bahagian hippokampus yang mengawal
memori, kebolehan belajar dan kawalan impuls (bahagian ini juga terdapat
reseptor CB1 yang padat).
Menariknya, kesan ganja ini akan lebih ketara jika diambil pada usia
muda. Lebih muda seseorang itu terdedah pada ganja, lebih teruk kesannya
terhadap otak. Bayangkan bayi yang diberikan minyak hemp. Walaupun
amaun THC dalam minyak ini boleh dikatakan amat rendah, tetapi THC
adalah bahan yang sangat mudah meresap dalam sistem tubuh kerana
sifatnya yang lipofilik. Ciri ini juga menyebabkan THC berada lama dalam
sistem tubuh kita kerana ia tersimpan dalam sel lemak.
Ganja dan kesuburan
Sistem reproduktif manusia dikawal oleh tindak balas hormon-hormon
yang dirembes oleh hipothalamus di otak. Sistem endocannabinoid juga
mempunyai pengaruh yang bukan sedikit terhadap regulasi hormon dan
pembentukan sperma dan ovum.
Kehadiran cannabinoid pada aras yang tinggi dengan pengambilan ganja
menyebabkan paras testosteron menurun. Ini juga akan menyebabkan
gangguan pada pembentukan sperma.
Kajian oleh Gundersen (2015) menunjukkan pengambilan pengambilan
ganja minima sekali seminggu mengurangi satu per tiga jumlah sperma
berbanding normal.
Pengambilan ganja juga menyebabkan embrio tidak dapat melekat pada dinding rahim setelah persenyawaan berlaku.
Ganja dalam perubatan
Salahtanggapan umum (dan teori konspirasi) bahawa kegunaan ganja
adalah terhalang dan tiada kajian langsung mengenainya dari sudut
perubatan. Kajian tentang kegunaan ganja untuk perubatan telah banyak
dan giat dilakukan. Malangnya, faedah dan nilai terapeutik tumbuhan ini
terhalang dengan kesan psikotropik yang dihasilkan oleh kebanyakan
kompaun kimia (contohnya THC) dalam ganja.
Jadi, saintis berusaha dan mengkaji untuk menghasilkan molekul kimia
dari ganja ini secara sintetik untuk memberikan nilai tambah kepadanya
atau mengurangi kesan sampingan darinya.
Sativex (Nabiximol) adalah ekstrak khusus dari molekul kimia THC dan
cannabidiol (nisbah 1:1) telah dilesenkan untuk kegunaan pesakit
sklerosis berbilang (multiple sclerosis).
Nabilone adalah molekul sintetik yang hampir sama dengan struktur
kimia THC telah digunakan untuk merawat kesan sampingan kemoterapi dan
antimuntah.
Marinol (dronabinol) digunakan sebagai anti-muntah, peningkat selera dan penahan sakit.
Kajian klinikal molekul terbitan cannabidiol juga telah berada diperingkat akhir untuk rawatan Sindrom Dravet dan epilepsi.
Ganja dan kanser
Tanggapan umum mengatakan ganja adalah ‘rawatan’ yang ampuh untuk
kanser adalah tidak tepat. Kebanyakan penggunaan ganja pada ketika ini
adalah hanya untuk mengawal kesan buruk dari kemoterapi atau mengawal
kesakitan dan sebagai stimulan untuk meningkatkan selera.
Ganja, malangnya telah dilaporkan meningkatkan peratusan kanser pada
penggunanya. Insiden kanser tekak, leher dan kepala agak tinggi atau
sama dengan pengguna rokok. Ini adalah tidak menghairankan kerana
molekul kimia yang terdapat dalam asap rokok yang bersifat karsinogenik.
Contohnya, kompaun benzopyrene dan benzathracene, tar dan lain-lain
lagi.
Menariknya, kadar risiko untuk kanser prostat dan kanser testis meningkat seiring penggunaan ganja!
