Anak remaja anda tiba-tiba membawa pulang sticker comel bergambar kartun yang diminati kanak-kanak?
Mungkin keadaan itu memang perubahan yang terlihat tidak membawa
mudarat. Namun, sesetengah keadaan mungkin anda perlu berwaspada dan
mengambil tindakan sewajarnya.
MENGAPA?
Say ‘hello’ to Lucy!
Dadah jenis LSD mudah disebarkan dalam bentuk kepingan kecil kertas
berwarna-warni ini (acid, blotter). Nama jalanan dadah ini ‘Lucy’.
Mungkin diambil dari lagu The Beatles (‘Lucy in the Sky with Diamonds’)
yang dikatakan menceritakan pengalaman pengambilan LSD ini. Dadah
rekreasi LSD mudah larut air dan dikeringkan diatas kertas. Ia hanya
memerlukan beberapa mikrogram sahaja untuk memberikan kesan.
Cara menggunakannya? Kertas warna-warni tersebut Cuma perlu
diletakkan di lidah beberapa ketika… Dan anda dikatakan mengambil
‘percutian ke alam lain!’
APA ITU LSD?
LSD (lysergic acid diethylamide) adalah sejenis dadah psikedelik yang
sangat poten untuk menghasilkan kesan halusinasi. Berlainan dari
jenis-jenis dadah yang telah dibincangkan dalam artikel sebelum ini yang
bersifat psikoaktif stimulant, dadah jenis psikedelik tidak berfungsi
untuk meningkatkan rasa ‘ganjaran’ (rewarding) dalam otak. Sebaliknya,
ia mengganggu kebolehan otak untuk memisahkan keadaan ‘benar’ dan
khayalan. Ia juga selalunya menyebabkan paranoia dan delusi.
LSD disintesis oleh Albert Hoffman pada 1938 dari kompaun ergotamine yang diperolehi dari fungus ergot (Claviceps purpurea) yang tumbuh pada bijirin rye. Nama LSD tersebut diambil dari akronim kompaun ini dalam bahasa german Lyserg-säure-diäthylamid.
Diceritakan bahawa Albert Hoffman bertindak mencuba sendiri kompaun
ini keatas dirinya. Beliau menulis catatan selepas mengambil LSD –
beliau mengalami delusi dan paranoia yang agak teruk. Sofa di ruang tamu
beliau dikatakan mahu membunuh beliau dengan kejam!
BAGAIMANA LSD MENGGANGGU FUNGSI OTAK
Bagaimana LSD mengganggu fungsi otak masih dikaji.
Namun, dadah ini dipercayai bertindak terhadap kebanyakan reseptor serotonin di otak. Kompaun ini juga meningkatkan pengenalan protomer pada reseptor dopamine D2 dan tapakjalan pengaktifan D2-serotonin kompleks yang meningkatkan aktiviti psikosis.
Menariknya, molekul LSD didapati menambat pada reseptor serotonin
pada kepekatan yang sangat rendah (sangat poten) dan pada jangka waktu
yang panjang (serotonin menambat kuat dan dilepaskan dari reseptor
dengan sangat perlahan).
Ini menyumbang kepada kesan jangka panjamg LSD yang mampu bertahan sehingga 12 jam pada dos yang rendah. Pengambilan LSD dikatakan ‘going on a trip’!
KESAN PENGAMBILAN LSD
Kesan LSD tidak dapat ditentukan dan dikawal. Ia berbeza dari satu individu ke satu individu lain. Namun, kesan fisiologi yang biasa dilaporkan adalah rasa kebas, lemah, loya, peningkatan tekanan darah dan degupan jantung, berpeluh-peluh, penghasilan mukosa berlebihan, menggigil.
Kesan psikologi dari pengambilan LSD termasuk perubahan mendadak mood
atau merasai sedih, marah, takut, gembira pada masa yang sama, merasai
putus asa dan tidak berharapan langsung (yang mengakibatkan bunuh diri),
ketakutan dan panik yang bersangatan. Pada dos yang tinggi, LSD
mencetuskan delusi dan halusinasi visual.
Pengambilan LSD biasanya tidak mendatangkan ketagihan secara
langsung. Namun, penggunaan LSD memberi kesan seperti depresi dan
perasaan kerisauan. Ada juga yang mengalami imbasan kembali (flashback)
yang mungkin berlarutan sehingga berhari-hari atau berbulan-bulan
selepas dos LSD tersebut. Ia juga menghasilkan keadaan toleran –
pengambilan dos seterusnya harus lebih tinggi berbanding dos sebelumnya
untuk menghasilkan kesan yang sama.
Banyak cerita-cerita urban legend dan cerita benar yang menceritakan
bahaya pengambilan LSD ini. Terutamanya kebolehan LSD mengubah persepsi
seseorang antara nyata dan khayalan. Malah, ada juga yang terjun dari
bangunan tinggi kerana percaya mereka berupaya terbang, ada yang
membunuh kerana percaya manusia yang dibunuh itu adalah raksasa yang
ganas. Ada juga yang hanya khayal melihat pelangi-pelangi yang muncul
didepan mata. Kesan ini tidak boleh dikawal dan dijangka.
Prihatin pada anak-anak dan ahli keluarga. Sayangi diri, jauhi dadah!
Sumber: Root Of Science
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
RUJUKAN
Juszczak GR. Disrupted integration of sensory stimuli with information about the movement of the body as a mechanism explaining LSD-induced experience. 2017. Medical Hypotheses , Volume 100 , 94 – 97
Katrin HP, Marcus H, Thomas P, Amanda P, Rainer K, Philipp S. et al. The Fabric of Meaning and Subjective Effects in LSD-Induced States Depend on Serotonin 2A Receptor Activation, Current Biology, Volume 27, Issue 3, 6 February 2017, Pages 451-457, ISSN 0960-9822, http://dx.doi.org/10.1016/j.cub.2016.12.030.
Liechti ME, Dolder PC. & Schmid Y. Alterations of consciousness and mystical-type experiences after acute LSD in humans. Psychopharmacology (2016). doi:10.1007/s00213-016-4453-0
Passie, T., Halpern, J. H., Stichtenoth, D. O., Emrich, H. M. and Hintzen, A. (2008), The Pharmacology of Lysergic Acid Diethylamide: A Review. CNS Neuroscience & Therapeutics, 14: 295–314. doi:10.1111/j.1755-5949.2008.00059.x
No comments:
Post a Comment