PERUTUSAN
KETUA PENGARAH AGENSI ANTIDADAH
KEBANGSAAN
SEMPENA
SAMBUTAN HARI ANTIDADAH KEBANGSAAN KE 35
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM.
ASSALAMUALAIKUM
WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.
SALAM SEJAHTERA
DAN SALAM 1MALAYSIA.
Alhamdulillah, syukur
ke hadrat Allah s.w.t atas limpah kurnia-Nya, kita semua masih lagi dapat
menikmati hidup dengan aman serta merdeka di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Pelbagai pembangunan telah kita kecapi, pelbagai kejayaan telah kita rasai dan
pelbagai cabaran juga telah kita atasi demi menjadikan kita bangsa Malaysia
yang matang dan berani menghadapi apa jua rintangan yang mendatang. Namun
demikian kejayaan yang dinikmati pada hari ini tidak akan berkekalan sekiranya
negara terus dibelenggu dengan masalah penagihan dadah.
Sesungguhnya dalam
memacu pembangunan negara, kerajaan tidak lupa untuk memastikan rakyat Malaysia
terhindar dari pelbagai masalah sosial yang boleh membawa kepada kejatuhan
moral seperti masalah penagihan dadah.
Oleh demikian, saban tahun kerajaan melalui Agensi Antidadah Kebangsaan,
Kementerian Dalam Negeri menganjurkan Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan. Sambutan Hari Antidadah Kebangsaan di sambut pada 19
Februari setiap tahun bertujuan untuk
memperingatkan masyarakat Malaysia akan peranan dan tanggungjawab kita
berhadapan dengan ancaman bahaya dadah terhadap keamanan, kesejahteraan dan
keselamatan sosio politik serta ekonomi negara kita.
Masalah penagihan dadah dalam negara mengalami turun naik saban
tahun disebabkan perubahan trend semasa dan lain-lain faktor pendorong kepada
perkembangan ini. Sekiranya langkah-langkah tegas tidak diambil untuk
membanterasnya masalah dadah ini akan terus menerus menjadi ancaman kepada survival negara kita. Sasaran utama
penagihan dadah ialah generasi muda yang merupakan tulang belakang dan harapan
negara di masa hadapan serta penagihan dan pengedaran dadah yang berleluasa
boleh mengancam kesejahteraan sosio-ekonomi, rohani, budaya rakyat jelata dan
seterusnya melemahkan ketahanan nasional dan mengancam keselamatan negara.
Hari
ini, kita dapati bahawa pelbagai cabaran baru timbul
dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah. Ini termasuklah:
- Masalah penagihan
dadah di Negara kita adalah lebih parah kerana ia melibatkan golongan
muda terutama remaja dan kanak-kanak. Kanak-kanak di sekolah rendah telah
terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan bahan-bahan yang menghayalkan.
- Penyalahgunaan dadah
jenis Amphetamine Type Stimulants (ATS) seperti Ice, Syabu, Pil Kuda dan
Ecstacy adalah sangat membimbangkan kerana ia mudah didapati dan menjadi
trend dalam kalangan golongan remaja. Dadah-dadah jenis ini memberi kesan
langsung terhadap sistem saraf tunjang. Contohnya, pengambilan Syabu akan
mendatangkan kesan high secara serta merta dalam tempoh 5-10 saat kerana ia
terus sampai ke otak. Akibatnya,
penyalahguna akan mengalami kurang selera makan, masalah tidur, perubahan
mood, psikosis atau gangguan mental iaitu
ketidakmampuan seseorang menilai antara realiti dan fantasi. Bukan
itu sahaja, penyalahguna Syabu akan kehilangan kawalan diri dan berisiko
untuk melakukan tindakan-tindakan yang ganas dan agresif seperti memukul,
membunuh dan mencederakan orang lain termasuk ahli keluarganya sendiri.
Tema sambutan pada tahun ini ialah, Komuniti Kita, Tanggungjawab Kita. Tema ini sangat bersesuaian
kerana setelah 35 tahun kerajaan cuba menangani masalah dadah namun lambakan
masalah dadah masih lagi menular-nular dan mengancam keselamatan, ekonomi dan
sosial negara. Ini adalah kerana transaksi dadah ini merupakan satu sistem yang
sentiasa bergerak secara dinamik dan seiring dengan arus peredaran zaman. Oleh
yang demikian saya menyeru kepada semua Kementerian, Jabatan dan rakyat
Malaysia untuk bersama-sama kerajaan dalam menangani masalah ini.
Permasalahan dadah memberi kesan kepada semua peringkat
di dalam komunti. Kesan negatif ini berlaku akibat dari aktiviti
penyalahgunaan dadah yang berleluasa dalam komuniti. Hakikatnya, kehidupan
bermasyarakat menjadi tidak selamat jika berlakunya masalah penagihan di dalam
komunti setempat. Komunti setempat mempunyai tanggungjawab yang besar untuk
menyedar dan menggerakkan setiap keluarga di dalam komunti tersebut supaya
sentiasa berwaspada dan peka dengan pelakuan anak-anak mereka di dalam
persekitaran tempat tinggal dan pergaulan seharian.