Namun, kajian tentang sitotoksik THC dan beberapa kompoun dari ganja
telah dilakukan dan mendapat kesan positif. Hasil kajian ini, walaupun
sangat positif dan memberangsangkan, masih diperingkat pre-klinikal dan
perlu diteliti diperingkat haiwan dan manusia.
Jadi, bolehkah menggunakan ganja untuk ‘self-medicate'(guna untuk diri sendiri)?
‘Self-medicate’ ataupun mengambil ganja bagi diri sendiri tanpa
mendapatkan nasihat doktor adalah sesuatu yang tidak digalakkan. Ini
kerana keburukan ganja masih mengatasi kebaikannya terutamanya bagi yang
menghisap ganja. Ini kerana kebarangkalian untuk penyalagunaan bahan
ini adalah tinggi. Malah, jumlah yang terdapat dalam ganja secara
natural itu mungkin tidak sampai kepada amaun terapeutik yang diperlukan
untuk menyembuhkan apa pun penyakit anda. Baca artikel ini untuk ulang
kaji: ‘Chemical drug is bad, all natural is good’ – Benarkah?
MacDonald K, Pappas K. WHY NOT POT?: A Review of the Brain-based Risks of Cannabis. Innovations in Clinical Neuroscience. 2016;13(3-4):13-22.
Gundersen TD, Jørgensen N, Andersson AM, Bang AK, Nordkap L, Skakkebæk NE, Priskorn L, Juul A, Jensen TK. Association Between Use of Marijuana and Male Reproductive Hormones and Semen Quality: A Study Among 1,215 Healthy Young Men. Am J Epidemiol. 2015 Sep 15;182(6):473-81. doi: 10.1093/aje/kwv135.
Du Plessis SS, Agarwal A, Syriac A. Marijuana, phytocannabinoids, the endocannabinoid system, and male fertility. Journal of Assisted Reproduction and Genetics. 2015;32(11):1575-1588. doi:10.1007/s10815-015-0553-8.
Francesca MF. Weeding Through Marijuana’s Effects on the Brain. JAMA Psychiatry. 2016;73(8):773-774. doi:10.1001/jamapsychiatry.2016.1133
Francesca MF, Sina A, Vince DC, Jeffrey SS, Eswar D, Arvind C, and Judith S. Long-term effects of marijuana use on the brain. PNAS. (2014) 16913–16918, doi: 10.1073/pnas.1415297111
Jacobus J, Tapert SF. Effects of Cannabis on the Adolescent Brain. Current pharmaceutical design. 2014;20(13):2186-2193.
Sarfaraz S., Adhami VM., Deeba N. S, Afaq F. and Mukhtar H. Cannabinoids for Cancer Treatment: Progress and Promise. Cancer Res. (2008) DOI: 10.1158/0008-5472.CAN-07-2785
M Guzmán, M J Duarte, C Blázquez, J Ravina, M C Rosa, I Galve-Roperh, C Sánchez, G Velasco and L González-Feria. A pilot clinical study of Δ9-tetrahydrocannabinol in patients with recurrent glioblastoma multiforme. British Journal of Cancer (2006) 95, 197–203. doi:10.1038/sj.bjc.6603236
Ligresti A, Moriello AS, Starowicz K, Matias I, Pisanti S, De Petrocellis L, Laezza C, Portella G, Bifulco M, Di Marzo V. Antitumor activity of plant cannabinoids with emphasis on the effect of cannabidiol on human breast carcinoma. J Pharmacol Exp Ther. 2006 Sep;318(3):1375-87
Jack MF, Bryan P, David JF. Cognitive Correlates of Long-term Cannabis Use in Costa Rican Men. Arch Gen Psychiatry. 1996;53(11):1051-1057. doi:10.1001/archpsyc.1996.01830110089011
Sumber : Root Of Science
#HADK2017
#pencegahandadahbermuladarirumah
#perangidadahhabishabisan
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment