GANJA merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan
serat. Ia merujuk kepada daun, batang, bunga dan biji benih pokok
cannabis yang mengandungi resin dan selalunya dikeringkan dahulu dengan
menyalainya sebelum digunakan. Ganja juga dikenali sebagai marijuana,
yang berasal daripada bahasa Portugis, iaitu perkataan mariguango yang
bermaksud barang yang memabukkan.
Istilah ganja dipopularkan oleh kaum Rastafari, penganut agama Rasta di
Jamaica. Mungkin ada yang masih ingat penyanyi reggae Bob Marley.
Beliau yang menganut ajaran Rastafarian, mengambil ganja sebagai ritual
keagamaan. Melalui lagu Ganja Gun, Bob Marley menyatakan bahawa beliau
akan menghisap ganja sehingga buta. Bob Marley meninggal dunia pada 11
Mei 1981, pada usia 36 tahun, akibat penyakit melanoma (kanser kulit)
yang merebak dari ibu jari kaki kanan ke otak dan menyebabkan tumor.
Mengikut undang-undang Malaysia, mereka yang memiliki 200 gram atau
lebih ganja atau resin ganja, akan dihukum mandatori gantung sampai mati
di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Untuk berat 50 gram
atau lebih, hukumannya adalah penjara seumur hidup atau tidak kurang 5
tahun atau 10 sebatan rotan.
Begitu juga sekiranya seseorang memiliki kurang daripada 50 gram ganja,
atau didapati bersalah menanam pokok ganja walau sepohon, boleh dihukum
penjara seumur hidup dan sebatan rotan.
Baru-baru ini, seorang ahli Parlimen belia telah mencadangkan supaya
kesalahan menghisap ganja dikaji semula kerana golongan muda tidak
menganggapnya sebagai dadah. Saranan ini pula disokong oleh seorang ahli
politik, yang menurutnya, menghisap ganja boleh menghilangkan tekanan
kos sara hidup yang tinggi.
Memang benar, dalam kehidupan, akan ada tekanan. Tekanan datang
daripada pelbagai punca seperti masalah kewangan, beban di tempat kerja,
masalah kesihatan dan sebagainya. Ada di antara kita sudah berhutang
walaupun belum bekerja. Hutang pinjaman pelajaran, kereta, dan rumah
perlu dilangsaikan setiap bulan waima gaji kecil. Kini kos sara hidup
pula semakin meningkat. Kita disarankan buat dua kerja demi kelangsungan
hidup. Tekanan bertambah.
Setiap orang mempunyai cara tersendiri untuk menangani tekanan. Ada
yang mengambil minuman keras untuk melupakan seketika masalah yang
dihadapi. Kini ada pula yang mencadangkan ganja. Adakah pengambilan
alkohol atau ganja dapat menghilangkan masalah? Atau menambahkan lagi
masalah?
Sebagai orang Islam, kita boleh mengurangkan tekanan dengan membaca
atau mendengar al-Quran. Al-Quran adalah mukjizat yang terbesar bagi
umat Islam. Ia menyejukkan hati dan memberikan ketenangan kepada sesiapa
yang membaca atau mendengarnya.
Kita juga dapat menghilangkan tekanan dengan menceburi aktiviti sukan
seperti bermain bola, futsal, golf atau bergiat dalam hobi masing-masing
seperti memancing ikan, fotografi, dan
melukis.
Paling kurang pun, kita boleh melangkah keluar rumah seawal Subuh,
hirup udara pagi sedalamnya, dan lihat langit dan segala ciptaan ALLAH.
Menikmati keindahan alam sewaktu matahari timbul atau tenggelam boleh
menenangkan jiwa dan perasaan.
Melakukan perkara ini akan menimbulkan rasa syukur terhadap segala
nikmat yang kita ada dan rasa syukur ini akan menghilangkan stres secara
perlahan-lahan.
ALLAH SWT berfirman dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28, yang bermaksud:
“(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan
mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi
tenteram.”
Ganja diharamkan dalam Islam berasaskan kepada kiasan haramnya arak
yang sifatnya memabukkan serta merosakkan jasmani dan akal manusia
(Portal rasmi Fatwa Malaysia). Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,
“Setiap yang memabukkan adalah khamar dan setiap khamar adalah haram.”
(Riwayat Muslim dari Ibnu Umar).
Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selain kesan kesihatan
terhadap tubuh manusia, ia juga mempunyai kesan buruk ke atas
personaliti seseorang. Antaranya, penghisap ganja akan menjadi khayal
(berhalusinasi), ketagihan dan mengalami gangguan tingkah laku.
* Penulis ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan
sumber : sinarharian
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan
#ganja
No comments:
Post a Comment