Saling membantu dan
mengambil berat sesama jiran akan membantu mengatasi permasalahan yang timbul
di dalam kehidupan. Ini kerana, masalah dadah yang berlaku dalam komuniti
datangnya dari dalam keluarga yang mana jika tidak ditangani dengan baik akan
menjatuhkan maruah keluarga, menjadi beban kepada anggota keluarga penagih,
menghancurkan rumah tangga dan memusnahkan harapan ibu bapa untuk melihat
kejayaan anak-anak.
Seterusnya, jika
banyak keluarga yang berhadapan dengan permasalahan dadah dalam komuniti
tersebut ia akan menimbulkan pelbagai masalah sosial dan jenayah lain yang
berpunca daripada aktiviti penyalahgunaan dadah. Justeru itu, sempena sambutan
Hari Antidadah Kebangsaan pada tahun ini saya menyeru kepada semua ibu bapa,
keluarga dan komuniti secara keseluruhannya agar meningkatkan peranan dan
tanggungjawab masing-masing agar lebih prihatin pada perkembangan anak-anak dan
isu-isu kejiranan dalam persekitaran setempat.
Tema Hari Antidadah Tahun ini “Komuniti
Kita Tanggungjawab Kita” memberi makna yang cukup besar tentang peranan dan
tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama bagi memastikan komuniti tempat
tinggal kita selamat dan bebas daripada permasalahan dadah. Masyarakat atau
komuniti ialah kelompok manusia yang paling hampir di tempat tinggal kita.
Segala perkara tentang diri, ahli keluarga, harta benda dan kerjaya terlebih
dahulu diketahui oleh mereka. Oleh sebab itu, masyarakat ialah orang yang
paling dekat untuk meminta pertolongan ketika ditimpa bencara atau musibah. Justeru
itu, ahli masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab
memerangi penyalahgunaan dadah hanya di bahu kerajaan semata-mata dan
menjadikan apa-apa jua permasalahan mengenai dadah yang berlaku adalah berpunca
akibat ketidakcekapan kerajaan. Ini kerana pencegahan awal perlu dimulakan di
peringkat masyarakat setempat untuk menggerakkan aktiviti kemasyarakatan yang
berupaya menghindari berlakunya masalah dadah, sosial dan jenayah dalam masyarakat.
Memetik ucapan YAB
Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Bin Tun Abdul Razak dalam
ucapan beliau dalam siri ucapan Hari Antidadah Kebangsaan yang lalu, beliau
menyeru masyarakat perlu mengelak daripada bersikap 'not me syndrome', sebaliknya bersama memainkan peranan dalam
memahami, mengambil tindakan dan menjadi barisan hadapan dalam menangani isu
dadah di komuniti masing-masing. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak,
berkata penglibatan seluruh anggota masyarakat dalam membanteras penagihan
dadah sangat penting kerana ia adalah elemen utama dalam menjayakan misi negara
bebas dadah. Ibu bapa dan keluarga adalah entiti paling kecil dalam masyarakat
yang perlu memainkan peranan paling serius dalam memastikan anak-anak mereka
tidak terlibat dengan gejala dadah. "Masalah dadah boleh menimpa sesiapa
sahaja, ia merentas status dan latar belakang serta kepercayaan seseorang”.
Kejayaan membanteras masalah dadah juga memerlukan pendekatan yang seimbang dan
menyeluruh dengan dasar yang relevan berdasarkan amalan-amalan terbaik dan
'evidence-based'.
Kerajaan sedar permasalahan dadah bukanlah masalah dan isu
setempat malahan isu dadah merupakan masalah global yang harus diberi perhatian
bersama. Permasalahan dadah turut mendapat perhatian serius Jemaah Menteri, dan
telah beberapa kali dibincangkan sebelum ini. YAB Timbalan Perdana Menteri
turut menegaskan pendekatan AADK haruslah berubah menyaksikan kaedah konvensional tidak lagi
diguna pakai kerana dilihat kurang berkesan. Menerusi
pendekatan dan strategi baharu (Developmental
Approach), kerajaan menitikberatkan hasil ke atas kumpulan sasaran,
terutamanya golongan muda yang menjadi kelompok terbesar penagih dadah di
negara ini dan bukan lagi bersifat hanya cantik di atas kertas.
Sehubungan dengan itu pada 29 November 2017 YAB
Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi Timbalan Perdana Menteri Malaysia,
Merangkap Menteri Dalam Negeri telah melancarkan Dasar Dadah Negara. Matlamat Dasar Dadah Negara adalah untuk
mewujudkan Negara dan bangsa Malaysia yang bebas daripada ancaman gejala dadah
bagi menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan mengekalkan kestabilan dan
ketahanan nasional melalui (5) lima teras iaitu, Pendidikan Pencegahan, Rawatan
dan Pemulihan, Penguatkuasaan, Pengurangan Kemudaratan dan Kerjasama
Antarabangsa.
Akhir kalam, pada sambutan Hari Antidadah
Kebangsaan pada tahun ini saya menegaskan bahawa Komuniti Kita Tanggungjawab Kita.
Oleh itu marilah kita bersama-sama berganding bahu menjadikan komuniti
kita selamat dari ancaman dadah dan anak-anak kita dapat membesar dan menjadi
generasi yang berdaya saing serta berjaya.
Sekian. Wabillahitaufiq wal hidayah,
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
#perangidadahhabishabisan
#pencegahandadahbermuladarirumah
#keluargasayatanggungjawabsaya
#komunitikitatanggungjawabkita
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment