Ya ba atau lebih dikenali sebagai ‘pil kuda’ di negara ini
adalah salah sejenis dadah yang terkenal di kalangan negara-negara asia
seperti Thailand, Myanmar, Laos, Malaysia dan Indonesia. Seperti
namanya, ia dahulu digunakan (dengan izin) sebagai pil penambah tenaga
dan diberikan kepada kuda-kuda pengangkut barang di Thailand dan Burma.
APAKAH SEBENARNYA PIL KUDA INI?
Pil kuda yang juga terkenal di kalangan pemandu lori dan bas untuk
tenaga yang berpanjangan dan tidak mengantuk ini sebenarnya adalah
campuran dua bahan utama – methamphetamine dan caffeine.
Kedua-duanya adalah dadah stimulan (perangsang) yang menyebabkan
pengguna terasa seperti sangat peka dan dapat menumpukan perhatian. Ia
juga dikatakan mampu memberikan kelebihan tenaga yang berpanjangan. Ada
pengguna yang menceritakan beliau mampu untuk tidak tidur selama lebih
tiga hari selepas mengambil beberapa biji pil kuda ini.
Ia juga dikatakan menghilangkan rasa takut, letih, lapar dan dahaga
pada penggunanya. Ada pengguna yang mengambilnya untuk tujuan
menguruskan badan (benar juga, kerana beberapa jenis ubatan berasaskan
meth / amphetamine pernah/ digunakan untuk menangani obesiti)
Ya ba telah sedia ada wujud dalam bentuk pil yang biasanya berwarna
merah terang, oren atau hijau. Namun sebenarnya ia telah muncul dengan
pelbagai warna pelangi yang menarik perhatian. Ia juga diberikan perisa
vanilla, oren, beri, mangga yang diminati kanak-kanak.
Di Thailand (malah mungkin juga di Malaysia), pil ini terkenal
dkalangan para pelajar yang menggunakannya untuk tujuan rekreasi atau
kononnya untuk menambah tumpuan pada pelajaran.
Ya ba juga boleh diambil dengan memanaskannya diatas api dan menghidu
wap yang terhasil (chasing the dragon) untuk menghasilkan kesan high
yang cepat.
BAGAIMANA YA BA BERFUNGSI?
Seperti penggunaan methamphetamine, ia mengaruh perembesan
neurotransmitter dopamine, serotonin dan norepinephrine dan mengaktifkan
(hyperactivity) neuron-neuron otak. Ia juga mengaktifkan pengangkutan
keluar (efflux) dan merencat pengangkutan kembali neurotransmitter
tersebut dalam neuron. Ini menyebabkan seolah-olah kebanjiran
neurotransmitter yang mengaktifkan neuron di otak.
Ia adalah dadah perangsang yang lebih poten dan memberikan kesan yang
berpanjangan berbanding cocaine. Ini kerana cocaine lebih mudah
dimetabolisma dan dikumuhkan berbanding methamphetamine. Ya ba boleh
menyebabkan penggunanya mengalami:
- Euphoria
- Insomnia
- Keresahan
- Penurunan selera makan dan minum
- “hot flash” di mana badan terasa panas secara berkala antara 30 saat – 10 minit lamanya bagi satu-satu masa, terutamnya di bahagian muka dan leher, diikuti dengan tompokan merah di dada, belakang dan lengan, kemudian diikuti dengan peluh yang banyak dan selepas itu baru badan menjadi sejuk.
- Kekeringan mulut
- Peningkatan tahap kepekaan, berjaga, tenaga
- Peningkatan degupan jantung, tekanan darah, respirasi, suhu badan
- Kerosakan pada salur darah kecil di otak
Kesan pada penggunaan kronik
- Sering terketar-ketar
- Hipertensi
- Halusinasi
- Mengalami episode psikosis
- Delusi paranoid
- Bersikap ganas
- Kecelaruan otak dan emosi
- Psikosis seperti pesakit skizofrenia
- Penggunaan methamphetamine menyebabkan kemusnahan neuron-neuron dopamine. Jadi pengunaan berterusan akan mengakibatkan kesan seperti pesakit Parkinson
Pengambilan pil ini juga mengakibatkan ketagihan. Ia juga
menghasilkan kesan toleran yang kuat (cuba sekali, perlu dos yang lebih
tinggi pada lain kali),
Prihatin pada anak-anak dan keluarga. Sayangi diri, jauhi dadah!
Sumber: Root Of Science
RUJUKAN
Krasnova, I.N., Justinova, Z. & Cadet, J.L. Methamphetamine addiction: involvement of CREB and neuroinflammatory signaling pathways. Psychopharmacology (2016) 233: 1945. doi:10.1007/s00213-016-4235-8
Anjalee C, Crazy for Ya Ba: Methamphetamine use among northern Thai youth, International Journal of Drug Policy, Volume 25, Issue 4, July 2014, Pages 776-782, ISSN 0955-3959, http://dx.doi.org/10.1016/j.drugpo.2014.06.005.
Farrell, M., Marsden, J., Ali, R. and Ling, W. (2002), Methamphetamine: drug use and psychoses becomes a major public health issue in the Asia Pacific region. Addiction, 97: 771–772. doi:10.1046/j.1360-0443.2002.00195.x
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment