MENJELANG
pembentangan Bajet 2018 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri,
merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Majlis Belia
Malaysia (MBM) menyatakan sokongan terhadap perkara yang ditekankan oleh
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam artikelnya bertajuk
Agenda Sosial Untuk Bajet 2018 di Utusan Malaysia, 20 Oktober 2017.
Pertamanya Majli Belia Malaysia (MBM) meyakini penekanan kepada
agenda sosial bermakna menekankan elemen manusia di dalam perancangan
yang dibuat. Manusia sebagai unsur penting dan penentu dalam membangun
sebuah peradaban atau tamadun perlu manjadi titik sasaran (focus point)
dalam pentadbiran negara terutamanya dalam perancangan kewangan negara.
Mana-mana perancangan yang meninggalkan agenda sosial akan kelihatan
tempang kerana elemen manusia perlu menjadi output keberhasilan atau
mendapat manafaat yang maksima. Membangun ekonomi mesti berteraskan
sosial. Maka komitmennya adalah ‘ekonomi sosial’ dan begitu juga sektor
lain seperti politik, budaya, pendidikan dan agama yang perlu
menatijahkan pembaikan sosial.
Kedua, pemerkasaan platform sedia ada seperti Majlis Sosial Negara
agar menjadi juru pandu menatijahkan program terbaik dan berkesan dalam
masyarakat dan dijadikan agenda bersama. Pastinya agenda sosial ini
perlaksanaannya perlulah merentas kementerian (NBOS) agar segala program
yang dirancang dapat disinergikan secara bersama.
Menyedari bahawa dalam mengangkat agenda sosial, ianya memerlukan
perancangan yang melibatkan banyak pihak termasuk pihak AADK, PDRM, PBT,
NGO dan sebagainya. Usaha juga telah banyak dilakukan oleh
Kementerian-kementerian lain dalam dalam merangka program menangani
masalah sosial dalam masyarakat.
Ketiga, menyedari keupayaan melihat potensi masyarakat Malaysia yang
pelbagai dan rencam memerlukan pendekatan atau interaksi sosial yang
berkesan dan kreatif serta kadangkala pendekatannya di luar kebiasaan
sedia ada. Perlaksanaannya mesti mengambil kira persekitaran dan suasana
serta perlakuan juga berbeza dan berubah. Maka pengupayaan masyarakat
sivil sebagai sektor ketiga dalam masyarakat perlu diraikan.
Sebagai gambarannya golongan belia bukannya homogen kerana ada yang
dikategorikan sebagai belia berisiko, belia minoriti dan belia
terpinggir. Kategori belia ini amat terdedah dengan masalah sosial dan
memerlukan ekosistem yang sesuai untuk menyokong perkembangan minda dan
modal insan mereka.
Keempat, komitmen berterusan dan berpanjangan (istiqamah) kerana
kesan daripada program-program yang dirancang atau sedang berjalan
mungkin natijahnya bukan semerta, tetapi ianya akan memberikan kesan
jangka panjang yang boleh menjimatkan kos negara serta praktikal.
Kita meyakini bahawa ada terdapat program-program mengangkat dan
menangani isu sosial dalam kementerian-kementerian, agensi pelaksana
atau sektor ketiga (NGO) yang boleh diketengahkan terpaksa ditangguhkan
atau dikurangkan ekoran kurang peruntukan. Maka adalah perlu penelitian
yang mendalam perlu diberikan agar program seumpama ini dilihat dari
sudut yang lebih besar untuk manfaat jangka panjang masyarakat.
Contohnya, sebelum ini terdapat program yang dinamakan Program Angkat
dan Upaya atau PADU yang merupakan satu inisiatif bagi meningkatkan
semangat serta jati diri remaja dan belia bermasalah. Begitu juga
Program Jati diri Kesukarelaan Nasional (PJKN) yang bertujuan untuk
membentuk jati diri, patriotisme dan semangat sayangkan negara kepada
belia-belia negara ini. Langkah dalam membentuk PLKN 2.0 diharap berjaya
membentuk belia yang lebih matang dan berkarisma sesuai dalam membawa
imej sebuah negara maju menjelang 2050.
Sehubungan itu, MBM menyokong kenyataan yang dilakukan YB Khairy
Jamaluddin dalam menjadikan agenda sosial sebagai agenda utama yang
perlu diangkat di dalam Bajet 2018 selari dengan hasrat kerajaan dalam
melahirkan negara bangsa yang hebat menjelang 2050.
Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia
Sumber : Utusan Online
Hidup ini terlalu indah untuk disiakan
Ambil Kisah. Ambil Tindakan.
No comments:
Post a Comment